Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/04/Jawapan-Bagi-Pertanyaan-Jawab-Tulis-MMN22_1.pdf

Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT027

SOALAN

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI SUYOI BIN HAJI OSMAN meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN DAN EKONOMI II menyatakan apakah antara kemajuan terbaru dalam usaha mempelbagaikan ekonomi serta pendekatan baru yang dirancang bagi memantaskan usaha mempelbagaikan ekonomi ini?

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Usaha pempelbagaian ekonomi terus menunjukkan perkembangan yang menggalakkan yang mana dapat dilihat melalui peningkatan sumbangan sektor bukan minyak dan gas kepada KDNK negara, iaitu daripada 45 peratus pada tahun 2015 kepada 54 peratus pada tahun 2025. Selain itu, eksport bukan minyak dan gas juga telah meningkat kepada 60 peratus berbanding 7 peratus pada tahun 2015.

Pencapaian ini dipacu antara lainnya oleh pertumbuhan di dalam lima (5) sektor keutamaan yang terus menjadi penggerak pertumbuhan untuk menerajui pembangunan dan kepelbagaian ekonomi. Sektor-sektor keutamaan tersebut telahpun mencatatkan pertumbuhan KDNK yang menggalakkan dengan mencatat purata pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan, iaitu meningkat daripada BND2.4 bilion pada tahun 2015 kepada BND4.0 bilion pada tahun 2025:

Sektor Hiliran Minyak dan Gas merekodkan pertumbuhan purata 31.3 peratus secara tahunan bagi tempoh 2015 hingga 2025, didorong oleh peningkatan pengeluaran produk petroleum dan kimia melalui penarikan pelaburan berimpak tinggi seperti Hengyi Industries Sdn Bhd, Brunei Methanol Company Sdn Bhd, dan Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd, yang memperluas rantaian nilai dan meningkatkan kapasiti pengeluaran domestik.

Aktiviti pembuatan petroleum dan kimia akan diperkukuhkan lagi dengan adanya projek Hengyi Fasa 2 yang dijangka akan siap pada akhir tahun 2028 dan beroperasi pada tahun 2029. Perluasan ini akan meningkatkan kapasiti penapisan kepada 20 juta tan metrik setahun (400,000 tong sehari), berbanding kapasiti pada masa ini sebanyak 8 juta tan setahun. Ianya juga akan memperkenalkan supply feed baharu bagi liquefied natural gas (LNG) dan ethane, serta membolehkan pengeluaran produk petrokimia derivatif bernilai tinggi baharu yang dapat digunakan untuk membuat barang keperluan harian. Sebagai contoh, ethylene dan polyethylene adalah bahan utama untuk membuat pelbagai jenis barangan plastik seperti botol dan pembungkus makanan, manakala butadiene pula digunakan untuk membuat getah sintetik seperti untuk tayar kenderaan dan tapak kasut. Dengan menghasilkan bahan-bahan bernilai tinggi ini di tanah air sendiri, ia akan membuka peluang perniagaan baharu bagi syarikat tempatan dan menyediakan lebih banyak pekerjaan untuk anak tempatan dalam rantaian industri tersebut.

Selain itu, usaha lain dalam memperluaskan lagi aktiviti-aktiviti hiliran juga diberi penekanan kepada penarikan pelaburan-pelaburan baharu ke negara ini yang mana antara lainnya termasuk seperti cadangan pengeluaran bahan kimia (Isopropyl Alcohol – IPA) dengan kerjasama sebuah syarikat dari Negara India, dan juga penubuhan sebuah fasiliti pengeluaran hydrogen serta utility modular container dengan kerjasama sebuah syarikat daripada Republik Indonesia.

Sektor Perkhidmatan meningkat purata 1.3 peratus secara tahunan bagi tempoh 2015 hingga 2025, sejajar dengan perkembangan aktiviti perdagangan, pengangkutan dan perkhidmatan perniagaan. Dari aspek logistik, beberapa usaha telah dilaksanakan dalam membuka laluan-laluan perkapalan baharu seperti melalui penubuhan NEXT Bahtera Maritime Sdn Bhd yang menghubungkan Pelabuhan Muara dengan pelabuhan-pelabuhan strategik baharu seperti Lianyungang di Republik Rakyat China, Jakarta di Republik Indonesia, dan Subic di Republik Filipina. Selain itu, penubuhan laluan perkapalan terus oleh Shandong International Transportation Corporation (SITC) dan Warisan Shipping Lines yang menghubungkan Pelabuhan Muara ke Pelabuhan Qinzhou, juga telah memendekkan tempoh pelayaran daripada 12 hari kepada 7 hari.

