HARI KE-2
📖 Masa membaca: 124 minit
📊 Bilangan kata: 26,766 kata
5HB OGOS 2025
(Mesyuarat mula bersidang pada pukul 9.30 pagi)
Yang Mulia Jurutulis
Bismillahir Rahmanir Rahim. Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara bersidang pada hari kedua, pada hari ini Selasa, 11 Safar 1447 bersamaan 5 Ogos 2025 dan didahului dengan Doa Selamat.
DOA SELAMAT
(Doa selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat, Imam Masjid Jame' Asr Hassanil Bolkiah)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, maka kita dapat bersama-sama berkumpul lagi pada hari ini untuk bersidang bagi hari kedua dalam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara.
Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kita akan memulakan persidangan hari ini dengan urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis
Waktu Pertanyaan bagi Jawab Lisan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya sekarang membukakan ruang bagi waktu pertanyaan soalan-soalan selama satu jam. Namun sebelum itu, saya suka mengingatkan bahawa soalan tambahan atau supplementary question hanyalah dengan syarat ia berbentuk soalan yang berkaitan dengan pertanyaan asal yang telah diajukan awal atau berkaitan dengan jawapan menteri dan bukanlah memberikan hujah ataupun pandangan.
Untuk itu, saya mulakan dengan soalan pertama yang telah diberikan oleh Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed yang ditujukannya kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Saya persilakan Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola mengucapkan terima kasih atas kesempatan ini untuk respond kepada soalan pertama dalam agenda kitani pagi ini. Dalam masa yang sama Yang Berhormat Pehin, kaola mohon keizinan Yang Berhormat Pehin untuk merangkum jua kepada soalan yang kedua daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin kerana perkara ani adalah dalam perkara zakat, satu mengenai pengagihannya yang lambat, yang kedua berhubung dengan pengurusan-pengurusannya. Jadi kaola memohon izin, kaola terus menjawab kedua-duanya Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Silakan Yang Berhormat Pehin, jadi Yang Berhormat Pehin akan menjawab soalan daripada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed dan soalan yang kedua daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin. Silakan.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
Soalan yang pertama daripada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, kaola mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas keprihatinan Yang Berhormat tersebut untuk menanyakan kepada Menteri Hal Ehwal Ugama atau kementerian, sama ada mempertimbangkan untuk menyemak semula garis panduan pengagihan zakat kebangsaan agar lebih responsif terhadap keperluan semasa seperti ketidakcukupan makanan, keperluan perubatan dan keperluan tenaga di kalangan penerima selaras dengan realiti social dan kontemporari.
Kaola sukacita mengongsikan bahawa kaedah pengagihan zakat pada masa ini adalah berpandukan pada dasar-dasar dan peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam pada tahun 2008 – 2014 iaitu berdasarkan buku yang diterbitkan iaitu kuasa, tugas dan tanggungjawab dan juga garis panduan agihan wang zakat asnaf fakir dan miskin yang merupakan semakan pada tahun 2018 dan 2022 ke atas garis panduan-garis panduan tersebut. Dasar dan garis panduan ini menjadi sukat-sukat yang terpakai khususnya bagi Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat (JMZ), Majlis Ugama Islam dalam membuat penelitian dan sokongan yang turut mengambil kira keadaan-keadaan yang tertentu yang difikirkan layak berdasarkan hukum syarak.
Alhamdulillah, pihak kementerian melalui Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal dan Jabatan Perundangan Islam pada masa ini sedang dalam proses menyediakan satu garis panduan agihan zakat baharu yang dihasratkan dapat mengukuhkan lagi dasar-dasar dan panduan-panduan dalam meneliti permohonan agihan zakat yang meliputi pengertian asnaf, objektif agihan zakat, kriteria-kriteria kelayakan asnaf, elemen dan keperluan Haddul Kifayah iaitu keperluan asas minimum, syarat-syarat permohonan dan kategori skim-skim agihan zakat.
Penyediaan garis panduan baharu ini turut mengambil kira dasar-dasar dan panduan-panduan lain sebagai sumber rujukan seperti Peraturan Zakat dan Fitrah 1969 di bawah Undang-Undang Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1955 dan juga laporan Kos Minimum Keperluan Asas, KMKA 2015 berasaskan Kajian Perbelanjaan Keluarga, KPK 2015/2016 JKPE, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Himpunan Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Februari 2009, skala kesetaraan the Organisation for Economic Co-operation and Development, OECD, modified scale iaitu garis panduan sumbangan-sumbangan dan bantuan-bantuan yayasan termasuk jugalah garis panduan dan bantuan-bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan sebagainya.
Jadi pada masa ini, garis panduan baharu tersebut dalam peringkat penilaian yang khususnya dari sudut impak implementasi dan penggunaannya yang akan seterusnya dihadapkan ke pihak Majlis Ugama Islam Brunei. Maka kaola harap dengan keterangan ini dapat kaola memberikan jawapan kepada pertanyaan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed berhubungan dengan adakah untuk mempertimbangkan bagi menyemak semula keterangan-keterangan ini menjelaskan sedemikian.
Seterusnya ialah berhubung dengan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin yang menyatakan apakah perancangan-perancangan kementerian dalam transformasi tadbir urus zakat berasaskan struktur organisasi dan budaya kerja baharu sebagai entiti rasmi seperti yang ditubuhkan oleh negara jiran baru-baru ini? Perkara ini dicadangkan sebagai cara untuk mengatasi kelewatan pengagihan, kekurangan pemantauan data dan penggunaan teknologi terhad dalam pemprosesan walaupun kutipan zakat 2025 mencapai $30 juta.
Jawapan kementerian ialah (audio kurang jelas) dengan keterangan bahawa melalui penubuhan rasmi Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal pada tahun 2023 bulan Julai, jabatan ini telah merancang beberapa inisiatif reformasi dalam tadbir urus zakat iaitu transformasi ini menjurus kepada 4 tonggak utama penstrukturan semula organisasi, digitalisasi proses, peningkatan kapasiti sumber manusia dan pemantauan sistem data. Penstrukturan tersebut merangkumi mewujudkan 6 bahagian di bawah Organisasi JUZWAB dan seterusnya mengadakan bahagian khusus bagi mengendalikan sistem dan data maklumat serta Program Pengupayaan Asnaf Zakat iaitu PROPAZ.
Turut menjadi perhatian dalam proses penaiktarafan ini adalah budaya kerja yang amat penting, bukan kitani lihat saja kepada adanya pegawai dan sebagainya ialah tetapi budaya kerja yang selalu saya sifatkan sebagai acuan dalam satu-satu bahagian pekerjaan. Kalau dalam acuannya atu macam mana, atulah budayanya dan kapasiti sumber manusia diwujudkan dengan mewujudkan skim dinamakan Skim Perkhidmatan Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal dan telah diluluskan oleh Jawatankuasa Tangga Gaji dan Syarat-Syarat Perkhidmatan, JTG pada 31 Disember 20
Pewujudan ataupun dengan mengadakan skim ini dapat memudahkan proses penyerapan pegawai dan peningkatan kakitangan-kakitangan yang sedia ada. Pengambilan baharu pun dapat melalui skim ini bagi pengisian jawatan-jawatan yang kosong yang peluang-peluang kenaikan pangkat kepada pemegang jawatan yang bersesuaian. Dengan adanya skim ini, pihak pengurusan JUZWAB turut dapat merancang penyertaan dalam program-program pembangunan kapasiti yang bersesuaian bagi pegawai-pegawainya (lonceng berbunyi bagi menandakan masa akan habis) dalam bidang perakaunan dan pengurusan kewangan.
Apakah kaola mendapat masa 2 period ni kerana 2 soalan? Alhamdulilah, beliang hati saya mendengar (ketawa kecil). Iaitu untuk mengikuti program-program pembangunan kapasiti yang bersesuaian bagi warga jabatan berkenaan bagi mengukuhkan kompetensi pegawai dan kakitangan khususnya dalam bidang perakaunan, ini penting dan pengurusan kewangan. Pada masa ini, bantuan-bantuan daripada Kementerian Kewangan sangat diperlukan dan sangat dihargakan.
Berhubung dengan rancangan bagi penggunaan teknologi digital dan pelaksanaan sistem (loceng berbunyi bagi menandakan tambahan masa) pengagihan zakat ianya adalah masih pada tahap perancangan dan perbincangan awal jabatan bersama agensi-agensi berkenaan iaitu kementerian mengambil serius pada masa ini kerana memahami potensi besar teknologi digital AI dan blockchain dalam memastikan pengurusan zakat yang lebih baik, cekap, telus dan berkesan kepada semua pihak.
Antara langkah-langkah jangka masa pendek yang sedang dilaksanakan adalah bagi memperkenalkan penggunaan digitalisasi dan automasi tadbir urus dalaman dengan penggunaan Microsoft 365 dengan penekanan kepada automatic workflow dalam pengurusan permohonan asnaf. Jadi kaedah-kaedah ini adalah, kaedah-kaedah teknologi ini sedang dipelajari dan diadaptasi secara berperingkat-peringkat lah.
Adapun sistem pengurusan zakat yang dicadangkan ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai membuat pembayaran zakat secara cepat, selamat dan mudah melalui internet atau portal digital, menjamin ketelusan kutipan dan pengurusan dana zakat dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem zakat dengan menggunakan teknologi moden. Jadi diharapkan apa yang sedang diusahakan ani akan dapat memperbaiki urus tadbir zakat dalam mengenal pasti dan mengesahkan identiti pembayar zakat secara automatik iaitu membantu dalam menilai kelayakan asnaf secara lebih tepat dan pantas dan menganalisis data pembayaran dan agihan zakat untuk mengesan tren serta meningkatkan kecekapan pengurusan zakat.
Melalui langkah ini, Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal bakal menjadi sebuah institusi zakat moden, diharapkan sedemikian Yang Berhormat Yang Di-Pertua, yang dalam urus tadbirnya adalah telus, efisien seperti model yang diamalkan di negara jiran. Kitani melihat apa yang diamalkan di negara jiran suatu kaedah-kaedah yang boleh terpakai kitani di tempat kita ini dengan menyediakan orang-orang yang bersedia, dapat melaksanakan apa jua rancangan perubahan reformasi dan sebagainya. Anilah usaha yang utama Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Kementerian ini dan Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal menyedari bahawa terdapatnya jurang kefahaman dan keprihatinan mengenai literasi zakat di kalangan orang ramai khasnya umat Islam di negara ini. Beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh JUZWAB dalam meningkatkan kefahaman dan kesedaran orang ramai dalam membayar zakat melalui kaedah-kaedah ini adalah dengan menggunakan platform laman sesawang kementerian dan media sosial Facebook & Instagram JUZWAB yang beroperasi sejak penubuhannya dua tahun yang lalu.
Media sosial adalah salah satu platform bagi JUZWAB dalam memberigakan hasil kutipan dan agihan zakat. Rajin-rajinlah orang ramai melawat ke dalam sesawang tersebut ataupun laman-laman tersebut iaitu dapat diketahui mengenai kutipan dan agihan zakat, perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan, aktiviti kerja serta pencapaian, milestone jabatan di samping itu usaha-usaha lain seperti platform media cetak kerajaan akan terus juga digunakan.
Manakala perkhidmatan pembayaran zakat harta, wang simpanan secara dalam talian online dengan kerjasama pihak DST selaku amil yang dilantik telahpun bersepakat untuk meningkatkan lagi promosi dan pemasaran perkhidmatan pembayaran zakat harta wang melalui feature notifikasi MyDST iaitu notifikasi secara push up untuk dilaksanakan secara konsisten dan terancang.
Usaha-usaha pemasaran dan literasi zakat mengenai kewajipan berzakat ini akan dipertingkatkan dan diperluaskan lagi bersama agensi lain. Untuk makluman bersama, dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala, kempen berzakat menerusi iklan dan promosi juga sedang dipergiatkan oleh Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal bersama dengan Pusat Dakwah Islamiah melalui Seksyen Dakwah dan Ceramah bersama dengan Bahagian Perhubungan Awam dan Antarabangsa dan MABIMS kementerian dan juga kerjasama dengan Seksyen TV, Radio dan Perdagangan, Radio Televisyen Brunei, RTB iaitu ke arah meningkatkan kempen pemberigaan kewajipan menunaikan zakat secara strategik dan terancang bagi jangka masa segera, sederhana panjang dengan menggunakan pelbagai jenis saluran media seperti siaran media, message ticker, TV, infografik RTBGo, RTBGo Podcast, video pendek, yang kreatifnyalah, sebagai yang namanya sistem yang boleh dipergunakan melalui da'i-da'i, melalui penceramah-penceramah dan media sosial.
Jadi kaola rasa kaola makan masa mengenai perkara ani dan mungkin di bahagian lain mengenai zakat ani akan ada lagi keterangan-keterangan yang boleh membantu, bukan sahaja Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan ataupun yang mendengar di Dewan ini dan orang yang akan mengikuti di luar Dewan sana, berhubung perhatian yang sangat berat kepada hal ehwal zakat pada masa ini.
Dan zakat atu bukan saja zakat fitrah yang kitani bayar dalam bulan Ramadan sebelum selesainya sembahyang Jumaat, eh sembahyang Hari Raya Aidilfitri ialah juga zakat harta, zakat pendapatan dan banyak lagi zakat-zakat dan semuanya ini kitani akan menuju ke sana sebagaimana yang dihasratkan dan bukan saja, apa namanya tu, mengadaptasi apa yang dilakukan di negara-negara jiran bahkan kita akan melihat, memang kesesuaiannya ada tapi yang penting sekali kita menyediakan orang-orang yang dapat diharapkan bukan saja dalam pentadbirannya bahkan diharapkan untuk pengendaliannya seterusnya.
Sekian kaola mohon terima kasih atas kesempatan ini dan diucapkan penghargaan kepada kedua Yang Berhormat. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan yang ketiga daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan
Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih juga diucapkan kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.
Persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat tadi ialah jika ada pertimbangan yang dapat diberikan kebenaran kepada penduduk yang tinggal di kawasan Perumahan Negara dan Perumahan Rakyat Jati untuk menjalankan perusahaan kecil, cottage industry.
Bagi menjawab persoalan ini, perkara ini adalah di antara agenda yang masih dalam penelitian kementerian dan agensi-agensi berkaitan melalui Majlis Perancangan Guna Tanah Kebangsaan yang mana mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Menteri Pembangunan. Ahli-ahli mesyuarat ini terdiri daripada Setiausaha-Setiausaha Tetap dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Pendidikan.
Di dalam perbincangan yang telah dibuat sejauh ini mengenai dengan perkara untuk mempertimbangkan kebenaran bagi membolehkan perusahaan kecil seperti cottage industry ini, perkara ini telah mendapat kesepakatan bagi membolehkan aktiviti ini dijalankan. Apa yang tinggal pada masa ini ialah penelitian lanjut untuk merangka peraturan undang-undang dan dasar supaya apabila perkara ini diberi kebenaran nanti, keselamatan dan kesejahteraan jiran dan masyarakat setempat akan dapat dikawal dengan lebih baik.
Kementerian Pembangunan menyedari akan potensi aktiviti ini dalam menyokong keusahawanan komuniti dan insya Allah apabila penelitian ini dimuktamadkan nanti, cadangan ini dapat direalisasikan dan dapat dilaksanakan dengan garis panduan yang teratur. Itulah jawapan yang dapat kaola berikan, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan yang keempat daripada Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin yang ditujukan juga kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Terima Kasih juga diucapkan kepada Yang Berhormat Dr. Mahali bin Haji Momin mengenai dengan soalan tindakan strategik yang diambil bagi mempercepatkan proses kelulusan program perumahan negara dalam membantu rakyat memiliki rumah sendiri.
