Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT045

SOALAN

Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed

YANG BERHORMAT AWANG ZAINOL BIN HAJI MOHAMED meminta MENTERI KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN menyatakan berapakah jumlah kes pengabaian, keganasan atau kesunyian yang dilaporkan melibatkan warga emas sejak tahun 2020? Apakah pelan sokongan jangka panjang kerajaan bagi memperkukuh penjagaan komuniti serta pendaftaran penjaga utama bagi golongan ini?

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan

  1. Terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed atas pertanyaan mengenai jumlah kes pengabaian, keganasan atau kesunyian warga emas dan pelan sokongan jangka panjang kerajaan bagi memperkukuh penjagaan komuniti serta pendaftaran penjaga utama.
  2. Warga emas yang berdepan dengan pelbagai bentuk kerentanan telah menerima intervensi melalui Projek Memeduli Warga Emas (PMWE) yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM). Kes-kes yang ditangani merangkumi pengabaian oleh ahli keluarga, konflik kekeluargaan, hidup sebatang kara, kesunyian, kesempitan kewangan, serta situasi di mana warga emas ditinggalkan atau terlantar di hospital tanpa penjaga. Data yang direkodkan menunjukkan bahawa isu kebajikan warga emas kekal sebagai keutamaan dan memerlukan perhatian berterusan. Pada tahun 2020, sebanyak 26 kes telah dilaporkan, diikuti peningkatan ketara kepada 84 kes pada tahun 2021. Jumlah ini menurun kepada 32 kes pada tahun 2022, namun kembali meningkat kepada 44 kes pada tahun 2023 dan 57 kes pada tahun 2024. Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025 sahaja, seramai 56 orang warga emas telah menerima intervensi di bawah PMWE. Pola statistik ini mencerminkan keperluan berterusan untuk intervensi, meskipun berlaku turun naik dari tahun ke tahun, sekali gus menekankan kepentingan sistem sokongan yang konsisten dan responsif terhadap keperluan warga emas.
  3. Selaras dengan dasar Family First yang menjadi prinsip utama JAPEM dalam penjagaan sosial, setiap kes yang diterima akan diusahakan penyelesaian melalui penglibatan aktif ahli keluarga terdekat terlebih dahulu. Bagi tujuan ini, konferens keluarga akan dianjurkan bersama ahli keluarga beserta agensi berkepentingan seperti Kementerian Kesihatan, Ketua Kampung dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) untuk mencapai keputusan kolektif yang terbaik dan berdaya tahan dalam menentukan bentuk penjagaan yang sesuai bagi warga emas berkenaan.
  4. Dalam masa yang sama, JAPEM turut memperkukuh pendekatan berasaskan komuniti dengan menjalin kerjasama erat bersama Ketua Kampung, MPK serta kumpulan sukarelawan belia daripada institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO). Melalui inisiatif ini, pelbagai aktiviti komuniti telah dilaksanakan termasuk kempen kebersihan rumah warga emas, lawatan sokongan psikososial, dan bantuan fizikal bagi keperluan harian mereka.
  5. Bagi warga emas yang ada masalah kenderaan ataupun tiada ahli keluarga untuk membawa warga emas tersebut, perkhidmatan penghantaran dan pengambilan perjanjian di hospital atau klinik kesihatan kerajaan turut disediakan dengan kerjasama Brunei Red Crescent (BRC). Ini bagi memastikan warga emas tersebut tidak terputus daripada mendapatkan rawatan kesihatan asas secara berkala. Selain itu, perkhidmatan penghantaran ubat secara bulanan ke kediaman mereka juga dilaksanakan bagi mengelakkan keperluan mereka menunggu lama di farmasi hospital dan klinik kesihatan, di samping mengurangkan risiko kepada kesihatan mereka.
  6. JAPEM juga menyediakan bantuan secara in-kind kepada warga emas yang terlantar. Bantuan ini merangkumi keperluan bukan asasi seperti lampin pakai buang dan susu khas yang diagihkan melalui permohonan Sistem Kebajikan Negara (SKN). Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh warga emas dan ahli keluarga mereka, tetapi juga membolehkan JAPEM melakukan pemantauan berterusan melalui lawatan rumah semasa penghantaran bantuan. Pelaksanaan bantuan ini dilaksanakan bersama sokongan Kumpulan Sukarelawan Komuniti Kebajikan (KSKK) dan para belia. Pada tahun 2025, setakat bulan Julai, seramai 90 orang telah menerima bantuan-bantuan in-kind tersebut.
