Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PT067
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH ROSMAWATTY BINTI HAJI ABDUL MUMIN meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan bagaimanakah Kementerian merancang memperkukuhkan perlindungan undang-undang terhadap keganasan rumah tangga melalui akta yang komprehensif dan inklusif (termasuk lelaki), serta menyediakan sokongan efektif kepada mangsa?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Di Jabatan Mentiri
Yang Berhormat Yang Di-Pertua,
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
I. Kaola terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai persoalan isu memperkukuhkan perlindungan undang-undang terhadap keganasan rumah tangga melalui akta yang komprehensif dan inklusif (termasuk lelaki), serta menyediakan sokongan efektif kepada mangsa.
II. Dari aspek perundangan, meskipun ianya tidak di bawah mana-mana satu undang-undang, ada terdapat beberapa undang-undang yang menangani isu tersebut secara komprehensif.
III. Dalam menjawab soalan Yang Berhormat, izinkan Kaola menjawabnya dari dua aspek, iaitu pertama sekali dari aspek perundangan dan kedua dari aspek dasar.
ASPEK PERUNDANGAN
IV. Antara undang-undang yang dimaksudkan adalah:
-
Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah (2013)
Kedua-dua akta tersebut telah memperuntukkan bahawa adalah sesuatu kesalahan jika mana-mana individu menggunakan kekerasan ke atas individu yang lain. Meskipun ini adalah kesalahan am, namun ianya juga merangkumi keganasan rumah tangga dengan tidak mengambil kira jantina pelaku atau mangsa.
-
Akta Undang-Undang Keluarga Islam dan Akta Perempuan Bersuami
Perintah Perlindungan (Protection Order) boleh dipohonkan dengan tidak mengambil kira jantina, iaitu berdasarkan Dharar Sharie seperti yang diperuntukkan di bawah Bab 60B Akta Undang-Undang Keluarga Islam bagi yang beragama Islam, manakala bagi mereka yang tidak beragama Islam ianya diperuntukkan di bawah Bab 18B, Akta Perempuan Bersuami (Penggal 190).
Tambahan pada itu, perlindungan dari keganasan rumah tangga tersebut juga dapat dilaratkan kepada Ahli Keluarga termasuk anak, ibu, bapa, ibu mertua, bapa mertua, suami/isteri, bekas suami/isteri, datuk/nenek dan mana-mana orang yang dianggap Ahli Keluarga dari pandangan pihak Mahkamah.
Tambahan pada itu terdapat juga kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang tersebut yang memberikan kuasa bagi pihak Pasukan Polis Diraja Brunei dan mana-mana pegawai penguatkuasa untuk mengambil tindakan segera seperti menahan mana-mana individu jika dipercayai adanya keganasan rumah tangga termasuk juga kepada mana-mana ahli keluarga.
V. Kedua-dua undang-undang berkenaan juga memperuntukkan beberapa kuasa atau hak yang dinilai menyumbang kepada perlindungan dari keganasan rumah tangga secara komprehensif iaitu dari aspek perundangan. Ini termasuk peruntukan bagi memperolehi expedited order jika ianya diperlukan, hak bagi mangsa untuk menuntut pampasan (compensation), memperluaskan tanggungjawab pegawai penguatkuasa¹ dan memperuntukkan Place of Protection.
VI. Secara ringkasnya, adalah dinilai bahawanya undang-undang yang sedia ada memperuntukkan hak dan kuasa yang komprehensif dengan tidak mengambilkira jantina.
¹ (a) assisting a victim to file a complaint regarding the Dharar Syar’ie/Domestic Abuse; (b) providing or arranging transportation for the victim to an alternative residence or to a place of protection if such transportation is required; (c) providing or arranging transportation for the victim to the nearest hospital or medical facility for treatment of injuries if such treatment is needed; (d) explaining to the victim his rights to protection against Dharar Syar’ie/Domestic Abuse; (e) accompanying the victim to his residence or previous residence to collect his personal belongings; (f) such other duties as are necessary or expedient for giving effect to and carrying out the provisions of this Part.