Dalam perkara ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan telah membuat beberapa inisiatif bagi melancarkan lagi proses penilaian, penelitian permohonan-permohonan yang diterima mengenai dengan permohonan perumahan di bawah Skim Perumahan Negara dan juga Perumahan Rakyat Jati. Pada masa ini, Jabatan Kemajuan Perumahan sedang meneliti permohonan-permohonan yang dihadapkan sejak tahun 2012 secara berperingkat sebelum dihadapkan untuk kebenaran.
Di antara cabaran yang dihadapi di dalam penelitian yang memerlukan masa ialah perincian yang perlu dibuat untuk memastikan permohonan-permohonan ini, pertama dia menepati syarat-syarat yang ditetapkan. Umpamanya syarat yang lumrah kitani ketahui ialah pemohon-pemohon adalah pemohon-pemohon yang terdiri daripada rakyat yang tidak memiliki tanah dan di dalam kategori pendapatan di antara $445 dan $3,000 sebulan. Ini adalah di antara perkara-perkara yang menjadi syarat dan selain daripada maklumat-maklumat ani yang disampaikan oleh pemohon di dalam borang-borang permohonan dan perkara ini juga memerlukan perincian dari segi penelitian proses-proses bagi setiap permohonan.
Perkara ini perlu dilihat dan diteliti sama ada kandungan-kandungan maklumat yang diberikan di dalam borang-borang permohonan ini adalah tepat dan betul. Atulah jua perkara ani memerlukan masa perincian untuk memastikan kesahihan maklumat-maklumat yang disampaikan because di antara jua apatu perkara-perkara yang menjadi cabaran ialah sama ada orang atu benar-benar tidak memiliki tanah, umpamanya.
Ada jua yang kitani menerima aduan di mana orang atu setelah menerima apatu skim ani, membeli tanah tia selepas atu, adakah permohonan tanah didaftarkan di bawah namanya? Atulah perkara-perkara yang perlu kitani elakkan supaya tidak ada ketirisan dari segi penelitian-penelitian ani.
Tapi kaola mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan soalan ani. Perkara ani adalah perkara-perkara yang relevan untuk dibuat pembaikan dari segi memendekkan lagi proses permohonan ini untuk memastikan permohonan-permohonan ani bagi mereka yang betul-betul layak dapat diproses dengan cepat dan sebaiknya. Atu tah jawapan kaola, Yang Berhormat Pehin. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Seterusnya, saya telah dimaklumkan bahawa Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi tidak dapat hadir atas urusan rasmi.
Maka, soalan kelima iaitu daripada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dan soalan yang keenam daripada Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee yang ditujukan kepada menteri yang berkenaan itu, maka soalan-soalan yang berkenaan akan dijawabnya nanti secara bertulis.
Sekarang, kita beralih kepada soalan seterusnya. Soalan yang ketujuh daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin dan ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Silakan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Kaola terlebih dahulu mengucapkan terima kasih atas soalan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai sistem SKN dan perancangan serta keberkesanan inisiatif kementerian dalam mengeluarkan penerima bantuan dari kepumpungan kemiskinan. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, JAPEM sentiasa menitikberatkan aspek ketelusan dan keberkesanan dalam melaksanakan bantuan di bawah Sistem Kebajikan Negara iaitu SKN. Ini adalah bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar menerima, benar-benar memberikan impak yang positif kepada penerima khususnya dalam usaha mengeluarkan dan memutuskan kitaran kemiskinan.
Sistem SKN ini sebenarnya direka untuk mengumpul dan mengemaskini maklumat pemohon serta penerima bantuan secara sistematik. Melalui sistem ini, status dan rekod setiap penerima dapat dipantau dengan lebih cekap dan berkesan, sekaligus mengurangkan risiko duplikasi permohonan bantuan. Selain itu, sistem ini juga membolehkan pelaksanaan analisis data yang lebih tepat dan menyeluruh yang menjadi asas penting dalam mencapai keputusan dasar yang lebih strategik serta pelaksanaan program intervensi yang berimpak tinggi berasaskan kepada rekod dan profil penerima bantuan.
Bagi memastikan bantuan hanya diberikan kepada individu yang benar-benar layak, proses penilaian kelayakan pemohon adalah dilaksanakan secara menyeluruh dan teliti. Proses ini merangkumi semakan terhadap dokumen-dokumen sokongan yang dihadapkan atau dikemukakan oleh pemohon serta lawatan penilaian yang dibuat di kediaman pemohon yang dijalankan oleh pekerja-pekerja pembangunan masyarakat, social workers. Jadi, melalui pendekatan ini, pihak JAPEM berusaha untuk memastikan maklumat yang diperolehi adalah tepat dan menggambarkan keadaan sebenar pemohon. Di samping itu, langkah ini juga bertujuan untuk mengelakkan berlakunya sebarang ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana bantuan kerajaan dan menjaga integriti dan ketulusan dalam pengurusan bantuan kebajikan bulanan.
Selain daripada bantuan yang disalurkan, maklumat yang diterima dalam sistem SKN ani setentunya akan membantu dalam menyesuaikan program latihan kemahiran kepada penerima bantuan program latihan kemahiran dan juga peluang-peluang keusahawanan dan peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat ataupun majikan-majikan. Ini adalah bagi memastikan Sistem Kebajikan Negara ini kekal lestari dan mampu menangani membantu menangani cabaran kemiskinan secara menyeluruh.
Jadi, di situ saja Yang Berhormat Yang Di-Pertua, sekian sahaja bagi menjawab persoalan Yang Berhormat tadi. Terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Soalan yang kelapan, seterusnya ialah daripada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah yang ditujukan juga kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
Terima kasih sekali lagi Yang Berhormat Yang Di-Pertua, dan juga terima kasih kepada Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd Salam di atas pertanyaan mengenai perancangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk membina sistem pemprofilan isi rumah bersepadu dan melaksanakan pengkategorian sosioekonomi secara lebih sistematik.
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sentiasa menitikberatkan kebajikan serta kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini. Sehubungan itu, pelbagai inisiatif terus dilaksanakan bagi menangani isu kemiskinan termasuk usaha ke arah memperkukuh sistem pemprofilan isi rumah yang lebih bersepadu dan sistematik.
Pada masa ini, pemprofilan isu rumah di Negara Brunei Darussalam dilaksanakan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, JPES, Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Pihak JPES mengumpul dan menganalisa data berkaitan sosioekonomi isi rumah melalui beberapa tinjauan utama seperti Household Expenditure Survey yang menjadi asas kepada penentuan garis kemiskinan dan dasar kesejahteraan negara. Tinjauan perbelanjaan isi rumah, HES bertujuan untuk mengumpul maklumat terkini mengenai corak perbelanjaan isi rumah serta tahap pendapatan. Data yang diperolehi akan setentunya memberi gambaran realiti ekonomi rakyat dan menjadi asas penting kepada perancangan sosioekonomi negara.
Hasil tinjauan ini digunakan sebagai input dalam penyelidikan, penggubalan dasar-dasar kerajaan serta program-program pembangunan yang lebih menyeluruh dan mencapai sasaran. Selain daripada itu, pihak kerajaan juga telah membangunkan dan mengintegrasikan Sistem Kebajikan Negara, SKN. Ianya berfungsi sebagai satu platform digital yang berpusat untuk menyelaras maklumat pemohon dan penerima bantuan daripada pelbagai agensi berkaitan. Sistem ini mampu menjana data yang lebih terperinci dan tepat termasuk pemetaan kemiskinan ataupun poverty mapping melalui Power Business Intelligence, Power BI dan secara langsung menyokong usaha ke arah memprofilan isi rumah secara bersepadu dan bersistematik.
Melalui SKN, maklumat sosioekonomi isi rumah dikumpulkan juga, dikategorikan dan dianalisa bagi mengenal pasti kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan bantuan berasaskan data-data berkenaan. Walau macam manapun, pemprofilan yang dilaksanakan melalui SKN pada masa ani, masih lagi di tahap yang terhad kepada ekosistem pemohon dan penerima bantuan sahaja dan belum merangkumi skala yang lebih luas seperti yang dilaksanakan oleh agensi-agensi yang berkenaan yang lain.
Jadi perluasan skop ini merupakan antara perkara yang sudah setentunya akan diteliti lah bagaimana prospeknya dan potensinya ke arah memperkukuh lagi keberkesanan dasar kebajikan negara secara menyeluruh. Dengan lebih banyak jenis bantuan seperti pencen umur tua dan elaun kurang upaya diserapkan ke dalam sistem SKN, sistem ini berpotensi untuk memperluaskan skop profile isu rumah secara berperingkat-peringkat. Ini akan memakan masa dan sudah tentunya menggunakan banyak sumber atau resources kerajaan.
Jadi pendekatan secara berperingkat-peringkat atu adalah perkara yang difikirkan bersesuaian pada masa ini. Ini juga akan membolehkan maklumat sosio-ekonomi dikumpul dan dianalisa secara menyeluruh bukan sahaja di kalangan pemohon dan penerima bantuan pada masa ini, tapi juga merangkumi kumpulan sasaran yang lebih luas daripada apa yang ada pada masa ani. Perluasan ini dijangka dapatlah memperkukuh ketepatan data, mempercepat penyaluran bantuan yang bersasar dan menyokong dasar kebajikan yang lebih saksama, berkesan dan mampan ke arah mencapai kemiskinan sifar dan kesejahteraan inklusif yang mampan di negara ini.
Sekian saja bagi menjawab persoalan Yang Berhormat dan terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Seterusnya soalan yang kesembilan daripada Yang Berhormat Awang Abdul Aziz yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
(berdiam dan mencari/menyusun bahan kertas soalan/jawapan).
Kaola sedang menyemak susunan dalam kertas kaola dibanding dengan Perintah Harian yang ada (terus menyusun kertas) iaitu bagi soalan PL253 dan PL263.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola terima kasih kepada Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang ingin mengetahui apakah usaha dan perancangan jangka panjang pihak-pihak berkenaan untuk mengatasi masalah sewaan tertunggak dalam penyewaan rumah sewa bagi golongan tertentu. Adakah ada perancangan bagi mewujudkan skim bantuan rumah sewa yang dibina di bawah kapasiti kerajaan? Seperti dua soalan yang terdahulu Pehin, perkara ani juga ada kaitan soalan 253 dengan 263 dalam perkara tajuk zakat. Jadi kaola akan menjawabnya dengan izin Pehin, serentak.
(Yang Berhormat Yang Di-Pertua memberikan kebenaran)
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
Terima kasih Pehin.
Jawapan kepada Yang Berhormat Awang Abdul Aziz dalam menangani isu iaitu menangani penyewaan rumah yang tertunggak ani, secara menyeluruh ia dilihat Pehin. Kementerian melalui Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal telah melaksanakan beberapa usaha dan perancangan jangka panjang bukan saja untuk mengatasi apa yang kes yang dilihat berdasarkan kepada penelitian dan kes-kes yang dibangkitkan, tetapi juga melihat ke hadapan apa kaedah-kaedah yang dapat digunakan untuk mengatasi supaya jangan terjadi lagi tertunggak sedemikian atu.
Jadi, usaha-usaha itu adalah pertama, sistem pemantauan dan rekod yang teratur. Dalam erti kata mewujudkan sistem pengurusan pangkalan data penyewa yang lengkap, menyediakan rekod kemaskini bagi mengenalpasti pemohon yang lewat membuat pemohonan. Ini kes-kes yang menyebabkan tertunggaknya perkara-perkara tersebut antara asnaf yang disewakan dengan apa namanya tu, tuan rumah yang menyewakan. Jadi bagaimana di sana dapat diselesaikan.
Yang kedua ialah sistem peringatan automatik, Push SMS. Ia ini penambahbaikan di dalam Sistem Kebajikan Negara, ada kaitanya dengan SKN. Sistem ini adalah untuk menghantar peringatan bayaran melalui SMS, emel atau notis bertulis. Di dalam bawah sistem yang kedua ini menggunakan aplikasi atau sistem dalam talian untuk notifikasi secara berkala dan usaha yang ketiga ialah mengadakan kerjasama agensi yang berkaitan secara sepadu iaitu dengan mengadakan sesi terbuka bersama pemohon adalah bertepatan dan sangat wajar.
Jabatan yang berkenaan ani ialah JUZWAB sebenarnya telah mula melibatkan penghulu dan ketua kampung dalam menyebarkan maklumat dan membantu pemohon menyemak permohonan mereka itu dan usaha yang keempat ialah melaksanakan apa nama itu, audit dan penilaian berkala. Bukan audit dari segi kewangan, audit dari segi menyemak dan menilai secara dalaman, secara berkala untuk mengetahui keberkesanan pemantauan proses permohonan sewa rumah yang telah diperkenalkan ataupun yang telah di buat sebelum ini dan diubah kepada pembaikan dan yang keempat ini bertujuan untuk menyemak dan menambah baik dasar serta prosedur yang sedia ada.
Maka dalam pelaksanaan langkah-langkah yang dinyatakan tersebut secara konsisten insya Allah, isu tunggakan sewa dijangka boleh dikurangkan secara signifikan dan proses pemohon sewa rumah akan lebih teratur dan berkesan. Atulah yang kaola maksudkan tadi dalam mengatasi kes-kes tertunggak. Isu tertunggak ani ialah tuntutan sistem-sistem, apa sistem yang dapat digunakan bagi mengatasi kehadapan. Bukan itu yang sudah tertunggak atu, bukan kes-kes itu sahaja.
Ada pun mengenai cadangan untuk mewujudkan skim bantuan rumah, ani ada cadangan dari Yang Berhormat mencadangkan adakah ada rancangan kementerian untuk mewujudkan skim bantuan rumah secara kerajaan membina. Dalam hal ini, kaola sukacita menyatakan bahawa kementerian berpandangan ianya tidak perlu kerana kalau untuk keperluan tersebut iaitu kerajaan membina untuk disewakan, perkara itu boleh dilakukan oleh Majlis Ugama Islam melalui Badan Tanmiahnya yang sekarang ini boleh.
Tapi itu pun tidak perlu kerana Bahagian Zakat sekarang ini selama 2 tahun yang sekarang ini dan sebelum itu ada Majlis Ugama Islam memang sedia dengan rancangan untuk membangunkan atau membinakan rumah bagi asnaf-asnaf yang memerlukannya sama ada di tanah mereka sendiri ataupun di tanah-tanah kerajaan. Jadi projek itu berjalan.
Jadi setakat ani, alhamdulilah, ia dimulakan pada 2009 pada masa itu mangkali sebahagian besar di sini masih ingat pada 2009 itu ialah kitani memulakan pengagihan zakat secara menyeluruh lah namanya. Asalnya asnaf atu inda tampil seramai dengan cara sekarang ini. Tapi dengan kitani memutuskan bahawa baki-baki wang zakat yang banyak bilangannya bahkan melebih ratusan juta mestilah dari segi hukum untuk diagihkan kepada asnafnya yang berhak maka pengagihan itulah membukakan seperti orang pecahnya empangan air lah. Selepas itulah muncul pemohon-pemohon yang merasakan mereka berhak dan sampai sekarang ani atulah yang terjadi.
