Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT32

Rumusan Bacaan

📖 Masa membaca: 6 minit
📊 Bilangan kata: 1,288 kata

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA HAJI AWANG SUYOI BIN HAJI OSMAN​

SOALAN:

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA HAJI AWANG SUYOI BIN HAJI OSMAN meminta MENTERI PEMBANGUNAN menyatakan perancangan untuk (i) membangun rumah dibawah Skim Perumahan Negara dengan kaedah yang baru seperti PPP dan (ii) mengenalpasti tapak tanah baru untuk diberikan dibawah Skim Kurnia Tanah Rakyat Jati. RPN telah memudahkan pemilikan rumah dan Alhamdulillah meringankan dari segi penyediaan perumahan. Walau bagaimanapun senarai yang memohon perumahan sudah bertambah, begitu juga kelamaan menunggu.

YANG BERHORMAT MENTERI PEMBANGUNAN​

JAWAPAN:

Penyediaan perumahan di bawah Skim Perumahan Negara (RPN) merupakan salah satu keutamaan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Baginda.

Sehingga hari ini, lebih 31,000 unit rumah telah disediakan di seluruh negara di bawah Skim Perumahan Negara. Projek-projek perumahan ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan sejak RKN Ke-5 hingga RKN Ke-11 dengan perbelanjaan dianggarkan sekitar BND 4.03 bilion untuk pembang­unan perumahan RPN.

Secara keseluruhannya, Kerajaan menanggung kos purata BND 130,000 bagi setiap rumah, dan subsidi Kerajaan ialah dalam lingkungan 50% bagi setiap rumah. Ini bermakna secara kasar jumlah subsidi Kerajaan semenjak Skim Perumahan Negara dimulakan adalah sekitar BND 2 bilion. Perbelanjaan ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan membantu rakyat untuk memiliki rumah mampu milik, selaras dengan Dasar Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk membantu golongan rakyat Baginda yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan perumahan.

Pada masa ini, tidak dapat dinafikan bahawa permintaan perumahan semakin meningkat tahun demi tahun, dan tempoh menunggu untuk mendapat rumah juga semakin panjang. Oleh itu, Kementerian Pembangunan memberikan tumpuan kepada merangka beberapa pendekatan baharu termasuk meneroka kaedah Public-Private Partnership (PPP) dalam pembangunan perumahan disamping mengenal pasti tapak-tapak tanah baharu untuk kegunaan perumahan di bawah skim ini. Perkara ini amat penting untuk memastikan kelestarian Skim Perumahan Negara dalam jangka panjang dari segi kewangan dan pada yang sama tetap memenuhi Dasar untuk menyediakan rumah kepada rakyat yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan perumahan.

  • Rancangan membangunkan rumah di bawah RPN melalui PPP:

    Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan telah mengorak langkah ke arah model PPP dalam pembangunan perumahan. Pada masa ini, Jabatan Kemajuan Perumahan bersama Brunei Economic Development Board (BEDB) telah mengenal pasti konsep ‘Developer Housing Scheme’ berasaskan PPP.

    Melalui konsep ini, Jabatan Kemajuan Perumahan akan bekerjasama dengan pemaju perumahan tempatan yang berkelayakan untuk membina rumah di atas tanah Kerajaan yang diperuntukkan khas bagi tujuan program ini. Pemohon Skim Perumahan Negara yang layak dan mampu mendapatkan pembiayaan bank akan ditawarkan membeli rumah tersebut secara langsung daripada pemaju swasta. Model ini berbeza daripada kaedah sebelum ini (Kerajaan membiayai pembinaan secara keseluruhan dan menyerahkan rumah) kerana pemaju akan menanggung kos pembinaan dan menjual kepada pembeli RPN pada harga kos (cost price) pembinaan. Manakala, Kerajaan akan menyediakan subsidi berbentuk pemberian tanah secara pajakan jangka panjang secara percuma atau pada harga nominal, serta menyediakan infrastruktur asas (jalan, lampu jalan, bekalan air dan bekalan elektrik) di tapak berkenaan. Dengan adanya subsidi tanah dan infrastruktur oleh Kerajaan, harga jualan rumah PPP ini dapat dikekalkan pada paras mampu milik iaitu lebih rendah daripada harga pasaran bagi rumah yang setara.

    Skim perumahan secara PPP ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti pembinaan rumah dengan penglibatan dana dan kepakaran sektor swasta, sekaligus mengurangkan beban kewangan Kerajaan. Bagi memastikan keberhasilan konsep ini, Jabatan Kemajuan Perumahan dan BEDB akan mengadakan sesi libat urus bersama institusi kewangan (bank) pada suku kedua tahun 2025.

