Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL188, PL189 & PL190

SOALAN

Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam

YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD. SALAM meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN DAN EKONOMI II menyatakan bagaimanakah pendirian Kementerian mengenai integrasi platform Government Vendor Portal (GVP) dengan Bruneian Made untuk mengoptimumkan keberkesanannya dan cadangan penubuhan satu dashboard pemantauan pembelian agensi, untuk memastikan vendor dan usahawan tempatan diberikan keutamaan dalam pembelian yang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan sebagai langkah penting memperkukuh ekonomi nasional yang mampan dan berdaya saing?

YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD. SALAM meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN DAN EKONOMI II menyatakan bilakah Kementerian akan menetapkan syarat bagi tender-tender berkompleksiti rendah dan sederhana, seperti perkhidmatan pengangkutan sekolah dan pembekalan seragam kerja, untuk dianugerahkan hanya kepada syarikat milik sah yang dioperasikan sepenuhnya oleh warganegara Brunei? Dicadangkan juga penubuhan satu Majlis Tetap untuk memantau pemilikan dan pengoperasian sebenar, pematuhan syarat, dan melaksanakan penguatkuasaan dan tindakan terhadap pelanggaran?

YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD. SALAM meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN DAN EKONOMI II menyatakan apakah langkah Kementerian memastikan penggunaan produk dan perkhidmatan MSMEs sebagai dasar tetap dalam acara-acara rasmi kerajaan dan swasta? Ini meliputi aspek seperti katering, cenderahati, dan pakaian persembahan. Pelaksanaannya juga disarankan kepada Kedutaan dan Perwakilan Brunei di luar negara, bagi meningkatkan pertumbuhan, memperkukuh aliran tunai, peluang pekerjaan dan penjenamaan produk tempatan di pasaran global.

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II

Yang Berhormat Yang Di-Pertua,

Soalan-soalan PL188, PL189 dan PL190 adalah berkaitan rapat.

Kaola ingin mengucapkan terima kasih atas pertanyaan-pertanyaan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua, izinkan kaola terlebih dahulu untuk mengongsikan bahawa Dasar Perolehan Kerajaan adalah berasaskan beberapa faktor. Ini termasuklah memastikan perolehan yang dilaksanakan dengan harga yang berpatutan, tiada pembaziran dan mengikut keperluan Kementerian dan Jabatan masing-masing; Accountable; Telus; Adil; serta dijalankan dengan secara Persaingan Terbuka, dan dengan penuh bertanggungjawab.

Pada dasarnya semua perbelanjaan Kerajaan yang melebihi BND50,000.00 hendaklah dilaksanakan secara tawaran terbuka, iaitu mana-mana syarikat yang memenuhi syarat untuk mengikuti tawaran adalah dibolehkan untuk menyertai tawaran-tawaran berkenaan. Ini adalah juga memastikan adanya proses yang adil dan telus dijalankan. Namun begitu, Kementerian dan Jabatan-Jabatan adalah dibolehkan untuk menetapkan kriteria-kriteria tertentu, contohnya kriteria yang dapat memberi sokongan kepada usahawan-usahawan tempatan. Ini termasuk seperti dengan menetapkan syarat bagi tawaran dibukakan kepada syarikat Warganegara Brunei sahaja atau kepada syarikat-syarikat yang mempunyai 80% pekerja tempatan.

Pertama bagi pertanyaan PL189,

berhubung tender-tender berkompleksiti rendah dan sederhana untuk dianugerahkan hanya kepada syarikat milik sah yang dioperasikan sepenuhnya oleh warganegara Brunei. Sebelum mempertimbangkan dasar seperti ini, perlu diteliti jika syarikat-syarikat tempatan mempunyai kepakaran dan kapasiti yang diperlukan untuk melaksanakan projek tersebut. Jika sebaliknya, ini akan menjejaskan pelaksanaan projek atau perkhidmatan yang diperlukan. Sebagai contoh dalam pembekalan seragam kerja, kemungkinan penglibatan usahawan warganegara Brunei adalah masih tidak meluas.

Namun demikian, perkhidmatan pengangkutan sekolah pula, dalam persyaratan tawaran pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, telah dimasukkan syarat tawaran yang dibukakan kepada syarikat-syarikat yang berdaftar dan terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Seterusnya bagi pertanyaan PL188,

mengenai cadangan yang telah dikemukakan mengenai pengintegrasian antara Government Vendor Portal (GVP) di bawah Jabatan Perbendaharaan dengan platform Bruneian Made di bawah Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengambil baik cadangan ini iaitu bagi memudahkan pencarian pembekal tempatan dan juga penyelarasan data-data bagi memantau perkembangan usahawan tempatan.

