HARI KE-1 PETANG
📖 Masa membaca: 62 minit
📊 Bilangan kata: 13,392 kata
4HB OGOS 2025 PETANG
(Majlis Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekarang Majlis Mesyuarat akan beralih kepada urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis
Usul Wawasan Brunei 2035 yang akan dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat petang dan salam sejahtera. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dirahmati Allah yang peramba/kaola/saya hormati.
Terlebih dahulu, izinkan peramba/kaola/saya untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas ruang yang diberikan untuk kaola mencadangkan di Dewan yang mulia ini Usul Wawasan Brunei 2035 seperti berikut: Menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035 memerlukan kerjasama, inovasi dan semangat juang yang tinggi dari semua pihak. Dewan ini perlu meneliti cadangan dan idea yang dikemukakan dengan mengambil kira emerging issues di peringkat global untuk diambil tindakan oleh pihak-pihak berkepentingan mengikut kesesuaian.
Menyedari bahawa Wawasan Brunei 2035 diterbitkan oleh Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang pada tahun 2004 bagi merancang pembangunan negara dalam tempoh 30 tahun ke hadapan. Hanya tinggal 10 tahun bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Mempakui bahawa usaha-usaha mengukuhkan pelaksanaan strategik dan pelan-pelan tindakan menjurus kepada mencapai matlamat-matlamat utama wawasan dijalankan melalui Manpower Blueprint bagi Matlamat Pertama yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan, MPTMP; Social Blueprint bagi Matlamat Kedua yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial, MKIS; dan Economic Blueprint bagi Matlamat Ketiga yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Memahami bahawa keadaan dunia sejagat sukar diramal dan negara juga tidak terkecuali dari menghadapi kesan-kesan global seperti konflik geopolitik dan situasi ekonomi tidak menentu. Kesan ini mencabar pelaksanaan Wawasan Brunei.
Bahawa dalam memastikan Negara Brunei Darussalam akan merealisasikan Wawasan Brunei 2035, Majlis ini mengusulkan bagi tindakan dan sokongan bersepadu digagaskan dengan pendekatan senegara bagi merealisasikan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, izinkan kaola untuk meneruskan bagi menyampaikan ulasan terhadap Usul Wawasan Brunei 2035 khususnya berhubung peranan Jabatan Perdana Menteri dalam mendukung pelaksanaan dan pencapaian matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.
Sejak pelancarannya pada tahun 2007, Wawasan Brunei 2035 telah menjadi kerangka rujukan utama negara dalam menggubal dasar dan merangka Pelan Pembangunan Jangka Panjang. Wawasan Brunei 2035 menetapkan tiga matlamat utama iaitu:
Pertama, Rakyat yang Berpendidikan dan Berkemahiran Tinggi dan Berjaya;
Kedua, Kualiti Kehidupan Rakyat yang Tinggi; dan
Ketiga, Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan.
Ketiga-tiga matlamat ini saling melengkapi dan penting dalam membina asas sebuah negara yang inklusif, maju dan berdaya tahan. Kejayaan Wawasan Brunei 2035 adalah tanggungjawab kolektif dan memerlukan penyertaan aktif seluruh lapisan masyarakat dan pihak-pihak berkepentingan dengan tidak bergantung harap sepenuhnya ke atas pihak kerajaan. Ini adalah selaras dengan penekanan terhadap pendekatan whole of government dan whole of nation yang saling mendukung ke arah mencapai matlamat yang sama.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Keprihatinan dan kesungguhan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kejayaan Wawasan Brunei 2035 dizahirkan secara berterusan melalui kurnia titah-titah, panduan dan sokongan baginda dalam memperkukuh dasar pembangunan negara. Tumpuan baginda terus berpaksikan kepada teras utama Wawasan Brunei 2035 iaitu pendidikan, kualiti hidup dan pembangunan ekonomi yang mencerminkan iltizam baginda dalam memastikan negara terus maju seiring dengan perubahan global.
Namun demikian, landskap global hari ini semakin mencabar. Isu perubahan iklim, kemunculan teknologi baharu, transformasi tenaga kerja serta ketidaktentuan geoekonomi dan geopolitik memerlukan pendekatan dasar yang lebih strategik, pantas dan berpandangan jauh. Dalam menghadapi cabaran ini, falsafah Melayu Islam Beraja, MIB kekal menjadi asas-asas utama pembangunan negara iaitu bukan sekadar identiti negara tetapi juga sebagai panduan dalam membentuk hala tuju pembangunan yang holistik dan seimbang antara kemajuan fizikal dan pembangunan ekonomi, rohani.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulilah, pelaksanaan dasar kerajaan telah menghasilkan kemajuan signifikan ke arah pencapaian ketiga-tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035.
Bagi matlamat pertama Wawasan Brunei iaitu Rakyat Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, berdasarkan kepada laporan Programme for International Student Assessment, PISA 2022 oleh Organisation for Economic Co-operation and Development, OECD, skor negara dalam PISA 2022 mencatatkan peningkatan berbanding semasa penilaian PISA 2018 iaitu skor 442 bagi Matematik, peningkatan sebanyak 12 skor, skor 429 bagi bacaan, peningkatan sebanyak 21 skor, skor 446 bagi Sains, iaitu peningkatan sebanyak 15 skor.
Pencapaian ini menempatkan Negara Brunei Darussalam dalam tiga teratas dalam kalangan negara-negara ASEAN yang bukan sahaja menunjukkan peningkatan keupayaan pelajar di negara ini dalam bidang asas seperti Matematik dan Sains, malah mencerminkan hasil usaha berterusan memperkukuh sistem pendidikan negara.
Bagi matlamat kedua, iaitu Kualiti Kehidupan Rakyat yang Tinggi, negara berada di kedudukan ke-60 daripada 193 buah negara, dan termasuk dalam kategori negara yang mempunyai very high human development menurut laporan Human Development Index, HDI yang dikeluarkan oleh United Nations Development Programme, UNDP pada tahun 2025 yang merupakan satu pengiktirafan global terhadap usaha berterusan negara dalam memperkasa kesejahteraan rakyat.
Bagi matlamat ketiga iaitu Ekonomi Yang Dinamik dan Berdaya Tahan, Keluaran Dalam Negeri Kasar, KDNK per kapita mengekalkan negara ini di kedudukan ketujuh tertinggi daripada 194 buah negara berdasarkan Laporan World Economic Outlook yang dikeluarkan oleh International Monetary Fund, IMF bagi April 2025.
Pencapaian ini mencerminkan keupayaan negara dalam mengekalkan kestabilan ekonomi meskipun berdepan cabaran global hasil daripada dasar fiskal yang berhemat, pengurusan sumber asli yang mampan dan langkah strategik dalam mempelbagaikan ekonomi negara khususnya melalui sektor bukan minyak dan gas.
Selain itu, usaha berterusan dalam menarik Pelaburan Langsung Asing, FDI memperkukuh Sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, PMKS serta memperkasa transformasi digital, turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh asas ekonomi negara.
Bagi mendukung pelaksanaan Wawasan Brunei 2035, kerajaan telah memperkenalkan tiga blueprint iaitu Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint sebagai panduan strategik kebangsaan yang menyelaras hala tuju pembangunan negara. Ketiga-tiga blueprints ini dirangka untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan dasar secara menyeluruh dan bersepadu melalui pendekatan whole of government dan whole of nation demi memenuhi kepentingan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dan penduduk secara menyeluruh.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat, meningkatkan kualiti hidup ke arah sebuah negara yang kekal makmur, aman dan berdaya tahan untuk semua. Dalam usaha dalam memastikan pembangunan tenaga manusia kekal, responsif dan berdaya saing, pelbagai inisiatif telah digerakkan ke arah mencapai Matlamat Pertama Wawasan Brunei 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Sejajar dengan matlamat ini, Manpower Blueprint yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan telah diterbitkan pada tahun 2024. Dokumen strategik ini memberi tumpuan kepada empat aspirasi utama yang dirangka bagi memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan untuk memastikan keselarasan berterusan antara pembangunan pendidikan dan keperluan industri demi menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara mampan dan inklusif iaitu:
Aspirasi pertama, pendidikan dan latihan dinamik yang menekankan sistem pendidikan dan latihan negara yang pelbagai, inklusif dan adaptif untuk melahirkan rakyat yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan beretika;
Aspirasi kedua, rakyat siap siaga masa depan. Menekankan pembentukan rakyat, yang inovatif, produktif dan bertanggungjawab di samping menanai pembelajaran sepanjang hayat bagi melengkapi mereka dengan set minda, pertumbuhan dan kedayatahanan, growth and resilience;
Aspirasi ketiga, pembangunan modal insan yang efektif menumpukan kepada ekosistem pembangunan modal insan yang holistik dan koheren bagi menyediakan keperluan tenaga manusia negara untuk pembangunan modal insan ke arah tenaga kerja yang proaktif dan kompeten; dan
Aspirasi keempat, pemudah cara sistem dukungan dan struktur yang merupakan elemen penting bagi kejayaan ketiga-tiga aspirasi terdahulu. Ini merangkumi infrastruktur kualiti tinggi dan tadbir urus yang berkesan melalui pendekatan whole of nation bagi mencapai aspirasi tenaga manusia, pembangunan modal insan bagi menggerak pembangunan sesebuah negara.
Seterusnya, dalam menyelaras dasar dan program pembangunan sosial negara untuk memacu pencapaian matlamat kedua, Wawasan Brunei 2035 iaitu kualiti kehidupan rakyat yang tinggi, Social Blueprint yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial, MKIS di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah dilancarkan tahun ini dengan menumpukan kepada empat aspirasi utama iaitu:
Aspirasi pertama, rakyat yang mandiri, berdaya tahan dan siap siaga masa depan yang bermaksud masyarakat yang mampu berdikari dalam menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan dengan membentuk sikap tekun berusaha sendiri yakni mandiri bagi meningkatkan keupayaan mobiliti sosial serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara.
Aspirasi kedua, memperkasa keluarga yang penyayang, kukuh dan berdaya yang menekankan kepentingan institusi keluarga sebagai unit yang paling asas dalam berperanan untuk menyediakan landasan untuk pembangunan modal insan bagi menggerak pembangunan sesebuah negara;
Aspirasi ketiga, membangun masyarakat yang pemedulian, inklusif dan saksama yang bermaksud memenuhi keperluan masyarakat secara inklusif untuk memastikan keadilan dan kesaksamaan ke arah kesejahteraan dan keselamatan yang terjamin dengan menjadikan masyarakat sebagai asas kepada pembangunan sosial yang mampan; dan
Aspirasi keempat, memperkasa pembangunan sosial melalui pendekatan senegara yakni whole of nation approach yang menumpukan kepada usaha-usaha meningkatkan kerjasama dan penglibatan pihak yang berkepentingan melalui pendekatan senegara bagi memastikan tadbir urus yang berkesan ke arah kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.