    Dialog ini bertujuan mendapatkan input pihak bank mengenai skema pembiayaan pinjaman kepada pembeli RPN di bawah model PPP sebagai contoh, struktur pinjaman, kadar faedah bersubsidi atau jaminan Kerajaan jika perlu. Disamping itu, sesi taklimat dan perbincangan bersama pemaju-pemaju hartanah tempatan juga akan diadakan pada suku kedua 2025 untuk memaklumkan secara terperinci tentang mekanisme Developer Housing Scheme ini serta kriteria pemilihan pemaju.

    Jabatan Kemajuan Perumahan akan memastikan hanya pemaju yang berupa­ya dari segi kewangan dan teknikal dilantik, agar projek berjalan lancar dan pembeli mendapat rumah berkualiti tepat pada masanya. Sebagai permulaan, skim rintis (pilot) berkonsep PPP ini dihasratkan dapat dimulakan di salah satu kawasan RPN dalam masa terdekat setelah semua persiapan dan perjanjian dimuktamadkan.

    Dalam jangka panjang, sekiranya model PPP ini berjaya, ia boleh diperluaskan lagi dan menjadi komponen tetap dalam program perumahan negara. Objektif utama adalah untuk mempercepatkan kadar pembinaan rumah baharu setiap tahun (dengan suntikan modal swasta), tanpa menjejaskan matlamat sosial RPN kerana Kerajaan masih memberikan subsidi perumahan. Pada masa sama, Kerajaan dapat memfokuskan peruntukan kepada golongan paling memerlukan dan projek infrastruktur lain, manakala pasaran swasta membantu memenuhi permintaan perumahan secara lebih fleksibel dan inovatif.

  • Tapak-Tapak tanah baharu: Bermula pada tahun 2010, Kerajaan telah menggabungkan Skim Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati untuk menjadi satu Skim iaitu Skim Perumahan Negara dalam mana, Jabatan Kemajuan Perumahan telah mengenalpasti tapak-tapak tanah baru bagi pembinaan rumah-rumah di bawah Skim Perumahan Negara.

    Selepas siapnya pembinaan rumah-rumah teres di tapak Perumahan Negara Kg. Lugu Fasa 2 dan pembinaan rumah-rumah teres di tapak Perumahan Negara Kg. Tanah Jambu Fasa 7 yang sedang berjalan pada masa ini, Jabatan Kemajuan Perumahan mempunyai sebanyak sembilan belas (19) simpanan tapak tanah di seluruh negara yang merangkumi keempat-empat Daerah. Tapak-tapak ini telah diperuntukkan khusus untuk pembangunan perumahan pada masa hadapan bagi Skim Perumahan Negara.

    Selain 19 tapak simpanan ini, Jabatan Kemajuan Perumahan bersama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa juga sedang meneliti lima (5) tapak tanah baharu untuk dinilai kesesuaiannya sebagai kawasan perumahan RPN. Tapak-tapak baharu ini melibatkan beberapa lokasi di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait, yang dikenal pasti berpotensi tetapi masih di peringkat awal (inception stage). Penelitian meliputi kajian kesesuaian tanah, kos penyediaan infrastruktur asas, serta impak kepada alam sekitar dan komuniti setempat. Status semasa lima tapak ini adalah peringkat kajian awal konsep, dan memerlukan melalui proses kelulusan perancangan dan perolehan bajet sebelum boleh diwartakan sebagai tapak RPN baharu.

Dalam konteks rancangan jangka panjang, Jabatan Kemajuan Perumahan juga sedang mengkaji pendekatan konsep rumah jenis vertical atau apartmen. Pendekatan ini akan memaksimumkan penggunaan tapak tanah yang terhad dengan lebih efisien disamping menitikberatkan kemampuan pemohon Skim Perumahan Negara.

Cadangan rumah jenis vertical atau apartmen ini perlu diterokai dan dikaji sedalam-dalamnya dan dinilai dari pelbagai sudut agar ianya memenuhi keperluan Rakyat untuk jangka masa yang panjang. Kesesuaian dari segi rekabentuk, kos pembinaan yang berpatutan serta kadar subsidi yang rasional adalah diantara faktor-faktor yang perlu diambil kira dalam penilaian bagi cadangan ini.

Sebagai kesimpulan, Kementerian Pembangunan akan terus mengambil tindakan proaktif bagi menangani cabaran penyediaan perumahan masa depan. Ini merangkumi penerokaan model pembiayaan alternatif (PPP) supaya lebih banyak rumah dapat dibina dengan cepat, serta perancangan tapak baharu termasuk potensi pembangunan secara vertikal bagi memanfaatkan tanah secara optimum. Langkah-langkah pembaharuan ini diharap akan mempercepat pencapaian matlamat menyediakan perumahan mencukupi, berkualiti dan mampu milik kepada rakyat, sekaligus meneruskan legasi Skim Perumahan Negara sebagai satu inisiatif kebajikan terunggul di Negara Brunei Darussalam.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.