Ramai orang yang tampil kehadapan menjadi asnaf, mengaku menjadi asnaf dan memang mereka itu didapati layak untuk apanya orang sukat-sukat yang diperkatakan, sukat-sukat yang ditetapkan mereka layak dalam fakir miskin sebagai fakir miskin, mereka layan sebagai mualaf, mereka layak sebagai Al-Gharimin, orang yang berhutang dan sebagainya.
Jadi, tidaklah perlu dengan adanya setakat ani saja semenjak diperkenalkan perancangan untuk membinakan rumah pada tahun 2009 sudah ada sebanyak 125 buah rumah telah siap dan pada masa ini sebanyak 3 buah rumah dalam pelaksanaan pembinaan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak $236,231.30 dan dalam masa yang sama jua ada sebanyak 30 buah rumah sedang dalam proses penilaian dan sokongan pihak Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dan ini dianggarkan peruntukan sebanyak $4.56 juta. Manakala sebanyak 13 buah rumah pula akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat bagi sokongan lantikan kontraktor dengan melibatkan anggaran peruntukan sebanyak $1.73 juta.
Akhirnya, kaola sukacita menyatakan juga bahawa untuk pengetahuan ramai bersama bahawa setakat 9 Julai 2025, kira-kira sebulan yang lalu terdapat seramai 317 orang asnaf fakir miskin sedang aktif menerima agihan sewa rumah dengan anggaran peruntukan secara keseluruhan berjumlah $3.32 juta setahun. Itu jawapan kepada Yang Berhormat, berhubung dengan tunggakkan, apa ni, sewa rumah yang tertunggak daripada Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Sementara, PL263 dari Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, yang meminta untuk Kementerian Hal Ehwal Ugama nyatakan, apakah ini keberkesanan sistem SKN, baru sebentar tadi ada juga ditanyakan mengenai SKN ani, apakah kegunaannya. Sehingga kini, masih lagi banyak permohonan orang awam dalam konteks zakat masih lagi tidak mendapat jawapan kelulusan. Jadi seolah-olah SKN atu, apa sebenarnya keberkesanannya dipersoalkan.
Maka dicadangkan Yang Berhormat adanya sesi terbuka bersama pemohon yang ingin mengetahui apa keputusan mereka dengan pihak JUZWAB mengikut daerah, mengikut mukim. Sangat menarik. Kementerian sukacita menyatakan bahawa keberkesanan sistem SKN itu yang digunakan oleh JUZWAB dapat menunjukkan penambahbaikan yang ketara dari sebelumnya iaitu dari segi kecekapan proses, dari segi memproses dan statistik terkini menunjukkan bahawa purata masa penyelesaian permohonan sebelum SKNnya, pada tahun 2023 TPOR yang ada adalah penyelesaian atu dalam TPOR atu adalah pada tahun 2023 selama 294 hari ke-295 hari, inda jua sampai setahun tu. Manakala mengikut penilaian kecekapan proses TPOR bagi Julai 2024 sampai Disember 2024 belum sampai setahun yang lalu, ia telah berubah dengan adanya SKN ani menjadi daripada 294 ke 295 hari menjadi 156 ke 157 hari dan sepanjang tempoh bagi Januari 2025 hingga Jun 2025 ini adalah sebanyak adalah selama bukan sebanyak adalah selama TPOR atu sudah jauh berkurangan menjadi 54 ke 55 hari. Lihat, sebelum SKN adalah 294, 295 hari bagi menyelesaikan mengikut perkhidmatan orang ramai.
Jadi penurunan ini hasil pelaksanaan inisiatif-inisiatif penambahbaikan, antaranya penapisan awal dokumen permohonan bagi mengurangkan beban di peringkat siasatan melalui SKN nya, iaitu penubuhan ada lagi satu kaedah bukan kaedah ani, ani secara task force iaitu ditubuhkan task force untuk menyelesaikan permohonan-permohonan yang tertunggak. Permohonan tertunggak bermula 2013 sampai 2015 sudah satu period dapat dimasukkan lagi 2015 sampai lah kepada sekian-sekian ani banyak yang tertunggak itu. Jadi task force telah ditubuhkan untuk melihat kes ini sahaja bersama dengan menentukan sejauh mana dapat diselesaikan. Jadi penyelesaian melalui task force ini adalah sangat signifikan, penggunaan alat bantu, inda, task force ini dapat menyelesaikan, jadi perangkaannya kaola di mana kaola menulis perangkaannya perbezaannya sudah diselesaikan, ada barangkali disebutkan di sini.
Kemudian ialah cara-cara untuk mengatasi kelamaan penggunaan alat bantu seperti Kos Minima Keperluan Asas, KMKA di mana semua ani untuk mempercepatkan dan mesyuarat ad hoc permohonan sambungan agihan, selain ad hoc yang mengenai tertunggak bertahun-tahun, kemudian ada ad hoc lagi untuk pemohon-pemohon yang menyambung.
Jadi punca permohonan tertangguh atau tiada jawapan ani mesti dijelaskan, walaupun ada kemajuan ataupun ada pembaikan yang telah dilakukan semenjak dua tahun ini, tapi JUZWAB atau jabatan berkenaan itu adalah mengakui masih terdapat cabaran besar, antaranya:
Pertama, dokumen tidak lengkap oleh pemohon yang menyebabkan lebih 2,300 permohonan tergantung dalam sistem dengan status inquiry. Kedua, jumlah pegawai yang terhad dalam erti kata kakitangan, sedangkan purata permohonan masuk setiap bulan adalah sebanyak 556 permohonan setiap bulan. Kemudian sistem teknologi yang belum automatik sepenuhnya walaupun ada penggunaan tetapi tidak sepenuhnya yang kaola nyatakan tadi masih, selain daripada peralatan yang juga ialah untuk menyediakan orang-orang yang dapat menggunakannya atau menguasainya dengan sebaik-baiknya. Masih banyak akibat daripada itu bergantung pada proses manual, jadi ani juga menolong apa nama atau menyebabkan kelambatan; dan
Ketiga, untuk mengatasi kelambatan ani statistik permohonan, boleh dinyatakan di sini bagi pengetahuan sehinga 10 Julai 2025, permohonan sahaja ni, terdapat 5,951 permohonan yang masih belum selesai termasuk 2,422 dalam status inquiry dan lebih 2,000 lagi sedang dalam pelbagai peringkat siasatan dan pengesahan. Ani yang tertunggak-tunggak ani, di samping permohonan-permohonan yang menjadikan permohonan yang tadi dalam angka 556 setiap bulan kemudian angka ani lagi ada, begitulah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh jabatan.
Cadangan sesi terbuka mengikut daerah, mukim ani sangat menarik dan sudah pun dilakukan sebenarnya secara dahulu dalam talian dengan penghulu-penghulu, ketua kampung tapi untuk mengadakannya sebagai jerayawara ke daerah-daerah ataupun nya orang ke mukim-mukim memnglah akan dibuat dan atu diperkirakan mudahan-mudahan akan dapat menolong, bukan sahaja jabatan, tetapi menolong pemohon-pemohon menyelesaikan permasalahan-permasalahan mereka. Jadi kalau terjadi sedemikian atu nanti ialah tujuannya untuk menjelaskan kriteria kelayakan dengan masuk ke SKN merasakan diri layak tetapi pertamanya keterangan tidak layak itu mesti lengkap ataupun lengkap tetapi tidak menepati garis pandu yang sebenarnya untuk melayakkan, jadi memudahkan lah dengan masuk SKN menambah bilangan sahaja dan tapi kalau sudah ada sesi terbuka insya Allah perkara sedemikian akan dapat dikurangkan dan boleh diatasi.
Jadi memberi maklumbalas terus kepada pemohon atu lah tujuan-tujuan mengatasi jangan ada permohonan-permohonannya akan nya orang dibalikkan, ditanya, disiasat dan sebagainya mudahan-mudahan insya Allah yang sedemikian itu dapat dilakukan Pehin. Kaola mohon maaf kaola barangkali lebih seminit untuk menjawab dua soalan ani.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih, Alhamdulillah, waktu pertanyaan selesai dan kita sekarang beralih kepada urusan mesyuarat seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis
Kenyataan Menteri.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya telah menerima permohonan daripada Yang Berhormat Menteri Kesihatan untuk membuat Kenyataan Menteri dan saya memberi keizinan kepada Yang Berhormat Menteri yang berkenaan itu untuk membuat kenyataannya bertajuk Kemampuan Perkhidmatan Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan akan diberikan masa selama lebih kurang 30 minit untuk menyampaikan kenyataannya dan sesudah itu Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh mengajukan dua soalan, akan tetapi hanya untuk mendapatkan penjelasan berkaitan dengan kenyataan yang dibuat oleh menteri itu. Saya persilakan sekarang Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kenyataan kaola ingin meluruskan saja, ia kemampuan, Kemampuan Perkhidmatan Kesihatan. Okey. Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh dan salam sejahtera. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wa’tala kerana dengan rahmat, izin dan limpah kurnia-Nya juga, kita dapat sama-sama berkumpul pada hari ini di Mesyuarat Kedua Musim Persesyuaratan Ke-21, Majlis Mesyuarat Negara bagi Tahun 2025 bersamaan 1447, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, kaum keluarga, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Kenyataan kaola hari ini yang bertajuk, Kemampuan Perkhidmatan Kesihatan bertujuan untuk menjelaskan tiga perkara.
Yang pertama, kerjasama antarabangsa dan pemerkasaan kewangan kesihatan yang mampan. Kedua, Pengemaskinian Dasar Skim Caj Perkhidmatan Kesihatan yang melibatkan golongan yang terkesan; dan Ketiga, memberikan gambaran menyeluruh mengenai pendekatan strategik Kementerian Kesihatan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dalam usaha mencapai matlamat untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf antarabangsa yang komprehensif, selamat dan berkualiti tinggi, Negara Brunei Darussalam tidak beroperasi secara bersendirian tetapi aktif terlibat dalam kerjasama antarabangsa untuk memastikan sistem kesihatan kita sentiasa berada di hadapan dalam menghadapi cabaran global.
Pada 2024, Brunei Darussalam telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Eksekutif WHO bagi mewakili negara-negara ahli wilayah pasifik barat, menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap kredibiliti dan kepimpinan negara dalam bidang kesihatan. Peranan ini membolehkan Brunei menyumbang kepada dasar kesihatan global serta menjalin hubungan antara keperluan serantau dan agenda kesihatan sejagat, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Penyertaan ini turut memberi peluang kepada negara untuk berkongsi amalan terbaik dan memanfaatkan strategi serta teknologi kesihatan terkini. Namun salah satu cabaran utama ialah memastikan financial sustainability sistem kesihatan negara. World Health Organization ataupun WHO menekankan bahawa financial sustainability merupakan fungsi teras sistem kesihatan yang bukan hanya mengekalkan kualiti perkhidmatan tetapi juga memastikan perlindungan kewangan rakyat melalui penggunaan sumber secara optima, kepelbagaian sumber pembiayaan dan jaminan akses yang inklusif.
Sejajar dengan prinsip yang digariskan oleh WHO, Brunei mengamalkan pendekatan yang mengamalkan pengurusan kewangan yang strategik, perbelanjaan yang berhemah serta penyesuaian dasar secara berterusan termasuk dalam perancangan bajet tahunan.
Pendekatan ini membolehkan negara terus menyokong liputan kesihatan sejagat secara percuma tanpa menjejaskan kelestarian fiskal jangka panjang. WHO turut mengiktiraf bahawa negara anggota berdepan cabaran kewangan dalam mengekalkan liputan kesihatan sejagat. Perkara ini menuntut pendekatan strategik demi pengukuhan sistem kesihatan jangka panjang.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, cabaran-cabaran ini menjadi lebih kompleks lagi memandangkan komitmen kita untuk mengekalkan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi sambil memastikan akses yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Antara cabaran yang dimaksudkan termasuk. Pertama, keperluan penggunaan sumber yang cekap. Untuk mengekalkan penjagaan kesihatan, negara mesti memastikan penggunaan sumber kewangan secara cekap, berkesan untuk menampung kos, melabur dalam penambahbaikan dan mampu mengekalkan operasi dalam jangka masa panjang. Dalam era teknologi moden, kos peralatan perubatan canggih, ubat-ubatan inovatif dan keperluan untuk mengekalkan kemudahan yang bertaraf antarabangsa memerlukan pelaburan yang besar dan berterusan. Sebagai contoh, kos untuk menyelenggarakan peralatan seperti MRI, CT Scan, mesin radioterapi dan mesin nuclear medicine yang canggih boleh mencecah jutaan ringgit setahun, belum lagi termasuk kos latihan kakitangan dan pengemaskinian teknologi. Ini memerlukan perancangan kewangan jangka panjang yang teliti dan realistik; dan
Kedua, pelbagai sumber pembiayaan. Pembiayaan penjagaan kesihatan di negara luar biasanya datang dari pelbagai sumber seperti percukaian, insuran kesihatan sosial, insuran kesihatan swasta dan tanggungan sendiri, masing-masing dengan cabarannya. Di kebanyakan negara maju, kombinasi sumber-sumber pembiayaan ini membolehkan sistem kesihatan beroperasi secara lebih fleksibel dan mampan. Walau bagaimanapun, di negara ini ianya dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan sebahagian kecil oleh insuran kesihatan swasta. Setakat ini, hasil kutipan negara masih belum dapat dijadikan sebagai sumber utama pembiayaan bagi perkhidmatan perubatan dan kesihatan. Ini memandangkan perkhidmatan tersebut diberikan secara percuma kepada rakyat dan subsidi yang tinggi oleh kerajaan kepada pengguna yang lain, pada kadar yang minimum dan berada di bawah paras pulangan modal tanpa membebankan pesakit.
Keadaan ini berbeza dengan negara-negara lain, di mana sistem co-payment ataupun fee-for-service telah menjadi sebahagian daripada struktur pembiayaan kesihatan sejak sekian lama. Kesihatan kini disedari sebagai satu komoditi yang amat berharga dan banyak negara di seluruh dunia tidak lagi berada dalam kedudukan untuk memberikan secara percuma dan subsidi pembayaran kesihatan kepada rakyat mereka. Dengan ini besarlah harapan kerajaan untuk memastikan penyediaan perkhidmatan kesihatan sentiasa percuma dan dimudah akses bagi semua rakyat Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat. Di kebanyakan negara lain juga adalah menjadi kelaziman bagi golongan bukan warganegara untuk menanggung sendiri kos rawatan dan ianya telah lama dipraktikkan sebagai sebahagian daripada sistem kesihatan nasional. Adalah diakui dengan perubahan yang dilaksanakan di negara ini pada 1 Julai 2025 akan terdapat golongan-golongan yang memerlukan lebih perhatian dengan perubahan ini terutama dari aspek kewangan.
Memandangkan cabaran-cabaran yang telah dibahaskan, adalah penting untuk kita memahami implikasi terhadap sistem kesihatan negara kita. Cabaran ini menekankan kepentingan, kemampuan kewangan dalam sistem penjagaan kesihatan untuk mengelakkan tekanan ekonomi dan impak sosial sambil mengekalkan akses kepada perkhidmatan berkualiti bagi rakyat di negara ini.
Dalam jangka masa panjang, kelemahan sistem kewangan boleh membawa kepada ketirisan kualiti perkhidmatan dan akses yang terhad. Oleh itu langkah-langkah proaktif perlu diambil untuk memastikan sistem kesihatan kita tidak terjejas sambil mengekalkan komitmen kepada kecemerlangan perkhidmatan.
