Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL194
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD. SALAM meminta MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN menyatakan mengambil signifikan tahun 2026–2027 dalam sejarah negara, apakah ada perancangan Kementerian untuk menjadikannya pemangkin kepada transformasi pelancongan nasional? Dengan memperkenalkannya sebagai “Tahun Melawat Brunei”, bagaimanakah kementerian memastikan perancangan awal dan peruntukan sumber serta kewangan tersedia bagi program-program, termasuk pertandingan mencipta jingle/slogan pemasaran untuk memperkukuh jenama Brunei sebagai destinasi pelancongan eksklusif, lestari dan berbudaya?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Jawapan bagi soalan mengenai perancangan kementerian untuk memperkukuh industri pelancongan nasional ini telahpun kaola jawab semasa menjawab soalan PL 275 yang diajukan oleh Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal yang mana saling berhubungkait dan mempunyai naratif yang sama.
Kementerian melihat tahun 2026–2027 sebagai tempoh penting dan bersejarah untuk negara, bersempena Sambutan Hari Keputeraan ke-80 dan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Sehubungan itu, Kementerian sedang merangka pelan bersepadu untuk menjadikan tempoh ini sebagai pemangkin transformasi sektor pelancongan nasional.
Ada beberapa inisiatif yang dikira impactful yang sedang dipertimbangkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan. Inisiatif-inisiatif ini yang akan menjadi platform strategik bagi:
- Memperkukuh jenama Brunei sebagai destinasi pelancongan eksklusif, lestari dan berbudaya tinggi;
- Menonjolkan identiti kebangsaan dan kejayaan negara;
- Memacu pelancongan domestik dan antarabangsa secara inklusif dan mampan.
Dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif perkembangan pelancongan, tindakan telah disusun secara saling melengkapi, dengan memfokuskan kepada:
- Perancangan awal dan penyelarasan antara agensi melalui jawatankuasa pandu dan teknikal;
- Pelaksanaan program seperti yang dicadangkan oleh Yang Berhormat seperti pertandingan jingle/slogan kebangsaan, pembangunan pakej pelancongan domestik berbundel, dan penglibatan MSME serta masyarakat akar umbi;
- Pelaksanaan acara utama seperti Brunei December Festival, Brunei Gastronomy Festival, dan MYCE untuk merancakkan ekonomi tempatan;
- Kerjasama dengan rakan industri dalam dan luar negara, termasuk agensi pelancongan, syarikat penerbangan, media, dan pempengaruh.
Kementerian juga turut membantu pengusaha dengan menyediakan platform promosi percuma dalam pelbagai bentuk, termasuk dalam media cetak, digital, dan fam trips, bukan sahaja untuk ejen tetapi juga sepanjang rantaian nilai pelancongan.
Pendekatan ini selaras dengan prinsip whole-of-nation dan matlamat Wawasan Brunei 2035, iaitu memastikan manfaat pelancongan bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan, tetapi juga memperkukuh perpaduan masyarakat dan kebanggaan negara.
Dengan perancangan yang teliti dan sokongan padu daripada semua pihak, inisiatif-inisiatif perkembangan pelancongan bukan sahaja akan menjadi pemangkin kepada transformasi sektor pelancongan, malah turut berfungsi sebagai platform strategik untuk mengetengahkan pencapaian dan kemajuan pelbagai sektor di negara ini. Ia juga merupakan peluang emas untuk memanfaatkan potensi ekonomi melalui pelbagai program seperti jualan cenderamata tempatan, penganjuran acara berskala besar, dan aktiviti komersial lain yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan perusahaan tempatan serta kebanggaan negara.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.