  7. Selain daripada sokongan bersifat bantuan langsung dan intervensi kes, usaha jangka panjang Kerajaan dalam membina sistem sokongan komuniti yang mampan bagi warga emas turut direalisasikan melalui penubuhan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) di setiap daerah. PKWE berperanan sebagai pusat aktiviti yang menyediakan platform inklusif kepada warga emas untuk menyertai pelbagai aktiviti bermakna. Program yang dianjurkan merangkumi aktiviti keagamaan, senamrobik, kraf tangan, keusahawanan kecil-kecilan, serta latihan kemahiran teknologi maklumat agar warga emas tidak ketinggalan dalam arus digital negara. PKWE juga berfungsi sebagai tempat untuk mengurangkan kesunyian dan menggalakkan interaksi sosial dalam kalangan warga emas, khususnya mereka yang mengalami sindrom empty nest apabila tinggal bersendirian di waktu siang hari.
  8. Selain berfungsi sebagai pusat aktiviti harian, PKWE juga berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat sokongan komuniti atau community support hub bagi warga emas yang menghadapi kesukaran seperti hidup sebatang kara, masalah keluarga atau ketiadaan sokongan sosial. Melalui kerjasama dengan ketua kampung, sukarelawan dan agensi berkaitan, PKWE dapat menyelaras lawatan ke rumah warga emas, menyampaikan bantuan keperluan asas, serta memberi sokongan psikososial dan moral secara berterusan. Pendekatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesejahteraan warga emas, tetapi juga menggalakkan mereka untuk kembali menyumbang kepada komuniti dalam kapasiti yang bersesuaian.
  9. Antara perkhidmatan perlindungan sosial di bawah Akta Pencen Umur Tua dan Kurang Upaya Penggal 18 ialah pemberian Pencen Umur Tua (PUT) sebanyak $250 sebulan. Selain itu, warga emas yang disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) turut layak memohon Elaun Kurang Upaya (EKU) sebanyak $250. Antara keadaan yang melayakkan termasuk individu yang mengalami kelemahan kekal akibat stroke, lumpuh atau tidak dapat bergerak (bedridden), bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda (wheelchair-bound), amputasi, masalah penglihatan dan pendengaran, masalah neurodegeneratif seperti demensia atau Parkinson, atau lain-lain ketidakupayaan yang disahkan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan. Setakat bulan Jun 2025, seramai 1,067 orang warga emas menerima double benefit, iaitu mereka yang menerima kedua-dua PUT dan EKU secara serentak.
  10. Strategi jangka panjang Kerajaan dalam memperkukuh penjagaan komuniti bagi warga emas merangkumi pendekatan menyeluruh yang berasaskan kepada nilai kekeluargaan, solidariti komuniti, kerjasama pelbagai agensi, serta pengiktirafan terhadap penjaga utama. Inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan dalam memastikan tiada warga emas yang terpinggir atau terabai dalam masyarakat, dan setiap individu yang meniti usia tua dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah, selamat, aktif dan sejahtera.
  11. Dalam konteks sokongan kepada penjaga utama, sejak 2021, Akta Pencen Umur Tua dan Kurang Upaya Penggal 18 memperuntukkan Elaun Penyedia Penjagaan (EPP) kepada individu yang menjaga warga emas yang juga merupakan penerima Elaun Kurang Upaya (EKU). Penjaga yang sah dan telah didaftarkan untuk menjalankan tugas penjagaan sepenuh masa layak menerima elaun sebanyak $250 sebulan bagi setiap penerima EKU, dengan had maksimum dua penjagaan (berjumlah $500 sebulan). Inisiatif ini bukan sahaja mengiktiraf peranan penting penjaga dalam menyumbang kepada sistem penjagaan tidak formal, tetapi juga menggalakkan lebih ramai individu dalam komuniti tampil memainkan peranan sebagai penjaga utama secara tersusun dan bertanggungjawab. Setakat Jun 2025, seramai 428 penerima EPP (15.6%) bagi penjagaan warga emas sahaja dari 2,735 jumlah keseluruhan penerima EPP yang berdaftar.
  12. Secara keseluruhannya, strategi jangka panjang Kerajaan dalam memperkukuh penjagaan komuniti bagi warga emas merangkumi pendekatan menyeluruh yang berasaskan kepada nilai kekeluargaan, solidariti komuniti, kerjasama pelbagai agensi, serta pengiktirafan terhadap penjaga utama. Inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan dalam memastikan tiada warga emas yang terpinggir atau terabai dalam masyarakat, dan setiap individu yang meniti usia tua dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah, selamat, aktif dan sejahtera.
  13. Sekian sahaja yang dapat diulaskan. Terima kasih.
Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.