Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL276
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin
YANG BERHORMAT AWANG HAJI SALLEH BOSTAMAN BIN HAJI ZAINAL ABIDIN meminta MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI menyatakan apakah pelan tindakan dan sasaran tahunan yang sedang dirangka oleh Kementerian bersama agensi berkaitan untuk menggantikan secara progresif pemegang permit kerja asing dengan graduan tempatan yang telah mengikuti program peningkatan kemahiran seperti SKiPPA, iReady, iSkill dan latihan sektor khusus, serta apakah insentif atau disinsentif yang akan diperkenalkan untuk mempercepatkan peralihan ini?
JAWAPAN
Terima kasih Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua.
بسم الله الرحمن الرحيمAssalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
-
Berdasarkan dapatan Banci Majikan dan Pekerja, sebanyak lima (5) sektor telah dikenalpasti mencatatkan kadar penglibatan pekerja asing yang tinggi berbanding tenaga kerja tempatan. Sektor-sektor tersebut ialah 1) Sektor Pertanian, Perhutanan dan Perikanan; 2) Sektor Pembuatan; 3) Sektor Pembinaan; 4) Sektor Perdagangan Borong dan Runcit serta Pembaikan Kenderaan; dan 5) Sektor Penginapan serta Perkhidmatan Pemakanan.
-
Sukacita dikongsikan pecahan jumlah dan peratus pekerja tempatan dan pekerja asing bagi tempoh lima (5) tahun kebelakangan bagi sektor-sektor yang disebutkan:
2.1. Sektor Pertanian, Perhutanan dan Perikanan kekal bergantung kepada pekerja asing, yang mana jumlah pekerja asing meningkat daripada 2,707 orang pada tahun 2020 kepada 3,714 orang pada tahun 2024. Manakala pekerja tempatan meningkat daripada 912 orang kepada 1,173 orang dalam tempoh yang sama. Ini menunjukkan jurang ketara dalam penyertaan tenaga kerja tempatan dalam sektor ini.
2.2. Sektor Pembuatan juga didominasi oleh pekerja asing iaitu di antara 63 peratus hingga 66 peratus daripada jumlah tenaga kerja keseluruhan sepanjang lima tahun. Pada tahun 2024, pekerja asing berjumlah 8,377 orang berbanding 8,260 orang pada tahun 2020. Sementara itu, pekerja tempatan meningkat sedikit daripada 4,185 orang kepada 4,911 orang, namun peratus penyertaan pekerja tempatan masih kekal sekitar 34 peratus hingga 37 peratus;
2.3. Sektor Pembinaan mencatatkan dominasi paling tinggi oleh pekerja asing berbanding sektor lain dengan purata melebihi 80% sepanjang tahun 2020 hingga 2024. Bilangan pekerja asing meningkat daripada 21,559 orang pada tahun 2020 kepada 21,974 orang pada tahun 2024. Dalam tempoh yang sama, pekerja tempatan kekal rendah, sekitar 4,116 hingga 4,379 orang, iaitu kira-kira 16 peratus hingga 17 peratus daripada jumlah keseluruhan.
2.4. Sektor Perdagangan Borong & Runcit, Pembaikan Kenderaan & Motosikal menunjukkan nisbah yang lebih seimbang antara pekerja tempatan dan asing berbanding sektor lain. Walaupun pekerja asing masih mendominasi, perbezaannya tidak terlalu ketara. Pada tahun 2024, pekerja asing berjumlah 16,200 orang (56%), manakala pekerja tempatan pula seramai 12,753 orang (44%). Jumlah ini menunjukkan peningkatan yang stabil sejak tahun 2020, di mana pekerja tempatan ketika itu berjumlah 9,493 orang (42%). Sektor ini dilihat semakin menyokong penyertaan tenaga kerja tempatan.
2.5. Sektor Aktiviti Penyediaan Tempat Tinggal & Perkhidmatan Permakanan masih didominasi oleh pekerja asing dengan peratus sekitar 63 hingga 66 peratus sepanjang tempoh lima tahun. Bilangan pekerja asing meningkat daripada 9,218 orang pada tahun 2020 kepada 13,005 orang pada tahun 2024. Walaupun pekerja tempatan turut menunjukkan peningkatan dari 4,809 orang kepada 6,916 orang dalam tempoh yang sama, iaitu hanya 34 hingga 35 peratus daripada jumlah keseluruhan.
