Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT43
đ Masa membaca: 9 minit
đ Bilangan kata: 1,969 kata
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOFâ
SOALAN:
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOF meminta MENTERI PEMBANGUNAN menyatakan inisiatif dan pelan tindakan penambahbaikan bagi memastikan semua proses lebih efektif, efisien dan segera dalam mendokong negara merealisasikan dasar ease of doing business dan menarik lebih ramai lagi pelabur asing (FDI). Terdapat banyak aduan dan maklumat telah di terima daripada pemohon-pemohon termasuk pengusaha bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang dikendalikan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangun khususnya ABCi, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa dan Jabatan Tanah.
YANG BERHORMAT MENTERI PEMBANGUNANâ
JAWAPAN:
Kementerian Pembangunan mengambil berat akan pentingnya untuk mempertingkatkan keberkesanan, kecekapan dan kepantasan proses kerja dalam menyokong dasar ease of doing business dan usaha menarik lebih ramai pelabur asing (FDI). Sehubungan itu, pelbagai inisiatif penambahbaikan telah dan sedang dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah kementerian ini khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), dan Jabatan Tanah bagi memudahkan cara urusan para pemohon, peniaga dan pelabur.
Berikut merupakan langkah-langkah utama yang diambil oleh setiap agensi berkaitan:
Inisiatif di bawah Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi): Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ABCi telah mengambil langkah transformasi proses untuk meningkatkan kecekapan seperti berikut:
Pencapaian Terkini: Mengikut statistik terkini, ABCi telah menerima sejumlah 6,701 permohonan sepanjang tahun 2024. Bagi ketiga-tiga proses yang dilaksanakan di ABCi sahaja, jumlah peratus permohonan yang mencapai sasaran menepati TPOR hari bekerja mulai Julai 2023 adalah secara purata sebanyak 88%.
Penambahbaikan Sistem OneBiz (atas talian): ABCi telah memperkukuh penggunaan platform OneBiz (sistem dalam talian bagi permohonan perniagaan dan pembangunan). Satu fungsi baharu yang diperkenalkan ialah fungsi âRequest Amendmentâ dalam sistem OneBiz. Melalui fungsi ini, jika pihak ABCi mendapati terdapat ketidakselarasan atau kesilapan dalam dokumen permohonan yang dikemukakan, pegawai ABCi boleh mengembalikan permohonan secara online kepada Qualified Person (QP) (arkitek atau jurutera profesional yang mewakili pemohon) dengan menyertakan ulasan dan pembetulan yang diperlukan. QP kemudiannya boleh membetulkan dan mengemas kini permohonan dengan segera di dalam talian.
Pendekatan ini mengekalekan keperluan pemohon datang berulang kali ke kaunter dan mengurangkan masa menunggu. Fungsi âRequest Amendmentâ ini mula dilaksanakan bagi permohonan Borang C (kelulusan memulakan kerja bangunan) dan Permit Menduduki (Occupation Permit) pada Jun 2024, dan diperluaskan kepada permohonan Kelulusan Pelan Bangunan mulai Januari 2025. QP telah dimaklumkan mengenai prosedur baharu ini melalui Nota Panduan Industri yang diedarkan â rujukan bil. 2024/IGN/02 (18 Jun 2024) dan 2025/IGN/01 (11 Januari 2025). Hasilnya, banyak permohonan dapat diperbetul dan diluluskan lebih cepat kerana komunikasi antara ABCi dan QP menjadi lebih langsung dan telus.
âCo-locationâ Wakil Agensi Teknikal di ABCi: Bermula Januari 2025, beberapa wakil agensi yang terlibat dalam proses permohonan Kerja Tanah telah ditempatkan di pejabat ABCi bagi memudahkan komunikasi dan penyelarasan dalam membuat keputusan bagi permohonan berkaitan dengan kemajuan; bagi penambahbaikan proses jabatan masing-masing dalam hal ehwal kemajuan; bagi mempercepatkan proses iaitu boleh mengurangkan masa dan tempoh memproses kerana lebih fokus kepada proses kemajuan sahaja; dan bagi memudahkan orang ramai / pihak berkepentingan untuk membuat pertanyaan / berurusan.
Inisiatif di bawah Jabatan Tanah: Jabatan Tanah juga giat melaksanakan usaha mempercepat proses dan mengurangkan kerenah birokrasi, terutama yang berkaitan urusan pelabur dan orang ramai seperti berikut:
Penambahbaikan Proses Dalaman: Beberapa proses kerja dalaman Jabatan Tanah telah dikaji semula. Beberapa prosedur kerja dikemas kini dan birokrasi telah dikurangkan. Langkah-langkah ini bertujuan mempercepatkan proses membuat keputusan dan penyampaian perkhidmatan Jabatan Tanah kepada pelanggan.
