Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT42
📖 Masa membaca: 7 minit
📊 Bilangan kata: 1,379 kata
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOF
SOALAN:
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOF meminta MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI menyatakan perkembangan dan pencapaian dalam memenuhi peranan dan fungsi Majlis-majlis Perundingan Mukim dan Kampong, bukan sahaja mengukuhkan keberkesanan institusi Penghulu Mukim dan Ketua Kampong sebagai teras kepimpinan akar umbi, malahan yang lebih penting lagi dalam memperkasakan dan menaiktaraf Sosio-Ekonomi kearah kesejahteraan dan kebajikan rakyat dan penduduk Mukim dan Kampong sekaligus bersama-sama mendokong dalam merealisasikan Wawasan Negara 2035.
YANG BERHORMAT MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI
JAWAPAN:
Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) adalah institusi kepimpinan di peringkat mukim dan kampung yang ditubuhkan untuk mengukuhkan peranan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung sebagai teras kepimpinan di peringkat akar umbi yang bertujuan untuk memberi ruang kepada rakyat untuk terlibat sama dalam pembangunan di peringkat mukim dan kampung melalui semangat kerjasama dan saling bantu-membantu antara ahli-ahli majlis manakala Penghulu Mukim dan Ketua Kampung adalah dilantik sebagai Pengerusi MPMK di kawasan masing-masing.
Antara langkah penting bagi memperkasa MPMK, adalah:
2.1. Latihan dan Pembangunan Kapasiti: Program latihan komprehensif perlu dilaksanakan untuk membina kemahiran kepimpinan, pengurusan, dan pentadbiran bagi Penghulu Mukim, Ketua Kampung, dan ahli-ahli MPMK. Dalam masa yang sama, kolaborasi dengan agensi Kerajaan dan swasta juga penting untuk mengadakan taklimat dan latihan yang relevan.
Di antara aktiviti latihan dan pembangunan kapasiti yang pernah diungkayahkan oleh Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung pada tahun 2024 seperti First Aid Training; Taklimat Perkahwinan, Penceraian, Pembatalan dan Ruju' orang-orang Islam; Kursus Latihan Lifesaver 995, Kursus Fire Marshall dan Bengkel Program Go Digital. Sepanjang tahun 2024, sebanyak 5 aktiviti kursus dan 57 lawatan sambil belajar telah dibuat oleh MPMK di keempat-empat daerah dalam usaha ke arah membangunkan kapasiti ahli-ahli MPMK.
2.2. Peruntukan Dana untuk Aktiviti MPMK: Peruntukan dana kepada MPMK perlu disalurkan bagi membantu mereka melaksanakan projek pembangunan seperti aktiviti kemasyarakatan, keagamaan, dan pendidikan.
Pada tahun 2024, 1,370 aktiviti telah dilaksanakan oleh MPMK, dengan Daerah Brunei dan Muara mendominasi sebanyak 914 aktiviti, 56 aktiviti oleh MPMK Daerah Belait, 167 aktiviti oleh MPMK Daerah Tutong dan 233 aktiviti oleh MPMK Daerah Temburong.
2.3. Pemerkasaan Sosioekonomi: MPMK juga berperanan dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat melalui pelbagai inisiatif ekonomi.
Pada tahun 2023, sebanyak 52 aktiviti perekonomian telah diadakan, dan jumlah jualan mencapai lebih $820,000.00, meningkat kepada $1,109,192.46 pada tahun 2024 dengan penglibatan seramai 105 orang pengusaha 1 Kampung 1 Produk (1K1P) di seluruh negara.
2.4. Budaya Inklusiviti: Galakan terhadap penglibatan aktif ahli-ahli MPMK dalam perancangan, pelaksanaan, dan pemantauan inisiatif tempatan penting untuk memperkukuhkan peranan MPMK dalam kepimpinan akar umbi. Penyertaan yang lebih inklusif akan meningkatkan keberkesanan MPMK seperti penglibatan golongan belia dan wanita dalam keahlian dan aktiviti MPMK yang turut memastikan penyertaan tidak terhad kepada golongan lelaki atau golongan dewasa sahaja. Sejak 2018, lantikan ahli MPMK, khususnya Ketua Biro, kini melibatkan golongan belia berusia 18 hingga 45 tahun. Setakat Mac 2025, sebanyak 288 orang belia telah terlibat dalam MPMK, dengan jumlah tertinggi di Daerah Tutong seramai 130 orang, Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait masing-masing dengan 41 ahli dan Daerah Temburong seramai 76 orang belia. Namun demikian, usaha adalah dipertingkatkan untuk menarik lebih ramai belia dan wanita untuk terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti. Biro Wanita telah ditubuhkan untuk memastikan golongan wanita juga terlibat dalam pembangunan komuniti. Setakat ini, 280 wanita telah terlibat dalam MPMK di keempat-empat buah daerah, dengan penglibatan wanita tertinggi adalah di Daerah Tutong.
