Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL237
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA LAILA SETIA DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABD. RAHMAN BIN HAJI IBRAHIM meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan berapakah peratus pekerja tempatan yang terkesan semasa proses pelaksanaan 'downsizing exercise' syarikat-syarikat di negara ini? Bagaimanakah agensi-agensi berkepentingan bekerjasama memantau 'safety-net' pekerja ini? Adakah inisiatif latihan/peningkatan kemahiran disediakan untuk mengelakkan impak berpanjangan terhadap kehidupan, sosioekonomi dan kekeluargaan mereka?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Yang Berhormat Yang Di-Pertua,
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Yang Berhormat,
i. Kerajaan memahami kebimbangan Yang Berhormat terhadap pekerja tempatan yang terkesan akibat penyesuaian strategi perniagaan dalam sektor huluan minyak dan gas. Keprihatinan ini adalah selaras dengan keutamaan pihak Kerajaan yang memandang serius dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya dalam aspek pekerjaan dan kestabilan sosioekonomi.
ii. Izinkan Kaola memberikan sedikit penjelasan berhubung perkembangan terkini berkaitan proses penyesuaian strategi perniagaan yang sedang dilaksanakan oleh beberapa syarikat dalam sektor huluan minyak dan gas. Pelepasan tenaga kerja yang berlaku di sektor huluan minyak dan gas kebanyakannya melibatkan tenaga kerja kontrak, yang mana kontrak perkhidmatan mereka tidak disambung atau kontrak yang berasaskan projek, iaitu kontrak ditamatkan setelah projek-projek selesai.
iii. Di samping itu, jumlah pekerjaan juga terkesan dari skop perkhidmatan-perkhidmatan yang digabungkan dan mengalami perubahan dalam keperluan sumber tenaga manusia. Penggabungan skop perkhidmatan tersebut adalah antara langkah pengoptimuman operasi yang diambil bagi memastikan syarikat kekal berdaya tahan dan berdaya saing dalam landskap sektor tenaga yang semakin mencabar.
iv. Proses penyesuaian strategi perniagaan yang sedang dialami di sektor ini diunjurkan akan memberi kesan kepada sekitar 10% daripada jumlah sembilan belas ribu lapan ratus empat belas (19,814) tenaga kerja di syarikat-syarikat perkhidmatan huluan minyak dan gas dalam tempoh dua tahun ke hadapan. Walau bagaimanapun, mereka ini masih berpeluang untuk diserap masuk melalui inisiatif roll over setelah syarikat perkhidmatan yang baru dilantik nanti.
v. Yang Berhormat, perlu jua Kaola jelaskan bahawa penyesuaian strategi perniagaan adalah penting bagi memastikan syarikat-syarikat di sektor minyak dan gas kekal berdaya saing. Syarikat seperti Brunei Shell Petroleum (BSP) juga telah memperkenalkan inisiatif yang menawarkan pakej persaraan awal secara sukarela, yang membolehkan ada di antara pekerja yang ikut serta untuk menyumbang kepada ekonomi negara melalui aliran lain, misalnya dengan melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan. Pada tahun 2025 ini, seramai seratus tiga puluh sembilan (139) pekerja Syarikat BSP telah memohon dan seratus tiga puluh tiga (133) orang daripadanya telah diluluskan untuk mengambil pakej ini, iaitu kira-kira 3% jumlah keseluruhan tenaga kerja Syarikat BSP.
vi. Sehubungan itu, Jabatan Tenaga akan terus memberi perhatian serius terhadap kebajikan tenaga kerja tempatan yang terjejas, dan komited dalam melaksanakan langkah-langkah mitigasi yang bersesuaian. Antara inisiatif yang sedang dan terus dilaksanakan termasuklah intervensi Jabatan Tenaga ketika menerima permohonan baharu dan membaharui permit kerja tenaga asing bagi sektor tenaga melalui penelitian ke atas skill sets tenaga kerja asing dan menyarankan bagi menggantikannya dengan tenaga kerja tempatan yang berkelayakan, serta pemadanan semula pekerjaan melalui kerjasama erat bersama rakan industri dan Pusat Pekerjaan Brunei (JobCentre Brunei). Hasil daripada usaha ini, beberapa tenaga kerja tempatan telah berjaya menggantikan jawatan tenaga kerja asing, dan beberapa tenaga kerja tempatan juga telah berjaya mendapat pekerjaan di sektor bukan minyak dan gas.
vii. Namun, terdapat beberapa cabaran dalam penempatan semula pekerja-pekerja yang terkesan, termasuk kadar gaji yang lebih rendah di luar sektor minyak dan gas; kesukaran pengangkutan terutamanya bagi pekerjaan di luar Daerah Belait; perjalanan berulang-alik yang jauh dan memenatkan; serta persaingan tinggi dalam pasaran pekerjaan. Ke arah mengatasi cabaran-cabaran tersebut, pihak Jabatan Tenaga dengan kerjasama pihak syarikat perkhidmatan juga berusaha untuk mempersiapkan tenaga kerja tempatan melalui program upskilling serta reskilling bagi memastikan tenaga kerja tempatan dapat bersaing dalam pasaran pekerjaan masa kini.