Bagi merealisasikan matlamat ketiga Wawasan Brunei 2035, ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan, Economic Blueprint telah dilancarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada tahun 2021 bagi merangka strategi pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global dengan menetapkan enam aspirasi utama iaitu:
Aspirasi pertama, perniagaan yang produktif dan pesat yang memfokuskan kepada perniagaan untuk bersaing, berkembang dan berdaya tahan dengan menerokai pasaran dan peluang baharu serta memanfaatkan teknologi dan inovasi oleh kesemua sektor perekonomian terutama lima sektor keutamaan, hiliran minyak dan gas, makanan, pelancongan, perkhidmatan dan ICT;
Aspirasi kedua, rakyat yang berkemahiran, adaptif dan inovatif yang memfokuskan kepada melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri dan mempromosikan perkembangan keusahawanan;
Aspirasi ketiga, ekonomi yang terbuka dan terhubung secara global iaitu dengan memperkembangkan akses pasaran dan perkongsian ekonomi, economic partnership yang pelbagai dalam memperkukuhkan hubungan antarabangsa melalui peluang perniagaan;
Aspirasi keempat, kelestarian alam sekitar yang bertujuan untuk membantu dalam penjagaan ekosistem hijau negara selaras dengan komitmen negara sebagai nadi utama Borneo yakni Heart of Borneo dan juga komitmen menyeluruh antarabangsa melalui penurunan jejak karbon dan pelepasan gas rumah hijau;
Aspirasi kelima, infrastruktur ekonomi berkualiti tinggi dan berdaya saing yang memfokuskan kepada ketersediaan infrastruktur ekonomi yang mempunyai kapasiti untuk menyokong dan mengembangkan perniagaan negara; dan
Aspirasi keenam, tadbir urus yang baik dan kecemerlangan perkhidmatan awam yang memfokuskan kepada memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif melalui tadbir urus dan perkhidmatan awam yang telus, cekap dan mengikut peraturan yang jelas.
Ketiga-tiga blueprint ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam menyusun semula strategi pembangunan negara secara lebih responsif, inklusif dan berimpak tinggi demi memastikan Wawasan Brunei 2035 dapat dicapai dalam suasana global yang semakin mencabar.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Jabatan Perdana Menteri mendukung sepenuhnya usaha merealisasikan matlamat negara melalui pendekatan whole of government dan whole of nation. Antaranya, dalam memperkukuh urus tadbir strategik dengan penggubalan dasar pembangunan jangka panjang berasaskan bukti yakni evidence-based policy yang memberi impak nyata dan berpanjangan kepada rakyat dan negara, termasuk penyediaan kerangka penilaian impak dasar yang komprehensif dan mekanisme pelaporan kemajuan pelaksanaan yang sistematik dan telus dengan penetapan petunjuk-petunjuk prestasi utama yakni KPI yang jelas untuk memantau keberkesanan dan pencapaian matlamat dasar.
Kedua, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam melalui pelan permodenan dan transformasi institusi yang menumpukan kepada pembangunan kapasiti institusi dan modal insan, inovasi penyampaian dan pengukuhan akauntabiliti dan keberhasilan bagi mempertingkatkan mutu pencapaian perkhidmatan awam, kerajaan terus melaksanakan perkhidmatan yang berkualiti, berpaksikan rakyat dan berasaskan data sambil memanfaatkan teknologi digital secara optimum.
Salah satu inisiatif ke arah ini ialah Sistem E-Pemudelian Pelanggan, EPP yang membolehkan orang ramai memberi maklumbalas secara langsung terhadap perkhidmatan kerajaan, data yang dikumpul akan menjadi asas penting bagi penambahbaikan berterusan di samping membuka peluang penerapan teknologi seperti kecerdasan pembuatan Artificial Intelligence, AI dan Big Data untuk memperkukuh kecekapan dan responsif Sistem Perkhidmatan Awam.
Seterusnya mengambil pendekatan yang menyeluruh dan proaktif dalam memelihara keselamatan dan kestabilan negara demi menjaga kemaslahatan seluruh lapisan rakyat, kerajaan memberi keutamaan kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta pembudayaan masyarakat, law-abiding yang celik dan patuh kepada peraturan yang dikuatkuasakan.
Sejajar dengan ini, Jabatan Perdana Menteri menyokong pelaksanaan inisiatif seperti Pindaan Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025 dan kempen kesedaran Waspada.bn. Usaha penguatkuasaan turut diperkukuh melalui pelaksanaan Social Blueprint dengan penekanan kepada pencegahan penguatkuasaan dan kesiapsiagaan selaras dengan Matlamat Strategik 6 di bawah Aspirasi 4.
Seterusnya mengutamakan keberhasilan yang memfokuskan kepada kepentingan negara dan kemaslahatan rakyat melalui pelaksanaan dasar yang tidak hanya berorientasikan output tetapi menjurus kepada hasil yang memberi perubahan positif dan berpanjangan dalam kualiti hidup rakyat, kesejahteraan sosial dan daya saing negara di peringkat serantau dan global termasuk memastikan setiap inisiatif pembangunan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan yang baik yakni decent work, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Dalam mendukung perihal negara yang mampan termasuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, peningkatan kecekapan tenaga dalam sektor awam dan swasta serta penyediaan dasar dan hala tuju tenaga negara yang mendukung agenda kepelbagaian ekonomi di sektor hiliran Minyak dan Gas, kelestarian dan keselamatan tenaga secara jangka panjang, Negara Brunei Darussalam berjaya mengekalkan kadar elektrifikasi yang tinggi ditahap 99.99 peratus pada tahun ini. Alhamdulillah, kadar ini dicapai melalui penyambungan rangkaian tenaga elektrik ke Mukim Sukang dan kawasan pendalaman di Daerah Belait, memenuhi keperluan harian bagi penduduk-penduduk di mukim tersebut.
Di samping itu, usaha-usaha bagi mengekalkan sektor hulian Minyak dan Gas tetap sahaja digiatkan. Memperkasa kerjasama merentas sektor melalui platform penyelarasan dasar dan dialog-dialog inklusif bersama sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, NGOs, masyarakat dan institusi akademik bagi menghasilkan dasar yang lebih holistik, berimpak tinggi dan responsif kepada keperluan rakyat dan membangun keupayaan data kebangsaan secara menyeluruh melalui kerjasama rentas agensi bagi mendukong penggubalan dasar yang tepat berasaskan maklumat yang sahih dan terkini selaras dengan keperluan Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Berdaya Tahan, Sustainable Development Goals, SDG. Jabatan Perdana Menteri juga memudah cara dasar-dasar yang kondusif untuk pelaburan strategik, pembangunan model insan termasuk pelaksanaan Perintah Pekerjaan (Upah Minimum), Pindaan 2025 dan inovasi sektor swasta.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kejayaan Wawasan Brunei 2035 bukan sahaja bergantung kepada perancangan yang rapi tetapi juga kepada kecekapan pelaksanaan dan semangat kebersamaan seluruh rakyat dan negara.
Maka itu, peramba/ kaola/ saya menyeru agar perbahasan usul ini diperkaya dengan pandangan yang membina dan berpandangan jauh demi memastikan dasar-dasar yang digubal benar-benar memberi impak yang besar dan berpanjangan kepada rakyat dan negara. Peramba/ kaola/ saya akhiri dengan penuh harapan dan keyakinan bertawakal ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dan berkat daulat kempimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar segala usaha yang dilaksanakan termasuk oleh Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan dibawahnya akan terus menyumbang secara langsung kepada kejayaan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 dan seterusnya kepada kemakmuran dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam yang berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja yang sama-sama kita cintai.
Sekian sahaja Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang dapat kaola sampaikan.
Sekian Wabillahit taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara
Ahli-Ahli Yang Berhormat, satu usul telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Saya persilakan seorang Ahli Yang Berhormat untuk mencadangkan usul ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kaola menyokong sepenuhnya usul yang dicadangkan. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara
Ahli-Ahli Yang Berhormat, usul yang telah dibawa oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II telahpun disokong oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Sekarang, saya ingin membukakan supaya usul ini dibahaskan dan saya ingin mengingatkan bahawa setiap ahli adalah diberikan selama 15 minit bagi setiap seorang Ahli Yang Berhormat untuk membuat ucapannya masing-masing.
Saya mulakan dengan menjemput Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof. Silakan.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof
Bismillahir Rahmanir Rahim, (doa dibaca) dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat, dengan penuh hormat dan takzim kaola merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberikan peluang menyokong sepenuhnya usul Wawasan Brunei 2035 yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Kaola sukacita juga mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II di atas mukaddimah serta penjelasan yang begitu komprehensif sebagaimana dalam ketiga buku-buku blueprint ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Sebagaimana kita sedia maklum, Wawasan Brunei 2035 adalah wahana aspirasi murni, iltizam dan visi strategik bersistematik, berpandangan jauh kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi mewujudkan ketahanan nasional yang berpengaruh besar untuk menjamin peningkatan kemajuan, kesejahteraan dan kemakmuran negara.
Dalam kesempatan ini, kaola ingin memetik titah-titah baginda yang sangat mustahak untuk kita semua renung dan mengambil iktibar yang berkaitan dengan Usul perbahasan Wawasan Brunei 2035.
Pertama, dengan hasrat wawasan ini adalah dijadikan sebagai carta hala tuju masa depan negara, memandu perancangan yang lebih bersistematik bagi menuju kepada sebuah negara dan mempunyai rakyat berpendidikan dan berkemahiran tinggi lagi berjaya, berkualiti dan mempunyai ekonomi yang dinamik lagi berdaya tahan;
Kedua, kejayaan dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 ini, menuntut perancangan pembangunan yang teliti, penyelarasan dan pensejajaran yang kukuh serta komitmen tinggi daripada atau kepada semua pihak iaitu juga bergantung kepada pelaksanaan cekap sebagai asas kepada pembangunan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan; dan
Ketiga, tidaklah wajar membiarkan wawasan ini seperti, sebagai satu retorik intelektual semata-mata yang cuma indah dalam sebutan tetapi kita mesti melaksanakannya dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Bagi pendapat kaola, cabaran yang dihadapi 10 tahun mendatang menuju ke tahun 2035.
Bagaimanakah peranan dan komitmen bersama, bukan sahaja semua kita yang berada di Dewan Majlis yang mulia ini, malahan melangkaui kesemua stakeholders yang berkepentingan khususnya perkhidmatan awam, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan juga semua lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dalam menanai dan menjunjung tinggi titah baginda ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Dalam mendukung dan menyokong ketiga-tiga blueprint, Alhamdulillah, kaola sendiri telahpun meneliti dan menyelusuri dokumen-dokumen berkenaan di mana hasil penelitian jika diizinkan kaola ingin menghighlight beberapa isu sebagai pencambahan idea serta nilai tambah untuk diambil perhatian dan pertimbangan sewajarnya dalam ikhtiar memperk3sankan lagi kerangka ketiga-tiga blueprint.
Pertamanya berhubung dengan Manpower Blueprint. Antara cabaran dan isu yang telah dikenalpasti adalah untuk menyediakan perancangan bagi 6,000 hingga 7,000 graduan setiap tahun. Merujuk perangkaan Pusat Pekerjaan Brunei mencatatkan seramai 13,710 pencari kerja aktif, setakat 30 Jun 2025. Manakala kadar pengangguran belia adalah 16.8 peratus. Daripada jumlah tersebut seramai 5,033 dikategorikan sebagai pencari pekerjaan graduan Institut Pengajian Tinggi dan mempunyai sekurang-kurangnya Bachelor’s Degree.