2.5. Penggunaan Teknologi dan ICT: Integrasi teknologi dan platform digital dalam proses pentadbiran akan meningkatkan ketelusan dan akses kepada maklumat untuk penduduk kampung, memudahkan komunikasi dan pengurusan. Memanfaatkan penggunaan media sosial (seperti Instagram) dalam memberigakan maklumat yang perlu kepada penduduk mukim dan kampung serta menyampaikan maklumat aktiviti MPMK kepada penduduk mukim dan kampung adalah inisiatif yang digalakkan oleh pihak Kementerian. Dalam pada itu, taklimat Program Go Digital juga ada diadakan oleh MPMK pada tahun 2024 bagi mempertingkatkan kesedaran penduduk dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.
2.6. Kerjasama dengan Pelbagai Pihak: MPMK perlu memudahkan perkongsian sumber dengan pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), dan sektor swasta. Ini akan memperkasa usaha pembangunan komuniti serta membangunkan kapasiti ahli MPMK melalui pelbagai latihan dan aktiviti seperti kursus-kursus yang diadakan dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan yang telah dikendalikan pada tahun 2024 sepertimana keterangan di perenggan 2.1 di atas.
2.7. Mekanisme Pemantauan dan Penilaian: Untuk memastikan keberkesanan dan akauntabiliti, pemantauan dan penilaian perlu dilakukan. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Penghulu Mukim dan Ketua Kampung (PMKK) telah dilaksanakan sejak April 2024 untuk memantau kemajuan PMKK serta keahlian MPMK, contohnya KPI 4 iaitu “Peratus Penduduk Mukim/Kampung yang Dipeduli, Dikelinga, dan Ditangani” adalah untuk memastikan kemaslahatan anak buah kampung khususnya bagi golongan yang berkeperluan adalah terjaga.
Salah satu tugas dan tanggungjawab PMKK sebagaimana yang digariskan di dalam Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung dibawah Fasal 3 perkara 3 ialah Sebagai Mata, Telinga dan Lidah kepada Kerajaan dan kepada penduduk kampung dalam menjaga serta mengawasi kepentingan, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan kampung.
Selain itu, prestasi PMKK turut dipertingkatkan melalui Pelaksanaan Rangka Kerja Modal Kompetensi Sumber Manusia Penghulu Mukim Dan Ketua Kampung (HRCF PMKK) yang diyakini akan membantu dalam proses pengambilan (Recruitment) PMKK pada mana sesi temuduga akan berasaskan kepada kompetensi (Competency Based Questions), Penggubalan program latihan dan pembangunan kapasiti dan Pengurusan prestasi (performance management) bagi memperkasakan dan memastikan pemimpin akar umbi yang berkualiti.
Hasil daripada Penilaian Sendiri (Self-Assessment) PMKK yang telah dilaksanakan di antara 24hb., Julai, 2024 sehingga 2hb., September, 2024 melalui kajian atas talian untuk menilai tahap kompetensi semasa (current competency) PMKK yang bersandarkan Rangka Kerja Modal Kompetensi Sumber Manusia, adalah dirumuskan bahawa seramai 165 orang termasuk mereka yang sedang memangku jawatan daripada 217 jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung telah menghadapkan borang penilaian tersebut. Dari jumlah berkenaan, seramai 36 orang (22%) Penghulu Mukim dan Ketua Kampung menilai kompetensi mereka adalah pada tahap hampir bersedia; 96 orang (58%) pada tahap berpotensi; dan 33 orang (20%) pada tahap melebihi jangkaan; manakala tiada yang menilai tahap kompetensi mereka pada tahap belum bersedia.
2.8. Peranan Penasihat MPMK: Untuk memperkukuh kepimpinan, MPMK perlu melantik penasihat yang komited untuk memberikan pandangan dan nasihat mengenai perancangan dan isu yang dibincangkan sesuai bidang tugas dan tanggungjawab Penasihat MPMK yang dinyatakan dalam Lembaga Pengelola MPMK, iaitu, menasihatkan berhubung hal ehwal mukim, kampung dan penduduknya serta juga untuk mengadakan perundingan sesama Penasihat MPMK yang lain dari semasa ke semasa mengenai perkara-perkara yang diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Perundingan. Penasihat MPMK boleh menasihatkan perkara-perkara berkaitan bidang tugas dan kuasa Penasihat dengan menggunakan pengalaman yang ada seperti menggunapakaikan pengalaman semasa menjawat jawatan Kerajaan atau swasta.
2.9. Kefahaman mengenai MPMK: Kurangnya kefahaman masyarakat mengenai tujuan penubuhan MPMK adalah satu cabaran. Oleh itu, konvensyen atau perhimpunan MPMK boleh diadakan untuk memberi penjelasan dan meningkatkan penglibatan ahli. Pada tahun 2024, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan sebanyak 4 kali sesi muzakarah bersama ahli-ahli MPMK di keempat-empat daerah bagi mengetahui sebarang cadangan mahupun isu yang dihadapi oleh ahli-ahli MPK dan seterusnya membantu meningkatkan kefahaman akan peranan selaku ahli MPMK. Muzakarah seperti ini akan diteruskan lagi pada tahun ini. Di peringkat MPMK pula, sebanyak 206 kali muzakarah telah dibuat bersama penduduk kampung telah diadakan di keempat-empat daerah pada tahun 2024.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.