Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT078
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOF meminta MENTERI HAL EHWAL UGAMA menyatakan sejauh manakah Jabatan Urusan Zakat, Waqaf & Baitulmal (JUZWAB) diperkasa untuk mengembangkan zakat, waqaf dan baitulmal secara strategik dan berimpak tinggi? Apakah langkah diambil untuk mengadaptasi amalan terbaik dari Malaysia dan Singapura dalam menjana pendapatan waqaf dan memperkasakan sosioekonomi umat Islam, selaras dengan Maqasid Syariah?
JAWAPAN
Bagi mengadaptasi amalan-amalan terbaik daripada Malaysia dan Singapura dalam hal ehwal zakat, waqaf dan baitulmal, JUZWAB sejak penubuhannya telah terlebih dahulu meningkatkan kompetensi kemahiran sumber tenaga manusia agar relevan dengan teknologi terkini dan keperluan semasa. Beberapa kerjasama latihan dan bengkel pembangunan modal insan bersama telah dilaksanakan bersama dengan rakan strategik dari dalam dan luar negara antaranya dengan Fakulti Syariah Dan Undang-Undang dengan kerjasama Pusat Kepimpinan Dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Jabatan Mufti Kerajaan, Brunei, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang.
Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal mensasarkan 11 hala tuju utama dalam memperkasa untuk mengembangkan lagi pengurusan zakat, waqaf dan baitulmal secara strategik seperti berikut:
PENGURUSAN ZAKAT
I. Memperkemaskan dan memantapkan tadbir urus pengurusan zakat.
II. Menyediakan perancangan dan strategi transformasi digital pengurusan zakat.
III. Mengukuhkan kolaborasi dalam pemerkasaan zakat di peringkat kebangsaan.
IV. Meningkatkan pemberigaan dengan mengadakan promosi dan tarbiyyah zakat ke pelbagai pihak.
PENGURUSAN WAQAF
I. Mengubah pengurusan wakaf menjadi lebih sistematik, profesional, dan berorientasikan pembangunan.
II. Merancang dan melaksanakan projek pembangunan seperti perumahan, pusat komersial, atau institusi pendidikan pada tanah wakaf yang masih belum dimanfaatkan.
III. Mempelbagaikan model wakaf seperti wakaf tunai, wakaf sementara, atau wakaf korporat.
IV. Meningkatkan lagi kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, swasta, dan badan kewangan untuk melaksanakan projek pembangunan aset wakaf dan memperluas rangkaian wakaf di Brunei.
PENGURUSAN PENGUPAYAAN ASNAF
I. Meneroka potensi kemahiran pelbagai industri seperti industri kreatif, hiliran minyak dan gas, logistik dan pengangkutan dan sebagainya.
II. Membangunkan pusat-pusat kemahiran khusus secara model hybrid iaitu wakaf dan zakat.
III. Meningkatkan kerjasama dan penglibatan NGO dan komuniti dalam menjayakan pembangunan pusat kemahiran asnaf.
Sebagai usaha dalam mengadaptasi amalan terbaik dari Malaysia dan Singapura dalam menjana serta memperkasakan sosioekonomi umat Islam khasnya dalam kalangan asnaf fakir miskin, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala jua, buat pertama kalinya sebuah Pusat Kemahiran Asnaf ditubuhkan yang akan menjadi pangkalan untuk asnaf zakat menjalani latihan kemahiran dalam bidang keusahawanan dan bimbingan perniagaan kulinari dan konfeksionari, sekaligus menyediakan ruang untuk para peserta program serta asnaf fakir miskin memasarkan hasil produk mereka melalui Kafe Pengupayaan Asnaf dan Kedai Kiub Pengupayaan Asnaf.
Selari dengan penubuhan Pusat Kemahiran itu, satu program khas yang dinamakan Program Kemahiran Keusahawanan Asnaf telah diperkenalkan yang telah disusun dengan format yang lebih komprehensif. Program ini terlaksana dengan bimbingan nasihat, sokongan dan kolaborasi Bank Islam Brunei Darussalam [BIBD] selaku ejen yang mempunyai kepakaran dalam bidang perniagaan, lebih-lebih lagi mempunyai pengalaman jaringan kerjasama yang kukuh dengan beberapa agensi Kerajaan. Program ini dihasratkan akan menjadi titik awal dan platform dalam melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang terlatih dan mahir berniaga. Inisiatif ini bukan setakat mensasarkan program ke arah kestabilan perekonomian peserta bahkan sebagai jaringan ke arah menjamin keselamatan sosial sekaligus mendokong Matlamat Kedua Wawasan Negara 2035, iaitu Kualiti Kehidupan Yang Tinggi.
Secara ringkasnya, Modul latihan Program Kemahiran Asnaf ini dilaksanakan menerusi tiga (3) fasa latihan dan pembelajaran, iaitu Fasa Latihan Teori dan Praktikal [Work-Based Training]; Fasa Praktikal dan Mentorship pemasaran dan urusniaga di Pusat Kemahiran Asnaf sebagai marketplace dan Fasa Terakhir: Evaluasi dan Pemantauan. Di akhir program ini, pelatih-pelatih yang dinilai berkelayakan dan berpotensi menjadi usahawan syarat, akan berpeluang untuk memohon dan dipertimbangkan Skim Agihan Bantuan Modul Berusaha menggunakan peruntukan wang zakat, tertakluk kepada terma serta kelulusan Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat.
Dengan adanya Pusat Kemahiran Asnaf ini setentunya akan lebih meluaskan lagi kebolehpasaran asnaf fakir miskin yang akan dibentuk dengan ilmu dan latihan kemahiran mereka.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.