Ini menggambarkan terdapatnya jurang antara sistem pendidikan dan keperluan sebenar industri termasuk program dan kemahiran yang mismatch. Persoalan dan cabarannya, adakah telah dilaksanakan pengauditan secara komprehensif terhadap sistem pendidikan dan program-program pengkajian untuk diselaraskan dengan perkembangan dan keperluan industri di negara ini, bukan saja pada masa ini malahan menjangkaui kepada masa akan datang, dalam usaha menangani isu ini ke arah kebolehpasaran yang lebih optimistik?
Adalah dicadangkan, supaya pihak yang berkenaan akan dapat melaksanakan pemantauan graduate career matching platforms untuk memperkukuhkan lagi perancangan yang lebih bersistematik di samping mengenal pasti pelbagai bidang kemahiran yang bersesuaian dalam program-program pengajian dan latihan perantisan, misalnya Program SkiPPA atau i-Ready seharusnya diselaraskan dengan keperluan industri dalam jurusan tertentu. Mereka yang memenuhi kriteria-kriteria perkhidmatan dari aspek kepakaran serta prestasi perkhidmatan kecemerlangan bolehlah ditawarkan bekerja secara tetap.
Insya Allah, tatacara sedemikian ini boleh menangani brain drain sekaligus mengoptimise golongan profesional yang talented di samping menjadikan modal insan lebih responsif dengan memujudkan value-added upskilling dan reskilling program menjurus kepada result-oriented.
Manakala menyentuh isu pelajar tercicir dalam sistem pendidikan formal, merujuk Manpower Blueprint seramai 3,849 orang bagi tahun 2021 dikategorikan sebagai unemployed iaitu not in employment, education or training. Mereka ini dikategorikan boleh juga unproductive, berisiko menjadi liabiliti serta berkemungkinan mengakibatkan rantaian kemiskinan antara generasi.
Bagi menangani isu ini, ada baiknya diwujudkan kepelbagaian program alternatif seperti kaedah work-based learning yang disediakan oleh stakeholders berkepentingan, berkolaborasi antara sektor awam khususnya institut pendidikan, industri swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. Ini dihasratkan kebolehpasaran pekerjaan yang lebih meluas.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Mengenai isu sosial pula, mengenai Social Blueprint. Apakah usaha pendekatan dalam memperkesankan lagi tatacara pelaksanaan ketiga-tiga blueprint khususnya Social Blueprint ini ke arah penyerapan dan kepenghayatan bagi menserasikan Maqasid Al-Syariah yang dijadikan sebagai tunjang kepada pengumpulan hasil statistik blueprint dan haluan dasar di antara pentadbiran.
Seterusnya, dalam mengukur tahap taraf kehidupan sosioekonomi rakyat dan penduduk di negara ini, adakah penilaian atau indikator digunakan mengikut garis pandu amalan terbaik piawaian antarabangsa seperti kaedah Gini coefficient bagi mengukur jurang agihan income and wealth distribution negara? Begitu juga kaedah Global Multidimensional Poverty Index daripada pertubuhan United Nations Development Programme yang menilai dan mengukur threshold atau tahap kemiskinan individu. Tujuannya untuk memperkesankan dengan mengemaskinikan lagi penggubalan dasar dan plan rangka kerja serta program-program berstrategik dan bersistematik, di samping pemantauan rapi bagi menangani isu kemiskinan dan golongan vulnerable.
Walaupun pelbagai bentuk bantuan saluran melalui Skim Kebajikan Negara, SKN mahupun pengagihan zakat melalui Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal, kebergantungan kepada bantuan kerajaan masih lagi mencatatkan seramai 7,375 orang daripada 10,041 orang penerima bantuan sehingga April 2024 adalah individu yang dikategorikan able-bodied dan able to work. Cabarannya, bagaimanakah tatacara lebih efektif selain program-program yang disediakan pada masa ini dalam usaha mengeluarkan golongan tersebut daripada kepompong kemiskinan?
Selain mengikut program-program yang komprehensif, mereka ini juga semestinyalah dipertingkatkan penyerapan semangat berusaha dan bekarih malahan yang lebih penting lagi pada pendapat kaola penghayatan nilai-nilai keugamaan dan kerohanian supaya berjaya menghasilkan sumber pendapatan sehingga behijrah ke mindset dan sikap mandiri.
Ini adalah bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ar-Ra'd, Ayat 11, tafsirannya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan ke suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” Malahan insya Allah bukan sahaja sebagai penerima bantuan zakat tetapi juga mungkin akan menjadi seorang muzakki iaitu pemberi zakat sesuai dengan pengajaran dan iktibar dari hadis Rasulullah SAW, riwayat Imam Al-Bukhari: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah”.
Kejayaan program sedemikian ini, insya Allah menjadi tauladan dan dorongan kepada golongan penerima bantuan dan zakat sekaligus menjadi masyarakat produktif dan aset bukan lagi sebagai liabiliti negara. Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal perlu juga diserlahkan peranannya secara signifikan ke arah bersama-sama mencapai Wawasan Brunei 2035. Ini adalah bertepatan dengan peranan dan serta tanggungjawab JUZWAB dalam hal ehwal pengurusan zakat secara teratur dan efisien bagi memperkasakan program kepada golongan asnaf. Di samping itu, mengembangmajukan harta wakaf, menangani kemaslahatan golongan sasaran memantapkan tahap sosioekonomi sekaligus insya Allah boleh menyumbang kepada memperkukuhkan fiskal negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Berhubung dengan Economic Blueprint, kaola berpandangan apa jua dasar dan peraturan sebelum ianya diperkenalkan, ada baiknya pengkajian dan penyelidikan dilaksanakan terlebih dahulu dengan penuh penelitian dan penganalisaan secara komprehensif di samping melibatkan stakeholder berkepentingan bagi mengelakkan sekurang-kurangnya minimise risiko yang mungkin berpotensi mendatangkan negative impact kepada perkembangan sosioekonomi negara dan mungkin boleh menjadi batu penghalang atau yang bertentangan dengan dasar misalnya daya tarikan pelabur asing, ease of doing business, dan persekitaran ekonomi, ekosistem bisnes yang lebih kondusif dan friendly di negara ini.
Berdasarkan statistik Investment Report 2024, prestasi FDI negara menurun dari US dollars 03 daripada 2022 kepada 01 billion dollars 2023 yang dianggap terendah di ASEAN. Menyedari akan kepentingan FDI adalah merupakan penyumbang pemacu ekonomi serta mendatangkan spin-off dan multiplier effect bagi menggerak majukan perkembangan aktiviti ekonomi ke arah yang lebih mantap dan berdaya tahan.
Negara semestilah bertindak secara agresif serta menggorak langkah yang lebih berstrategik, berinovatif, kompetitif untuk menarik lebih ramai lagi pelabur ke negara ini terutama sekali yang berkualiti dan berteknologi tinggi serta mendatangkan impak yang sangat signifikan. Ini antara lainnya menambah baik, mengemaskini dan memperkembangkan lagi tatacara pendekatan yang lebih kondusif, bersepadu secara sinergi dalam aspek-aspek seperti berikut;
Pertama, semua agensi-agensi berkepentingan semestinyalah bertindak sebagai pemudah cara dan meningkatkan efficiency serta mempercepatkan pemprosesan permohonan;
Kedua, memperbaiki dan mengemaskini pemprosesan yang bertindih-tindih supaya menjurus ke arah streamline atau yang lebih baik lagi mewujudkan one-stop-agency bagi menyelaraskan dan menyegerakan permohonan;
Ketiga, memperluaskan kemudahan dan mempertingkatkan lagi kualiti dan efficiency infrastructure digital, utiliti, connectivity dan accessibility yang lebih kondusif serta untuk memenuhi keperluan industri;
Keempat, menyediakan sumber tenaga manusia dalam pelbagai kemahiran dan berteknologi tinggi diselaraskan dengan sistem pendidikan tertinggi mengikut piawaian antarabangsa bagi memenuhi keperluan industri; dan
Kelima, kesediaan memenuhi piawaian antarabangsa dan standard negara berkenaan yang membolehkan pengekspotan produk tempatan ke luar negeri.
Bagi pendapat kaola, faktor-faktor yang dinyatakan tadi ada juga berkait rapat dalam mematuhi dan memantuni sebagai daya tarikan lebih ramai pengusaha dan peniaga-peniaga kecil dan sederhana sama ada memulakan atau mengembang majukan lagi aktiviti perniagaan di negara ini sejalan dengan ease of doing business, and business environment and (audio kurang jelas) eco-friendly.
Ini termasuklah juga tatacara menambah baik dan mengemaskini menyediakan fasiliti kewangan khususnya PMKS yang masih lagi terhad terutama sekali faedah yang tinggi dan masalah koletral. Pelaburan research and development perlu direbiu dan diteliti untuk diperluaskan serta diperkasakan yang mana juga merupakan nadi utama memacu serta memantapkan dinamik sosioekonomi sesebuah negara.
Antara tujuannya dan nampaknya meningkatkan penggunaan aplikasi berteknologi tinggi seperti digital dan artificial intelligence sebagai value-added yang berupaya meningkatkan produktiviti serta produk berkualiti, kreatif, inovatif dan berskala besar.
Mewujudkan pelbagai industri aliran sekali gus memperluaskan skop aktiviti perindustrian dan perekonomian. Meningkatkan knowledge-based economy dan tahap perkembangan dalam pelbagai kepakaran dan kemahiran. Menjana lebih banyak lagi peluang pekerjaan dalam pelbagai kemahiran.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan juga Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kaola berpandangan prinsip hala tuju kerangka pelan tindakan serta program-program yang digariskan dalam ketiga-tiga blueprint ini merangkumi pelbagai aspek untuk diimplementasikan ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Walau bagaimanapun, dari hasil penelitian kaola, ada baiknya juga diteliti dan diambil perhatian yang boleh dijadikan sebagai value-added tatacara memperkesankan serta mengemaskinikan dalam memperkasakan lagi kerangka pemantauan serta pelaksanaan yang lebih transparent dan bersistematik.
Pertama, memerlukan pelan tindakan pelaksanaan yang menyeluruh termasuk penyediaan milestone time frame. Izinkan koala meneruskan sedikit lagi Pehin, kalau diizinkan Pehin. (Yang Berhormat Yang Di-Pertua menganggukkan kepala tanda untuk meneruskan). Terima kasih Yang Berhormat Pehin.
Kedua, menyediakan indicator prestasi utama yang lebih transparent untuk dijadikan kayu ukur, measureable target dalam menilai tahap pencapaian kesemua sektor;
Ketiga, Merebiu dan mengenal pasti, menganalisa secara bersistematik tahap mid-term review atau laporan berkala mengikut time frame yang ditetapkan. Ini membolehkan penambahbaikan dasar pelan tindakan inisiatif di samping merungkai penyelesaian masalah yang memastikan pencapaian target.
Akhirnya sekali lagi kaola sukacita ingin memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk dijadikan pedoman “...kita memerlukan institusi yang kukuh, urus tadbir yang berkesan dan penggunaan data yang menyeluruh sebagai asas perancangan dan keputusan strategik dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035”.
