Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT057
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI SUYOI BIN HAJI OSMAN meminta MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN menyatakan apakah perkembangan selanjutnya mengenai pertanian di negara ini susulan daripada perkara-perkara yang telah dibangkitkan pada persidangan pertama MMN pada tahun ini seperti membuka kawasan baru bagi penanaman padi, membaik pulih sistem saliran air, menyediakan infrastruktur pertanian, program pembangunan kapasiti bagi peladang, pembiayaan dari segi kewangan, dan sebagainya.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Bagi pembukaan kawasan baru bagi penanaman padi, Alhamdulillah, Pembangunan Kawasan Fasa 1 dan Fasa 2A Kawasan Kemajuan Pertanian Kandol telah siap dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2023 dengan jumlah kawasan plantable seluas 174 hektar. Dalam masa yang sama pembangunan tapak dilaksanakan, kawasan tersebut juga diusahakan secara berperingkat oleh Syarikat PaddyCo Sdn. Bhd. dan kemudiannya ke Syarikat Wasan Milling Company Sdn. Bhd., iaitu Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan.
Pada masa ini, penanaman padi di Kawasan Kemajuan Pertanian Kandol telah dilaksanakan selama 10 musim penanaman dan secara kumulatif, jumlah pengeluaran padi yang dihasilkan sejak musim pertama hingga musim kesepuluh adalah sebanyak 365.5 tan metrik.
Sehubungan dengan usaha bagi meningkatkan lagi produktiviti pengeluaran padi di kawasan yang sedia ada, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah memfokuskan kepada penggunaan teknologi dan varieti padi berhasil tinggi. Di samping itu, pihak Kementerian juga sedang berusaha meningkatkan kesuburan tanah melalui pendekatan Regenerative Agriculture iaitu dengan penggunaan baja organik.
Pada masa ini, pihak Kementerian dengan kerjasama pihak Syarikat Wasan Milling Company Sdn. Bhd. sedang melaksanakan kajian keberkesanan penggunaan baja organik keluaran tempatan dalam meningkatkan kesuburan tanah dan meningkatkan produktiviti padi. Kajian ini telah memasuki musim kedua dan hasil kajian awal menunjukkan hasil yang sangat positif. InsyaAllah kajian ini akan diteruskan bagi sekurang-kurangnya tiga musim bagi mendapatkan hasil kajian yang lebih reliable.
Dari segi penyediaan infrastruktur asas di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) telah dikembangmajukan daripada 28% pada tahun 2023 kepada 40% pada tahun 2024, merangkumi jalan utama, jalan ladang, bekalan air domestik, bekalan elektrik, serta sistem pengairan dan saliran.
| 2022 | 2023 | 2024 | |
|---|---|---|---|
| % KKP lengkap infrastruktur asas | 26 | 28 | 40 |
Dalam konteks meningkatkan kapasiti peladang, setakat tahun 2024, sebanyak 9 siri Program Pendedahan Belia-Belia Yang Berpotensi Untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi telah dilaksanakan, melibatkan seramai 164 orang belia. Pada tahun ini, Program Belia yang ke-10 telah berlangsung pada 23hb Jun hingga 5hb Julai yang lepas, dengan penempatan belia-belia di ladang-ladang syarikat: Hua Ho Agricultural Farm, Harvest Moon Trading, Akmal Asmaan Agriculture Farm, Gropoint Sdn Bhd, Food United, dan Natural Healing Enterprise. Berikut adalah jumlah belia yang mengikuti program sejak tahun 2018 hingga 2024:
| Tahun | 2018 | 2019 | 2020 | 2021 | 2022 | 2023 | 2024 | Jumlah Keseluruhan |
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Jumlah Belia | 30 | 20 | 13 | 35 | 18 | 23 | 25 | 164 |
Jumlah Belia Mengikuti Program Pendedahan Belia-Belia Yang Berpotensi Untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi
Jumlah Belia: 40 30 20 10 0 Tahun: 2018 2019 2020 2021 2022 2023 2024
Di samping Program Pendedahan Belia Berpotensi, pihak Kementerian juga menyambut baik serta menyokong inisiatif Persatuan Peladang Pertanian Brunei dalam mengusulkan Program Latihan dan Keusahawanan Agro yang bertujuan untuk melahirkan pengusaha-pengusaha baru terutama sekali di kalangan golongan belia tempatan yang telah dilatih dalam bidang perladangan serta keusahawanan dan diberikan post training support sehingga dapat berdikari.