Selain itu, dalam menghadapi ancaman kecemasan kesihatan awam yang bersifat rentas sempadan, Negara Brunei Darussalam turut terlibat secara aktif dalam rundingan antarabangsa bagi membentuk satu perjanjian pandemik baharu di bawah WHO serta semakan terhadap International Health Regulations ataupun IHR. Perjanjian ini bertujuan mewujudkan satu kerangka undang-undang global yang lebih kukuh untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan, pengesanan awal, perkongsian maklumat dan tindakan segera semasa berlakunya wabak atau kecemasan kesihatan antarabangsa.
Sebagai negara kecil yang bergantung kepada kerjasama global dan keterjaminan rangkaian bekalan kesihatan, penyertaan Brunei dalam proses ini adalah penting. Pendirian Negara Brunei Darussalam adalah jelas iaitu memastikan perjanjian pandemik yang dipersetujui kelak akan menghormati prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan antara negara terutamanya dalam akses kepada vaksin, ubat-ubatan dan teknologi kesihatan. Ini adalah penting agar negara-negara membangun tidak tertinggal dan struktur keselamatan kesihatan global benar-benar menjadi barisan pertahanan pertama yang inklusif dan berkesan.
Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Selain daripada kerjasama di peringkat global melalui WHO, Negara Brunei Darussalam juga aktif dalam memajukan kerjasama kesihatan serantau di bawah kerangka ASEAN. Sebagai tindak balas terhadap ancaman kesihatan rentas sempadan seperti pandemik, ASEAN telah membangunkan pelbagai mekanisme sekuriti kesihatan untuk meningkatkan daya sistem kesihatan serantau. Mekanisme ini bertujuan untuk memperkukuh keupayaan negara-negara ahli dalam aspek perlindungan, pengesanan awal dan tindakan segera terhadap kecemasan kesihatan awam. Antara inisiatif yang sedang digerakkan termasuklah ASEAN Emergency Operations Center or EOC Network bagi perkongsian maklumat semasa, ASEAN BioDiaspora Virtual Centre yang menggunakan teknologi big data, ASEAN Plus Three Field Epidemiology Training Network bagi pengukuhan kapasiti tenaga kerja kesihatan, serta ASEAN One Health Network, yang menggabungkan pendekatan kesihatan manusia, haiwan dan persekitaran.
Selain itu, usaha sedang dijalankan ke arah penubuhan ASEAN Centre for Public Health Emergencies and Emerging Diseases ataupun ACPHEED sebagai pusat serantau untuk kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap penyakit berjangkit yang baharu muncul. Setiap inisiatif ini mempunyai fungsi khusus dalam memperkukuh daya tahan kesihatan serantau. Contohnya, ASEAN EOC Network membolehkan perkongsian maklumat real-time semasa kecemasan kesihatan. Manakala, ASEAN BioDiaspora Virtual Center menggunakan teknologi Big Data untuk mengesan pergerakan penyakit berjangkit yang merentasi wilayah.
Sebagai tanda sokongan dan komitmen terhadap ASEAN, Negara Brunei Darussalam telah mengambil inisiatif untuk menjadi negara peneraju sebagai serta penyelaras dalam projek bagi mendapatkan vaksin dan ubat antiviral penyakit cacar monyet ataupun monkeypox melalui dana ASEAN. Inisiatif ini bukan sahaja menunjukkan komitmen Brunei terhadap kerjasama serantau, tetapi juga kemampuan negara kita untuk memimpin dalam situasi kecemasan kesihatan global. Hasil dari inisiatif ini, semua Negara-Negara Ahli ASEAN yang memerlukan ubat antiviral tersebut, telah selamat menerimanya. Manakala bagi vaksin berkenaan pula, beberapa Negara Ahli ASEAN telah menerimanya, dan selebihnya masih dalam proses penghantaran daripada pembekal.
Kejayaan projek ini telah menjadikan modal untuk kerjasama kesihatan ASEAN yang akan datang dan meletakkan Brunei sebagai contoh kepimpinan yang proaktif dalam menangani cabaran kesihatan serantau. Inisiatif ini selaras dengan pendekatan ASEAN Health Cluster untuk memperkukuh daya kesihatan serantau melalui mekanisme seperti ASEAN Risk Assessment dan Risk Communication Centre serta rancangan penubuhan ASEAN Centre for Public Health Emergencies and Emerging Diseases.
Dalam konteks ini, Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam telah mengambil alih tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN Health Cluster 3 bagi tempoh 2025-2027. Dalam peranan ini, Brunei turut memfokuskan pada usaha memperkukuh sistem kesihatan serantau dan memperluaskan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dalam kalangan Negara Anggota ASEAN. Ini termasuk mencapai standard dalam latihan profesional kesihatan dan pergerakan tenaga kesihatan terlatih serta mempromosikan pertukaran amalan terbaik dalam pengurusan sistem kesihatan. ASEAN Health Cluster 3 memberi tumpuan khas kepada pengukuhan sistem kesihatan dan meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.
Sebagai Pengerusi, Brunei Darussalam memainkan peranan utama dalam memastikan kesiapsiagaan serantau yang mantap dan akses sejagat kepada penjagaan kesihatan yang berkepentingan dan ubatan-ubatan yang selamat dan berkualiti. Mengambil kira tanggungjawab serantau yang digalas serta cabaran global yang semakin kompleks, sudah tiba masanya untuk kita meneliti pendekatan di peringkat kebangsaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Menyentuh mengenai dengan cabaran-cabaran yang menghadapi secara global dan serantau, Kementerian Kesihatan turut sama meneliti dasar-dasar sedia ada untuk memastikan kelestarian dan keupayaan perkhidmatan kesihatan dan perubatan dalam jangka masa panjang. Seiring dengan pelaksanaan dasar baru yang melihat trend perbelanjaan kesihatan di negara ini, sudah tiba masanya negara menyertai inisiatif dalam meneliti semula kos dan dasar pemberian perkhidmatan kesihatan melalui kajian menyeluruh untuk memastikan perubahan ini dilaksanakan secara inklusif dan tidak membebankan setiap golongan yang terkesan dengan perubahan ini.
Sebagai langkah ke arah ini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan pengemaskinian Dasar Caj Perkhidmatan Kesihatan yang berkuatkuasa pada 1 Julai 2025. Di bawah dasar ini, kos rawatan mula dikenakan kepada beberapa golongan dan kini ditanggung sendiri. Walau bagaimanapun, pengecualian bayaran diberikan kepada kumpulan pesakit-pesakit tertentu sepertimana yang diumumkan sebelum ini. Pengecualian-pengecualian ini mencerminkan komitmen kita terhadap nilai ihsan serta keprihatinan sosial yang mendalam. Kementerian Kesihatan tidak akan pernah menafikan rawatan kepada mereka yang paling memerlukan dan akan sentiasa memastikan bahawa pertimbangan kesihatan awam diutamakan dalam setiap keputusan yang dibuat.
Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar penduduk yang terkesan untuk menerokai pelbagai kaedah seperti pengambilan insurans perlindungan kesihatan sebagai langkah persediaan menghadapi bebanan kos rawatan. Seperti apa yang sudah dimaklumkan sebelum ini, pada Tahun Kewangan 2024/2025 sahaja, kerajaan telah menanggung hampir $70 juta bagi rawatan golongan yang tertentu, termasuk lebih $28 juta atas rujukan kepada institusi swasta.
Peningkatan kos yang signifikan dari tahun ke tahun ini memberi isyarat yang jelas kepada perlunya pengemaskinian pembayaran kesihatan agar kita dapat menyalurkan sumber awam secara lebih berkesan sambil menggalakkan pertumbuhan sektor-sektor seperti insurans kesihatan dan kemudahan penjagaan swasta. Realiti ini diharap dapat membawa kita ke sudut yang lebih positif dan menjentik pihak-pihak dan agensi berkepentingan lain untuk melihatnya sebagai potensi untuk membangun sektor-sektor yang berkaitan dalam membantu kerajaan menanai golongan-golongan yang terkesan khususnya.
Penelitian semula Skim Pembayaran bertujuan menggalakkan penggunaan perkhidmatan kesihatan secara bijak dan bertanggungjawab dan secara langsung akan menyumbang kepada pemerkasaan kewangan sistem kesihatan negara. Sumber yang dijimatkan akan disalurkan semula untuk mempertingkatkan infrastruktur, mempercepat pendigitalan semua bertujuan memperluaskan akses kepada perkhidmatan komprehensif, meningkatkan mutu rawatan dan menangani cabaran kesihatan awam termasuk penyakit tidak berjangkit kepada rakyat di negara ini.
Dengan sokongan kerajaan, penglibatan masyarakat dan kerjasama merentasi sektor, kita yakin bahawa Sistem Penjagaan Kesihatan Kebangsaan akan terus maju memenuhi piawaian antarabangsa selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Kementerian Kesihatan amat prihatin terhadap kebimbangan dan keresahan yang timbul dalam golongan yang terkesan akibat perlaksanaan pengemaskinian Dasar Caj Perkhidmatan Kesihatan ini. Kementerian Kesihatan menghargai sumbangan golongan ini kepada pembangunan negara dan ingin menegaskan bahawa dasar ini dilaksanakan dengan penuh pertimbangan terhadap situasi sebenar kehidupan mereka termasuk kemampuan kewangan dan keperluan rawatan perubatan mereka.
Adalah penting untuk ditekankan bahawa pengemaskinian ini bukanlah langkah diskriminasi atau tindakan yang bersifat primitif, sebaliknya ia adalah langkah yang perlu diambil untuk memastikan sistem kesihatan yang lebih mampan dan terarah. Selain itu, pengemaskinian ini sama sekali bukan bertujuan untuk mengurangkan atau menghadkan pemberian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Pada yang sama, penjagaan kesihatan tidak harus diambil ringan dan setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik.
Sebagai langkah berterusan, Kementerian Kesihatan berusaha untuk melakukan kajian impak secara berkala untuk memastikan dasar dilaksanakan secara berkesan dan inklusif, menyediakan mekanisme maklum balas yang terbuka untuk mendengar kebimbangan masyarakat, menyesuaikan dasar jika diperlukan berdasarkan bukti dan pengalaman dan memastikan komunikasi yang jelas dan berterusan dengan semua pihak yang terlibat.
Setakat ini, bagi golongan yang menghadapi kesulitan untuk membuat pembayaran, penilaian akan dijalankan oleh pasukan khas terdiri daripada Bahagian Pekerja Perubatan Sosial dan Bahagian Kewangan. Dan sekiranya layak dirujuk kepada beberapa saluran seperti Tabung Amal Bantuan Pesakit, Jabatan JUZWAB, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah atau menerusi kaedah bayaran secara ansuran.
Proses penilaian ini mengambil kira pelbagai faktor termasuk pendapatan keluarga, jumlah tanggungan, jenis dan kos rawatan yang diperlukan serta keadaan khas lain yang mungkin mempengaruhi kemampuan seseorang untuk membayar. Objektif utama adalah untuk memastikan tiada siapa yang terpaksa memilih antara kesihatan dan kemampuan untuk membiayai kelangsungan hidup.
Kementerian Kesihatan akan terus memantau dan bekerjasama dengan agensi yang berkaitan untuk sama-sama memastikan penelitian semula dasar tersebut dilaksanakan sebaiknya dan akan meneliti keperluan untuk merapatkan jurang yang ada pada masa ini. Kajian berterusan akan dilaksanakan untuk mengetahui apa jua masalah untuk diatasi bersama. Mekanisme pemantauan ini melibatkan analisa tren dalam permohonan bantuan kewangan, maklum balas daripada kakitangan barisan hadapan mengenai perlaksanaan dasar dan tinjauan kepuasan pengguna perkhidmatan yang terkesan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Perkhidmatan kesihatan yang berkualiti memerlukan perancangan strategik yang teliti, komitmen yang tidak berbelah bahagi serta kerjasama padu untuk semua pihak yang terlibat dalam ekosistem kesihatan negara.
Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam memperkukuh sistem kesihatan melalui pendekatan berasaskan bukti, pelaburan strategik dalam infrastruktur serta permanfaatan teknologi dan inovasi digital. Pendekatan holistik ini memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berdasarkan data dan kajian yang mendalam, manakala setiap pelaburan yang dilakukan adalah bertujuan untuk memberikan impak jangka panjang yang maksimum kepada kesejahteraan masyarakat.
Usaha ini sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk mencapai kehidupan berkualiti tinggi, rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi, dan membentuk ekonomi dinamik serta lestari. Oleh itu, penjagaan kesihatan yang cemerlang menjadi asas penting kepada pencapaian objektif wawasan tersebut.
Dalam mencapai matlamat ini, Kementerian Kesihatan komited untuk terus memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan secara inklusif, sambil memperkukuhkan keupayaan negara dalam menghadapi cabaran kesihatan global seperti peningkatan penyakit tidak berjangkit dan ancaman kecemasan kesihatan awam. Dengan adanya sokongan padu daripada kerajaan serta kolaborasi mantap antara pelbagai sektor, sistem kesihatan negara diyakini akan lebih berdaya tahan, mampan dan sentiasa memenuhi piawaian antarabangsa.
Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini, termasuklah memperkukuhkan program saringan kesihatan secara menyeluruh, mempertingkat pengurusan penyakit kronik di peringkat penjagaan asas serta memperluas kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai amalan kesihatan yang terbaik. Pendekatan menyeluruh ini bertujuan memastikan rakyat Brunei bukan saja mempunyai jangka hayat yang meningkat tetapi menjalani kehidupan yang sihat, aktif dan berkualiti.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam mengakhiri kenyataan ini, izinkan kaola merumuskan mesej utama yang ingin disampaikan pada hari ini. Perjalanan yang telah kita lalui bersama dalam membangunkan sistem kesihatan negara adalah satu perjalanan yang penuh dengan cabaran tetapi juga kaya dengan pencapaian yang membanggakan. Dari penyertaan dalam Lembaga Eksekutif WHO hinggalah kepada kepimpinan dalam ASEAN Health Cluster, dari pelaksanaan teknologi canggih hinggalah kepada pengemaskinian dasar pembiayaan, setiap langkah yang diambil adalah untuk memastikan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam mendapat perkhidmatan kesihatan antara yang terbaik di dunia.
Pengemaskinian Dasar Caj Perkhidmatan Kesihatan yang telah dibincangkan adalah bukti komitmen kita terhadap kepada kemampanan jangka panjang. Ini merupakan langkah ke hadapan untuk memastikan sistem kesihatan kita kekal kukuh dan mampu menampung keperluan generasi akan datang dengan lebih baik lagi. Bagi golongan yang mungkin terkesan dengan pelaksanaan dasar ini, ingin kaola tegaskan bahawa Kementerian Kesihatan tetap komited untuk memastikan tiada siapa pun tercicir daripada mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan. Prinsip kesejahteraan bersama akan terus menjadi teras dalam setiap langkah yang diambil oleh kementerian.
Sekian saja yang ingin kaola sampaikan dan kaola sukacita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua di atas kesempatan ini. Sebelum mengundurkan diri, izinkan kaola menutup kenyataan ini dengan sedikit kata-kata hikmah, “Asas bagi semua kebahagiaan ialah kesihatan yang baik” dan “Rakyat yang sihat adalah kekayaan terhebat yang boleh dimiliki oleh sesebuah negara”. Ungkapan ini mengingatkan kita bahawa kesihatan bukan saja merupakan hak asasi tetapi juga aset paling berharga bagi pembangunan dan kemakmuran negara.