Pada kesimpulannya, dalam pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tersebut, apa yang penting, apa yang penting bagi pendapat kaola adalah peranan kita semua, setiap lapisan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam, khususnya stakeholders yang berkepentingan semestinyalah bersama-sama bekerjasama dan berhijrah ke arah mentransformasi supaya lebih bekerja keras, lagi penuh bertanggungjawab dengan titih kerja yang murni lagi titih, terpuji, berintegriti dan lutanan, berdedikasi, bekerjasama dengan erat lagi padu dalam menjalankan tugas yang diamanahkan secara ukhuwah dalam pendekatan whole of nation approach berlandaskan Melayu Islam Beraja dalam mendukung dan insya Allah merealisasikan Wawasan Brunei 2035. Amin Amin Ya Rabbal Alamin.
Sekian Wabillahit taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Sekali lagi kaola mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberikan extension masa kepada kaola. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin.
Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat hadir di Dewan yang mulia ini dan kaola merakamkan ribuan terima kasih atas kesempatan yang diberikan bagi sama-sama membahas Usul yang dibawakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II mengenai Wawasan Brunei 2035. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Mengimbas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bahawa perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035 memerlukan kerjasama, inovasi dan semangat yang tinggi, marilah kita sama-sama menghayati amanat tersebut dengan penuh iltizam. Sesungguhnya titah tersebut mencerminkan visi kepimpinan baginda yang jauh ke hadapan dalam memastikan kemajuan dan kesejahteraan negara terus tercapai dalam suasana aman, makmur dan berkat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Wawasan Brunei 2035 ialah pelan strategik jangka panjang yang dilancarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk membentuk masa depan negara yang lebih sejahtera, maju dan berdaya saing.
Ianya dirangka bagi mencapai 3 matlamat utama iaitu; Pertama, rakyat yang berpendidikan dan kemahiran tinggi; Kedua, kualiti hidup yang tinggi; dan Ketiga, ekonomi yang dinamik dan mampan. Wawasan ini menjadi panduan utama dalam menunjuk tanda aras pembangunan negara menjelang 2035. Namun, dalam mencapai matlamat ini, terdapat beberapa cabaran dan persoalan yang perlu diberikan perhatian agar impian ini tidak hanya kekal di atas kertas. Wawasan Brunei 2035 menekankan keperluan untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan tinggi dan memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa dan masa depan.
Pelaburan besar telah dibuat dalam sektor pendidikan termasuk penambahbaikan kurikulum, penyediaan kemudahan moden dan program latihan teknikal. Namun begitu, persoalan timbul adakah sektor swasta dan kerajaan mampu menyerap graduan yang berkemahiran tinggi?
Kedua, jika rakyat dilatih tetapi tiada peluang pekerjaan yang sesuai, adakah ini akan menimbulkan masalah pengangguran terlatih atau penghijrahan tenaga kerja keluar negara? Walaupun rakyat lebih terlatih, sektor seperti pembinaan dan perkhidmatan masih bergantung kepada pekerja asing kerana kekurangan minat rakyat tempatan. Ini menunjukkan bahawa latihan semata-mata tidak mencukupi tanpa disertai dengan peluang pekerjaan yang relevan dan menarik kepada rakyat tempatan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Salah satu sasaran utama Wawasan 2035 ialah memastikan rakyat menikmati kehidupan yang selesa, selamat dan sihat. Ini melibatkan peningkatan dalam sistem kesihatan, perumahan, pengangkutan awam dan penjagaan sosial. Usaha ini penting untuk memastikan keharmonian dan kestabilan sosial negara. Namun demikian, masyarakat masih belum merasai kesan menyeluruh usaha ini dan beberapa persoalan wajar diketengahkan. Adakah sistem pengangkutan awam benar-benar menyediakan pilihan yang selamat, murah dan mudah diakses oleh semua?
Program perumahan mungkin wujud tetapi bagaimana dengan soal kelayakan, kos penyelenggaraan dan tempoh menunggu? Adakah sistem pemilihan untuk mendapatkan rumah kerajaan telus dan adil? Adakah bantuan kebajikan bersifat jangka pendek semata-mata atau menyumbang kepada pembebasan daripada kemiskinan secara jangka masa panjang? Kesemua ini menunjukkan bahawa pelaksanaan dasar perlu bersifat inklusif, saksama dan berkesan agar matlamat meningkatkan kualiti hidup rakyat benar-benar tercapai.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Wawasan ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan Brunei terhadap hasil minyak dan gas dengan mempelbagaikan sektor ekonomi serta pelancongan, pertanian moden, teknologi dan kewangan Islam. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan menjamin kestabilan ekonomi jangka masa panjang. Namun, terdapat beberapa persoalan penting, adakah sektor-sektor baru ini benar-benar mampu menggantikan dominasi sektor minyak dan gas?
Adakah rakyat bersedia berminat dan cukup dilatih untuk menceburi bidang-bidang baharu seperti teknologi dan pertanian moden? Adakah sokongan kerajaan dan infrastruktur cukup untuk menjadikan sektor-sektor ini berdaya saing di peringkat antarabangsa? Ini menunjukkan bahawa usaha mempelbagaikan ekonomi perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan disokong dengan dasar, latihan dan pelaburan jangka panjang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Jika semua rakyat Negara Brunei Darussalam memainkan peranan masing-masing, matlamat Wawasan Brunei 2035 bukan sahaja boleh dicapai malah boleh meletakkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang cemerlang dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Namun, kejayaan sebenar bergantung kepada perlaksanaan yang adil, inklusif dan lestari serta penyelesaian terhadap persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan. Dengan ilmu, semangat kerjasama dan kepimpinan yang bijaksana, negara Brunei pasti dapat melangkah ke hadapan menuju masa depan yang lebih gemilang.
Sekian daripada kaola, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Wabillahit taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara.
Terlebih dahulu, izinkan kaola merakamkan penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberi laluan kepada kaola untuk turut sama menyokong Usul Wawasan Brunei 2035 seperti yang dibawakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Terima kasih juga di atas penerangan terperinci oleh Yang Berhormat Menteri mengenai Usul yang dibentangkan dan usaha-usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah mencapai wawasan ini.
Pada pengamatan kaola, kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya Usul ini dibahaskan di Dewan yang mulia ini, mencerminkan keyakinan dan kepercayaan baginda terhadap peranan Dewan ini sebagai medan percambahan fikiran bagi mengetengahkan isu-isu semasa yang melibatkan kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat yang memerlukan kerjasama yang kukuh, inovasi dan semangat juang yang tinggi dari semua pihak.
Ianya juga menggambarkan hasrat serta harapan tinggi baginda yang Dewan ini akan menghasilkan sokongan bersepadu digagaskan dengan pendekatan senegara bagi merealisasikan matlamat-matlamat wawasan lebih-lebih lagi dalam suasana politik dan sosial ekonomi global yang tidak menentu dan sukar diramal.
Wawasan Brunei 2035 yang diilhamkan sendiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada hemat kaola menjadikan ia bukan saja sebagai dasar rasmi, malahan juga merupakan cerminan hasrat dan iltizam baginda dalam gagasan masa depan negara yang berterusan makmur dan gemilang. Didukung oleh rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran dengan ekonomi yang dinamik, berdaya tahan dan inklusif.
Titah baginda sempena hari puja usia baginda ke-79 tahun pada 15 Julai 2025 yang lalu yang menggariskan beberapa inisiatif berkeutamaan baru setentunya memberikan impak yang positif pada pembangunan negara selaras dengan perubahan landskap sosial dan keperluan semasa. Ini adalah isyarat jelas bahawa negara sentiasa bersedia menyesuaikan dasar-dasar dengan tuntutan zaman dan teknologi tanpa mengabaikan nilai-nilai murni sebagai sebuah negara zikir yang berpaksikan amalan Melayu Islam Beraja.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah di atas penggubalan tiga buah blueprint sebagai panduan kepada pihak berkepentingan untuk mengembangmajukan negara. Kaola penuh yakin penerbitan ketiga-tiga blueprint ini Insya Allah akan mampu mempercepatkan lagi perlaksanaan program-program yang dirancang dengan lebih teratur dan terarah.
Untuk itu, izinkanlah kaola untuk memberi sedikit pandangan dan saranan sebagai nilai tambah bagi menyokong Usul Wawasan Brunei 2035. Pandangan kaola ini mengambil kira maklum balas dari orang ramai termasuk masyarakat perniagaan PMKS dan perusahaan belia. Ianya sangat berkait langsung dengan isu pekerjaan, pembasmian kemiskinan, kos sara hidup, cost of doing business yang kesemuanya melibatkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini.
Enam aspirasi dan hala tuju dasar yang dibentangkan dalam Economic Blueprint ini, kaola rasa adalah sudah cukup luas untuk diterokai oleh para usahawan bagi memajukan perniagaan mereka terutamanya yang memanfaatkan teknologi dan inovasi. Namun bagi memastikan keberkesanannya, kaola berpendapat setiap blueprint harus disertai dengan pelan tindakan pelan jalan yang lebih terperinci supaya ianya akan menjadi living document bagi memudahkan pihak-pihak yang berkepentingan untuk menyambut baik dan melibatkan diri secara aktif dan mencapai sasaran wawasan ini. Sinergi, koordinasi, alignment dan intergrasi yang rapi antara agensi pelaksana akan mempercepatkan proses membuat keputusan dan memperkukuhkan keyakinan semua pihak untuk menyumbang sama ke arah pencapaian matlamat yang disasarkan. Ini diharap akan bertindak memperbaiki ekosistem perniagaan secara holistik.
Kaola menyedari bahawa banyak usaha telah pun dilaksanakan oleh agensi-agensi yang berkepentingan dalam memperkembangkan ekosistem perniagaan pada ketika ini. Namun keberkesanan penuh inisiatif ini hanya akan dicapai dengan kerjasama semua pihak. Justeru, kaola menyarankan agar proses ini disemak semula secara menyeluruh bagi memastikan ekosistem ini bukan sahaja telus dan cekap tetapi mesra perniagaan pelaburan serta menyokong pertumbuhan peniaga tempatan terutama PMKS.
Dengan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif dan pro-bisnes, ianya dijangka memperbanyakkan lagi peluang perniagaan perusahaan domestik, perdagangan, perkhidmatan dan sekali gus menarik lebih banyak FDI baru ke negara ini. Ini insya Allah, akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang baru dan berkualiti yang diharap akan mengurangkan kadar pengangguran, labour under-utilisation dan bilangan rakyat yang tergolong dalam kategori kemiskinan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bagi mencapai hala tuju yang disasarkan, pada pendapat kaola, dasar dan perancangan yang dibentangkan perlulah dimantapkan dalam sistem pelaksanaan, delivery system dan sistem pemantauan yang cekap dan berkesan.
Sistem pencapaian perlu bersifat tangkas, responsif dan berorientasikan penyelesaian. Setiap strategi perlu didukung oleh sasaran yang boleh diukur, milestones yang jelas dan dilengkapi dengan indicator kejayaan. Ianya juga perlu dinilai secara objektif dan berterusan bagi menyukat impak sebenarnya on-the-ground.
Kaola rasa cabaran ini bukanlah semata-mata akan dapat diselesaikan hanya dengan pengenalan teknologi atau transformasi digital yang pantas dan canggih sahaja, ianya juga memerlukan kita mengungkap seluruh isu ini dan perubahan minda, sikap dan komitmen dalam kita melaksanakan tanggungjawab dan amanah kita semua. Ke arah itu, Standard Operating Procedure dan komunikasi antara agensi pelaksana perlulah jelas, sejalan dan transparent. Kaola memang menyedari bahawa banyak inisiatif telahpun diusahakan ke arah memperkekasan dan meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam. Namun begitu, realitinya kita masih mendengar keluhan dari orang ramai mengenai prosedur yang memakan masa serta tidak keseragaman dalam pemprosesan.