Projek Belia Berpadi juga adalah salah satu program usahasama antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Pusat Pembangunan Belia dari tahun 2015 dengan objektif untuk menggalakkan lebih ramai belia menceburi dalam pengeluaran beras negara dan memberi peluang pekerjaan, disamping meningkatkan ekonomi keluarga. Para belia yang mengikuti program ini juga menyertai latihan secara teori dan amali melalui Sekolah Peladang Penanaman Padi (Rice Farmers Field School) dan mempelajari sistem semakan padi yang boleh mempengaruhi hasil dan kualiti padi, iaitu biji benih berkualiti, penyeliaan sawah padi, penanaman serentak, penapakan tanaman, pengurusan nutrient tanaman, pengurusan air, pengurusan musuh perosak dan pengurusan penuaian.
Inisiatif pertama di bawah Program Belia Berpadi dimulakan di Kawasan Penanaman Padi KKP Bebuloh melibatkan keluasan 15 hektar yang mana 1 hektar diperuntukkan bagi setiap seorang daripada 15 orang belia pada tahun 2015. Daripada jumlah tersebut, 5 orang belia yang menunjukkan prestasi baik telah diberikan peluang untuk mengusahakan hampir 2 hektar setiap seorang di Kawasan Penanaman Padi KKP Wasan.
Satu lagi inisiatif yang bernama Projek AgroBIZ sumbangan Shell LiveWIRE Brunei juga bermula pada tahun 2019 antara Shell LiveWIRE Brunei dengan Kampus Agroteknologi IBTE Wasan dengan objektif untuk memberi pendedahan kepada para belia terhadap penanaman padi dengan menggunakan peralatan moden dan kaedah pertanian mampan iaitu bebas racun kimia, penggunaan baja organik dan penggunaan sistem pengairan yang efisien. Program pembelajaran ini juga termasuk penggunaan drone bagi aplikasi input pertanian, penanaman tanaman cash crop, pengurusan lepas tuai termasuk pengilangan dan pemprosesan padi dan beras. Seluas 10 hektar di kawasan Kampus Agroteknologi IBTE Wasan dibukakan dan dilengkapkan dengan infrastruktur asas seperti sistem pengairan dan saliran. Projek ini telah dilaksanakan selama tiga tahun sahaja dan seramai 52 peserta dari 3 kohort telah ikut serta.
Pada 2021, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah menawarkan pihak KKBS satu lagi kawasan seluas 20 hektar di Kawasan Penanaman Padi KKP Batong sebagai kawasan tambahan bagi para belia berpadi. Sebilangan para belia daripada projek AgroBIZ juga diserapkan di bawah Projek Belia Berpadi dan ditawarkan kawasan di KKP Batong.
Sehubungan ini, Kementerian juga akan terus berusaha menarik belia untuk menceburi bidang dan aktiviti pertanian dan perikanan, dengan memudahcara proses bagi mendapatkan akses kepada kewangan, melalui perbincangan bersama institusi-institusi kewangan untuk mengadakan "start-up capital" sebagai pinjaman bagi penyediaan tapak-tapak tanaman seperti pembersihan dan pembukaan kawasan dan pembangunan rumah hijau bersistem teknologi tinggi, dan para belia akan memulakan operasi untuk menjana pendapatan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.