Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PT049
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan
YANG BERHORMAT AWANG HAJI DAUD BIN JIHAN meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan adakah penurunan kadar pengangguran di Brunei dipengaruhi oleh penyertaan peserta Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA)? Sejauh mana program ini menyumbang kepada peluang pekerjaan jangka panjang?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
I. Kaola merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan atas pertanyaan mengenai penurunan kadar pengangguran sama ada dipengaruhi oleh penyertaan peserta Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA), dan sumbangan program ini terhadap peluang pekerjaan jangka panjang.
II. Berdasarkan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2024, yang telah dikendalikan, kadar pengangguran bagi tenaga kerja berumur 18 tahun ke atas mencatatkan penurunan kepada 4.7 peratus, berbanding tahun sebelumnya.
III. Penurunan ini disumbangkan oleh beberapa faktor utama, antaranya:
- Peningkatan sebanyak 4 peratus dalam jumlah pekerja sektor swasta, terutamanya dalam sektor Perdagangan Borong dan Runcit; Pembuatan (khususnya dalam sektor Petrokimia); Perkhidmatan Sokongan; Perkhidmatan Makanan dan Penginapan; dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi; dan
- Pertumbuhan dalam kategori bekerja sendiri, yang sejajar dengan perkembangan aktiviti keusahawanan serta peralihan struktur ekonomi ke arah ekonomi gig.
IV. Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA) mula dilaksanakan pada bulan November 2024, dengan penyertaan seramai 833 perantis pada tahun 2024. Namun demikian, oleh kerana para perantis hanya melapor diri ke agensi masing-masing pada bulan Disember 2024 atau awal tahun 2025, mereka belum diambil kira dalam KTK 2024 dan masih dikategorikan sebagai belum bekerja semasa tempoh pelaksanaan KTK 2024.
V. Sehubungan itu, penyertaan perantis dalam SkiPPA tidak menyumbang secara langsung kepada penurunan kadar pengangguran bagi tahun 2024. Walau bagaimanapun, kesan positif program ini dijangka lebih ketara dalam Kajian Tenaga Kerja 2025, apabila penyertaan mereka diambil kira sepenuhnya.
VI. SkiPPA dirangka sebagai satu inisiatif strategik untuk memperkasa modal insan, khususnya dalam kalangan belia, dengan menyediakan platform pengalaman kerja sebenar dalam sektor perkhidmatan awam. Melalui penyertaan dalam program ini, para perantis berpeluang untuk meningkatkan kemahiran kerja dan kebolehpasaran mereka; membina daya saing dalam pasaran pekerjaan yang semakin mencabar; dan mendapat pendedahan langsung kepada suasana dan etika kerja sektor awam.
VII. Adalah diharapkan agar pengalaman yang diperolehi akan digunakan sepenuhnya bagi mengisi kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam, tertakluk kepada ketersediaan jawatan yang bersesuaian; dan prestasi kerja cemerlang sepanjang tempoh perantisan.
VIII. Selain itu, pengalaman yang diperolehi menerusi SkiPPA juga dihasratkan untuk memperluas prospek kerjaya para perantis dalam sektor swasta; dan meningkatkan keyakinan diri mereka untuk menceburi bidang keusahawanan atau pekerjaan sendiri. Ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja yang serba boleh, berkemahiran tinggi, dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
IX. Walaupun penyertaan dalam SkiPPA belum menyumbang secara langsung kepada penurunan kadar pengangguran tahun 2024, ia merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan tenaga kerja negara. Dengan pelaksanaan yang berterusan dan pemantauan rapi, program ini Insya Allah mampu meningkatkan peluang pekerjaan dan mengurangkan pengangguran secara berkesan dalam tahun-tahun mendatang.
Sekian saja yang dapat Kaola sampaikan. Terima kasih.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.