Ke arah itu, penjawat awam sebagai tulang belakang perlaksanaan dasar negara perlu terus diperka dengan latihan budaya kerja yang progresif dan kesediaan untuk menerima perubahan agar mampu memudah cara dan mempercepatkan urusan rakyat dengan lebih efisien. Pengemaskinian dan penilaian Civil Service Framework harus dilaksanakan secara berterusan. Ianya juga perlu disokong dengan kerangka pembangunan sumber manusia yang kukuh yang memuatkan pengenalpastian talent, succession planning, mengukuhkan bakat kepimpinan serta pengukuhan budaya kerja berintegriti dan profesionalisma. Perkhidmatan awam yang progresif akan mampu menghasilkan lebih banyak lagi pegawai-pegawai yang cemerlang dan berwibawa yang akan menjadi future leaders yang akan bertindak menjadi pemangkin ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035 secara bersepadu dan coordinated, insya Allah.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dalam perbahasan Belanjawan 2025/2026 yang lalu, kaola telah menyarankan keperluan untuk mengaktifkan kemudahan Strategic Development Capital dan sebahagian reserve fund negara bagi pelaburan domestik sebagai perangsang aktiviti perekonomian tempatan serta penarikan FDI.
Dana ini boleh saja ditumpukan bagi pelaburan domestik yang strategik terutamanya di dalam sektor bukan minyak dan gas seperti teknologi hijau, industri halal, fintech dan kewangan Islam, pelancongan eksklusif dan pertanian pintar. Pasaran global halal dan pelancongan, misalnya menawarkan peluang besar dan harus diterokai secara agresif dan tersusun.
Begitu juga bagi industri IT dan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan yang sekarang menjadi salah satu penyumbang pertumbuhan ekonomi bagi negara-negara di rantau ini. Untuk itu, pelan transformasi digital bagi menjadikan negara sebagai Connected Smart Nation termasuk yang mengetengahkan potensi Artificial Intelligence, AI dalam pelbagai sektor seperti yang dititahkan baru-baru ini oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, harus dipercepatkan pelaksanaannya, lebih-lebih lagi bagi meraih faedah dari penguatkuasaan Perintah Perlindungan Data Peribadi yang akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2026. Pelaburan dalam sektor-sektor ini bukan sahaja akan mempelbagaikan ekonomi malahan akan meluaskan lagi asas pendapatan negara di samping membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat tempatan khususnya golongan muda. Ini, insya Allah akan mampu memenuhi aspirasi bukan sahaja bagi menghasilkan rakyat yang berkemahiran, adaptif dan inovatif malahan yang mandiri, berdaya tahan dan siap siaga masa depan, future-ready tanpa membelakangkan nilai-nilai kerohanian dan ukhrawi serta amalan Melayu Islam Beraja negara. Langkah ini juga diharap akan merealisasikan aspirasi untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai hab pelaburan dan perdagangan dan menarik FDIs dengan rangkaian pasaran yang mantap.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola menyambut baik usaha pihak DARe, BEDB dalam menyediakan tapak-tapak industri dan perniagaan di negara ini. Namun sebilangan tapak industri ini masih perlu dinaikkan tarafnya supaya ianya industry-ready dan berdaya saing. Untuk menjamin kesinambungan dan impak jangka panjang, pembangunan ini perlu didasari oleh dasar industri yang menyeluruh. Ke arah itu, Integrated Industrial Policy, IIP yang sedia ada harus diperkemaskan lagi supaya ia akan lebih komprehensif, kompetitif, responsif dan affordable serta dilengkapi dengan kajian pasaran serta analisa kebolehlaksanaan.
Dalam aspek ini, kaola turut menyarankan supaya diteliti kemungkinan untuk mewujudkan Free Economic Zone ataupun Free Trade Zone dengan peraturan yang favourable sebagai pemacu dan pemangkin pertumbuhan industri strategik negara berasaskan kluster-kluster yang telah dikenal pasti. Bagi menggalakkan penglibatan pengusaha tempatan terutamanya PMKS, program Local Business Development juga perlu diperluaskan sebagai langkah untuk meraih spin-off dari aktiviti-aktiviti ekonomi ini.
Di sinilah juga pentingnya peranan institusi kewangan domestik sebagai penggalak ke arah mengaktifkan penglibatan pengusaha tempatan secara spesifik. Laporan Bank Pusat Brunei bagi tahun 2024 menunjukkan sebahagian besar simpanan dalam industri kewangan di negara ini masih belum banyak dimanfaatkan untuk pelaburan dalam sektor ekonomi sebenar, real sector.
Ke arah itu, kaola ingin menyarankan supaya peraturan mengawal institusi kewangan negara akan diteliti semula dan dikemaskinikan agar ianya lebih inklusif dan proaktif dalam menyokong pertumbuhan perniagaan bagi membantu perkembangan ekonomi domestik secara meluas.
Cadangan ini kaola ajukan kerana dalam sesi perjumpaan dengan pengusaha tempatan termasuk Young Entrepreneurs Association of Brunei, kita bersyukur dan turut berbangga dengan peningkatan penglibatan belia dalam bidang perniagaan. Perusahaan belia ini banyak yang telah berani meneroka bidang-bidang baharu misalnya bidang perekonomian digital, inovasi sosial, agribisnes, aquaculture, industri kreatif, perisian, hartanah dan sebagainya. Cuma cabaran yang mereka hadapi ialah kesukaran untuk mendapatkan akses kepada kewangan dan upgrading kemahiran mereka.
Kaola menyedari bahawa memang telah terdapat beberapa skim yang telah disediakan untuk membantu belia-belia ini. Namun usahawan muda ini masih lagi bergelut dengan isu mengadakan dan memenuhi jaminan, collateral bagi pinjaman mereka dengan kadar faedah keuntungan yang berpatutan.
Ke arah itu, salah satu opsyen yang boleh diterokai ialah kemungkinan fungsi Bank Usahawan yang sedia ada akan dikemaskinikan bagi menghulurkan pembiayaan tersasar kepada usahawan muda dan start-up tempatan termasuk dalam memberikan bimbingan kemahiran PMKS secara menyeluruh dengan kadar keuntungan yang berpatutan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dalam usaha kita menunaikan Wawasan Brunei 2035, kaola menyokong sepenuhnya usaha kerajaan dalam mengamalkan pendekatan senegara whole of nation approach. Alhamdulillah, pendekatan ini memang sangat perlu untuk membantu meningkatkan inclusivity dalam membuat sebarang penggubalan dasar dan peraturan.
Walaupun amalan ini telah dilaksanakan dalam beberapa keadaan, pada hemat kaola ianya masih bersesuaian untuk diperluaskan lagi, memandangkan kesan positifnya dalam penggubalan dasar dan peraturan yang dirancang. Penglibatan pihak yang berkepentingan terutamanya dari market industrial players serta golongan profesional akan memperkayakan dasar-dasar negara dengan pandangan pelbagai sektor dan latar belakang. Ianya bukan saja akan memberikan gambaran sebenar mengenai keadaan semasa on-the-ground malahan ianya juga akan bertindak mengukuhkan tadbir urus yakni governance.
Walau bagaimanapun, kriteria lantikan perlulah dikukuhkan berdasarkan merit, integriti dan profesionalisme. Tidak kurang pentingnya juga ialah penyebaran yang komprehensif, transparent dan serta berterusan terhadap inisiatif kerajaan. Pemberigaan ini dihasratkan untuk memberikan perspektif yang betul, positif dan jelas terhadap usaha dan inisiatif kerajaan.
Ke arah itu, peranan media rasmi adalah perlu dimantapkan agar rakyat memahami rasional di sebalik sesuatu dasar dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat. Media yang berwibawa akan menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat memupuk kepercayaan dan sokongan berterusan terhadap terhadap dasar negara. Ianya memainkan peranan strategik dalam membina imej positif negara menarik lebih banyak lagi penyertaan rakyat dan penduduk serta pelabur dan pelancong.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sekianlah saja pandangan ringkas kaola sebagai input bagi menyokong usul Wawasan Brunei 2035. Kaola percaya bahawa Wawasan Brunei 2035 ini semakin penting dalam mendapani cabaran dunia yang kian kompleks.
Apa yang utama ialah kesungguhan kolektif, koordinasi yang mantap serta semangat yang muafakat seluruh rakyat dan penduduk ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 ini supaya negara akan sentiasa menjadi negara Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur yang sejahtera lagi bahagia di bawah pemeliharaan Allah dan rakyat dan penduduknya sentiasa dalam kedamaian, kesejahteraan di bawah pimpinan bijaksana berwawasan dan prihatin Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Dengan izin Allah dan semangat kesepakatan kesepaduan, kaola penuh yakin bukan kita mampu mencapai Wawasan 2035 ini malah kita dapat melakukannya dengan penuh berhemah, bermaruah, berdaya bersaing dan berdaya tahan, Insya Allah.
Semoga negara akan sentiasa meraih keberkatan, mendapat petunjuk serta hidayah, berterusan dikurniakan kemakmuran, keamanan dan keselamatan di bawah perlindungan Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pemelihara.
Sekian, Wabillahi taufiq wal hidayah Assalamualaikum Warahmatullah. Kaola mohon maaf Pehin, kerana mengambil masa yang lebih dari 15 minit dan sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih ke atas kelonggaran Yang Berhormat Pehin berikan. Terima kasih Pehin.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.
Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd Salam
Terima Kasih Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua.
Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca). Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Awal kalam, kaola mulakan dengan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas peluang yang diberikan untuk kaola turut serta membahaskan usul yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II berkenaan dengan Wawasan Brunei 2035.
Kaola menyambut baik dan menyokong penuh usul tersebut yang bagi kaola sangat relevan kerana Wawasan Brunei 2035 bukan sekadar dokumen aspirasi yang dibayang-bayangkan tetapi adalah hala tuju strategik negara untuk dinikmati oleh semua rakyat. Pelaksanaannya menuntut pendekatan bersepadu berasaskan data penilaian impak dan transformasi sistem pentadbiran serta sosial.
Dalam kesempatan ini, kaola juga menghargai kesungguhan Yang Berhormat Menteri-Menteri dan semua pihak yang terlibat menyediakan dokumen-dokumen Blueprint yang ada dan melaksanakan pelan-pelan tindakan strategik negara dalam usaha mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kurang sepuluh tahun dari sekarang kita akan memasuki tahun 2035. Tahun sasaran untuk merealisasikan ketiga-tiga matlamat Wawasan Negara. Keutamaan kita sekarang ialah memastikan matlamat ini menjadi kenyataan untuk dirasakan oleh semua rakyat dan tidak hanya berlalu sebagai ristaan semata-mata. Ke arah itu, tiga asas penting yang mesti diperkukuh iaitu Perkhidmatan Awam yang cemerlang dan berintegriti, prasarana yang mantap dan masyarakat yang bersatu padu sebagai teras kekuatan sosial dan pemangkin kemajuan yang inklusif dan berdaya tahan.
