Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PT074
SOALAN
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin
YANG BERHORMAT DR. AWANG HAJI MAHALI BIN HAJI MOMIN meminta MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI menyatakan apakah langkah yang telah diambil untuk memastikan graduan institusi pengajian Islam dapat diintegrasikan dalam pembangunan ekonomi digital patuh syariah khususnya dalam aspek pematuhan syariah, fintech Islam dan inovasi halal di bawah Rangka Kerja MTIC?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Terima kasih Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin di atas soalan mengenai pengintegrasian graduan institusi pengajian Islam dalam pembangunan ekonomi digital patuh Syariah.
Di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 (Digital Economy Masterplan 2025) Negara Brunei Darussalam, pembangunan bakat dan tenaga kerja (manpower and talent capability) merupakan salah satu strategi teras untuk menjadikan negara sebagai Smart Nation melalui Transformasi Digital. Pendekatan ini merangkumi institusi pengajian tinggi Islam sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi digital yang patuh syariah dan beretika. Walau bagaimanapun, strategi teras tersebut tidak menghadkan kepada graduan institusi pengajian Islam. Bahkan pelan induk tersebut lebih melihat kepada bagaimana kita memanfaatkan teknologi digital dalam masa yang sama masih merangkumi pematuhan Syariah (Syariah compliance).
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), melalui Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI), telah melaksanakan beberapa program yang memfokuskan kepada pembangunan inovasi digital, yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar serta golongan belia, termasuk penuntut dan graduan dari institusi-institusi pengajian tinggi. Antara program yang sedia ada pada masa ini adalah seperti berikut:
I. Startup673 National Hackathon yang diterajui oleh Brunei Innovation Lab (BIL) dengan kerjasama AITI, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan LiveWire. Ianya merupakan usahasama yang menggalakkan golongan para belia dan usahawan muda membentuk pasukan, mengenal pasti cabaran industri, dan membangunkan penyelesaian inovatif dalam pelbagai bidang seperti kelestarian, kesihatan dan pendidikan;
II. Tech Immersion, iaitu salah satu inisiatif AITI yang menawarkan latihan teknikal secara intensif selama lima (5) minggu berterusan untuk membantu syarikat permulaan (start-up) tempatan membina produk minimum yang boleh dilaksanakan (Minimum Viable Product – MVP) berdasarkan masalah industri sebenar, dengan fokus pada teknologi seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligent) dan data analytics; dan
III. Brunei ICT Awards (BICTA), iaitu pertandingan tahunan yang dianjurkan bersama oleh MTIC, AITI dan InfoCom Federation Brunei (IFB), bertujuan untuk merangsang kreativiti dan inovasi dalam sektor ICT di kalangan individu, pelajar, usahawan dan organisasi.
Melalui usahasama dan program-program tersebut, sukacita dikongsikan bahawa satu syarikat Pemula (Startup) dimiliki sepenuhnya oleh lepasan graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), iaitu Maqra’ah Intelligent telah berjaya menghasilkan satu platform inovatif pembelajaran Al-Quran yang mengintegrasikan Kecerdasan Buatan khusus bagi meningkatkan pembelajaran dan bacaan Al-Qur’an. Produk ini dapat menyediakan persekitaran yang mudah diakses, interaktif, dan pintar bagi menguasai sebutan huruf Arab yang betul (Makhraj Huruf) serta membaca Al-Qur’an dengan tepat disesuaikan bagi pengguna dari pelbagai golongan termasuk pelajar dan para ilmuwan. Syarikat tersebut juga merupakan penerima Merit bagi Anugerah BICTA 2024 dan APICTA 2024.
Di samping itu juga, melalui pertandingan BICTA yang dianjurkan secara tahunan, peserta Sign Speak dan Rubbish on Demand masing-masing daripada Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok dan Ma’had Islam Brunei telah berjaya meraih kedudukan di BICTA dan seterusnya mewakili negara ke pertandingan peringkat serantau iaitu Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards, di mana kedua-dua projek telah dianugerahkan Merit. Jumlah penyertaan daripada institusi-institusi pengajian Islam ke pertandingan BICTA juga menunjukkan peningkatan setiap tahun, mencerminkan penglibatan aktif mereka dalam menyumbang pembangunan ekonomi digital serta potensi besar bakat dalam bidang teknologi dan inovasi.
Turut dikongsikan juga, semasa pandemik COVID-19, Negara Brunei Darussalam telah mempercepatkan penggunaan teknologi digital untuk mengekalkan daya tahan ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam, tanpa menjejaskan prinsip Syariah. Sebagai contoh:
I. eZakat – Pembayaran Zakat Secara Digital
Dilancarkan oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) bersama DST dan BIBD, platform eZakat membolehkan umat Islam membayar zakat fitrah secara dalam talian semasa bulan Ramadhan. Pematuhan Syariah dijamin oleh pembayaran digital adalah sah dari segi hukum Islam. Pilihan pembayaran termasuk DST eZakat dan BIBD QuickPay, menjadikan proses lebih mudah dan selamat semasa wabak.
II. Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) – Perbankan Digital Patuh Syariah
BIBD memperkenalkan pelbagai produk kewangan digital seperti e-wallet, kad debit berasaskan Wakalah dan Ujrah, serta platform pembayaran dalam talian. Semua produk dan perkhidmatan ditapis oleh Shariah Advisory Body (SAB) untuk memastikan pematuhan kepada hukum Syariah.
III. Proses Perkahwinan Semasa Wabak
Majlis Akad Nikah dilaksanakan dengan garis panduan ketat oleh Mahkamah Syariah yang mana acara untuk diadakan di kediaman masing-masing dengan kehadiran maksimum 10 orang sahaja — pengantin, wali, saksi, jurunikah dan ahli keluarga terdekat. Jurunikah tidak bersalaman dan hanya membaca doa pendek, bukan khutbah nikah. Perkara ini juga mengambil kira dalam mematuhi SOP Kementerian Kesihatan.
Insya Allah, Kementerian ini akan terus meneliti dan menyambut baik sebarang saranan mengenai keberkesanan program dan inisiatif berhubung dengan pembangunan inovasi termasuk membuka peluang bagi graduan institusi pengajian Islam berkaitan dengan inovasi halal yang bersesuaian ke arah pembangunan ekonomi digital
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.