Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL232
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA LAILA SETIA DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABD. RAHMAN BIN HAJI IBRAHIM meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN DAN EKONOMI II menyatakan dipohonkan bagi pencerahan mengenai Laporan JPES bagi Q1 2025 merekodkan pertumbuhan KDNK -1.8 peratus, yang hampir kesemua pertumbuhan sektor bukan minyak telah terjejas. Apakah penyebab sebenar kemerosotan pertumbuhan ini dan apakah langkah strategik untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan positif?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola ingin mengucapkan terima kasih atas pertanyaan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim.
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada suku tahun pertama (Q1) 2025 menurun sebanyak -1.8 peratus terutamanya disebabkan oleh gangguan sementara iaitu penyelenggaraan yang berjadual dan tidak berjadual yang menjejaskan kapasiti pengeluaran dalam Sektor Minyak dan Gas dan Sektor Hiliran Minyak dan Gas. Keadaan seperti ini adalah lazim bagi industri berkenaan.
Penurunan ini harus dilihat dengan perbandingan pertumbuhan tinggi pada suku pertama tahun 2024 sebanyak 7.2 peratus (yang telah dikemaskini pada Jun 2025) yang telah menyebabkan prestasi suku pertama tahun 2025 kelihatan lebih lemah.
Walaupun pertumbuhan KDNK pada suku pertama (Q1) 2025 mencatatkan penurunan sebanyak -1.8 peratus, dari segi nilai KDNK, prestasinya masih berada pada tahap yang tinggi jika dibandingkan dengan suku pertama (Q1) 2023 dan tahun-tahun kebelakangan.
| Q1 2023 | Q1 2024 | Q1 2025 | |
|---|---|---|---|
| KDNK (BND Juta) | 4,745.6 | 5,087.3 | 4,994.9 |
| Pertumbuhan (%) | 0.8 | 7.2 | -1.8 |
Perkara ini turut dicerminkan dalam prestasi beberapa subsektor, yang mana walaupun mencatatkan penurunan pada suku pertama (Q1) 2025, dari segi nilai KDNK masih antara yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sebagai contoh, subsektor Pembuatan Produk Petroleum dan Kimia mencatatkan penurunan sebanyak -7.8 peratus pada suku pertama (Q1) 2025. Jika dilihat dari segi nilai KDNK, subsektor ini mencatatkan nilai sebanyak BND367.3 juta pada suku pertama (Q1) 2025, iaitu sedikit menurun berbanding BND398.3 juta pada Q1 2024. Walau bagaimanapun, nilai ini pada suku pertama (Q1) 2025 masih jauh lebih tinggi berbanding Q1 2023 (BND314.2 juta) dan tahun-tahun sebelumnya.
Bagi subsektor Lain-lain Pembuatan, ianya mencatatkan penurunan sebanyak -14.6 peratus pada suku pertama (Q1) 2025. Jika dilihat dari segi nilai KDNK, subsektor ini mencatatkan nilai sebanyak BND37.8 juta pada suku pertama (Q1) 2025 yang menurun berbanding BND44.2 juta pada Q1 2024. Walau bagaimanapun, nilai ini pada suku pertama (Q1) 2025 masih jauh lebih tinggi berbanding suku pertama (Q1) 2023 yang mencatatkan BND36.2 juta dan tahun-tahun sebelumnya.
Similar pattern, bagi subsektor Perkhidmatan Perniagaan, ianya mencatatkan penurunan sebanyak -4.0 peratus pada suku pertama (Q1) 2025. Jika dilihat dari segi nilai KDNK, subsektor ini mencatatkan nilai sebanyak BND143.0 juta pada suku pertama (Q1) 2025 yang sedikit menurun berbanding BND149.0 juta pada suku pertama (Q1) 2024. Namun, nilai ini pada suku pertama (Q1) 2025 adalah lebih tinggi berbanding Q1 2023 yang mencatatkan BND142.3 juta dan tahun-tahun sebelumnya.
Oleh itu, dalam menilai prestasi KDNK, adalah penting untuk kita tidak hanya melihat kepada prestasi bagi satu tempoh sahaja. Aktiviti ekonomi sememangnya berubah-ubah dari satu tempoh ke tempoh yang lain, terutamanya dalam konteks ekonomi kita yang mana prestasi sektor-sektor utama mudah terdedah kepada ketidaktentuan disebabkan oleh faktor bermusim, jadual penyelenggaraan, perubahan harga global, dan isu-isu seperti gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik.
Dalam kata lain, kita perlu melihat nilai sebenar keluaran berbanding prestasi pada masa lalu. Sebagai contoh, walaupun berlaku sedikit penurunan dalam satu tempoh, nilainya mungkin masih lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun-tahun sebelumnya, atau disebabkan pertumbuhan kukuh pada tempoh sebelumnya, yang dikenali sebagai 'kesan asas tinggi'. Oleh yang demikian, kita perlu melihat gambaran keseluruhan tren yang lebih mencerminkan kemajuan sebenar ekonomi kita.
Sebagai langkah ke hadapan, mengambil kira prestasi sektor ekonomi yang mudah dipengaruhi oleh cabaran operasi dan cabaran ketidaktentuan luaran termasuk permintaan yang terjejas oleh perubahan tarif, ketidaktentuan geopolitik, usaha berterusan adalah penting untuk memperluas asas ekonomi agar apabila satu sektor terjejas, sektor lain boleh menyokong dan menampung seperti yang digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi (Economic Blueprint).
Sekian. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.