Dalam kesempatan ini, izinkan kaola membahaskan mengenai pemerkasaan kecemerlangan Perkhidmatan Awam dan membasmi kemiskinan dan kebergantungan berterusan kepada bantuan. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Perkhidmatan Awam bukan sekadar pelaksana dasar tetapi wajah kerajaan kepada rakyat dan nadi penggerak pentadbiran negara. Tanpa penyampaian yang efisien dan responsif, dasar atau pelan terbaik sekalipun tidak akan memberikan kesan kepada rakyat malah ada yang mengecewakan rakyat.
Oleh itu, Perkhidmatan Awam mestilah mencapai tahap tertinggi dari segi kecekapan, integriti dan daya saing. Kaola mengambil maklum statistik Penggredan Prestasi Sektor Awam, 3PSA sehingga Tahun Kewangan 2023/2024 menunjukkan penurunan yang mana dua agensi mencapai tahap empat bintang sangat baik, enam agensi mencapai tiga bintang atau tahap baik, empat belas agensi mendapat dua bintang iaitu memuaskan dan dua puluh enam agensi mendapat satu bintang iaitu memerlukan pembaikan.
Adakah dilaksanakan penilaian ke atas keberkesanan strategi yang ada dan punca penurunan ini? Dan apakah pelan tindakan seterusnya untuk memastikan kualiti perkhidmatan negara ini di tahap cemerlang sebelum kita sampai ke tahun 2035? Alhamdulillah, kaola menghargai usaha kerajaan untuk terus meningkatkan kualiti dan Perkhidmatan Awam di negara ini. Kaola berharap pelan pemodenan Perkhidmatan Awam akan menutup jurang antara dasar yang digubal dengan penyampaian dan realiti kehidupan rakyat yang sering kali menjadi cabaran kepada rakyat ketika berhadapan dengan Perkhidmatan Awam negara.
Kaola kongsikan antara keluhan yang sering didengar di media-media sosial dan di dalam perkumpulan-perkumpulan ialah seperti birokrasi yang meluas, maklumat yang sukar untuk diakses, sistem yang tidak mesra pengguna sama ada ia fizikal ataupun digital terutamanya bagi golongan rentan ataupun vulnerable group. Dan kurang atau ketiadaan integrasi sistem dan proses antara kementerian ataupun agensi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, perkhidmatan yang cemerlang bukan satu pilihan, ia adalah kemestian dalam pentadbiran sesebuah negara. Oleh itu, dalam usaha kerajaan untuk mentransformasikan penyampaian dasar dalam Perkhidmatan Awam negara secara berkesan, kaola ingin menambah beberapa cadangan daripada apa yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri tadi. Iaitu antaranya mengadakan reformasi budaya kerja penjawat awam untuk menanamkan ataupun dengan menanamkan etika ‘Penjawat Awam Adalah Pemudah Cara’, berkhidmat untuk rakyat dan bersedia memberikan yang terbaik.
Seterusnya memperkukuh kaedah penilaian program 3PSA termasuk melaksanakan pemeriksaan merentas agensi atau cross-agency health check. Memperkenalkan pemantauan berasaskan hasil dan produktiviti, mewujudkan dashboard prestasi agensi secara terbuka dalam website kementerian yang boleh diakses. Memperkasa peranan Jabatan Pengurusan Perkhidmatan dan Institut Perkhidmatan Awam selaras dengan misi dan visinya sebagai institusi kerajaan yang bertanggungjawab secara langsung ke arah pembangunan perkhidmatan awam yang cemerlang.
Pendigitalan ataupun e-perkhidmatan hendaklah mesra dan inclusive, mudah, ringkas dan boleh diakses oleh semua peringkat masyarakat. Kaola menyambut baik inisiatif kerajaan untuk memperkukuh sistem penilaian prestasi penjawat awam berasaskan impak dan hasil kerja serta memperkenalkan mekanisme maklum balas rakyat sebagai input untuk menambah baik dasar-dasar dalam perkhidmatan.
Inisiatif ini membuktikan kesediaan kerajaan untuk bertindak dengan lebih telus dalam penyampaian perkhidmatan. Kaola tertarik dengan kenyataan Yang Berhormat Menteri tadi mengenai dengan pendekatan whole of government dan whole of nation dalam perkhidmatan. Harapan kaola pendekatan-pendekatan ini diterjemahkan sepenuhnya dalam operasi perkhidmatan awam secara praktikal dan berkesan dengan mengkoordinasikan perkhidmatan-perkhidmatan berpusat merentas kementerian bagi mempercepatkan proses dan mengurangkan birokrasi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Perlu kita sedari bahawa tidak semua rakyat menilai dasar melalui dokumen tetapi lebih ramai yang menilai melalui pengalaman mereka di kaunter-kaunter, portal digital dan di dalam komunikasi mereka dengan pihak kerajaan ataupun penjawat awam. Apa yang diharapkan dengan adanya pelan pemodenan perkhidmatan awam itu tadi harapan kita adalah untuk melihat perubahan tanpa mengira status yang bertanggungjawab, dengan niat untuk menyampaikan dasar dan perkhidmatan yang cekap dan bekesan serta berintegriti kita mesti melaksanakannya dengan satu suara, satu sistem dan satu hati.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Seterusnya Social Blueprint Brunei Darussalam mendedahkan sehingga April 2024, lebih 10 ribu rakyat menerima bantuan bulanan dan 73 peratus daripadanya adalah individu sihat dan berupaya untuk bekerja. Kebergantungan ini dikenal pasti bukan sekadar kekurangan pendapatan tetapi juga disebabkan cabaran struktur dan sosial lain seperti penjagaan anak, pengangkutan, kurang kemahiran kerja dan ditambah lagi dengan persepsi dan mindset yang terbentuk dari pengalaman hidup dalam situasi rentan yang berpanjangan. Persoalannya sejauh manakah pendekatan yang ada benar-benar menyokong mobiliti sosial dan bukannya sekadar menguruskan keperluan jangka pendek? Adakah dibuat penilaian mengenainya?
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola mengambil maklum fungsi Sistem Kebajikan Negara, SKN dalam mensejajarkan proses pemberian bantuan dan memudahkan pemprosesan permohonan secara sistematik, namun SKN berpotensi untuk diperkukuh dengan penaiktarafan sistem dan transformasi kepada SKN 2.0 dan sebagainya.
Sebagai sistem digital bersepadu yang lebih strategik dan responsif sebagai kerangka pemantauan dasar yang menyeluruh dan menekankan kebudayaan serta mengelak budaya kebergantungan kepada bantuan berterusan. Penaiktarafan merangkumi mengadakan pemprofilan sosial dan pengkategorian menyeluruh berasaskan pendapatan, kemahiran, minat, tanggungjawab keluarga dan kesediaan bekerja dan mengenal pasti intervensi selaras dengan realiti hidup penerima.
Memperkenalkan modal-modal pekerjaan dan kemudahan-kemudahan prasarana yang sesuai dengan keperluan individu dan situasi hidup mereka seperti memperkenalkan flexible working hours kepada penjawat awam khususnya golongan rentan seperti wanita, ibu tunggal dan orang kurang upaya. Mewujudkan social mobility dashboard untuk menjejak perubahan status sosial individu secara masa nyata serta menilai keberkesanan intervensi secara berterusan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Peranan Majlis Kebangsaan Isu Sosial, MKIS sebagai jawatankuasa di peringkat kebangsaan yang menangani isu-isu sosial di negara ini juga amat penting dan berpotensi diperkasakan sebagai pusat rujukan nasional bagi cabaran-cabaran sosial kebangsaan dengan melibatkan pihak swasta, NGO dan para ilmuwan serta orang-orang berkepentingan mengikut keahliannya dan diberikan mandat yang lebih kukuh serta sumber yang mencukupi untuk menyelaras pelaksanaan SKN dan memantau impak program bantuan, mewujudkan platform libat urus bersama masyarakat untuk memperluas jaringan sosial seperti Portal Digital Interactive, Majlis Dialog dan Forum Komuniti. Menubuhkan pusat pemerkasaan komuniti di peringkat daerah atau mukim sebagai pusat sehenti yang menawarkan latihan, kaunseling kerjaya dan sokongan-sokongan seperti penjagaan anak.
Memperkenalkan sistem pelaporan sosial yang telus kepada masyarakat termasuk statistik jenayah, jenis kes, lokasi dan trend semasa tanpa menjejaskan maruah individu dan memperkenalkan program atau modal “graduation” iaitu laluan keluar daripada bantuan dengan insentif permulaan seperti subsidi gaji sementara untuk tempoh tertentu dan pinjaman mikro atau akaun simpanan sosial.
MKIS juga hendaklah mengambil perhatian berat terhadap peningkatan isu-isu sosial yang semakin ketara dengan statistik yang sangat membimbangkan iaitu kadar pengulangan jenayah banduan meningkat 14.6 peratus, 60 peratus pesalah dadah adalah pesalah berulang dan 52 peratus daripadanya tidak bekerja. Jenayah siber mencatatkan 1,127 kes pada tahun 2022, kes HIV yang meningkat sehingga 98 peratus antara tahun 2019 hingga 2023 yang kebanyakannya lelaki.
Kelahiran anak luar nikah dalam kalangan Melayu Islam mencatatkan peningkatan sebanyak 72 peratus dan juga trend pengabaian orang tua. Pendekatan bersepadu amat diperlukan, merangkumi intervensi sosial penguatkuasaan undang-undang sivil dan syarie penglibatan aktif pemimpin-pemimpin akar umbi iaitu penghulu dan ketua kampung, masyarakat awam dan melalui penghayatan nilai-nilai MIB. Sinergi semua institusi-institusi ini bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan pentadbiran dan mempercepatkan pemulihan sosial tetapi juga mencerminkan komitmen negara terhadap keadilan, inclusivity dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Kaola mohon menutup perbahasan ini Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sebagai penutup, bangsa Brunei cemerlang bukan sekadar cita-cita, ia adalah kenyataan yang dibentuk melalui sistem yang harus dihidupkan sebagai agenda nasional yang menyatukan seluruh rakyat dan membina masa depan negara yang lebih cemerlang, adil dan mampan. Wawasan Brunei 2035 mesti diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar bersepadu semua pihak berpandukan garis masa penyampaian perkhidmatan dan pemantauan jurang sosial yang telus, inclusive dan berimpak tinggi. Dalam hal ini, kaola yakin Pejabat Wawasan di Jabatan Perdana Menteri juga memainkan peranan yang sangat penting sebagai penyelaras utama dasar dan aspirasi negara. Sekian terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Muafakat membawa berkat. Wabillahit taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.
Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin
What a pleasant surprise. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Terima kasih atas peluang yang diberikan pada kaola untuk menyampaikan pandangan dalam perbahasan yang amat penting ini. Terlebih dahulu kaola ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada kementerian-kementerian dan warga kerja Jawatankuasa Wawasan atas segala usaha dan komitmen dan kerja keras yang telah ditunjukkan untuk melaksanakan pelan-pelan strategik negara ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 amatlah dihargai.
Kaola menyokong penuh Usul yang telah dibentangkan dan dikemukakan oleh Yang Berhormat Pehin. Kaola menjunjung kasih ruang dan peluang yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mengadakan perbahasan terbuka ini dengan semangat ingin menambahbaik lagi dasar dan pelaksanaan undang-undang agar selaras dengan realiti rakyat dan harapan negara.