Sekian, wabillahit taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih atas keterangan Menteri Kesihatan yang begitu komprehensif mengenai dengan tajuk yang dibawanya dan kepimpinan kementeriannya dalam menuju ke arah kesihatan sejagat bagi keseluruhan rakyat negara kita ketika ini. Ada apa-apa yang mungkin ditimbulkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Jika tidak ada, maka saya cadangkan kita beralih kepada urusan seterusnya. Ya..
(Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengangkat tangan)
(Yang Mulia Jurutulis berdiri memaklumkan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua bahawa Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengangkat tangan)
Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin:
Soalan satu penerangan daripada Menteri Kesihatan. Mengenai dengan financial sustainability. Soalan kaola, apakah dasar kementerian menghantar warga tempatan menerima rawatan di luar negara?
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Ok.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Nanti dulu. Dato, do you want to reply that question ataupun inda, its up to you. Tapi as i said earlier, soalan yang dikemukakan hendaklah berkisar kepada perkara yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam penerangannya. Jadi, secara terang-terang barangkali tidak ada indication yang menyebut perkara yang seperti itu. Tapi, walau macam mana pun, terpulang kepadanya sama ada ia suka menjawab ataupun tidak. Saya serahkan kepadanya.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Bah. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Izinkan kaola menjawab saja kali. (Ketawa). Terima kasih Yang Berhormat soalan yang diajukan.
Pada dasarnya Kementerian Kesihatan akan menghantar pesakit ke luar negara bila kepakaran atu nada di Brunei lah. So masa ani ada beberapa kumpulan pesakit terutama sekali dalam rawatan mata terutama sekali yang melibatkan corneal transplant ataupun penyakit Complex Congenital Heart Disease masih di luar negara. Tapi kebanyakannya sudah dapat dibuat di Brunei termasuk pemindahan buah pinggang or renal transplant dan sejak tahun ini kitani membuat kebanyakan daripada liver transplant atu pun di negara ani sudah. Alhamdulillah, terima kasih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Terima kasih. Jadi, kita beralih kepada perkara seterusnya.
Yang Mulia Jurutulis
Perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Persidangan Mesyuarat ini masih membahaskan dan terus membahaskan Usul Wawasan Brunei 2035 dan bersama saya di sini masih terdapat senarai Ahli-Ahli Yang Berhormat yang suka untuk turut serta dalam membahaskan Usul ini. Saya memulakan perbahasan kita dengan menjemput Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II. Silakan Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan selamat pagi. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola dengan penuh hormat dan takzim sukacita menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa majlis pembukaan sesi Musim Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara Ke-21 iaitu “…perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035 memerlukan kerjasama, inovasi dan semangat juang yang tinggi…” Di sini kaola ingin menekankan, “…oleh semua pihak.”
Alhamdulillah, Alhamdulillah, buat pertama kali sejak ianya dilaksanakan pada tahun 2007, barulah kali ini pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 dibahaskan dan dibincangkan secara konstruktif di Dewan yang mulia ini. Ini mencerminkan tahap kematangan atau maturity untuk sama-sama membincangkan dan melaksanakan langkah-langkah dan pendekatan-pendekatan tersebut ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 tanpa seorang pun yang ketinggalan, no one left behind.
Bagi mendukung usaha merealisasikan Wawasan ini, Negara Brunei Darussalam menerusi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri akan terus mempertahankan dasar luar yang menjamin dan memastikan kedaulatan dan keutuhan serta keamanan dan kestabilan negara sentiasa terpelihara. Negara kita akan terus mengorak langkah dalam memperkukuhkan hubungan luar serta mempertingkatkan peranan kita di peringkat serantau dan antarabangsa.
Misalnya dalam ASEAN, Negara Brunei Darussalam dapat menyumbang kepada usaha-usaha dalam memastikan perpaduan, keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau kita. Ini termasuk dalam sama-sama mencapai agenda ASEAN Community Vision 2045. Kita juga dapat berganding bahu dengan negara-negara sahabat dalam menangani cabaran-cabaran seperti penyakit pandemik, perubahan iklim maritim, keselamatan siber dan ketahanan ekonomi. Sementara di arena antarabangsa, negara kita kekal komited kepada prinsip multilateralisme, akur kepada undang-undang antarabangsa, aktif dalam misi pengaman serta turut menyumbang kepada misi bantuan kemanusiaan. Dengan adanya keamanan dan kestabilan di peringkat serantau dan antarabangsa, kesemua ini dapat membantu merealisasikan usaha negara dalam mencapai matlamat-matlamat yang ditetapkan dalam Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri merupakan agensi pemudah cara atau fasilitator bagi kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara lain. Hasil jalinan persahabatan dua hala atau bilateral relations dengan rakan-rakan luar dan penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti ASEAN, Commonwealth, OIC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, United Nations, kita telah banyak beroleh manfaat. Ini termasuk menimba pengalaman meningkatkan keupayaan dan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti keselamatan, ekonomi, kesihatan, pendidikan, kesalinghubungan dan kebudayaan.
Contohnya melalui inisiatif-inisiatif di bawah Young Leaders Programme dengan Singapore serta juga bengkel, kursus dan biasiswa diberbagai bidang yang ditawarkan oleh negara-negara sahabat seperti Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Russia, People’s Republic of China secara dua hala mahupun sebagai rakan dialog ASEAN telah dapat membantu membangunkan lagi keupayaan dan kepakaran anak-anak tempatan dan menyumbang kepada pembangunan negara ianya selaras dengan Matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan masyarakat berpendidikan dan kemahiran tinggi.
Pada masa yang sama, kementerian ini juga akan terus memainkan peranannya dalam membantu agensi-agensi berkenaan untuk menerokai peluang baharu terutamanya dalam bidang ekonomi, pertanian, pendidikan, pelancongan, tenaga serta sektor-sektor lain. Semua ini akan membantu pertumbuhan ekonomi negara sejajar dengan matlamat bagi mempunyai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Dalam lanskap global yang tidak menentu dan kian mencabar seperti isu-isu persaingan politik, ekonomi dan teknologi maklumat oleh kuasa-kuasa besar serta konflik di Timur Tengah dan di Eropah, negara kita tidak terkecuali dari turut terkesan. Ini juga mencabar usaha-usaha kita dalam mencapai Wawasan Negara. Oleh itu, kita mesti sentiasa peka, responsif dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku. Melangkah ke hadapan, Negara Brunei Darussalam juga perlu terus mengukuhkan hubungan dua hala dan berbilang hala dengan rakan-rakan serantau dan antarabangsa. Justeru itu, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri akan terus memberikan sokongan dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan melalui whole of government dalam menjaga kepentingan negara dalam mencapai Matlamat Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Walaupun dengan tersedianya strategi-strategi Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Blueprint-Blueprint yang berkenaan, belum tentu Wawasan Brunei 2035 akan tercapai tanpa adanya pendekatan secara whole of nation kerana Wawasan Brunei 2035 ini adalah Wawasan yang dimiliki dan akan dimanfaatkan oleh setiap rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.
Oleh yang demikian, penglibatan dari setiap lapisan masyarakat yang berkepentingan seperti para belia, wanita, peniaga-peniaga, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lainnya adalah juga penting. Sebagai contoh dalam sama-sama menyumbang kepada pengurangan kos perbelanjaan dan meningkatkan hasil pendapatan negara serta juga mengenal pasti dan membuat penyelesaian mengenai isu-isu ekonomi dan sosial sepertimana yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai isu lesen niaga orang tempatan yang disewakan kepada orang luar.
Dalam pada itu, ada juga baiknya kita dengarkan menerusi Yang Berhormat Ahli-Ahli Yang Dilantik, apakah peranan, cadangan, buah fikiran, cara penyelesaian dan usaha-usaha yang dapat pihak masyarakat ini sumbangkan dalam sama-sama berusaha ke arah mencapai Wawasan tersebut.
Dengan cara ini, dapatlah kita membincangkan perkara-perkara strategik yang bermanfaat kepada rakyat dan penduduk tetap negara ini, bak pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, ‘duduk seorang bersempitan, duduk beramai biar lenggang’.
Sekian, Wabillahit taufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Saya persilakan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.
Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin
Terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim, Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Kaola merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas peluang untuk kaola turut serta membahaskan Usul yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Kaola menyokong penuh terhadap Usul tersebut dan menghargai usaha berterusan kementerian-kementerian yang terlibat dalam melaksanakan pelan strategik negara ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035. Komitmen ini wajar diberi pujian. Perbahasan di Dewan yang mulia ini, seharusnya menjadi ruang penting untuk mengetengahkan idea-idea baharu demi menjayakan Wawasan Brunei 2035 yang inklusif dan berpandangan jauh.
Brunei Darussalam kini berada dalam fasa kritikal transformasi nasional seperti yang digariskan dalam Wawasan Brunei 2035. Aspirasi wawasan memerlukan asas kukuh termasuk Institusi Perkhidmatan Awam yang responsif dan berbudaya penyampaian serta akauntabiliti. Infrastruktur moden dan inklusif serta masyarakat yang bersatu padu dan berdaya tahan.
Namun cabaran semasa menunjukkan bahawa prestasi perkhidmatan awam serta kesiapsiagaan institusi masih belum diterapkan sepenuhnya dalam perancangan dan pelaksanaan utama dengan jurang kecekapan antara agensi hanya segelintir yang menunjukkan penyampaian yang berkesan. Tanpa memperkukuhkan asas ini, pelan strategik negara seperti Rangka Tindakan Ekonomi berisiko kekal sebagai aspirasi semata-mata tanpa impak ternyata kepada rakyat.
Kaola ingin menarik perhatian bahawa walaupun Belanjawan tahunan negara menunjukkan peningkatan alokasi di bawah Rancangan Kemajuan Negara, RKN telah menurun sebanyak 58 peratus sejak RKN8 hingga ke RKN12, yang boleh menjejaskan keupayaan negara melaksanakan projek pembangunan berskala besar dan strategi jangka panjang. Justeru, dicadangkan agar alokasi belanjawan untuk pembangunan negara dipertingkatkan demi menjayakan pelan strategik dan memacu pertumbuhan mampan yang inklusif selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Pelaburan infrastruktur juga perlu difokuskan kepada keperluan asas yang menyokong transformasi ekonomi termasuk pengangkutan awam daerah, kemudahan logistik untuk usahawan, prasarana digital luar bandar dan pusat latihan kemahiran di setiap daerah agar penyertaan ekonomi rakyat tidak kekal terhad. Infrastruktur yang dimaksudkan bukan sahaja fizikal tetapi juga sosial dan digital yang membina keyakinan, memudahkan akses perkhidmatan dan menjamin peluang ekonomi yang adil.
Walaupun KDNK Brunei mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus pada tahun 2024, tertinggi dalam tempoh lebih 25 tahun. Pencapaian ini perlu dinilai dari segi keberkesanan dalam memperkukuh institusi penyampaian perkhidmatan awam dan impak kepada rakyat. Namun ramai dalam kalangan rakyat masih belum merasai perubahan tersebut secara langsung, menunjukkan jurang antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sebenar di peringkat akar umbi.
Brunei telah mencapai negara berpendapatan tinggi tetapi Index Gini Coefficient atau kesenjangan, sekitar 36.6 pada tahun 2019 menunjukkan jurang pengagihan pendapatan yang ketara. Tambahan pula kadar pengangguran belia meningkat daripada 16.8 peratus di tahun 2023 kepada 18.3 peratus, 2024 menunjukkan tren pengangguran yang membimbangkan.
Dalam konteks sosial semasa, seramai 7,375 daripada 10,041 individu berkeupayaan bekerja, able-bodied, masih menerima bantuan kebajikan bulanan dan belum menyertai pasaran tenaga kerja. Ini menunjukkan bahawa peluang ekonomi yang lebih menyeluruh dan berkesan amat diperlukan. Peluang yang sama harus diberikan kepada rakyat agar negara ini tidak dilihat hanya sebagai negara kebajikan atau welfare state, tetapi sebuah negara yang memperkasa warganya melalui penyertaan aktif dalam pembangunan ekonomi.
Meskipun Pelan Induk Ekonomi negara telah menetapkan empat aspirasi utama ke arah ekonomi mampan, pelaksanaan yang masih belum benar-benar menerap ke akar masyarakat. Data semasa menuntut pendekatan dasar yang lebih berpaksikan reality community bermula dengan mendengar suara rakyat. Tanpa menangani asas kehidupan rakyat, transformasi sebenar tidak akan berlaku.
Mereka yang paling terkesan oleh dasar harus menjadi titik mula perubahan. Justeru, pasukan tindakan rentas agensi perlu ditubuhkan segera bagi memastikan dasar dilaksanakan hingga ke peringkat komuniti terbawah. Tanpa asas kukuh di akar umbi, pelan daya atas hanya menjadi binaan rapuh. Jika jurang ini dibiarkan aspirasi ketiga Wawasan Brunei 2035 bukan sahaja terancam, malah negara berisiko menyaksikan pengumpulan kekayaan di pusat, sementara luar bandar terus kurang berdaya asing.
Bagi memperkukuhkan akar ekonomi rakyat, kaola mencadangkan pelaksanaan pendekatan decentralisation ecosystem keusahawanan melalui penubuhan pusat satellite ekonomi di setiap daerah, sebagai pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan seperti pendaftaran perniagaan, latihan keusahawanan, bimbingan digital, pensijilan halal dan akses kepada pembiayaan.
Pendekatan ini menyokong konsep District Economic Specialisation dan membolehkan daerah membina kluster ekonomi berdasarkan potensi tempatan. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 3 kumpulan utama. Pertama, usahawan belia yang kini dapat mengakses peluang tanpa bergantung kepada fasiliti di ibu negara, perniagaan keluarga dan industri kecil termasuk cottage industry yang akan dibantu dari segi pemantapan kapasiti dan ekspot serta komuniti setempat melalui penubuhan koperasi moden yang mengurus aktiviti perniagaan bersama termasuk kedai runcit dan Satu Kampung Satu Produk secara lebih sistematik.
Koperasi ini berpotensi menjadi contoh koperasi moden yang boleh mengambil alih operasi perniagaan yang dimonopoli oleh warga asing yang tidak memberi pulangan yang jelas kepada ekonomi tempatan, sekaligus mengembalikan nilai tambah kepada rakyat dan negara. Ia juga dapat menghidupkan semula aset kerajaan yang terbiar dengan menjadikannya pusat ekonomi baharu yang menyumbang kepada pertumbuhan sosial ekonomi daerah.
Pendekatan ini adalah praktikal dan cost-effective mempercepat melaksanakan pusat satellite economy tanpa keperluan kos pembangunan baharu yang tinggi.
Selaras dengan prinsip desentralisasi, inisiatif ini membawa perkhidmatan lebih dekat kepada komuniti sambil mengoptimumkan aset sedia ada demi manfaat rakyat. Transformasi ini bersifat struktur dan berpaksi komuniti untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang adil dan mampan.
Untuk menjamin dan keberkesanan pelaksanaan desentralisasi ini, dicadangkan penumbuhan Penggerak Pembangunan Ekonomi Daerah, PPED sebagai pemacu utama inisiatif ekonomi daerah. Ia akan menjadi platform kolaboratif rentas sektor melibatkan usahawan muda, pemimpin tempatan, ketua komuniti serta pegawai rasmi daerah seperti Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung.
