Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT29
📖 Masa membaca: 6 minit
📊 Bilangan kata: 1,054 kata
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA HAJI AWANG SUYOI BIN HAJI OSMAN​
SOALAN:
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA HAJI AWANG SUYOI BIN HAJI OSMAN meminta MENTERI KEWANGAN DAN EKONOMI II menyatakan peruntukan belanjawan yang disediakan bagi Kementerian untuk mendokong usaha bagi mempelbagaikan ekonomi negara. Kepelbagaian ekonomi (economic diversification) sering disebutkan sebagai usaha yang perlu dilaksanakan agar tidak terus bersandar kepada hasil minyak dan gas semata mata. Sejauh mana pendekatan 'whole of nation' dan 'whole of government' komited kepada usaha mempelbagaikan ekonomi?
YANG BERHORMAT MENTERI KEWANGAN DAN EKONOMI II​
JAWAPAN:
Yang Berhormat Yang Di-Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat Ahli, ke arah mempelbagaikan ekonomi (economic diversification), Kerajaan telah mengenal pasti sektor utama yang berpotensi untuk menerajui pertumbuhan dan pembangunan ekonomi terutama bagi Sektor Bukan Minyak dan Gas iaitu Sektor Hiliran Minyak dan Gas; Sektor Makanan; Sektor Perkhidmatan; Sektor Pelancongan dan Sektor ICT. Pada masa ini, selain daripada pengukuhan rantaian bekalan perniagaan tempatan (domestic business value chain) dan menarik FDIs, kerajaan juga memprioritaskan penyediaan ekosistem industri yang lebih kondusif. Dengan itu, bagi memacu kepelbagaian ekonomi negara dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas, pendekatan ‘whole of nation’ dan ‘whole of government’ adalah penting melalui kerjasama erat antara kementerian, agensi berkaitan, sektor swasta, dan masyarakat. Sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam memperkasa keusahawanan, memperluaskan pasaran, dan membangunkan bakat tempatan bagi memastikan daya tahan ekonomi jangka panjang. Dengan sinergi antara semua pihak, Negara bukan sahaja memperkukuhkan asas ekonomi negara, tetapi juga membentuk masa depan yang lebih lestari, inklusif, dan berdaya tahan.
Antaralain inisiatif untuk mendokong usaha bagi mempelbagaikan ekonomi negara adalah:
i. Meningkatkan ketepatan pemeriksaan dan mempercepatkan proses deklarasi dan pelepasan kastam di Pelaburan Muara dengan perolehan dan pembekalan mesin pengimbas berteknologi Artificial Intelligence (AI) melalui Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bersama Muara Port Company secara Public-Private Partnership.
ii. Memberi keutamaan kepada kelulusan permit import-eksport bagi syarikat yang diakreditasi, sambil mengekalkan keselamatan negara melalui Skim Sutera Lane Merchant (SLMS).
iii. Menyokong perniagaan tempatan melalui bantuan kewangan, seperti skim Co-Matching, membolehkan usahawan memperoleh modal bagi mengembangkan perniagaan mereka serta mendapatkan akses kepada pelaburan, termasuk angel investment.
Sehingga Januari 2025, sebanyak 91 permohonan telah diluluskan. Ini melibatkan geran berjumlah BND1.434 juta di bawah skim Co-Matching yang dikendalikan oleh BEBD, bertujuan membantu pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) dalam pelbagai sektor. Antara sektor yang menerima manfaat termasuk industri kesihatan dan kecantikan, makanan dan minuman, pertanian, serta perkhidmatan seperti penghantaran barangan, pendidikan, dan teknologi.
Bagi pemohon yang tidak berjaya, sokongan tetap diberikan melalui bimbingan dalam aspek pengetahuan perniagaan. Ini merangkumi penyediaan pelan perniagaan yang lebih kukuh, penjanaan unjuran kewangan yang strategik, serta pembangunan daya tahan perniagaan untuk memastikan kelangsungan dan kejayaan pada masa hadapan.
iv. Mengendalikan Program Elevate untuk mengenalpasti PMKS tempatan khususnya dalam sektor makanan yang berpotensi untuk berkembang dalam perniagaan francais di pasaran antarabangsa.