Sebagai contoh, permohonan pindah milik tanah yang dikenakan cukai setem sebelum ini dimestikan untuk membuat pembayaran BND 1,000 sebagai deposit awal kepada cukai setem yang akan dikira kemudian setelah selesai penaksiran dibuat. Jika sekiranya cukai setem adalah lebih daripada BND 1,000.00, penerima tanah dimestikan untuk membuat top-up terhadap pembayaran atau jika sekiranya kurang, maka pihak Kerajaan akan membuat pembayaran balik baki perbezaan. Proses ini adalah memakan masa yang sangat lama dan menjejaskan proses kerja pindahmilik tanah.
Sekarang, proses tersebut termasuk pembayaran deposit tidak lagi dibuat dan semua permohonan pindahmilik tanah yang dikenakan cukai setem hendaklah dihadapkan kepada pihak Bahagian Penilaian terlebih dahulu untuk tujuan perkiraan cukai setem. Pemohon akan dimaklumkan jumlah bayaran dan selepas dijelaskan, permohonan pindah milik akan terus dilaksanakan dan dihadapkan ke pihak berkenaan untuk penetapan.
Dalam hal ini juga, bagi memudahkan lagi proses kerja Jabatan, orang awam juga boleh menggunakan perkhidmatan penaksir swasta yang berdaftar di bawah BOVeA dan perkiraan daripada pihak swasta boleh dihadapkan kepada pihak Bahagian Penilaian dan adalah sah digunapakai.
Kemudahan bagi Pelaburan Asing (FDI): Jabatan Tanah menjelaskan bahawa tiada masalah mengenai dengan land ownership rule dalam FDI kerana permohonan adalah kebanyakannya secara pajakan tanah Kerajaan yang diberi hak milik bagi tempoh yang bersesuaian (15-30 tahun). Pajakan tanah ini memberikan hak milik sementara kepada pelabur untuk tempoh yang dipersetujui dan boleh diperbaharui.
Sebagai contoh, sebuah syarikat asing yang ingin membina kilang akan diberikan pajakan tanah perindustrian selama 30 tahun. Dasar ini memastikan pelabur asing tidak perlu memiliki tanah secara kekal (freehold) - yang sememangnya tidak dibenarkan bagi mereka - tetapi masih boleh mendapat jaminan penggunaan tanah jangka panjang untuk operasi mereka. Selain itu, tanah-tanah kerajaan yang telah digazetkan di bawah agensi tertentu boleh ditawarkan kepada pelabur asing secara sewaan melalui agensi tersebut. Ini memberikan fleksibiliti kepada agensi kerajaan untuk memanfaatkan aset tanah bagi menarik FDI.
Pemilikan hartanah melalui Strata Title: Melalui Strata Title, warganegara asing dibenarkan memiliki hartanah jenis berstrata (seperti kondominium, pangsapuri atau ruang niaga berstrata) tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Ini bermakna pelabur atau ekspatriat boleh membeli unit-unit bangunan berstrata (biasanya dengan pajakan 99 tahun) sebagai pelaburan atau kediaman. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan daya tarikan Brunei kepada pelabur asing walaupun mereka tidak dibenarkan memiliki tanah secara kekal.
Inisiatif di bawah Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD): Bagi proses Kebenaran Merancang (Planning Approval) dan kawalan pembangunan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan pada tahun 2024, yang terbukti meningkatkan tahap pematuhan TPOR keseluruhan daripada 70% kepada 82%. Antara langkah penambahbaikan yang dilaksanakan adalah:
Permohonan atas talian: Permohonan Kebenaran Perancangan kini dikemukakan secara atas talian melalui sistem yang disediakan. Pemohon (atau perunding mereka) boleh mengisi borang dan memuat naik pelan melalui portal tersebut. Sistem ini juga disepadukan dengan modul untuk mendapatkan pengesahan daripada jabatan-jabatan teknikal berkaitan secara elektronik. Sebuah âdashboardâ pemantauan status juga disediakan supaya pemohon dapat melihat status tindakan terkini. Pendekatan digital ini meningkatkan ketelusan (transparency) proses dan mengurangkan interaksi bersemuka yang tidak diperlukan, seterusnya menjimatkan masa dan kos pemohon.