Penubuhannya harus berpandukan SOP yang ditetapkan bersama kementerian dan agensi pusat untuk memastikan integriti dan keberkesanan. Cadangan awal ialah PPED ditubuhkan melalui kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Brunei Economic Development Board, Darussalam Enterprise dan Pejabat-Pejabat Daerah bagi menyediakan rangka kerja dan penyelarasan dasar awal. PPED akan memudah cara penaiktarafan pusat satelit ekonomi, melaksanakan latihan keusahawanan bersasar dan menghubung usahawan dengan pembiayaan dan pasaran. Dengan sokongan institusi seperti BEDB, Darussalam Enterprise dan Bank Usahawan sejalan dengan visi dan misinya. Insya Allah, PPED akan menyumbang kepada pengurangan jurang pendapatan dan pengangguran serta membantu lebih 7,000 individu berkeupayaan bekerja keluar daripada kitaran kemiskinan.
Yang paling utama, pendekatan ini bersifat scalable dan mudah diinstitusikan di bawah rangka kerja nasional, membolehkan pelaksanaannya diperluas secara sistematik dan tersusun ke seluruh negara. Ini bukan sahaja bersifat transformasi malah sejalan dengan Wawasan Brunei 2035 dengan membina sebuah ekonomi yang progresif saksama dan berpusatkan rakyat. Sebagai penutup, perbahasan ini merupakan satu langkah awal yang sangat baik ke arah memperkukuh perlaksanaan strategi negara.
Harapan besar kaola agar perbahasan disusuli dengan siri perbincangan yang lebih mendalam dan inklusif, melibatkan pemimpin-pemimpin utama dalam pentadbiran serta pelaksana dasar di pelbagai peringkat. Pejabat Wawasan sebagai penyelaras utama amat penting untuk digerakkan dengan lebih aktif dan strategik termasuk kerjasama erat dengan pihak berkaitan.
Dicadangkan agar laporan kemajuan disediakan secara suku tahunan untuk dipantau perkembangannya dengan lebih menyeluruh dan berdasarkan data yang terkini. Inisiatif ini perlu disokong dengan komunikasi terbuka kepada rakyat, bukan sekadar untuk memberigakan tetapi untuk mendapatkan maklum balas serta aspirasi mereka dalam semangat penyertaan bersama.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed
Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Wawasan Brunei 2035 telah menjadi panduan kepada dasar-dasar pembangunan negara selama lebih daripada satu dekad. Ia meletakkan 3 aspirasi utama: rakyat berpendidikan, berkemahiran dan berpendapatan tinggi, kualiti hidup setanding negara maju dan ekonomi yang berdaya tahan dan dinamik.
Melalui Economic Manpower dan Social Blueprint, pelbagai langkah telah diambil dan kita dapat melihat kemajuan dalam pelbagai aspek termasuk peluang pendidikan dan latihan yang semakin luas. Pengusaha kecil yang semakin berani meneroka pasaran dan jaringan bantuan sosial yang lebih kukuh menyokong rakyat berkeperluan.
Kaola ingin menyentuh 3 aspek untuk terus diperkukuhkan bagi memastikan wawasan ini benar-benar tercapai dan diwariskan sebagai kejayaan bersama untuk generasi yang akan datang. Iaitu ekonomi daerah sebagai pemacu pertumbuhan negara, laluan kerjaya tempatan yang lebih terjamin dan jaringan sokongan sosial yang lebih bersepadu dan berkesan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Melalui economic blueprint, kerajaan telah menyediakan pelbagai sokongan kepada pengusaha kecil dan sederhana, SME. Antara inisiatif sedia ada termasuk skim geran dan pembiayaan mikro melalui agensi seperti Darussalam Enterprise, DARe. Program latihan asas keusahawanan serta peluang untuk menyertai platform pemasaran seperti Brunei MSME Festival, pameran produk tempatan dan saluran e-dagang yang semakin berkembang. Usaha ini telah memberi banyak manfaat terutamanya kepada pengusaha yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.
Cabaran seterusnya bagi pengusaha daerah ialah mengembangkan pasaran selepas bantuan permulaan diterima. Banyak usaha terhenti di peringkat pengeluaran kerana pasaran yang terhad, akses maklumat yang tidak tertumpu dan hubungan dengan pemborong atau pasar raya besar yang kurang konsisten. Mungkin boleh dipertimbangkan penubuhan pusat sehenti ekonomi daerah yang berfungsi menyatukan semua bentuk sokongan yang telah disediakan oleh kerajaan, agar pengusaha tidak lagi berulang alik kepada pelbagai agensi.
Melalui pusat ini, pengusaha dapat menerima bimbingan berterusan dalam strategi pemasaran moden, pengurusan kos yang berkesan dan pembangunan produk yang memenuhi piawaian eksport. Mereka juga boleh mempunyai akses berjadual kepada pemborong pasaraya utama, koperasi dan potensi rakan dagang luar negara melalui mekanisme pemadanan pasaran yang lebih teratur.
Selain itu, pusat ini boleh menyediakan khidmat nasihat teknikal dan perkhidmatan pensijilan di satu lokasi agar proses pematuhan piawaian halal, keselamatan makanan dan standard serantau dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan mudah. Dengan adanya pusat seperti ini, semua usaha baik kerajaan termasuk geran, latihan, peluang pasaran dapat dihubungkan secara berkesan. Ianya bukan sahaja mengukuhkan ekonomi daerah tetapi menyumbang kepada matlamat negara untuk membina ekonomi bukan minyak dan gas yang lebih berdaya saing, mengurangkan kebergantungan kepada import dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di luar pusat bandar.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Manpower blueprint telah menyediakan pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran termasuk kursus latihan teknikal, program perantisan dengan syarikat tempatan serta kerjasama dengan institusi pendidikan bagi membina tenaga kerja yang sesuai dengan keperluan industri. Ramai belia telah mendapat manfaat daripada program ini, mendapat pendedahan awal dan pengalaman bekerja sebelum memasuki pasaran kerja sebenar. Walau bagaimanapun, selepas program berakhir ramai peserta masih berdepan dengan pekerjaan sementara atau kontrak jangka pendek, tanpa jaminan untuk berkembang ke kerjaya yang tetap. Ianya bukan bermaksud latihan tidak berkesan tetapi kesinambungan selepas latihan belum sepenuhnya terjamin.
Untuk memperkukuh hasil pelaburan ini, mungkin boleh dipertimbangkan beberapa langkah. Pertama, Skim insentif kepada majikan yang mengambil peserta latihan secara tetap selepas program tamat agar sektor swasta lebih terdorong melabur dalam tenaga kerja tempatan secara berjangka Panjang. Kedua, Pemetaan kerjaya, bersepadu di sekolah menengah yang diselaraskan dengan unjuran pertumbuhan ekonomi 5 hingga 10 tahun ke hadapan, agar pelajar dapat merancang laluan pendidikan mereka mengikut keperluan industri sebenar dan meningkatkan kebolehpasaran selepas tamat pengajian; dan Ketiga, Program latihan semula yang lebih fleksibel untuk tenaga kerja berpengalaman atau berusia, supaya mereka dapat beralih ke sektor baharu, terutama dalam menilai, terutama dalam bidang bernilai tambah tinggi apabila struktur ekonomi negara berubah atau apabila mereka kehilangan pekerjaan.
Langkah-langkah ini tidak menambah dasar baharu tapi memperkukuh lagi hubungan antara latihan, pasaran kerja dan pekerjaan jangka panjang. Dengan pendekatan ini, diharapkan tenaga kerja tempatan bukan sahaja berpeluang mendapat pekerjaan tetapi juga menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil dan berdaya saing.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sosial blueprint telah membantu ramai keluarga mengatasi cabaran asas melalui skim bantuan kewangan pemilikan rumah dan pelbagai program kebajikan yang disampaikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta agensi lain. Program Kesedaran Sosial dan peranan Majlis Perundingan Kampung juga semakin jelas dalam mendekati masyarakat berkeperluan. Namun, terdapat kes di mana rakyat yang berdepan masalah lebih kompleks seperti tekanan ekonomi berpanjangan, kesihatan mental atau isu kekeluargaan terpaksa berulang alik antara pelbagai agensi untuk mencari penyelesaian.
Perkara ini sering melambatkan bantuan atau menyebabkan isu tersebut berlarutan. Mungkin boleh dipertimbangkan penubuhan pusat sokongan komuniti daerah yang menyatukan akses kepada semua perkhidmatan ini di satu lokasi. Melalui pusat ini, rakyat boleh mendapatkan bantuan sosial, kaunseling kesihatan mental dan bimbingan keluarga di satu tempat yang mudah diakses. Ia juga boleh menjadi ruang aktiviti komuniti menyediakan program kesedaran sosial, aktiviti rekreasi dan platform sokongan keluarga yang membina, semangat kejiranan dan daya tahan masyarakat.
Pada masa yang sama, Ketua Kampung dan Majlis Perundingan Kampung boleh dibekalkan dengan latihan berterusan agar mereka dapat mengenal pasti isu lebih awal, menyalurkan maklumat dengan cepat dan menjadi jambatan yang berkesan antara rakyat dan agensi kerajaan. Pendekatan ini melengkapkan dasar sosial sedia ada dengan menjadikannya lebih mudah dicapai, lebih efisien dan lebih menyeluruh. Sekali gus membantu membina masyarakat yang bersatu, berdaya tahan dan menyokong antara satu sama lain.
Wawasan Brunei 2035 adalah usaha membina negara yang bukan sahaja menumpukan kepada pencapaian hari ini tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk generasi yang akan datang. Usaha di bawah 3 blueprint utama telah membawa banyak pencapaian yang wajar kita hargai. Pada masa yang sama, kita mahu memastikan manfaat wawasan ini benar-benar sampai kepada setiap rakyat agar perjalanan menuju matlamat 2035 dapat diwariskan sebagai sebuah negara yang lebih makmur, inklusif dan berdaya saing untuk generasi seterusnya.
Sekian. Wabillahit taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.
Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Selamat pagi dan salam sejahtera.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada kaola untuk turut serta bersama rakan-rakan Ahli Yang Berhormat lain membahaskan usul yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan di Perdana Menteri dan Menteri dan Menteri Pertahanan II.
Ini adalah jaminan yang tepat pada masanya terhadap komitmen negara kepada Wawasan Brunei 2035. Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyeru kerjasama, inovasi dan semangat juang yang tinggi. Titah baginda juga mengingatkan kita semua untuk sentiasa teliti kepada emerging issues di peringkat global dalam usaha kita untuk mencapai Wawasan Brunei 2035. Kaola juga menyokong Usul Wawasan Brunei 2035 dan ingin menumpukan perhatian terhadap Matlamat Satu bagi Wawasan Brunei 2035 iaitu Melahirkan Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya. Izinkan kaola memulakan dengan satu persoalan.
Adakah pihak berkuasa mengukur apa yang sebenarnya penting? Rangka kerja negara banyak bergantung kepada Petunjuk Prestasi Utama ataupun KPI yang menjejaki kadar celik huruf, kadar kemasukan dan tamat pengajian dan penyertaan dalam latihan. Namun, ada kalanya kita perlu melangkaui angka-angka ini dan bertanya adakah para lepasan graduan mendapat pekerjaan yang bermakna? Adakah kemahiran mereka seiring dengan keperluan pasaran atau taraf hidup rakyat betul-betul bertambah baik? Jika pihak berkenaan benar-benar ingin memastikan impak yang ketara maka peralihan daripada pemikiran KPI kepada tadbir urus berasaskan hasil adalah amat penting.
Perkara seterusnya, bagi memahami realiti sebenar pasaran buruh dan tenaga kerja, marilah kita meneliti data yang tersedia. Menurut banci tahunan perniagaan atau Annual Census of Enterprises bagi tahun 2021 dan 2023, antara tahun 2019 hingga 2022 jumlah pekerjaan dalam sektor swasta hanya meningkat sebanyak 1,743. Namun begitu, dalam tempoh yang sama statistik pendidikan menunjukkan hampir 14,000 para lepasan graduan telah dihasilkan oleh Institusi Pengajian Tinggi negara yakni sekitar 3,000 graduan setiap tahun. Ini bermakna hampir 8 orang graduan bersaing bagi setiap satu pekerjaan baharu yang diwujudkan. Data ini memberikan satu gambaran yang membimbangkan bahawa cabaran utama bukanlah kekurangan pendidikan tetapi kelebihan pengeluaran graduan yang bidang-bidang yang sudah tepu.
Economic Blueprint dan Manpower Blueprint mengenalpasti 5 sektor utama untuk pertubuhan nasional iaitu hiliran minyak dan gas, pemakanan, pelancongan, teknologi dan infokomunikasi atau ICT dan perkhidmatan. Namun, statistik para lepasan graduan menunjukkan kes yang sebaliknya. Pada tahun 2022, bidang Kesenian dan Kemanusian, Arts and Humanities merangkumi 52 peratus daripada semua pemegang Ijazah Doktor Falsafah atau PhD dan 31 peratus daripada semua para lepasan graduan Ijazah Sarjana Muda. Namun, pasaran buruh tidak mempunyai trajektori yang jelas untuk para lepasan graduan tersebut. Graduan ICT pula kurang daripada 10 peratus keseluruhan tanpa seorang pun pemegang PhD, hanya 3 peratus di peringkat sarjana dan 6 peratus di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Graduan dalam bidang sains makanan dan pelancongan juga kekal rendah. Manakala, bidang perniagaan dan pentadbiran menyumbang lebih 30 peratus daripada jumlah para lepasan graduan. Ini adalah bidang yang terbesar tetapi terus dikenal pasti dalam laporan negara sebagai bidang yang baik mempunyai lebihan. Jadinya, adakah hasil pendidikan kitani benar-benar selaras dengan aspirasi ekonomi negara?
Sekarang, mari kita beralih kepada ekosistem kemahiran negara. Menurut Manpower Blueprint, pada tahun 2021, kurang daripada 8 peratus tenaga kerja terdiri daripada majikan atau pekerja sendiri. Kadar kekurangan guna tenaga pula berada antara 15.7 peratus hingga 21.9 peratus dari 2017 hingga 2021. Ini menandakan kebimbangan yang lebih mendalam. Kitani tidak memupuk gabungan kemahiran yang diperlukan untuk industri baru dan tidak juga mengalakkan inovasi dan pekerja sendiri secara berskala.
Kaola menghargai usaha Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalm iaitu AITI dalam menerbitkan Rangka Kerja Kompetensi Industri ICT Brunei. Namun, ini juga menimbulkan persoalan, apakah jenis tenaga kerja digital yang kitani sedang membangunkan? Adakah kitani memerlukan lebih ramai juruteknik IT, jurutera perisian atau pencipta inovasi? Bagi menyokong sepenuhnya matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035, rangka kerja kemahiran secara menyeluruh harus diperkenalkan untuk semua lima sektor keutamaan. Rangka kerja ini perlu mendedahkan laluan kerjaya dan keperluan peningkatan kemahiran, dikemaskini secara berskala selaras dengan keperluan industri yang dinamik, menyediakan maklumat yang jelas dan boleh diambil tindakan oleh pelajar, pendidik dan majikan.
Seperti yang dinyatakan dalam Manpower Blueprint, beberapa usaha perlu dipertingkatkan lagi bagi menghasilkan peluang pekerjaan yang baharu terutama dalam lima sektor utama dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dengan kemahiran yang tepat bagi mengisi pekerjaan-pekerjaan di sektor-sektor berkenaan.
Kaola menyokong kenyataan ini, namun turut ingin bertanya memandangkan usaha menarik FDI dalam lima sektor keutamaan sedang dilaksanakan. Sejauh manakah kita yakin bahawa bakat yang sedang dibangunkan sejalan dengan keperluan masa hadapan? Tanpa ramalan tenaga kerja yang jelas dan berasaskan sektor, kitani berisiko melahir bakat yang kurang dimanfaatkan. Walau bagaimanapun, dalam menghadapi perubahan dunia yang semakin pesat, kebergantungan kepada kelayakan di atas kerja sahaja tidak lagi memadai.