ASPEK DASAR
VII. Seterusnya dari aspek dasar, beberapa langkah dan inisiatif telah dilaksanakan bagi menyumbang kepada memperkukuhkan perlindungan undang-undang terhadap keganasan rumah tangga. Antara langkah serta inisiatif utama yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:
-
Keganasan rumah tangga merupakan isu sosial yang semakin diberi perhatian oleh kerajaan melalui pelbagai pendekatan holistik dan bersepadu. Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) memainkan peranan utama sebagai platform penyelarasan dasar dan tindakan antara agensi-agensi berkaitan dalam menangani isu-isu sosial utama di negara ini, termasuk keganasan rumah tangga.
-
Dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan penyiasatan, Pasukan Polis Diraja Brunei, melalui Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak (USJPWK), serta agensi berkaitan seperti Jabatan Pembangunan Masyarakat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Kementerian Kesihatan, sentiasa melaksanakan tanggungjawab mereka secara adil tanpa mengira jantina mangsa. Setiap laporan keganasan rumah tangga disiasat secara profesional dan mengikut prosedur yang sedia ada.
-
Di bawah bidang keutamaan MKIS, beberapa jawatankuasa kerja telah ditubuhkan menumpukan kepada aspek perlindungan mangsa penderaan, peningkatan kesedaran awam, serta penyelarasan antara pihak penguatkuasa, institusi kebajikan dan kesihatan. MKIS juga telah mengenal pasti bahawa keganasan rumah tangga bukan hanya memberi kesan kepada semua ahli rumah tangga. Dalam hal ini, MKIS menyokong pendekatan perlindungan inklusif dan tidak bersifat diskriminasi terhadap semua mangsa.
-
Selain itu, Brunei Darussalam melalui wakilnya dalam ASEAN Commission on the Promotion and Protection of the Rights of Women and Children (ACWC) turut menyokong usaha serantau dalam membanteras keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak serta mempromosi kesaksamaan jantina (gender equality). ACWC telah mengemukakan panduan dan pelan tindakan serantau yang juga menyentuh tentang keperluan untuk inklusiviti dalam perlindungan mangsa keganasan rumah tangga, serta keperluan menyedia dan menambah baik mekanisme sokongan dari segi undang-undang dan perkhidmatan.
-
Antara inisiatif yang telah atau sedang diusahakan melalui MKIS dan ACWC termasuklah:
- Penyediaan garis panduan dan protokol intervensi yang lebih inklusif untuk keganasan rumah tangga;
- Kempen kesedaran awam untuk menggalakkan semua mangsa tampil membuat laporan tanpa rasa takut atau malu;
- Pemerkasaan latihan profesional barisan hadapan seperti Polis, pekerja sosial dan petugas kesihatan mengenai sensitiviti jantina dalam menangani keganasan rumah tangga; dan
- Kajian semula dasar dan perundangan sedia ada agar lebih responsif terhadap pelbagai bentuk keganasan, termasuk penderaan emosi dan psikologi.
VIII. Secara kesimpulannya dengan adanya undang-undang yang komprehensif dan inisiatif yang berterusan, ianya menunjukkan bahawa pihak Kerajaan mengambil berat ke atas isu keganasan rumah tangga. Dalam pada itu cadangan Yang Berhormat bagi memperkukuhkan lagi peruntukan undang-undang berhubung dengan keganasan rumah tangga adalah diambil baik dan Kementerian ini akan terus meneliti keperluan pindaan serta penambahbaikan kepada undang-undang dengan mengambil kira juga keperluan serta perkembangan semasa pada memastikan hak kesemua individu termasuk yang vulnerable adalah sentiasa terjaga bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.
Sekian saja yang dapat Kaola sampaikan. Terima kasih.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.