Penyelarasan proses bagi pelan tambahan/ubahsuai bangunan: JPBD telah menyelaras proses kelulusan Kebenaran Merancang bagi projek tambahan dan ubah suai bangunan dengan ABCi. Sebelum ini, pemohon perlu melalui JPBD untuk kelulusan perancangan, kemudian ke ABCi untuk kelulusan pelan bangunan. Kini bagi kerja ubahsuai kecil atau tambahan yang tidak mengubah tatatur perancangan dengan ketara, proses tersebut diselaraskan agar penilaian boleh dibuat serentak. ABCi dan JPBD berkongsi maklumat dan mungkin menjalankan pemeriksaan tapak bersama bagi kes-kes tertentu, supaya keputusan dapat dipercepat. Ini bermakna masa kelulusan secara keseluruhan bagi penambahan/ubahsuai bangunan dapat disingkatkan kerana proses berjalan seiring (parallel process).
Penganjuran Klinik Kemajuan: JPBD secara konsisten menganjurkan "Klinik Kemajuan" bagi membantu pemohon, arkitek dan pemilik tanah berbincang terus dengan pegawai perancang mengenai isu permohonan mereka. Ia memberi ruang kepada pemohon yang menghadapi masalah atau kelewatan untuk mendapat penjelasan dan khidmat nasihat secara langsung. Contohnya, jika pelan ditolak kerana tidak memenuhi garis panduan, pemohon boleh datang ke klinik dan pegawai akan menerangkan apa yang perlu diperbetulkan. Pendekatan ini amat membantu dalam menyelesaikan isu dengan pantas serta mengelakkan permohonan tertangguh terlalu lama akibat masalah yang sebenarnya boleh diselesaikan melalui komunikasi terus.
Platform semakan status & notifikasi SMS: Di samping penyediaan dashboard atas talian bagi semakan status permohonan, JPBD telah memperkenalkan perkhidmatan SMS pemberitahuan. Ini memastikan pemohon sentiasa peka dengan status permohonan tanpa perlu menelefon atau hadir sendiri ke pejabat, sekaligus meningkatkan kepuasan pelanggan.
Mesyuarat teknikal berkala: JPBD juga mengadakan mesyuarat berkala dengan jabatan-jabatan teknikal melalui platform Komiti Kawalan Kemajuan bagi membincangkan sebarang isu berbangkit berkaitan permohonan atau aduan. Dalam mesyuarat ini, jika ada aduan atau kes permohonan sukar yang memerlukan persetujuan bersama, ia boleh dibincangkan dan diputuskan secara kolektif. Sebagai contoh, isu laluan infrastruktur yang melibatkan tanah kerajaan boleh diselaraskan terus antara Jabatan Tanah dan JKR dalam mesyuarat tersebut.
Pemantauan dan Intervensi Terhadap Permohonan Tertangguh: JPBD telah memperkenalkan mekanisme pemantauan khas bagi permohonan yang melebihi tiga bulan tanpa tindakan susulan pemohon. Senarai permohonan sedemikian akan disemak, dan pegawai akan berhubung semula dengan pemohon untuk mengenalpasti langkah kehadapan. Sekiranya pemohon menghadapi masalah tertentu, JPBD akan mempertimbangkan langkah intervensi yang sesuai untuk menyelesaikan isu tersebut. Tujuan utamanya ialah mengelakkan berlakunya backlog permohonan yang tertangguh terlalu lama tanpa penyelesaian yang akhirnya boleh menjejaskan statistik penyampaian perkhidmatan. Dengan pendekatan lebih proaktif ini, JPBD dapat memastikan majoriti permohonan aktif diselesaikan dalam jangka masa munasabah atau dikeluarkan daripada sistem sekiranya tidak lagi diteruskan oleh pemohon.
Secara kesimpulannya, inisiatif-inisiatif penambahbaikan yang dilaksanakan di Kementerian Pembangunan ini menunjukkan sokongan kementerian ke arah agenda ease of doing business. Melalui pendigitalan proses, integrasi perkhidmatan, pengurangan birokrasi, dan peningkatan komunikasi dengan pelanggan, perkhidmatan seperti kelulusan bangunan, urusan tanah dan kebenaran perancangan kini menjadi lebih cekap dan mesra pengguna. Ini secara langsung akan membantu Brunei Darussalam meningkatkan kedudukan dan reputasinya sebagai destinasi pelaburan yang kondusif. Langkah-langkah seperti pemendekan masa kelulusan permit pembinaan dan kemudahan pemilikan hartanah bagi pelabur asing turut menyumbang kepada usaha menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negara ini. InsyaAllah, Kementerian Pembangunan akan terus memantau maklum balas orang ramai dan pihak industri terhadap sistem-sistem yang ada, dan sedia melakukan penambahbaikan berterusan untuk memastikan setiap proses di bawah tanggungjawabnya adalah efektif, efisien dan cepat seperti yang dihasratkan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.