Menurut laporan Futures of Job 2025 oleh World Economic Forum menjelang tahun 2030, sebanyak 39 peratus kemahiran tenaga hari ini akan menjadi usang dan 59 peratus daripada tenaga kerja global akan memerlukan upskilling and reskilling. Namun KPI kitani masih tertumpu kepada celik huruf, data kemasukan dan tamat pengajian serta kedudukan universiti dalam pengiktirafan antarabangsa.
Itu walaupun penting tetapi ia tidak menggambarkan sama ada graduan kita benar-benar mempunyai kebolehpasaran dan sejauh mana kemahiran mereka sejalan dengan keperluan industri semasa. Kita masih belum menilai keupayaan utama seperti kebolehsuaian dan daya tahan, literasi teknologi dan AI, pemikiran kritikal, analytical dan kreatif, kepimpinan dan kerjasama atau pembelajaran sepanjang hayat dan perasaan ingin tahu. Dengan mengintegrasikan aspek tersebut ke dalam rangka kerja prestasi, kitani dapat merapatkan jurang antara keupayaan semasa dan keperluan masa depan secara serentak menyediakan para lepasan graduan kitani untuk kerjaya yang lebih bermakna dan berterusan.
Akhir sekali, bagi menyelaraskan maklumat satu Wawasan Brunei 2035, dengan realiti semasa dan masa depan, kaola ingin mencadangkan yang berikut. Pertama, Terbitan Unjuran Pekerjaan Tahunan. Walaupun Pusat Strategik dan Dasar Negara Brunei Darussalam CSPS telah menerbitkan laporan Future of Jobs in Brunei 2040 menggunakan perancangan senario atau scenario planning, kitani memerlukan ramalan data pasaran buruh dan unjuran pekerjaan mengikut sektor yang terkini dan sentiasa dikemaskinikan. Pelajar tidak sepatutnya memilih kursus dalam keadaan tidak pasti. Mereka berhak menerima ramalan yang terkini, mudah diakses dan membolehkan mereka untuk mengambil tindakan tentang kursus pengajian mereka dengan maklum.
Kedua, Tingkatkan perisian pasaran buruh iaitu Label Market Intelligence, MMI. Sistem MMI yang mantap sangat penting untuk menyokong unjuran pekerjaan tahunan. Kita perlu memanfaatkan data dan AI untuk menjejaki tren pekerjaan, jurang kemahiran dan perubahan dalam ekonomi demi melengkapi pendidik, pembuat dasar dan pihak industri dengan maklumat yang terkini, dan.
Ketiga, Standardkan keperluan kelayakan minima bagi guru pendidikan awal kanak-kanak di sektor awam dan swasta. Ketika ini guru tadika awam memerlukan Diploma atau Master of Teaching manakala sesetengah sekolah swasta, merekrut guru-guru dengan hanya 4 GCE ‘O’ Level atau Sijil Early Childhood Care and Education. Ketidakseimbangan ini menjejaskan kualiti dan kesaksamaan terutama dalam fasa perkembangan paling penting bagi kanak-kanak.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang kaola hormati.
Janganlah kitani keliru antara aktiviti dengan pencapaian. Kaola menghargai setinggi-tinggi atas penghasilan pelbagai rangka kerja pelan dan dasar yang cemerlang termasuk Manpower Blueprint, Social Blueprint and Economic Blueprint. Walau bagaimanapun, Wawasan Brunei 2035 dalam dekad terkini yang akan menentukan legasi kita ialah hasil sebenar, bukan sekadar kertas kerja. Marilah kita melangkah ke hadapan dengan menyelaraskan pendidik dengan realiti ekonomi, menghargai pembelajaran sepanjang hayat bukan hanya kelayakan ekonomi dan melabur dalam kemahiran yang akan memajukan Brunei ke hadapan kerana masa hadapan tidak hanya memerlukan kelayakan semata-mata. Ia menentukan kesediaan, ketahanan dan kerelevanan. Sekian terima kasih, Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat.
Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola sukacita turut serta menyokong penuh Usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, bagi menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas titah baginda berkaitan usaha merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Kaola terlebih dahulu merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua kaola dapat bersama-sama menghadiri Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara ini.
Dalam kesempatan ini juga, kaola ingin mengimbas kembali titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-4 Majlis Mesyuarat Negara pada 27 Safar 1429 bersamaan dengan 4 Mac 2008 iaitu 16 tahun yang lalu.
Titah baginda pada tahun 2008 itu menegaskan bahawa, “Majlis ini kita sifatkan sebagai surau permuafakatan untuk melakar strategi-strategi yang bermanfaat bagi membantu Kerajaan Beta pada mengukuhkan lagi sistem yang sedia ada yang sudah kita warisi turun-temurun.” Titah baginda lagi, “Oleh itu diharapkan kepada Ahli-Ahli supaya berpandangan jauh dalam perbincangan dengan penjurusan kepada isu-isu strategik yang bermanfaat bagi rakyat selaras dengan hala tuju negara dalam tahun-tahun mendatang. Mutu perbincangan adalah turut ditentukan oleh sifatnya yang substantif, membina dan berasaskan kepada kajian-kajian fakta yang teliti dan tepat.”
Yang Berhormat Yang Di-Pertua Dewan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Titah baginda 15 tahun yang lalu itu masih sangat relevan hari ini. Malah menjadi landasan kepada titah baginda yang terkini, bahawa perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035 memerlukan kerjasama, inovasi dan semangat juang yang tinggi daripada semua pihak.
Ini membuktikan bahawa wawasan dan kepimpinan baginda adalah berterusan dan berpandangan jauh dari tahun 2008 hinggalah kini. Permuafakatan perbincangan strategik dan kebijaksanaan bersama adalah tunjang yang sama dan kini diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan blueprint dan dasar-dasar negara ke arah tahun 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua Dewan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Sebagai yang diketahui Wawasan Brunei 2035 telah diterbitkan pada tahun 2004 dengan matlamat besar selama tempoh 30 tahun. Satu, Melahirkan Rakyat Berpendidikan dan Berkemahiran Tinggi; Yang kedua, Menikmati Kualiti Hidup yang Tinggi; dan Tiga, Membentuk Sebuah Ekonomi yang Dinamik dan Mampan. Kini, kitani sudah memasuki tahun ke-20 dalam pelaksanaan Wawasan ini. Yang bermakna kita mempunyai kurang daripada 10 tahun untuk memastikan semua matlamat ini benar-benar dapat dicapai. Bagi menyokong pelaksanaan Wawasan tersebut, negara telah melaksanakan 3 pelan strategik utama. Pertama, Manpower Blueprint yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan iaitu MPTMP. Yang kedua, Social Blueprint dibawah Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS); dan Yang ketiga, Economic Blueprint yang dipimpin oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Namun kita juga tidak dapat menafikan bahawa persekitaran global telah berubah dengan begitu drastik sejak 2004. Kini kita berdepan dengan cabaran kompleks geopolitik, krisis ekonomi global, perubahan iklim, perkembangan teknologi yang disruptive dan pelbagai lagi cabaran yang tidak dapat diramalkan. Maka sebab itulah peranan Majlis ini amat penting sepertimana titah baginda tahun 2008, mutu perbincangan kita mestilah bersifat substantif, membina dan berasaskan fakta. Setiap perbahasan di dewan ini perlu menjurus kepada penyelesaian isu-isu strategik dan berpandangan jauh khususnya yang menyentuh masa depan rakyat dan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua Dewan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kaola bersetuju bahawa pendekatan senegara whole of nation approach adalah kunci kepada kejayaan perlaksanaan Wawasan Brunei 2035. Beberapa cadangan yang kaola lihat wajar diberi perhatian termasuk. Satu, penyelerasan perlaksanaan blueprint antara kementerian perlu dipergiat dan diukur melalui indikator prestasi yang jelas.
Yang kedua, pelaporan berkala pada umum agar rakyat tahu sejauh mana kemajuan dicapai. Yang ketiga, penglibatan belia dalam dan masyarakat sivil mesti dipertingkatkan. Mereka perlu merasa bahawa Wawasan ini milik bersama bukan hanya milik Kerajaan. Yang keempat, pemerkasaan data dan penyelidikan agar perancangan kita sentiasa berdasarkan bukti dan realiti semasa; dan Yang kelima, pemikiran strategik disemua peringkat dari peringkat dasar hingga ke perlaksanaan di akar umbi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua Dewan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Seperti yang disebut dalam titah tahun 2008 dan dibangkitkan semula melalui titah terkini, kita mesti berpandangan jauh. Kita mesti berani berfikir melampaui jangka masa pendek dan memastikan setiap keputusan yang dibuat hari ini adalah bermanfaat pada generasi akan datang. Sebagaimana baginda sebutkan bahawa Majlis ini adalah syura permuafakatan maka menjadi tanggungjawab kita untuk bermuafakat dan menyumbang dengan ikhlas dan bijaksana dalam memastikan hala tuju negara ini kekal stabil, maju dan makmur. Dengan itu, kaola lagi menghadapakan sokongan penuh terhadap usul ini dan itulah saja yang dapat kaola sampaikan bagi menanai dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan yang mulia ini.
Sekian Wabillahit taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya kira cukup sekian kita bersidang pada pagi ini dan saya cadangan supaya mesyuarat kita ini ditangguhkan.
Insya Allah, kita akan bersidang semula pada petang ini mulai daripada jam 2.30 petang seperti biasa. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)
(Majlis Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang)
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Persidangan Majlis Mesyuarat Negara kita sambung semula pada petang ini dan kita masih membahaskan Usul Wawasan Brunei 2035.
Sekarang saya mempersilakan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan untuk membuat kenyataannya untuk turut serta dalam perbincangan perbahasan Usul ini, silakan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim, (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat
Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan rahmat dan izin dan limpah kurnia-Nya jua kita dapat sama-sama berkumpul pada tengahari ini di Mesyuarat Kedua Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara bagi Tahun 2025 Masihi bersamaan 1447 Hijrah. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam kaum keluarga, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Terlebih dahulu izinkan kaola merakamkan penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberi laluan kepada kaola untuk turut serta menyokong Usul Wawasan Brunei 2035 seperti yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II. Terima kasih juga di atas ulasan terperinci oleh Yang Berhormat Menteri mengenai Usul yang dibentangkan dan usaha-usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah mencapai wawasan ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Wawasan Brunei 2035 merupakan cita-cita besar negara untuk membina sebuah masyarakat yang dinamik, berpendidikan tinggi dan memiliki taraf kehidupan yang berkualiti. Ia bukan sekadar dokumen dasar tetapi merupakan iltizam bersama bahawa segala usaha yang diungkayahkan adalah demi kemajuan generasi masa hadapan.
Dalam melakar jalan ke arah wawasan ini, sektor kesihatan memegang peranan amat penting. Sebuah bangsa hanya akan dapat berdiri teguh jika rakyatnya sihat, bertenaga dan berdaya tahan. Kesihatan bukan sekadar tidak sakit, ia adalah tunjang kepada kehidupan yang lebih bermakna, produktif dan sejahtera.
Justeru itu, Kementerian Kesihatan menzahirkan komitmen penuh dalam memastikan setiap strategi, pelaburan dan inisiatif menyumbang secara langsung kepada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035. Di bawah pelaksanaan wawasan ini, kementerian bertanggungjawab terhadap tiga petunjuk prestasi utama kebangsaan iaitu peningkatan jangka hayat, pengurangan kadar kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit dan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kesihatan.
Ketiga-tiga indicator ini mencerminkan tahap kesihatan masyarakat secara keseluruhan walaupun indicator-indicator tersebut penting, kesihatan sebenarnya memainkan peranan yang lebih besar sebagai pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi, pendidikan dan kualiti hidup. Sebagai langkah permulaan, keutamaan telah diberikan kepada pengukuhan infrastruktur kesihatan. Pusat-pusat kesihatan dan hospital di seluruh negara telah dinaik taraf dengan penekanan terhadap akses yang mudah dan perkhidmatan mesra pelanggan.
Di kawasan pedalaman, perkhidmatan outreach dan klinik bergerak diperluas agar semua lapisan masyarakat mendapat akses kesihatan asas yang saksama. Pelaburan dalam infrastruktur ini bertujuan untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang menyeluruh, inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat di setiap pelosok negara.
Selain pembangunan fizikal, keupayaan digital turut diperkukuh. Aplikasi BruHealth yang mulanya diperkembangkan semasa pandemik kini menjadi platform kesihatan nasional yang penting. Melaluinya rakyat dapat memantau gaya hidup, rekod vaksinasi, menjalankan temu janji serta mendapat konsultasi maya dengan petugas kesihatan dan banyak lagi fungsi yang berguna. Kemajuan ini sejajar dengan aspirasi Negara Pintar or Smart Nation dan memperkukuh pendekatan kesihatan dan yang bersifat pencegahan, kendiri, dan berpusatkan rakyat. Sektor kesihatan turut memberi tumpuan kepada menyokong pertumbuhan ekonomi melalui penjagaan kesihatan tenaga kerja. Beban penyakit kronik yang tidak dikawal mampu menjejaskan produktiviti serta menyumbang kepada peningkatan kos sosial.
Oleh itu, penekanan diberi kepada pencegahan awal, saringan berkala, dan pengurusan penyakit kronik yang lebih sistematik. Penubuhan Pusat Saringan Kesihatan Kebangsaan adalah contoh nyata inisiatif yang membantu mengenal pasti risiko penyakit sejak awal, membolehkan intervensi sebelum gejala menjadi lebih serius. Di samping itu, pembangunan sumber manusia tempatan terus diperkukuhkan. Bilangan pakar perubatan tempatan semakin meningkat, meliputi pelbagai bidang kepakaran seperti perubatan dalaman, pediatrik, pembedahan, kesihatan awam dan sebagainya. Peluang latihan lanjutan di luar negara turut dimanfaatkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Usaha ini membolehkan rakyat memperoleh rawatan berkualiti tinggi tanpa perlu ke luar negara, di samping mengurangkan pergantungan kepada kepakaran asing.
Kemajuan teknologi juga dimanfaatkan sepenuhnya dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan. Inisiatif seperti penggunaan Artificial Intelligence untuk diagnosis, dan makmal yang serba lengkap telah meningkatkan ketepatan serta kelajuan rawatan. Selain itu, dengan bantuan analitik data yang besar membolehkan penyakit dikenal pasti lebih awal dan langkah pencegahan dilaksanakan dengan lebih efektif. Semua ini mendorong ke arah sistem kesihatan yang lebih moden dan berdaya saing di peringkat serantau.
Dalam memperkukuh sistem secara menyeluruh, perhatian juga diberikan kepada kesejahteraan mental. Kesihatan mental kini diangkat sebagai komponen penting dalam kesihatan awam. Perkhidmatan seperti Talian Harapan 145 yang beroperasi sepanjang masa menjadi saluran sokongan utama kepada individu yang memerlukan bantuan segera.