v. Menyediakan program latihan bagi PMKS bagi meningkatkan kemahiran pengurusan, pemasaran, pensijilan antarabangsa dan kewangan melalui program Brunei Mentors for Entrepreneurs Network (BMEN).
vi. Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) terus giat berada di barisan hadapan dalam usaha untuk menarik minat para pelabur datang ke Brunei melalui kegiatan promosi yang lebih targeted; ekspo tempatan, serantau dan antarabangsa; penganjuran misi pelaburan di negara-negara sasaran; kerjasama strategik dengan dewan perniagaan, kedutaan dan persatuan industri di negara-negara sasaran. Disamping itu, pihak BEDB juga telah melantik ejen dan perunding FDI di pasaran utama seperti India, dengan rancangan untuk berkembang ke wilayah lain.
vii. Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, MOFE sentiasa bersedia untuk memudahcarakan dalam mewujudkan rangka kerja dasar yang berkesan untuk pembangunan industri dan memudahcara bagi pemain industri dalam mengukuhkan perhubungan antara sektor awam dan swasta.
Selain itu, sebagai penyedia infrastruktur dan perkhidmatan strategik di Negara Brunei Darussalam (NBD), Darussalam Assets (DA) juga berperanan dalam menyokong pembangunan negara, mempelbagaikan ekonomi, dan menjana peluang pekerjaan melalui Government-Linked Companies (GLCs).
GLCs berfungsi untuk mengisi jurang dalam sektor swasta, terutamanya dalam bidang yang memerlukan pelaburan besar atau kepakaran khusus yang belum dapat ditampung oleh perniagaan tempatan. Mandat DA adalah memastikan kepimpinan dan pengurusan GLCs berasaskan prinsip komersial dengan tadbir urus yang baik, selain mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan langsung asing dan memperkukuh sektor swasta.
Contoh kejayaan GLC dalam memacu industri ialah Royal Brunei Catering Sdn Bhd (RBC). Pada tahun 1980-an, RBC memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor restoran tempatan dengan membawa masuk rakan francais antarabangsa dan membangunkan restoran makanan Cina halal. Pelaburan besar ini, yang sukar ditampung oleh sektor swasta ketika itu, membantu meningkatkan kepelbagaian pilihan makanan dan mewujudkan peluang pekerjaan. Kini, dengan industri makanan dan minuman yang semakin matang, RBC telah mengubah strateginya untuk menyokong perniagaan kecil dan sederhana (MSMEs) serta pengusaha tempatan melalui penyediaan perkhidmatan nilai tambah daripada fasiliti mereka, seperti Central Kitchen yang diiktiraf Hazard Analysis & Critical Control Point (HACCP).
GLCs juga berperanan dalam meningkatkan infrastruktur penting negara. Dalam sektor telekomunikasi, syarikat GLC telah mempercepat pembangunan infrastruktur digital, menurunkan kos akses dan meningkatkan kualiti perkhidmatan. Contohnya, pakej broadband 100Mbps yang dahulunya berharga $459 kini hanya $148 untuk 500Mbps. Pelancaran 5G sejak Jun 2023 juga memperkukuh jaringan telekomunikasi negara dengan pelaburan tambahan dalam kabel dasar laut antarabangsa bagi meningkatkan kapasiti rangkaian.
Dalam sektor logistik, Muara Port Company Sdn Bhd (MPC) telah mempertingkatkan daya saing Pelabuhan Muara sejak 2017, membangunkan infrastrukturnya serta mengembangkan destinasi perkapalan dari 8 ke 12 laluan. MPC merancang untuk meningkatkan jumlah syarikat perkapalan dan laluan pada tahun 2026, dengan sasaran mencapai 8 syarikat dan 14 destinasi. Projek ini bukan sahaja akan menaik taraf Pelabuhan Muara, malah turut dikaji bersama konsep "Port Trade Zone" bagi menarik pelaburan antarabangsa serta menyokong pembangunan perniagaan tempatan dan ekonomi negara.
Secara keseluruhan, GLCs memainkan peranan penting dalam melengkapkan sektor swasta, memastikan pembangunan infrastruktur kritikal, menarik pelaburan, dan menyokong ekosistem perniagaan tempatan bagi mencapai kepelbagaian ekonomi Brunei.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.