Untuk makluman Yang Berhormat Ahli-Ahli Yang Berhormat, Government Vendor Portal merupakan modul bagi pembekal untuk mendaftar dan menghadapkan tuntutan-tuntutan pembayaran (invois) bagi apa juga perkhidmatan atau perbekalan yang telah dilaksanakan untuk proses pembayaran. Pada masa ini, bagi memastikan adanya proses yang adil dan telus, semua tawaran dan pembelian yang diiklankan adalah dibuat dengan secara terbuka. Namun begitu, Kementerian dan Jabatan-Jabatan adalah dibolehkan untuk menetapkan kriteria-kriteria tertentu, contohnya kriteria yang dapat memberi sokongan kepada usahawan-usahawan tempatan. Ini termasuk seperti dengan menetapkan syarat bagi tawaran dibukakan kepada syarikat bumiputera sahaja atau kepada syarikat-syarikat yang mempunyai 80% pekerja tempatan.

Manakala, Bruneian Made merupakan platform di bawah BEDB untuk mempromosikan produk-produk syarikat tempatan dan dipasarkan melalui Bruneian Made Hub, yang berlokasi di Rizqun International Hotel dan Bruneian Made Shelf yang terdapat di beberapa pasaraya-pasaraya besar di negara ini.

Ini adalah berbeza dengan GVP, yang tertumpu kepada pembayaran daripada pihak Kerajaan kepada pihak perniagaan (G2B).

Seterusnya, Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga menyambut baik cadangan penubuhan dashboard untuk memantau pembelian agensi. Dengan adanya pemantauan yang rapi ini, pihak Kerajaan akan dapat mempertingkatkan lagi ketelusan dan menyediakan laporan analisa bagi menyokong penambahbaikan dasar perolehan Kerajaan. Data-data yang ada juga akan dapat dijadikan sebagai asas untuk membuktikan kebolehpasaran usahawan tempatan dan mengetengahkan mereka untuk projek berskala besar dan bernilai tinggi.

Berhubung pula dengan pemantauan pemilikan dan pengoperasian syarikat di negara ini, sukacita juga kaola mengongsikan bahawa Kementerian Kewangan dan Ekonomi, melalui Bahagian Pendaftaran Syarikat-Syarikat dan Nama-Nama Perniagaan (ROCBN) juga telah mengongsikan akses serta membekalkan maklumat yang berkaitan kepada pihak-pihak berkenaan termasuk pihak Lembaga Tawaran Negara dan Lembaga Tawaran Kecil bagi memudahcara proses penilaian dan pengesahan syarikat-syarikat yang mengikuti tawaran serta perolehan Kerajaan. Di samping itu, di bawah platform One Common Portal, mana-mana pihak juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat pemilik syarikat dan nama perniagaan yang berdaftar.

Akhir sekali bagi pertanyaan PL190,

Berkenaan usaha untuk meningkatkan lagi penyertaan perusahaan tempatan, khususnya juga MSME, dalam aktiviti-aktiviti perekonomian negara, beberapa inisiatif termasuk melalui penyediaan platform digital sudah ada disediakan:

  • DARe Links, merupakan portal B2B (business-to-business) yang telah dibangunkan oleh pihak BEDB. Ianya menawarkan peluang bagi pembekalan barangan dan perkhidmatan MSME tempatan, seperti bagi penyediaan katering, cenderahati, logistik, perkhidmatan pembersihan, penyelenggaraan dan sebagainya, kepada agensi-agensi Kerajaan dan syarikat-syarikat komersial, termasuk syarikat Pelaburan Langsung Asing (FDI), syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLCs) dan syarikat multi-national corporations (MNCs).

  • Sepertimana yang Kaola kongsikan tadi, BEDB juga mempromosikan dan mempamerkan produk dan perkhidmatan tempatan melalui platform Bruneian Made Hub. Sejak platform tersebut dilancarkan pada tahun 2023, pihak BEDB telah mendapati adanya peningkatan ketara dalam permintaan bagi produk yang dijual untuk dijadikan cenderahati korporat bagi pelbagai agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLCs), serta kedutaan dan perwakilan luar negara.

  • Darussalam Assets (DA) juga telah melancarkan platform procure.bn yang menempatkan sebuah direktori pembekal yang boleh diakses secara umum dan mempamerkan syarikat-syarikat pembekal tempatan untuk mempromosikan perusahaan setiap syarikat dan bagi menggalakkan peluang perniagaan secara business-to-business (B2B) dan business-to-consumer (B2C). Pada bulan November 2024, Fasa 1 telahpun dilancarkan dengan onboarding bagi lebih daripada 700 syarikat pembekal dan 12 syarikat di bawah Kumpulan Syarikat DA.

Manakala, berhubung pula usaha untuk meningkatkan penggunaan produk dan perkhidmatan MSME di luar negara BEDB juga bekerjasama secara aktif dengan misi-misi diplomatik Negara Brunei Darussalam di luar negara. Contohnya, pada 25 Februari yang lalu, pihak BEDB telahpun bekerjasama dengan kedutaan NBD di Jepun dan ASEAN-Japan Centre (AJC) untuk menganjurkan bengkel pembangunan kapasiti mengenai Reka Bentuk Pembungkusan dan Pelabelan di Brunei dengan penyertaan lebih 40 MSME tempatan yang berminat untuk menembusi pasaran Jepun. Selain itu, pada Mac 2025, BEDB juga telah memudahcara penyertaan sebanyak 5 MSME tempatan ke Kyoto International Gift Show (KIGS).

Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.