Dengan hanya sembilan tahun berbaki menjelang tahun 2035, satu persoalan utama sering timbul daripada rakyat bilakah hasil nyata daripada segala pelan dan inisiatif yang dirangka akan benar-benar dapat dirasai dalam kehidupan seharian mereka. Banyak yang berpendapat, walaupun ada beberapa pelan tindakan kelihatan lengkap namun pencapaian masih belum sepenuh memenuhi harapan rakyat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Kaola berpendapat bahawa untuk mencapai matlamat besar Wawasan 2035, keperluan asas rakyat tidak boleh dipinggirkan seperti yang digariskan dalam Hierarki Keperluan Maslow, Maslow Hierarchy of Needs di mana kehendak kelangsungan hidup, survival ability mesti dipenuhi dahulu, kemudian keperluan comfort, keselesaan barulah apabila kedua keperluan asas ini disantuni, barulah pencapaian self-actualisation dapat dicapai secara menyeluruh.
Aspirasi tinggi tidak akan, maaf tertutup. That is when we use a laptop and your hands are free. Aspirasi tinggi tidak akan mencapai makna dan tercapai selagi masih ramai rakyat bergelut dengan keperluan asas. Contohnya, apakah erti pencapaian akademik jika 1,000 ke 1,500 pelajar setiap tahun keluar persekolahan masih belum mampu membaca dan mengira dengan baik. Dan hanya 35% anak kitani setiap tahun mencapai lulusan 'O' level untuk meneruskan pelajaran ke peringkat tinggi. Demi mencapai matlamat wawasan nombor satu iaitu Educated, Highly Skilled and Accomplished People perlu disertai dengan hasil yang inklusif dengan memastikan pelajaran asas menyeluruh dan tiada anak yang tercicir.
Pembelajaran lanjutan bukan hanya memberi peluang belajar ke universiti tetapi memastikan graduan ada peluang kerja dan upah yang setimpal. Kaola merasa kasihan dan prihatin sebab ada graduan-graduan kita, anak bangsa kita dari universiti-universiti ternama di dunia seperti Cambridge, Oxford, Al-Azhar dan seumpamanya masih tidak mempunyai pekerjaan atau pekerjaan dalam jurusan yang diikuti atau tidak menerima upah yang sewajarnya.
Dalam ekonomi, kaola mengambil maklum dalam cabaran suasana ekonomi semasa negara masih dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang sangat memberangsangkan. Malangnya, perkembangan ekonomi dalam negara didominasi dengan 75 ribu pekerja asing dalam pasaran buruh yang menyukarkan mobiliti kerjaya rakyat tempatan. Terdapat 14 ribu anak tempatan menganggur, manakala 32,600 rakyat dalam kategori under-utilised, termasuk lebih 3 ribu graduan yang masih belum menembusi pasaran kerja yang bersesuaian.
Begitu juga dengan pertumbuhan ekonomi, kita mengalu-alukan kestabilan mikroekonomi tetapi limpahan kekayaan benar-benar belum sampai kepada rakyat. Ramai pengusaha tempatan masih menghadapi cabaran dari segi aliran tunai, cashflow sebab bayaran tertunggak dan akses pasaran dan pinjaman dana tersekat. Sementara manfaat pelaburan cenderung berpusat kepada segelintir pihak sahaja.
Dalam mengejar agenda keusahawanan dan mempelbagaikan ekonomi pula, kalau dulu fenomena Ali Baba kerap terdengar di kalangan pengusaha-pengusaha tender kerajaan, kini fenomena Ali Chandran warga asing semakin berleluasa dalam sektor runcit, sektor pembinaan, sektor pertanian dan sektor-sektor lainnya. Ini menimbulkan kebimbangan rakyat jika fenomena ini tidak dipantau oleh agensi yang tertentu, sektor ini akan terus didominasi oleh orang asing dan rakyat tidak akan dapat tempat dalam rantaian ekonomi dalam negeri sendiri.
Kaola percaya kita boleh mengubah trajektori ini. Dengan dasar yang lebih strategik berfokuskan kepada rakyat dan mengambil maklum balas dari rakyat. Kita boleh memastikan penyampaian yang lebih tangkas, kita perlu mengadakan ruang yang lebih kondusif dan jika perlu khas, exclusive untuk rakyat tempatan bersaing secara sihat di antara mereka dan apabila ekonomi pula sihat, berdaya saing secara terbuka dalam sektor ekonomi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam sektor halal pula, di manakah silapnya yang sepatutnya menjadi antara contoh kekuatan strategik negara berpandukan nilai-nilai Islam tetapi hakikatnya pengeluaran sijil halal masih perlahan dan kekurangan dari segi pemantauan menimbulkan persoalan tentang kredibilitinya. Kaola cadangkan agar kita lebih aktif melibatkan ilmuan syariah yang banyak masih belum mempunyai pekerjaan diserapkan dalam industri halal, bukan hanya sebagai penasihat tetapi sebagai rakan strategik dalam inovasi pengesahan dan pemantauan. Penglibatan mereka juga penting dalam menetapkan piawaian yang bersesuaian dengan perkembangan industri moden dan memacu pensijilan yang lebih efisien dan diyakini.
Namun demikian keutamaan tidak harus terhenti pada sektor halal semata-mata, prinsip yang sama ialah mengenal pasti kekuatan dalaman, to play to our strength. Negara perlu digunakan untuk meneroka bidang-bidang secara strategik dan inklusif. Pendekatan ini akan memastikan dasar diversification benar-benar berpijak di bumi nyata berasaskan sumber kapasiti dan keunikan Brunei.
Dalam bidang kebajikan, di sebalik negara terkenal dengan julukan negara kaya dan GDP antara tertinggi di ASEAN, kaola terharu dengan data bahawa penerima bantuan skim-skim kebajikan negara meningkat dari 20,750 penerima pada tahun 2012 kepada 56,000 penerima pemohon menulis SKN menjelang Mei 2024. Kerajaan masih prihatin dan rakyat menghargai bantuan yang diberikan. Namun data menunjukkan daripada 10,041 penerima bantuan terkini, lebih 70 peratus daripada penerima adalah golongan-golongan yang masih sihat dan berkeupayaan, able-bodied. Walhal masih ada warga emas dan balu yang hidup terpiniggir di bawah paras kemiskinan yang hanya bergantung pada pencen tua.
Ini menunjukkan perlunya dasar bantuan kebajikan bersyarat yang mampu menggalakkan penyertaan aktif dalam masyarakat sambil memberi perlindungan pada yang benar-benar memerlukan. Kaola mencadangkan agar golongan-golongan yang berkeupayaan, able-bodied ini juga perlu terus menerima bantuan. Mereka hendaklah diberi bantuan bersyarat di mana bantuan tersebut dijadikan sebagai upah keterlibatan mereka dalam menceburi tenaga, memberi tenaga dalam program-program komuniti seperti kerja sosial, membantu membersihkan infrastruktur awam, masjid dan membangun desa atau lulus dalam kursus-kursus membentuk kemahiran.
Dengan demikian, penyertaan mereka sebagai sebahagian daripada kontrak sosial kebajikan, kita bukan saja dapat mengurangkan dependency mereka terhadap bantuan tapi juga menggalakkan mereka merasa bertanggungjawab mahu memperkasakan diri sambil menyumbang kepada masyarakat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Izinkan kaola memberikan cadangan bagi memupuk budaya pemantauan dan akauntabiliti agar kita boleh menilai pelaksanaan dasar-dasar dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 dengan lebih tepat dan bertanggungjawab.
Pertama, kaola ingin mencadangkan pembentukan Dashboard KPI Nasional Bersepadu, National Integrated Dashboard satu platform nasional yang menyatupadukan pemantauan 37 KPI Wawasan Brunei 2035 serta pelaksanaan Blueprint Ekonomi, Blueprint Manpower dan Blueprint Sosial serta projek-projek yang di bawah RKN yang mendukung Wawasan Brunei 2035. Jika disertakan dengan unsur-unsur terpilih daripada Sustainable Development Goals yang menyokong pencapaian matlamat wawasan. Dashboard ini boleh memberi gambaran menyeluruh merentas kementerian, menyelaras dasar dan mengelakkan pertindihan dan ketidakselarasan pelaksanaan.
Kedua, dashboard ini juga dijadikan alat Pemantauan Tahunan Bersepadu dan alat kajian prestasi berskala secara suku tahun, quarterly review. Dengan dashboard yang tulus dan dapat diakses terbuka kepada awam, intervensi dasar boleh dibuat dengan lebih cepat dan berdasarkan data dan mengambil kira realiti semasa.
Ketiga ialah Pembahagian Fasa Penilaian Tiga Tahun. Walaupun memandangkan Wawasan Brunei 2035 akan tiba dalam tempoh 9 tahun, ianya terlalu panjang untuk kita dapat memastikan focus delivery. Kaola berpendapat untuk memastikan focus deliverability dan akauntabiliti sisa 9 tahun ini bolehlah dibahagikan kepada tiga fasa tempoh 3 tahun setiap fasa. Dengan cara begitu, kita dapat menumpukan deliverability dengan indikator yang jelas pelaksanaan yang boleh diukur dengan hasil yang boleh dipertanggungjawabkan.
Cadangan keempat, iaitu pemetaan tanggungjawab yang jelas. Perlu ada penegasan peranan dan tanggungjawab antara kementerian, agensi pelaksana dan di kalangan warga penjawat awam. Ini akan mengurangkan budaya ping-pong dari satu jabatan ke satu jabatan dan mempercepatkan proses pelaksanaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bagi menggulung pembahasan ini, izinkan kaola sekali lagi membuat sasaran agar kita memperkukuhkan penyampaian Wawasan Brunei 2035 dengan melayani fundamental asas keperluan dulu. Pertama, Dashboard nasional sebagai alat pemantauan yang tulus dan menyeluruh. Kedua, Blueprint Ekonomi yang benar-benar menjana kekayaan untuk negara dan rakyat. Ketiga, dasar tenaga manusia yang membuka ruang pekerjaan yang bermakna dan jangka panjang. Keempat, sistem pendidikan yang memperkukuhkan kemahiran asas dan menjurus kepada keperluan pasaran. Kelima, program sosial memastikan Maqasid Syariah melindungi yang memerlukan dan mengaktifkan yang berkeupayaan; dan keenam, penjawat awam yang progresif, responsif, berani dan bijaksana membuat keputusan.
Kaola maklum dalam suasana geopolitik dan ekonomi global yang mencabar, pencapaian negara seperti kestabilan mikroekonomi, peningkatan skor pembelajaran dalam penilaian antarabangsa, PISA dan digitalisasi bantuan sosial adalah satu kemajuan yang sangat-sangat membanggakan. Namun, sistem pencapaian adalah jelas, transparent menyantuni keperluan asas rakyat hanya dengan memahami dan memastikan bahawa tiada yang akan tercicir dalam proses pembangunan negara, barulah program Wawasan Brunei 2035 dapat sokongan padu dan boleh jadi penggerak memotivasikan rakyat menuju matlamat Wawasan Brunei 2035 bersama, Insya Allah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Kaola terlebih dahulu ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang telah memberi kesempatan kepada kaola untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II iaitu bagi majlis ini mengusulkan tindakan dan sokongan bersepadu digagaskan dengan pendekatan senegara bagi merealisasikan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.
