Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL224
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOF meminta MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN menyatakan apakah pendekatan dan strategi Kementerian dalam Pelan Strategik MPRT 2023-2029 untuk mengatasi isu dan cabaran serta meningkatkan industri pelancongan bagi menjana sosio-ekonomi negara? Memandangkan Economic Blueprint menempatkan pelancongan di antara sektor utama untuk memperkukuhkan ekonomi negara, namun statistik ASEAN Tourism 2024 menunjukkan Brunei menerima pengunjung terendah pada 2023.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Pihak Kementerian komited dalam mendokong usaha ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 iaitu Matlamat Wawasan Ke-3, untuk menjadikan Negara sebagai sebuah Negara yang mempunyai "Ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan", khususnya melalui usaha-usaha ke arah mendokong Food Industry Roadmap dan Tourism Industry Roadmap, yang mana sektor makanan dan sektor pelancongan adalah merupakan antara sektor yang telah dikenalpasti dalam Economic Blueprint Brunei Darussalam, yang berpotensi menyumbang ke arah meningkatkan ekonomi negara, selain dari sektor industri hiliran minyak & gas, perkhidmatan dan ICT.
Tahun 2023 adalah masih fasa recovery (post covid) di mana Brunei hanya mencatatkan 149,000 jumlah pelancong yang tiba melalui udara dan laut. Pada tahun 2024, mencatatkan peningkatan sebanyak hampir 290,000 jumlah pelancong melalui udara dan laut dan lebih daripada 380,000 pelancong yang masuk melalui darat. Pada separuh pertama 2025, ketibaan pelancong melalui udara, darat, dan laut mencatat hampir 400 ribu orang, meningkat 33% berbanding hampir 300 ribu orang pada tempoh sama pada tahun 2024. Pendapatan pelancongan juga meningkat 12% kepada 172 juta Brunei dollar berbanding 153 juta Brunei dollar pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan bukan sahaja jumlah pelancong meningkat, tetapi kualiti pelawat dari segi perbelanjaan, tempoh tinggal dan minat produk pelancongan tempatan turut bertambah.
Tren ini mencerminkan keberkesanan pendekatan strategik kementerian dalam memperkukuh promosi, menaik taraf produk, dan meluaskan akses pasaran pelancongan Brunei secara berfasa.
Melalui Pelan Hala Tuju Industri Pelancongan Brunei Darussalam, kementerian telah merangka pendekatan bersepadu berasaskan empat teras utama:
Pertama, Pembangunan Produk dan Pemasaran. Kementerian menggalakkan pelaburan baharu, menaik taraf produk pelancongan sedia ada, dan memanfaatkan saluran digital serta kerjasama dengan pempengaruh dan agensi pelancongan dalam talian. Acara seperti ekspo pelancongan, fam trip dan acara sukan antarabangsa turut menyumbang kepada peningkatan pelawat.
Selain itu, penganjuran acara seperti persidangan, mesyuarat dan juga acara bersukan termasuk karate, wushu, dan larian maraton semakin mendapat sambutan dan telah menyumbang kepada peningkatan kedatangan pelancong antarabangsa melalui udara dan darat.
Kedua, Pembangunan Sumber Manusia. Latihan berstruktur dan pensijilan profesional disediakan untuk bukan sahaja pengusaha pelancongan tempatan tetapi pekerja dalam industri pelancongan termasuk tour guides, bagi memastikan standard perkhidmatan yang tinggi dan mampan. Bengkel dan latihan berkala juga dijalankan bagi membina tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Ketiga, Peningkatan Infrastruktur. Dengan sokongan RKN, pelbagai projek sedang dan akan dilaksanakan - antaranya pembinaan marina baharu di Pantai Serasa, pembinaan jeti untuk mendokong pembangunan lawatan ke Muzium Teknologi Brunei di Kota Batu dan Tapak Arkeologi Kota Batu, menaiktaraf jeti Pekan Tutong di Daerah Tutong, menaiktaraf galeri pelancongan di Kg Ayer, serta pembangunan Pantai Tanjung Batu sebagai salah satu destinasi bagi pelancong kapal pesiar. Projek PPP juga sedang diungkayahkan bagi menyediakan infrastruktur khusus seperti kemudahan resort dan restoran demi untuk mendokong kemajuan pelancongan.
Keempat, Kesalinghubungan dan aksesibiliti. Kerjasama erat dijalankan bersama Kementerian Pengangkutan dan Info-Komunikasi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, syarikat-syarikat penerbangan dan ejen-ejen pelancongan untuk meluaskan capaian, memudahkan urusan permohonan visa dan kemasukan pelancong asing ke negara ini dan menambah baik sistem pengangkutan awam serta pelabuhan kapal persiaran.
Kementerian turut menekankan pelancongan yang inklusif dan lestari – melibatkan penyertaan belia, komuniti, serta menyokong agenda kelestarian dan keterangkuman gender. Kemudahan pengecualian visa kepada negara seperti China juga menunjukkan hasil, dengan peningkatan ketara dari pasaran tersebut.
Insya-Allah, usaha ini akan terus mengangkat pelancongan sebagai pemacu ekonomi baharu yang berdaya tahan dan inklusif, serta menjadikan Brunei destinasi yang unik dan diminati serantau.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.