Yang Berhormat,
viii. Secara asasnya, mengelakkan kesan jangka panjang terhadap kehidupan, sosioekonomi dan kekeluargaan pekerja bergantung kepada dua perkara: pertama, jenis peluang pekerjaan yang akan wujud pada masa hadapan; dan kedua, usaha serta kesediaan pekerja untuk menyesuaikan diri dengan kemahiran yang diperlukan bagi mengisi peluang tersebut. Latihan semula dan peningkatan kemahiran yang disesuaikan dengan keperluan sebenar pasaran kerja, serta perancangan bersama pihak-pihak berkepentingan seperti Pusat Pekerjaan Brunei adalah pendekatan terbaik untuk menyediakan penyelesaian jangka panjang dan mampan bagi menangani isu pelarasan tenaga kerja.
ix. Dalam jangka masa panjang, Jabatan turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan serta institusi pengajian tinggi seperti Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Institute of Brunei Technical Education (IBTE) dan Politeknik Brunei bagi memastikan kurikulum dan program pengajian selaras dengan keperluan semasa dan masa hadapan sektor tenaga. Usaha ini, insya-Allah, akan membuka laluan kepada peluang kerjaya yang lebih luas dan berdaya saing bagi anak-anak tempatan kita ini, termasuk dalam sektor hiliran, tenaga elektrik dan tenaga boleh diperbaharui, selaras dengan hasrat negara untuk memperkembangkan sektor tenaga dan menyokong agenda kepelbagaian ekonomi Negara Brunei Darussalam.
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA LAILA SETIA DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABD. RAHMAN BIN HAJI IBRAHIM meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN DAN EKONOMI II menyatakan adakah terdapat perancangan Bank Pusat (BDCB) untuk mengemaskinikan peraturan yang mengawal Institusi Kewangan, khususnya yang dapat merangsang lagi aktiviti ekonomi, meningkatkan tahap pelaburan domestik, membantu pertumbuhan PMKS tempatan, membuka lebih peluang pekerjaan serta meringankan beban pembayaran bagi para peminjam? Ini memandangkan sektor perbankan salah satu pemangkin ke arah menjana pertumbuhan ekonomi mampan.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Kaola ingin mengucapkan terima kasih atas pertanyaan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim.
Dalam melaksanakan peranannya dalam menjaga kestabilan sektor kewangan, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) giat memastikan rangka kerja pengawalseliaan yang sedia ada terus kondusif bagi pembangunan pasaran kewangan domestik, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Sejajar dengan ini, BDCB akan terus menilai dan memastikan kesesuaian rangka kerja pengawalseliaan secara keseluruhan adalah kekal relevan, untuk menjaga kemampanan institusi-institusi kewangan di negara ini serta bagi memastikan perlindungan pengguna kewangan adalah sentiasa terjaga.
Ini adalah termasuk penyelarasan ke atas rangka kerja yang sedia ada bagi memastikan ianya sejajar dengan perkembangan piawaian terkini dan amalan terbaik perbankan antarabangsa. Dalam usaha ini, BDCB akan terus melaksanakan pelbagai perundingan bersama industri dan penglibatan pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas sebelum sebarang peraturan dikuatkuasakan.
Sehubungan dengan ini, ingin dikongsikan beberapa kemajuan dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dibuat oleh pihak BDCB dan juga hasil yang menyokong pengukuhan aspek ekonomi yang lebih menyeluruh.
Pertama, dari segi merangsang lagi aktiviti ekonomi dan meningkatkan tahap pelaburan domestik:
-
Sebagai permulaan, bank-bank di Negara Brunei Darussalam kekal berada dalam kedudukan yang kukuh dan stabil untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Bank-bank di Negara ini juga mengekalkan tahap kecairan yang mencukupi untuk dijadikan aset yang produktif bagi mendukung sebarang aktiviti-aktiviti perantaraan kewangan (financial intermediation).
-
Salah satunya adalah dengan menyalurkan kecairan tersebut kepada pinjaman produktif melalui pemberian had pinjaman tunggal (Single Borrowing Limit) yang berpatutan. Berbanding dengan beberapa negara lain, peraturan Single Borrowing Limit di Brunei Darussalam adalah lebih fleksibel. Fleksibiliti ini memberikan ruang kepada BDCB untuk menilai dan memastikan projek-projek ekonomi yang berpotensi menyokong pembangunan negara dapat diberikan pembiayaan yang bersesuaian.