Kaola menyokong sepenuhnya Usul yang dibentangkan yang mana antara kandungannya ialah keperluan bagi Dewan meneliti cadangan dan idea yang dikemukakan dengan mengambil kira emerging issues di peringkat global untuk diambil tindakan oleh pihak-pihak berkepentingan mengikut kesesuaiannya.
Dalam usaha mengukuhkan pelaksanaan strategik dan pelan-pelan tindakan menjurus kepada pencapaian matlamat-matlamat utama wawasan, tiga blueprint iaitu Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint telah dihasilkan dengan kerjasama semua stakeholders yang dikenal pasti di kalangan kementerian-kementerian bagi memacu setiap rancangan adalah teratur dan berhasil seperti yang dihasratkan dalam Wawasan Brunei 2035. Usul itu seterusnya menekankan bahawa dalam memastikan Negara Brunei Darussalam akan merealisasikan Wawasan Brunei 2035, majlis mengusulkan bagi tindakan dan sokongan bersepadu digagaskan dengan pendekatan senegara.
Kaola ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri dan pegawai-pegawai yang telah berjaya menghasilkan blueprint-blueprint tersebut sebagai panduan kebangsaan bagi pelan tindakan dan juga untuk memacu penyediaan pelaksanaan dan pemantauan apa jua rancangan yang sudah diatur.
Dengan penghasilan blueprint ini seperti yang dinyatakan iaitu hasil dari pendekatan whole of government, kaola yakin akan lebih mudah lagi negara mencapai semua matlamat-matlamat dalam Wawasan Negara 2035 kerana sudah ada permuafakatan, kesefahaman, kerjasama dan tindakan sepadu di kalangan semua kementerian termasuk semua warga kementerian untuk mencapai matlamat wawasan menjelang 2035. Apa yang kita harapkan menjelang 2035 ialah Negara Brunei Darussalam mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi dan berjaya, kualiti kehidupan yang tinggi dan ekonomi yang dinamik dan stable.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dalam menyokong Usul ini dan mengharapkan Wawasan Brunei 2035 mencapai matlamatnya, beberapa persoalan dan kekhuatiran bermain di dalam fikiran kaola. Pertama, pergolakan politik dan ketidakstabilan ekonomi dunia akan menjadi cabaran kepada usaha negara untuk mencapai Wawasan Negara 2035.
Justeru itu, kaola melihat kerjasama dua hala antara Brunei dengan negara-negara lain meliputi semua bidang perlu dieratkan. Alhamdulillah, berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Negara amat dihormati, kita mempunyai hubungan yang baik dengan semua negara dan kaola percaya dengan adanya perhubungan persahabatan yang erat seperti yang ada sekarang akan memudahkan negara untuk menjalin strategic alliances hubungan ekonomi, mengadakan trade missions, perjanjian perdagangan, joint venture projects dan berupaya menarik pelaburan dari negara-negara sahabat yang boleh mendatangkan mutual benefit kepada dua negara.
Kaola berpendapat kita perlu bertindak secara proaktif di mana peluang-peluang perniagaan, pelaburan dan joint venture dapat diterokai. Setentunya hubungan ekonomi perdagangan, pertanian di antara negara ASEAN dengan Negara Brunei Darussalam dapat didalami iaitu we can deepen our relations with them dalam berbagai bidang.
Kedua, sebagai mana yang titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dimuatkan dalam kertas rujukan bagi usul Wawasan Brunei 2035, di mana Baginda bertitah, “Kita memerlukan modal insan yang dinamik dan berkualiti tinggi yang dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dan memacu kemajuan”.
Kaola menyentuh perkara ini kerana kebimbangan kaola akan kepersediaan yakni readiness warga perkhidmatan awam mendokong usaha untuk merealisasikan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035. Pihak Jawatankuasa Kerja Wawasan Brunei 2035 telah mengeluarkan Manpower Blueprint yang mengandungi empat aspirasi bagi mencapai visi tenaga yang dinamik.
Penekanan kepada kesiapan siaga untuk masa depan iaitu mengutamakan pendidikan dan latihan dinamik agar mereka nanti berpengetahuan, kemahiran, beretika dan adaptif dan melahirkan tenaga yang produktif dan cekap adalah tepat dan penting. Ciri-ciri ini harus dimiliki apabila mereka memegang jawatan awam ataupun apa jua pekerjaan.
Kaola berharap pihak Jawatankuasa Kerja Manpower akan terus berusaha menghasilkan tenaga kerja yang dinamik ke arah komited dan penyelesaian masalah yakni problem solver, be part of solution bukan part of a problem. Pada masa ini kita masih berdepan dengan masalah wujudnya penjawat awam yang kurang memberi kerjasama yang seolah-olah disconnected dengan the big picture iaitu Wawasan Brunei 2035 dan kurang menghayati Wawasan Brunei 2035 untuk mereka memberi khidmat yang mendokong pencapaian Wawasan Brunei 2035 ini.
Kaola juga berharap isu kekurangan pekerjaan, isu tidak keselarasan pembekalan dengan permintaan dapat segera diatasi untuk kita mencapai full employment atau kadar employment yang meyakinkan. Realiti pada masa ini ialah susah mendapat pekerjaan. Ini dihadapi bukan sahaja di kalangan pencari kerja yang lepasan sekolah malah lebih ketara di kalangan graduan yang berijazah yang mempunyai Masters dan PhD dan sebagainya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola ingin menyentuh sedikit mengenai Economic Blueprint yang mana ia adalah cukup terperinci dalam mengatur strategi untuk mencapai ekonomi yang dinamik dan sustainable. Kaola kira dengan adanya Economic Blueprint begitu komprehensif dan roadmap yang sangat jelas menuju ke pertumbuhan ekonomi, kita yakin akan berupaya memantapkan ekonomi negara untuk tidak lagi bergantung kepada hasil minyak dan gas semata-mata.
Kita juga berharap usaha ke arah economic diversification akan dapat melibatkan sektor swasta secara mudah dan besar-besaran. Buat pada masa ini, sektor swasta merasa seolah peranan mereka dalam usaha mencapai Wawasan Brunei 2035 tidak diambil berat malah dalam sesi perbincangan dengan beberapa wakil sektor swasta, mereka menyatakan kesulitan menjalankan perusahaan perniagaan disebabkan business environment yang tidak friendly dan kondusif.
Kaola rasa jurang kerjasama atau persafahaman di antara sektor swasta dan kerajaan perlu dirapatkan agar tidak timbul salah fahaman di antara kedua pihak kerana bagi pandangan kaola untuk mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 adalah crucial kita membina saling kepercayaan antara kedua pihak yakni mutual trust.
Dalam Economic Blueprint ada disentuh mengenai pentingnya peranan sektor swasta ini. Ini adalah tepat dan kaola berharap dalam usaha kita untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, peranan sektor swasta akan lebih menonjol di mana ada conscious effort untuk memajukan local business development.
Kaola juga ingin menyentuh sejauh mana usaha kita menarik pelaburan asing ke negara ini berjaya dan hasilnya signifikan, dan apakah hasilnya signifikan? Kerana seperti yang kita nyatakan dalam Economic Blueprint, FDIs adalah penting. Kaola khuatir dalam kita ghairah mengenalkan dasar dan peraturan baru, bukan kita akan menarik pelabur asing, sebaliknya pelabur asing menghadapi masalah kelambatan, red tape, penerangan yang kurang jelas hingga mereka membatalkan rancangan untuk melabur di negara ini.
Ini adalah hasil dari beberapa dapatan kaola, semoga kes-kes seperti ini tidak banyak. Sepatutnya kita mempunyai polisi yang boleh menarik pelabur asing menyokong inovasi, keusahawanan yakni entrepreneurship dan perkembangan berbagai jenis industri yang boleh membawa capital masuk ke Brunei bukannya menyebabkan capital flight.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sebagaimana kita sentiasa mengingati diri kita, tempoh untuk menjayakan Wawasan Brunei 2035 hanya tinggal 10 tahun lagi. Ia bukanlah masa yang panjang dan dari sekarang. Apa yang kita nyatakan dalam Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint sudah seharusnya lebih daripada 60 peratus ataupun 70 peratus terlaksana.
Kita ingin melihat di mana dan apa sudah pencapaian kita sejak bermulanya Wawasan Brunei 2035. Buat pada masa ini kita kurang pasti sejauh mana sudah pencapaian kitani, kerana apa yang dinyatakan sama ada dalam Manpower Blueprint, Economic Blueprint hanyalah aspirasi. Dalam membuat perkara ini, seperti satu circle kita mesti mengetahui sejauh mana sudah circle itu kita lengkapi. Bagi kaola bukan mudah dicapai aspirasi dalam tempoh 10 tahun, kalau ada yang masih belum kita mulakan.
Akhir sekali kaola ingin menyentuh tentang Social Blueprint di mana kaola berpendapat inilah matlamat kita sebenarnya dalam Wawasan Brunei 2035 ini, iaitu supaya kualiti kehidupan rakyat yang tinggi dapat kita capai. Jika hari ini kita menikmati kehidupan yang aman sejahtera dan selamat dan serba mencukupi, menjelang 2035 dan seterusnya kita ingin melihat rakyat dan penduduk di negara ini akan terus menikmati kehidupan yang sama malah lebih makmur lagi. Untuk itu, kita perlu kaedah yang dapat memantau kesejahteraan rakyat seperti memastikan akses kepada keperluan asas, akses kepada penjagaan kesihatan dan perubatan, perumahan, tempat ibadah, pendidikan dan pekerjaan bagi semua antara lainnya.
Agensi-agensi yang bertanggungjawab mestilah cekap menjalankan tugas agar tidak berlaku ketidakadilan, pengabaian atau wujudnya masyarakat yang terpinggir yang masih bergelut dengan masalah harian dan kesukaran untuk menyara kehidupan keluarga dari bulan ke sebulan dan sebagainya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, akhir sekali izinkan kaola memberi pandangan iaitu untuk Wawasan Brunei 2035 berjaya, ia mestilah jelas, realistic dan mudah dipantau. Ia memerlukan kepimpinan yang tegas di setiap peringkat perlaksanaan, melibatkan semua stakeholders kerajaan dan swasta. Perancangan dan perlaksanaan yang robust sentiasa dipantau dan dinilai flexible dan dapat adaptasi dan sentiasa diberigakan kepada rakyat akan perkembangannya agar mereka memahami dan menyokong apa jua usaha mengenainya.
Sekian sahaja Yang Berhormat Yang Di-Pertua Dewan, kaola ingin menyatakan sekali lagi sokongan kaola ke atas Usul Wawasan ini semoga dengan berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan usaha senegara dan penglibatan orang ramai dengan limpah kurnia dan izin Allah Subhanahu Wata’ala jua, kita akan dapat mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Sekian Wabillahit taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita telahpun membincangkan usul ini dan saya percaya cukuplah dulu kita berunding dan saya ingin mencadangkan supaya mesyuarat ini kita tangguhkan sehingga esok hari iaitu hari Selasa, 5 Ogos 2025 seperti biasa mulai daripada 9.30 pagi.
Sekian Wabillahit taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat Negara ditangguhkan)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.