Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL166
📖 Masa membaca: 3 minit
📊 Bilangan kata: 561 kata
YANG BERHORMAT AWANG HAJI DAUD BIN JIHAN​
SOALAN:
YANG BERHORMAT AWANG HAJI DAUD BIN JIHAN meminta MENTERI KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN menyatakan adakah program yang dikendalikan Jabatan Pembangunan Masyarakat untuk membantu penerima-penerima bantuan kebajikan yang berpotensi untuk bekerja di sektor Kerajaan dan swasta masih berjalan dan sejauh manakah keberkesanannya?
MENTERI KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN​
JAWAPAN:
Terima kasih Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua dan Yang Berhormat Awang Daud bin Jihan di atas pertanyaan mengenai keberkesanan program pengupayaan penerima-penerima bantuan kebajikan.
Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian ini melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) terus melaksanakan pelbagai usaha ke arah memperkasakan penerima bantuan kebajikan, khususnya bagi mereka untuk berdikari dan menyumbang kepada pembangunan negara, sama ada melalui penempatan pekerjaan di sektor Kerajaan mahupun swasta. Usaha ini adalah selaras dengan dasar Kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan berterusan terhadap bantuan serta membina daya tahan ekonomi dalam kalangan rakyat dan penduduk.
Dalam usaha mencarikan peluang pekerjaan di sektor swasta pula, JAPEM bekerjasama dengan Pusat Pekerjaan Brunei. Melalui kerjasama ini, klien akan dipadankan dengan peluang pekerjaan yang bersesuaian berdasarkan kelayakan masing-masing. Selain itu, JAPEM turut mengambil inisiatif untuk menjalin kerjasama secara langsung dengan beberapa syarikat swasta tempatan (seperti Syarikat Takaza, Hua Ho, Rentokil, SKH dan Simpor Pharma) bagi menyediakan peluang pekerjaan secara terus kepada klien-klien bantuan. Pendekatan ini melibatkan rundingan bersama pihak majikan serta proses pemadanan calon dengan jawatan yang ditawarkan, khususnya dalam bidang pekerjaan yang tidak mensyaratkan kelayakan akademik yang tinggi. Usaha-usaha ini telah menunjukkan hasil yang positif, di mana klien yang berjaya memperoleh pekerjaan iaitu seramai 257 orang dari tahun 2022 hingga 2025.
Selain itu, sebagai usaha ke arah mengeluarkan keluarga-keluarga penerima bantuan dari kebergantungan kepada bantuan, salah satu usaha Kementerian juga adalah untuk memfokuskan kepada anak-anak atau tanggungan mereka untuk mendapat pekerjaan. Sebagai contoh, Program Inovasi Belia Berwawasan (PIBB) diasasarkan bagi belia dari keluarga penerima bantuan, berusia 16 hingga 21 tahun, yang tidak bersekolah dan tidak bekerja yang mana program ini berlangsung selama 9 bulan iaitu 3 bulan di PKBN, 3 bulan di Politeknik dan 3 bulan di penempatan kerja. Dari 77 peserta, 47 telah berjaya mendapatkan pekerjaan, sementara yang lain telah melanjutkan pelajaran atau memulakan perniagaan. Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) juga telah melaksanakan beberapa inisiatif penempatan kerja secara langsung di jabatan ini. Antara inisiatif tersebut termasuklah penempatan klien penerima bantuan dan tanggungan mereka sebagai petugas talian hotline JAPEM secara bergaji hari. Sehingga kini, seramai tiga (3) orang klien telah dilantik di bawah inisiatif ini. Peluang ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada alam pekerjaan, bahkan turut membantu meningkatkan kemahiran asas serta keyakinan diri dalam kalangan penerima bantuan.
Selain daripada itu pihak JAPEM juga telah mengambil seramai sebelas (11) orang klien sebagai Pekerja Kontrak Sosial bagi tempoh tiga (3) tahun. Melalui Program TADRIBAT dan Program Mentee yang terdiri daripada anak-anak penerima bantuan, klien-klien ini ditugaskan untuk membantu dalam pengurusan kes-kes permohonan SKN, khususnya yang melibatkan siasatan dan tindakan susulan permohonan bantuan. Dengan penempatan kerja ini, pihak kementerian berharap agar mereka mendapat pengalaman kerja yang bermakna dan sekaligus memperkukuhkan kebolehan mereka untuk bekerja di sektor dan tempat lain. Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk membolehkan penerima bantuan beralih secara berperingkat daripada kebergantungan terhadap bantuan kebajikan kepada kehidupan yang lebih berdikari dan produktif. Pada masa yang sama, ia turut membantu menampung keperluan tenaga kerja sokongan di JAPEM dan sekaligus akan dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Sekian sahaja yang dapat diulaskan, terima kasih.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.