-
Selain daripada itu, bank-bank di negara ini juga masih berpeluang untuk membiayai projek-projek besar melalui pembiayaan bersindiket (syndicated loans) atau secara consortium. Pembiayaan tersebut dianggap lebih berhemah dari segi pengurusan kredit kerana pendedahan risiko kredit dikongsi bersama dan tidak terhad hanya kepada sebuah bank. Di samping memberikan peluang secara sama rata, ia juga mengurangkan tumpuan risiko kepada sesebuah bank.
-
BDCB juga terus melaksanakan penelitian penting terhadap peraturan sedia ada. Salah satu hasil daripada usaha ini termasuk mengurangkan nisbah keperluan Minimum Cash Balance daripada 6% kepada 5% pada Februari 2025 (efektif April 2025) bagi menyokong dan membolehkan bank-bank meningkatkan dana pinjaman produktif kepada perniagaan-perniagaan dan isi rumah. Pengemaskinian ini bertujuan untuk memberikan fleksibiliti kepada bank-bank menguruskan kecairan harian mereka dengan lebih efisien. Walau bagaimanapun, perlaksanaan kedua-dua Single Borrowing Limit dan Minimum Cash Balance ini tertakluk kepada kriteria-kriteria tertentu dipenuhi terlebih dahulu.
-
Sebagai pengawalselia sektor kewangan, BDCB juga sentiasa memastikan institusi kewangan terus menyediakan perkhidmatan kewangan yang boleh diakses dan dipercayai. BDCB juga akan terus memantau kedudukan industri kewangan agar sentiasa dalam keadaan kukuh dan berdaya tahan untuk menyokong aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan mempunyai kesan limpahan kepada ekonomi di Negara Brunei Darussalam, termasuk projek-projek kerajaan. BDCB juga akan terus memperkenalkan peraturan berhemah selaras dengan piawaian antarabangsa bagi memastikan institusi kewangan kekal selamat dan mampan.
Kedua, dari segi membantu pertumbuhan MSME tempatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, pihak BDCB telahpun mengambil beberapa langkah penting untuk memastikan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan di Negara Brunei Darussalam, khususnya dalam menyokong pertumbuhan sektor mikro, kecil dan sederhana (MSME). Antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan adalah termasuk seperti:
- Untuk memudahkan akses pembiayaan untuk MSME, yang mana beberapa inisiatif untuk mengukuhkan lagi infrastruktur kewangan yang berkenaan telah diperkenalkan, seperti Sistem Biro Kredit (2012), Pendaftaran Cagaran (2016), dan Skor Kredit (2018). Inisiatif-inisiatif tersebut telah dapat membantu mengadakan proses penilaian kredit yang lebih objektif, penggunaan cagaran harta alih, serta peningkatan keyakinan institusi kewangan terhadap profil kredit peminjam.
Selain itu, Pengeluaran Notice on Equity Based Crowdfunding (ECF) Platform Operators dan Notice on Peer-to-Peer Financing (P2P) Platform Operators (2017 & 2019) menetapkan keperluan-keperluan bagi mana-mana syarikat yang ingin mengendalikan platform-platform ECF dan P2P di Negara Brunei Darussalam. Notis-notis ini membuka peluang pembiayaan alternatif bagi syarikat start-up dan MSME untuk menjana modal melalui platform ECF dan P2P, serta meningkatkan lagi pertumbuhan dan perkembangan sektor pasaran modal.
Meskipun aktiviti pinjaman kepada perniagaan adalah didorong oleh permintaan daripada perniagaan dan tertakluk kepada risk appetite bank, BDCB akan memastikan bahawa rangka kerja pengawalseliaan atau peraturan perbankan tidak akan merumitkan pinjaman ke MSME, di mana peraturan BDCB terhadap perniagaan kebanyakannya adalah lebih longgar berbanding dengan peraturan terhadap pelanggan individu. Sebagai contoh, peraturan pinjaman terhadap pelanggan peribadi individu adalah dikawal manakala, perkiraan risiko bagi pinjaman kepada MSME diberikan kelonggaran di bawah rangka kerja Capital Adequacy, tertakluk kepada syarat-syarat.
- Dalam mendokong usaha ekonomi digital negara dan menyediakan peluang kepada MSME untuk meneroka bidang start-up dalam sektor teknologi kewangan (FinTech), inisiatif seperti BDCB FinTech Regulatory Sandbox membolehkan syarikat, khususnya start-up, menguji produk FinTech dalam persekitaran yang lebih fleksibel.