Sektor ini akan diperkukuhkan lagi dengan penaiktarafan kapasiti terminal kontena di Pelabuhan Muara daripada 220,000 kepada 500,000 TEU setahun melalui pembinaan dermaga kontena baharu yang berukuran 250 meter dan dermaga kapal-kapal perkhidmatan berukuran 88 meter. Projek ini juga dirancang untuk merangkumi pembangunan Port Trade Zone seluas 3.62 hektar di dalam terminal kontena bagi memudahkan proses pengimportan, pengeluaran, pembungkusan semula dan pengeksportan.

Sektor Makanan mencatat peningkatan purata 1.3 peratus secara tahunan bagi tempoh 2015 hingga 2025, terutamanya dipacu oleh perkembangan industri ternakan, perikanan dan pembuatan makanan. Cadangan pembangunan projek-projek strategik seperti Agri-Tech Food Zone dan Aquaculture Innovation Centre di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kerajaan Singapura serta juga penaiktarafan fasiliti Brunei Food Industry Development (BFID) (yang dijangka akan beroperasi pada suku pertama Tahun Kewangan 2026/2027) merupakan antara inisiatif-inisiatif yang sedang diusahakan untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran tempatan dan memperkukuhkan daya tahanan bekalan makanan negara.

Di samping itu, dalam mendukung juga sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada pertumbuhan sektor makanan tempatan, pihak Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) juga sedang merancang bagi penyediaan sebuah kemudahan siap bina dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Ianya akan berfungsi sebagai hab inkubasi bagi membolehkan PMKS untuk meningkatkan lagi skala operasi mereka, mempertingkat produktiviti dan seterusnya menyumbang juga kepada usaha jaminan makanan jangka panjang dan matlamat pempelbagaian ekonomi.

Sektor ICT berkembang purata 2.6 peratus secara tahunan bagi tempoh 2015 hingga 2025, selaras dengan peningkatan penggunaan jalur lebar (broadband) dan pertambahan pelanggan internet. Perkembangan ini diperkukuhkan lagi dengan penguatkuasaan Perintah Perlindungan Data Peribadi (PDPO) 2025 bagi menjamin persekitaran digital yang selamat, serta pelancaran sistem pembayaran nasional 'tarus' pada awal 2025 yang menyatukan ekosistem pembayaran digital negara bagi memudahkan transaksi tanpa tunai yang lebih pantas dan inklusif. Selaras dengan Digital Masterplan 2025 dan Pelan Transformasi Digital Brunei (2026-2030), perkembangan ini akan diperkukuhkan dengan pembangunan ekosistem digital yang lebih teratur, usaha transformasi digital perkhidmatan Kerajaan serta dengan penggalakan inovasi dalam penerapan teknologi baharu seperti AI di dalam aktiviti-aktiviti sosio-ekonomi negara. Antara inisiatif yang dijalankan termasuk pembangunan pusat data berasaskan kecerdasan buatan (AI), dan fasiliti pusat data dengan reka bentuk yang diperakui Tier III bertaraf antarabangsa.

Sektor Pelancongan menunjukkan pertumbuhan purata 1.5 peratus secara tahunan bagi tempoh 2015 hingga 2025, hasil peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa serta pergerakan penerbangan ke dan dari Negara Brunei Darussalam. Usaha akan terus ditumpukan kepada pengukuhan produk dan fasiliti pelancongan negara termasuk penekanan kepada pelancongan niche seperti eko-pelancongan, inisiatif promosi dan pemasaran yang lebih tersasar, di samping juga meningkatkan lagi pendedahan penjenamaan (branding) negara.

Kerajaan Negara Brunei Darussalam terus komited dalam mempercepat usaha pempelbagaian ekonomi melalui pelaksanaan strategi bersepadu yang menekankan inovasi, kerjasama dan pembinaan kapasiti manusia. Langkah-langkah ini akan dipantau melalui indikator prestasi yang jelas, termasuk sumbangan sektor bukan minyak dan gas terhadap KDNK, penciptaan pekerjaan baru dan pertumbuhan pelaburan berimpak tinggi.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.