-
Namun begitu, menurut Kajian Tenaga Kerja 2024, penyertaan tenaga kerja tempatan adalah pada kadar 71.3%, iaitu peningkatan sebanyak 3.8% berbanding tahun sebelumnya. Manakala, tenaga kerja asing merangkumi 28.7% daripada keseluruhan pasaran buruh negara.
-
Dalam kategori jawatan Professional, Managerial, Executive and Technical (PMET), seramai 71,500 anak tempatan telah mengisi jawatan tersebut, berbanding 15,900 pekerja asing, mencerminkan trend positif selari dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
-
Selaras dengan dasar Kerajaan untuk mengutamakan peluang pekerjaan kepada pencari kerja tempatan, Kerajaan telah menetapkan satu syarat utama bagi setiap permohonan Lesen Pekerja Asing (LPA) di Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, iaitu mana-mana syarikat yang ingin menggaji pekerja asing dimestikan untuk melalui proses penilaian oleh Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) terlebih dahulu termasuk keperluan mendapatkan Surat Pengesahan (Clearance Letter).
-
Penilaian ini mengambil kira usaha syarikat dalam melokalisasi tenaga kerja dan memastikan bahawa keutamaan diberikan kepada pengambilan pekerja tempatan sebelum sebarang kelulusan diberikan untuk penggajian pekerja asing. Dengan pelaksanaan syarat ini, syarikat perlu mengiklankan kekosongan jawatan melalui platform rasmi Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) dan menjalani proses saringan calon tempatan. Hanya setelah tiada calon tempatan yang sesuai dan berminat, barulah (Clearance Letter) akan dikeluarkan sebagai sokongan kepada permohonan Lesen Pekerja Asing.
-
Pihak Kerajaan terus menggalakkan syarikat-syarikat untuk mengambil bahagian dalam program perantisan seperti i-Ready, yang menyediakan latihan kerja secara langsung serta peluang membentuk pelan penggantian berstruktur (succession planning), dan melibatkan perantis tempatan dalam operasi harian syarikat bagi membolehkan mereka menimba pengetahuan dan kemahiran secara langsung daripada tenaga kerja asing sedia ada.
-
Pendekatan ini bertujuan untuk mewujudkan tenaga kerja tempatan yang berdaya saing, selain memupuk pemindahan ilmu dan kepakaran (knowledge transfer) secara menyeluruh dan berkesan.
-
Selaras dengan matlamat menjadikan pasaran buruh lebih mampan, pihak Kerajaan melalui Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPTMP) sedang meneliti semula mekanisme pengambilan pekerja asing agar terus sejajar dengan keperluan sebenar industri, tanpa mengabaikan kepentingan penyertaan tenaga kerja tempatan.
-
Sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan ini, pendekatan baharu sedang dikaji untuk menggalakkan syarikat menyediakan strategi tenaga kerja yang lebih seimbang dan progresif, dan syarikat yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap pengambilan anak tempatan berpotensi untuk mendapatkan kelulusan yang lebih cekap dalam proses permohonan mereka.
-
Beberapa inisiatif di bawah seliaan Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pengangguran (MPTMP) telah menunjukkan hasil yang menggalakkan dalam meningkatkan kebolehpasaran anak tempatan:
-
Program i-Ready:
Sehingga 30 Haribulan Jun 2025, seramai 6,229 perantis telah berjaya memperoleh pekerjaan tetap, termasuk dalam sektor awam dan swasta. -
Program iSkills (IBTE):
59.2% graduan dari Kohort 1 hingga 4 memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat Latihan. -
Program Coding.bn (di bawah Manpower Industry Steering Committee bagi sektor ICT):
Mencatatkan kadar kebolehpasaran sebanyak 73% dalam tempoh setahun selepas tamat program.
-
Kerajaan akan terus komited dalam memperkukuh penglibatan dan peranan anak tempatan dalam Pembangunan ekonomi negara melalui pelaksanaan berterusan pelbagai inisiatif peningkatan kemahiran dan penambahbaikan dasar-dasar tenaga kerja.
-
Adalah menjadi aspirasi Kerajaan agar usaha ini dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan yang berkualiti, berkemahiran tinggi serta bersedia untuk menyumbang secara berkesan dan bermakna ke arah kemajuan ekonomi negara yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.
Sekian yang dapat Kaola sampaikan pada menjawab soalan berkenaan.
Terima kasih Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.