Selain itu, dengan penubuhan Mekar Fintech Innovation Centre sebagai hab kerjasama dan inovasi, PMKS juga berpeluang membangunkan penyelesaian kewangan baharu dan mengembangkan perniagaan mereka dalam ekosistem digital yang semakin berkembang.
- Bagi membantu kerajaan memahami keadaan dan cabaran sebenar perniagaan melalui data dan ulasan bulanan, pihak BDCB telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan atau Business Sentiment Index (BSI) setiap bulan sejak Disember 2021 yang mengukur tahap sentimen dan keyakinan perniagaan di Negara Brunei Darussalam. Ia juga boleh membantu pihak kerajaan dalam merangka dasar yang lebih berkesan dan sokongan yang lebih tepat disalurkan kepada sektor-sektor yang memerlukan.
Ketiga, dari segi meringankan beban pembayaran bagi para peminjam, BDCB telah melaksanakan Total Debt Service Ratio yang berperanan penting dalam memastikan tahap pinjaman kekal berhemat. Dikuatkuasakan pada 8 Jun 2015, pengenalan Total Debt Service Ratio ini antaranya bertujuan untuk mengawal tahap pendedahan institusi-institusi kewangan kepada risiko kredit dalam penyediaan kredit kepada sektor isi rumah di samping melindungi para peminjam daripada terperangkap dengan hutang yang tidak terkawal sehingga tidak mempunyai baki gaji yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian mereka. Di samping itu, peraturan Total Debt Service Ratio juga bertujuan untuk memastikan bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan dapat menyediakan perkhidmatan pinjaman kredit yang berkualiti, berdaya tahan dan kompetitif.
Sejak Total Debt Service Ratio dikuatkuasakan, BDCB telah membuat beberapa pindaan kepada peraturan ini, selaras dengan persekitaran ekonomi dan pasaran semasa antaranya seperti berikut:
-
BDCB telah memperluaskan jenis pendapatan bulanan dalam pengiraan had Total Debt Service Ratio peminjam. Dalam hubungan ini, pendapatan pencen bulanan, pendapatan sewa rumah dan pendapatan dari perniagaan sole proprietors bolehlah dipertimbangkan oleh bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan dalam pengiraan pendapatan bulanan bersih tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
-
Sejak 9 haribulan November 2017, BDCB juga memberikan kelonggaran kepada dasar Total Debt Service Ratio di mana bank-bank boleh melebihi had maksima 60% bagi beberapa kemudahan kredit. Ini termasuk kemudahan pembiayaan mortgage equity, namun tertakluk kepada beberapa syarat (seperti hartanah yang dicagarkan hendaklah menjana pendapatan dan bukan satu-satunya hartanah peminjam). Pindaan ini juga diberikan kepada kemudahan kredit yang dijamin sepenuhnya seperti yang dicagarkan dengan wang tunai dan simpanan tetap.
Pindaan-pindaan ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam-peminjam yang telah bersara atau pencen atau orang-orang yang memperolehi pendapatan yang tidak tetap (non-fixed income). Pada masa yang sama, BDCB akan terus memantau peraturan-peraturan yang dikeluarkan untuk memastikan keberkesanannya. Ini adalah juga untuk membantu meningkatkan lebih banyak aktiviti ekonomi.
Pada masa yang sama, Bank Usahawan Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan pada tahun 2017 juga melengkapkan komposisi institusi perbankan dan bertindak sebagai saluran strategik untuk merapatkan jurang dalam membekalkan produk dan perkhidmatan kewangan yang diperlukan oleh perusahaan MSME di negara ini.
Dalam membantu pertumbuhan MSME tempatan, Bank Usahawan giat dalam memberikan kemudahan dari segi pembiayaan kepada perusahaan PMKS di negara ini melalui pembiayaan aset dan pembiayaan modal kerja (working capital), yang telah diberikan kepada pelbagai sektor MSME, kebanyakannya kepada sektor perkhidmatan (services), pembuatan (manufacturing), dan perdagangan (traders).
Bagi membantu meringankan beban pembayaran bagi para peminjam di kalangan MSME, perkara ini sudahpun dijelaskan secara perinci oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Usahawan Berhad semasa sesi Pertanyaan Lisan PL241 pada 7hb. Ogos 2025.
Ke arah usaha berterusan untuk menyumbang kepada perkembangan ekonomi selaras dengan Wawasan Brunei 2035, Bank Usahawan akan terus komited untuk menyokong MSME, khususnya perniagaan baharu dan yang dikendalikan oleh belia tempatan, dalam mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi dan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan, khususnya jua dari segi kemudahan pembiayaan, akan lebih inklusif dan mudah diakses.
Sekian. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.