Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT9
📖 Masa membaca: 5 minit
📊 Bilangan kata: 1,312 kata
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD SALAM​
SOALAN:
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD SALAM meminta MENTERI KESIHATAN menyatakan strategi bagi meningkatkan kesedaran awal bagi semua peringkat masyarakat berkenaan demensia sebagai penyebab kematian ketujuh dunia, dengan 1,574 kes di Brunei pada 2019 dijangka meningkat 365% menjelang 2050. Adakah Kementerian merancang untuk saringan pengesanan awal demensia dan sistem sokongan jangka panjang yang berdaya tahan.
YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN​
JAWAPAN:
Demensia adalah gangguan yang menjejaskan fungsi otak, termasuk ingatan, pemikiran, komunikasi, dan keupayaan menjalani kehidupan seharian. Ia bukan sebahagian daripada proses penuaan yang normal, walaupun risikonya meningkat dengan usia.
Tanda-tanda utama demensia termasuk:
Kesukaran mengingat maklumat, terutamanya ingatan jangka pendek
Kekeliruan mengenai masa, tempat, atau identiti orang lain
Kesukaran berkomunikasi dan mencari perkataan yang sesuai
Masalah dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah
Perubahan tingkah laku dan emosi
Demensia bukan sekadar cabaran kesihatan, tetapi juga isu sosial yang memberi kesan kepada individu, keluarga, dan masyarakat. Oleh itu, pendekatan whole-of-nation dan pelbagai agensi amat diperlukan bagi memastikan penjagaan holistik dan sokongan menyeluruh dapat diberikan kepada pesakit dan keluarga demensia.
Kementerian Kesihatan memainkan peranan utama dalam pencegahan, rawatan, dan sokongan kepada pesakit demensia melalui pelbagai inisiatif berikut:
Kempen Gaya Hidup Sihat - Menggalakkan langkah pencegahan dengan mengurangkan faktor risiko demensia, melalui program kesihatan seperti Brunei on the Move bagi mempromosikan aktiviti fizikal, program saringan kesihatan bagi mengesan faktor risiko yang sama seperti faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang lain, seperti hipertensi dan diabetes dan juga mengendalikan program kesihatan warga emas di beberapa buah Pusat Kegiatan Warga Emas dan Pertubuhan Wargamas di Negara ini dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan;
Perkhidmatan Klinik Memori - Penyediaan klinik khusus yang dikendalikan oleh pakar geriatrik, neurologi, dan psikiatri untuk diagnosis dan pengurusan pesakit demensia;
Sokongan pelbagai disiplin - Rawatan dan rehabilitasi pesakit turut disokong oleh pasukan pelbagai disiplin termasuk Fisioterapi, Terapi pekerjaan (occupational therapy), Psikologi, Pekerja sosial (Social worker) bagi membantu pesakit dan keluarga mendapatkan bantuan yang diperlukan;
Dementia Support Group Activities - Program rintis berskala kecil bagi pesakit terpilih. Kementerian Kesihatan juga bekerjasama dengan Universiti Brunei Darussalam dalam menyesuaikan pendekatan WHO iSupport. Ianya adalah program kemahiran dan latihan, serta alat bantu diri untuk penjaga pesakit demensia;
Latihan ICOPE: Penjagaan Holistik untuk Warga Emas - Latihan ICOPE (Integrated Care for Older People) adalah inisiatif WHO yang bertujuan memperkukuh penjagaan warga emas secara menyeluruh. Program ini masih dalam fasa Latihan (training) dan akan diperluaskan ke peringkat komuniti. Fokus Utama:
Saringan awal dan pengurusan kemerosotan kesihatan seperti fungsi kognitif, mobiliti, pendengaran, penglihatan, serta kesihatan mental.
Mencegah kemerosotan fungsi tubuh dan mengekalkan keupayaan hidup berdikari.
Menyokong penuaan sihat dan meningkatkan kesejahteraan warga emas agar mereka dapat terus menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.
Kerjasama dengan Persatuan Demensia Brunei – antara lain mengadakan kempen kesedaran awam bagi meningkatkan pemahaman tentang demensia, Latihan penjaga (carer's training) bagi membantu ahli keluarga dan sukarelawan memahami cara terbaik menjaga pesakit demensia. Selain itu, pelbagai aktiviti dan jerayawara telah diadakan bersama Persatuan Demensia Brunei, di antaranya seperti berikut:
Sesi ceramah kesihatan bagi warga emas di semua cawangan PKWE dan Pertubuhan WARGAMAS secara berjadual; Alhamdulillah Program Kesihatan tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga emas di seluruh Negara;
Kempen media massa melalui radio dan media sosial berkaitan demensia;
Pada tahun 2023 yang lalu, satu persidangan antarabangsa demensia dengan kerjasama Alzheimer’s Disease International telah diadakan, dimana peserta daripada dalam dan luar negara telah berkongsi ilmu mengenai isu ini; dan
Sesi taklimat media dan pengagihan poster dan banner sempena Sambutan Hari Demensia 2023 di jabatan-jabatan Kerajaan, pasaraya-pasaraya, syarikat-syarikat swasta yang terpilih dan tempat awam lain.
Perancangan Masa Depan:
Meningkatkan latihan penjagaan (carer’s training) bagi memastikan penjagaan yang berkualiti;
Meningkatkan sokongan di peringkat komuniti dengan menerapkan pendekatan social prescribing dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Social prescribing merupakan mekanisma di mana pesakit akan dihubungkan dengan pelbagai perkhidmatan sosial dan komuniti dalam meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mengikut keperluan individu tersebut;
Menambahbaik persekitaran dan infrastruktur di tempat awam agar ianya kondusif bagi pesakit dan penjaga demensia melalui Program Age-Friendly Communities and Environment dengan kerjasama WHO;
Menyediakan prasarana yang sesuai bagi Pusat Penjagaan Harian Dewasa (Adult Day Care centre) yang menekankan pada warga emas yang lemah (frail), termasuk mereka yang menghidap penyakit demensia, dengan memberikan pendekatan holistik termasuk rawatan perubatan, terapi fizikal, dan aktiviti sosial; dan
Meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai demensia melalui platform yang bersesuaian serta bersempena dengan sambutan Hari Demensia setiap tahun.
Pendekatan Whole-of-Nation: Ke Arah Sokongan Lebih Holistik - Demensia bukan hanya tanggungjawab sektor kesihatan, tetapi memerlukan sokongan bersepadu daripada seluruh masyarakat. Dengan pendekatan ini, kita dapat memastikan pesakit demensia dan keluarga mereka mendapat sokongan yang komprehensif, meningkatkan kesedaran masyarakat, serta memperkukuhkan sistem penjagaan warga emas di negara ini. Kesedaran awal dan tindakan bersepadu adalah kunci utama dalam memastikan pesakit demensia dapat terus menjalani kehidupan dengan kasih sayang, dan kualiti hidup yang lebih baik.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.