Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT21
đź“– Masa membaca: 5 minit
📊 Bilangan kata: 893 kata
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH ROSMAWATTY BINTI HAJI ABDUL MUMIN​
SOALAN:
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH ROSMAWATTY BINTI HAJI ABDUL MUMIN meminta MENTERI PEMBANGUNAN menyatakan perancangan untuk mempercepatkan dan memperluaskan inisiatif ekonomi kitaran, termasuk insentif kepada perniagaan dan penyepaduannya dalam pelan ekonomi negara. Ini berdasarkan fakta bahawa hampir 46% sisa di tapak pelupusan adalah sisa makanan dan kepentingan ekonomi kitaran selaras dengan SDG12 untuk mengurangkan kebergantungan kepada import, menjana peluang ekonomi, serta menyokong kelestarian alam sekitar.
YANG BERHORMAT MENTERI PEMBANGUNAN​
JAWAPAN:
Kementerian Pembangunan menyokong penuh konsep ekonomi kitaran (circular economy) dalam pengurusan sisa, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12: Responsible Consumption and Production. Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah merangka perancangan untuk mempercepat dan memperluaskan inisiatif ekonomi kitaran, termasuk menyediakan insentif kepada pihak industri dan penyepaduan konsep tersebut dalam perancangan ekonomi negara. Fokus utama adalah menangani isu sisa pepejal terutamanya sisa makanan yang dianggarkan menyumbang sekitar 46% sisa di tapak pelupusan agar dapat dikurangkan dan dijadikan sumber baharu yang bernilai.
Selaras dengan Strategi Pengurusan Sisa di bawah Dasar Perubahan Iklim Negara, yang mensasarkan pengurangan penjanaan sampah kepada 1.0 kg seorang sehari menjelang 2035 serta pengurangan pelepasan metana dari tapak pelupusan, beberapa projek dan inisiatif sedang diusahakan seperti berikut:
Pembinaan Loji “Waste to Energy” (WtE): Salah satu inisiatif utama ialah perancangan penubuhan sebuah loji pelupusan sisa kepada tenaga di negara ini. Projek fasiliti WtE ini bertujuan menukar sisa buangan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui melalui teknologi insinerator moden. Insinerator tersebut mampu menghapuskán sisa pada suhu tinggi, seterusnya menjana tenaga elektrik hijau daripada haba pembakaran.
Teknologi WtE sedemikian bukan sahaja mengurangkan keperluan tapak pelupusan baharu – dengan drastik mengurangkan volum sisa hingga tinggal residu abu – malah residu atau hasil sampingan proses pembakaran itu boleh dimanfaatkan dalam industri pembinaan (contohnya sebagai bahan campuran jalan raya atau blok konkrit) dan bidang hortikultur. Ini sejajar dengan konsep “waste-to-resource” di mana sisa dilihat sebagai sumber yang boleh diguna semula.
Melalui kerjasama di antara Kementerian Pembangunan dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, kajian terperinci bagi projek WtE sedang dijalankan bagi mengenal pasti teknologi sesuai dan tapak lokasi optimum. Model pembiayaan yang bersesuaian turut diteliti termasuk pertimbangan untuk memanfaatkan kaedah public-private partnership (PPP) memandangkan kos infrastruktur WtE yang tinggi. Apabila beroperasi, loji WtE ini dijangka dapat mengurus sebahagian besar sisa domestik harian dan menyumbang kepada sasaran tenaga boleh diperbaharui negara.
Memperkasa Industri Kitar Semula Tempatan: Usaha seterusnya ialah membantu mengembangkan dan mempelbagaikan keupayaan syarikat-syarikat kitar semula yang memberi perkhidmatan melalui dasar dan peraturan yang sedia ada serta yang baharu. Ini termasuk memastikan bahawa aktiviti atau pemprosesan sisa buangan yang dilaksanakan memenuhi standard berkualiti mengikut kehendak dan persyaratan yang ditetapkan.
Inisiatif Pengurusan Sisa Makanan (“Eco Food Waste Initiative”): Pada 27 Februari 2025, JASTRe telah melancarkan Eco Food Waste Initiative. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan amalan pengasingan dan pengkomposan sisa makanan di pelbagai peringkat. Antaralain, garis panduan pengurusan sisa makanan telah diedarkan kepada orang ramai yang merangkumi pelbagai panduan termasuk penyimpanan sisa organik dapur dalam bekas bersaingan, kaedah membuat bahan kompos di rumah serta tip mengurangkan pembaziran makanan seperti merancang pembelian dan menyimpan lebihan makanan dengan betul.
JASTRe juga menjalankan kempen kesedaran awam melalui media massa dan bengkel komuniti mengenai cara-cara mengitar semula sisa makanan menjadi bahan kompos. Bahan kompos ini boleh digunakan untuk menyuburkan tanah dan meningkatkan hasil tanaman, sekali gus menyokong agenda sekuriti makanan negara. Dalam jangka panjang, amalan pengkomposan yang meluas dapat mengurangkan jumlah sisa organik yang dihantar ke tapak pelupusan, seterusnya mengurangkan pelepasan gas methane.
Hala Tuju Brunei Economic Blueprint: Secara lebih besar, Brunei Economic Blueprint dibawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi menggariskan misi “Towards a Dynamic and Sustainable Economy” ("Ke Arah Ekonomi Dinamik dan Mampan") yang menekankan kelestarian sebagai prinsip teras bagi pembangunan ekonomi masa depan. Ini bermakna inisiatif seperti penukaran sisa kepada tenaga dan peningkatan kitar semula bukan sahaja dilihat sebagai inisiatif alam sekitar tetapi juga diiktiraf sebagai peluang untuk menghasilkan nilai ekonomi dan pekerjaan baru.
Sebagai contoh, loji WtE akan melibatkan pelaburan asing dan pemindahan teknologi yang sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara di samping menyelesaikan masalah sisa. Pada masa yang sama, inisiatif kitar semula yang lebih tinggi di peringkat tempatan boleh mewujudkan industri hiliran (contohnya menghasilkan produk daripada plastik atau kertas kitar semula), menyumbang kepada KDNK dan pelbagai ekonomi.
Kementerian Pembangunan akan meneruskan usaha dalam peralihan kepada ekonomi kitaran yang bukan sahaja mengurangkan pembuangan sisa ke tapak pelupusan, bahkan menjana peluang ekonomi baharu daripada sisa tersebut. Langkah ini juga selaras dengan matlamat mengurangkan kebergantungan kepada import contohnya, jika kompos dihasilkan dalam negara, keperluan import baja kimia dapat dikurangkan; jika bahan kitar semula digunakan semula, import bahan mentah dapat dijimatkan. Dalam konteks lebih luas, inisiatif ini menyokong Wawasan Brunei 2035 dengan mewujudkan sumber ekonomi yang mampan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.