Sementara itu, program-program intervensi seperti Brunei Bebas Buli dan I-Mind dilaksanakan di sekolah dan tempat kerja sebagai usaha pencegahan dan pendidikan. Pendekatan ini mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap aspek mental dan sosial rakyat. Usaha memperkukuh sistem kesihatan turut memerlukan pembangunan literasi kesihatan yang mantap dalam kalangan masyarakat. Rakyat yang celik kesihatan dapat membuat keputusan yang bijak, mengurangkan beban kepada sistem kesihatan awam, dan meningkatkan kualiti hidup masing-masing. Kempen kesihatan kini dirangka dengan sasaran lebih tepat, melalui penggunaan pelbagai medium termasuk media sosial, saluran digital dan kerjasama komuniti setempat. Pendekatan ini menyumbang kepada pembentukan budaya sihat yang lestari.
Kesemua inisiatif ini dilaksanakan di bawah pendekatan berasaskan nilai, atau value-based healthcare. Setiap perbelanjaan mesti memberikan impak yang optimum terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Penekanan diberikan kepada rawatan yang difokuskan kepada pesakit, pemantauan kepada rawatan berasaskan data dan pengukuran kejayaan dari sudut peningkatan kualiti hidup. Melalui pendekatan ini, sektor kesihatan bukan sahaja berfungsi sebagai penjaga kesihatan awam, malah sebagai pemacu pertumbuhan sosioekonomi negara.
Namun, kejayaan sebenar dalam transformasi kesihatan tidak dapat dicapai secara bersendirian. Ia menuntut kerjasama erat antara pelbagai sektor seperti kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat awam.
Klinik outreach yang dijalankan bersama sukarelawan, program kesihatan sekolah yang digerakkan bersama badan-badan bukan kerajaan dan kolaborasi penyelidikan bersama institusi akademik adalah contoh kejayaan sinergi pelbagai pihak. Kesihatan adalah tanggungjawab bersama dan pencapaian nasional memerlukan penglibatan menyeluruh.
Yang Berhormat Yang Di Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Usaha-usaha yang digariskan ini kini mula menunjukkan hasil yang menggalakkan. Berdasarkan dapatan terkini kajian National Health and Nutrition Status Survey 2022-2023, kadar merokok dalam kalangan penduduk telah menunjukkan penurunan sebanyak 19.9 peratus kepada 13.4 peratus dalam kalangan orang dewasa. Manakala penyertaan penduduk dalam aktiviti semakin meningkat sebanyak 8.4 peratus. Peningkatan ini melebihi sasaran negara dan juga petunjuk global. Ini mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat semakin kukuh, hasil daripada kempen kesihatan awam, pendidikan kesihatan dan sokongan dasar yang konsisten.
Di samping itu, akses kepada perkhidmatan saringan awal bagi penyakit-penyakit utama seperti kanser serviks dan kanser payudara telah dipertingkatkan secara menyeluruh. Kadar pengesanan awal penyakit kini lebih tinggi, membolehkan intervensi perawatan dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan, sekali gus mengurangkan beban kepada sistem kesihatan dalam jangka panjang.
Kementerian Kesihatan juga menerokai kaedah baru dalam penyaringan kanser kolorektal, Fecal Immunochemical Test, FIT dan memperkenalkan Human Papillomavirus, HPV self-sampling collection kit bagi penyaringan kanser serviks yang membolehkan pengguna menjalankan saringan di rumah secara mudah dan selesa bagi pengesanan yang lebih sensitif dan efektif. Usaha ini sejajar dengan dapatan kaji selidik tersebut yang menunjukkan peningkatan kadar penyertaan wanita berumur 30 hingga 49 tahun dalam saringan kanser serviks, daripada 67.5 peratus kepada 74.1 peratus, melebihi kadar 70 peratus yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Dalam usaha-usaha untuk penambahbaikan, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan beberapa inisiatif penting bagi memperkukuh Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan.
Ini termasuklah memudahcara pendaftaran bagi penilaian risiko kanser kolorektal, kanser serviks dan kanser payudara dalam aplikasi BruHealth. Pelancaran modul pendaftaran saringan kanser payudara, serta penubuhan Pusat Pengimejan Payudara yang dilengkapi teknologi terkini untuk meningkatkan mutu dan kepercayaan terhadap perkhidmatan saringan dalam tempoh 1 tahun yang lalu.
Kementerian Kesihatan sedang menerokai kaedah lain untuk meningkatkan liputan saringan, termasuk perolehan Mobile Mammogram yang dianggarkan melebihi $1 juta. Kaedah ini sudah dilaksanakan di negara jiran dan dijangkakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya oleh penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman atau yang sukar untuk mendapatkan akses ke hospital. Bagi kanser payudara, kaji selidik kali ini menunjukkan peningkatan 60.3 peratus wanita melaporkan pernah menjalani pemeriksaan payudara, berbanding 11.1 peratus menjalani pemeriksaan dalam setahun yang lalu. Walau bagaimanapun, masih ada ruang untuk penambahbaikan dan kementerian akan terus meneliti, memantau dan mengemaskini usaha-usaha pelaksanaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Brunei Darussalam juga mengiktiraf kesihatan mental sebagai komponen utama dalam menangani penyakit tidak berjangkit, satu pendekatan yang lebih menyeluruh dan progresif berbanding banyak negara lain yang masih memisahkan kesihatan mental daripada dasar NCD mereka. Ini membuktikan komitmen negara dalam membina kesejahteraan yang holistik, bukan sahaja daripada segi fizikal, tetapi juga emosi dan kerohanian. Kesemua pencapaian ini menunjukkan bahawa Brunei berada di landasan yang tepat ke arah merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk membentuk sebuah masyarakat yang sihat, berpengetahuan dan berdaya tahan.
Dengan asas yang kukuh ini, Kementerian Kesihatan yakin dapat terus memacu transformasi sistem kesihatan negara agar seiring dengan keperluan masa hadapan dan setanding dengan piawaian antarabangsa. Memandang ke hadapan, sektor kesihatan perlu kekal adaptif dan berdaya tahan. Cabaran masa depan seperti peningkatan golongan warga emas, perubahan iklim, ancaman wabak global dan peningkatan penyakit tidak berjangkit memerlukan dasar yang lebih holistik dan fleksibel. Kajian semula dasar sedang dilaksanakan agar sektor kesihatan kekal tangkas, efisien dan relevan. Selain itu, pendekatan berasaskan bukti dan data akan terus menjadi teras dalam perancangan dasar dan penyampaian perkhidmatan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Semua inisiatif dan dasar yang telah dan sedang dilaksanakan adalah untuk mencorakkan masa depan yang lebih sihat, lebih inklusif dan lebih sejahtera. Kementerian Kesihatan akan terus memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035. Dengan menyumbang kepada aspek kesihatan, produktiviti dan kesejahteraan rakyat, sektor kesihatan kekal sebagai tonggak utama dalam pelaksanaan wawasan ini. Setiap dasar yang digubal, setiap sistem yang dibangunkan dan setiap individu yang mendapat manfaat adalah cerminan kepada usaha kolektif membina masa depan yang lebih baik.
Wawasan Brunei 2035 bukan lagi satu visi yang jauh di hadapan, tetapi sebuah kenyataan yang sedang direalisasikan, langkah demi langkah, dasar demi dasar dan usaha demi usaha. Negara Brunei Darussalam mungkin kecil dari segi geografi, namun semangatnya besar, cita-citanya tinggi, dan azam rakyatnya teguh. Dengan kejayaan visi, kekuatan pelaksanaan dan perpaduan seluruh warga negara, tiada yang mustahil untuk dicapai. Dengan penuh yakin dan bangga, komitmen akan diteruskan dalam membina sistem kesihatan yang mampan, menyeluruh dan sejajar dengan hasrat murni Wawasan Brunei 2035.
Dalam semangat Wawasan Brunei 2035, marilah kita bersama-sama membangunkan sebuah negara yang bukan sahaja makmur dari segi ekonomi tetapi juga sejahtera dari segi kesihatan fizikal, mental dan kerohanian. Marilah kita jadikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara contoh kepada dunia tentang bagaimana sebuah negara kecil boleh mencapai piawaian kesihatan yang setanding dengan negara-negara maju, sambil mengekalkan nilai-nilai murni dan jati diri kita.
Dengan tekad yang teguh, visi yang jelas dan kerjasama yang erat, kaola yakin bahawa masa depan kesihatan negara kita adalah cerah dan penuh dengan harapan. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa memberkati usaha kita dan melindungi kesihatan semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Sekian, Wabillahit taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin
Bismillahir Rahmanir Rahim (doa dibaca).
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Alhamdulillah, banyak sudah usaha-usaha yang telah dirancang dan dilaksanakan dalam mengorak langkah dan juga ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 yang berhasrat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam menjelang tahun 2035 dikenali seluruh dunia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kualiti kehidupan rakyat yang tinggi dan ekonomi negara yang dinamik dan berdaya tahan.
Usaha yang terkini yang akan di Usul bahas dalam Dewan yang mulia ini ialah mengenai dengan tiga blueprint berkaitan dengan 3 hasrat negara berkenaan iaitu Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint. Ketiga-tiga blueprint ini adalah untuk memastikan tindakan-tindakan ke arah mencapai hasrat ini akan dapat dilaksanakan dengan cepat dan teratur.
Kaola ucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri-Menteri yang berkaitan dan warga kementerian masing-masing di atas hasil usaha yang gigih dalam penyediaan dokumen-dokumen berkenaan. Kaola setuju dengan pendapat rakan Yang Berhormat yang lain bahawa ketiga-tiga perancangan dalam blueprint itu adalah sangat penting dan berkait rapat di antara satu sama lain. Dalam erti kata yang lain, pendidikan dan kemahiran tinggi adalah pemangkin kepada kemampuan belia dan rakyat dalam menanai dan mendukung hasrat negara untuk memastikan kehidupan yang berkualiti tinggi dengan adanya tahap ekonomi negara yang dinamik dan mampan. Dalam hal ini, Usul bahas kaola mengenai dengan ketiga blueprint adalah khusus menyentuh jangka masa dan tatacara pelaksanaannya yang kaola percaya adalah kunci kepada berapa cepat dan teraturnya nanti kitani boleh mencapai hasrat menjelang tahun 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana.
Sesuatu perancangan barang setentunya memang telah diatur dengan strategi yang berkaitan. Pelaksanaannya perlu diungkayahkan disejajarkan dengan isu-isu dan keperluan dari akar umbi dan rakyat. Kitani tidak mahu perancangan hanya dengan pemikiran dan penelitian serta pandangan di peringkat pegawai dan kakitangan kerajaan sahaja tanpa mengambil kira suara dari peringkat akar umbi dan rakyat yang berkepentingan.
Sebagai contoh, dalam aspek food security negara iaitu dalam komoditi padi. Kenapa sampai sekarang belum mencapai peratus sara diri yang dihasratkan? Adakah perancangan tidak sejajar dengan apa yang berlaku di akar umbi? Dapatkah difikirkan cara lain untuk mencapainya? Adakah teknologi yang diadaptasi sebelum ini dan masa ini berkesan atau kurang tepat? Banyak persoalan-persoalan ini perlu diteliti dengan penglibatan semua pihak termasuk bersama semua peladang. Di antara salah satu contoh strategi yang juga perlu ditunduki dengan mendalam ialah mengenai dengan pengimportan daging dari luar negara yang masih berterusan. Kesan hasil dari strategi ini telah memberi impak negatif kepada pengusaha tempatan.
Perkara ini sudah kaola sentuh di MMN 2024 dan ada jua kaola cadangkan jalan bagi mengatasinya. Kaola sukacita ingin memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Hari Keputeraan baginda pada 15 Julai 2018 untuk kitani sama-sama mengambil perhatian mendalam mengenainya. “Salah satu langkah ke arah pertumbuhan ekonomi ialah meneroka sektor pertanian. Sektor pertanian sangat penting untuk kehidupan. Pertanian memainkan peranan utama dalam pembinaan tamadun. Apabila pertanian meningkat hasil dari teknologi baru, maka ia dianggap sebagai revolusi pertanian sudah berlaku. Ini secara ketara telah membawa hasil pertanian itu bertambah pada awal abad ke-20. Bagi negara yang menerima hujan dan tanah-tanah masih belum diteroka, maka tidaklah praktikal untuk terus mengimport bahan asas makanan tanpa berusaha sendiri memenuhi keperluan. Oleh itu, Beta tanpa jemu-jemu mengajak semua pihak terutama agensi kerajaan yang berkenaan untuk tidak berlengah-lengah lagi menunaikan kewajipan ini. Kuatkanlah azam dan teguhkanlah pendirian untuk mencapai sasaran yang diperlukan. Kita bina niat untuk menyara diri dengan keringat sendiri.”
Untuk memastikan perancangan dapat direalisasikan pastinya memerlukan strategi yang ada hala tuju dan sasaran serta perubahan dasar yang berkaitan. Perubahan dasar perlu digubal dengan juga mengambil kira pandangan dan input dari orang ramai dan pihak-pihak yang berkepentingan. Biarlah perubahan dasar itu selaras dengan penerimaan rakyat dan tidak membebankan rakyat dan juga diterima oleh pihak-pihak yang berkepentingan yang lain. Kaola merujuk satu dasar yang diperkenalkan pada tahun 2023 dan sekarang ini ia telah diambil kesempatan oleh pemilik kedai yang mengenakan caj 20 sen bagi setiap penggunaan kotak plastik walhal penggunaan berbagai jenis plastik masih berleluasa.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana.
Jangka masa dan tatacara memudahcara perlu diperbaiki terutama sekali bagi sesetengah pengusaha-pengusaha tempatan di beberapa sektor yang berkaitan yang selama ini mengalami kesulitan dalam urusan perniagaan mereka. Kaola petik dari Aspirasi Keenam, bahagian lampiran muka surat keenam Economic Blueprint iaitu perkara 3 bertajuk ‘Membina Hubungan yang Seimbang antara Kerajaan dan Industri’, khususnya mengenai sektor kerajaan dan swasta perlu bekerjasama untuk menyediakan dan mengekalkan persekitaran perniagaan yang kondusif.
Kerajaan akan terus memudahcara dan mengambil selia pembangunan sosioekonomi, ini termasuk memudahcara prosedur bagi memulakan dan menjalankan perniagaan dari segi pengurangan kos, menggunakan bilangan prosedur dan memendekkan masa menunggu untuk PMKS dan usaha tempatan. Sebagai contoh, dalam sektor yang berkaitan, perkara ini iaitu lambat proses, payahkan dapat kemudahan asas masih berlaku di mana hasil dari dialog kaola bersama dengan pengusaha-pengusaha, peladang-peladang kerbau, sapi, kambing, rusa, ayam beberapa minggu yang lalu. Perkara ini masih berlaku.
Izinkan kaola Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana. Ada yang 7 tahun, ada yang 3 tahun, belum lagi kena bekalkan elektrik. Semasa mereka mencurhatkan kepada kaola, kaola pun baru kana sambung elektrik tahun lepas, eh ah bulan lepas.
Bermula dari projek yang telah siap 4 tahun yang lalu. Ini bukan bermakna satu-satunya jabatan berkenaan, jangan salah anggap. Tetapi untuk membekalkan elektrik ini memerlukan proses dan permintaan yang sepatutnya dari contohnya ABCi, TCP, Jabatan Bomba, JKR, Pembentungan dan sebagainya. Di sinilah pendekatan kerajaan whole of government nation perlu mempunyai tatacara memudahcara dan pelaksanaannya.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana.
Usaha-usaha kementerian-kementerian berkaitan memudahcara urusan syarikat swasta perlu diseimbangkan dengan layanan kepada syarikat-syarikat Government Linked Company, GLC. Sebagai pengusaha dari syarikat swasta yang sentiasa berurusan dengan pihak kementerian yang berkaitan dan kaola juga percaya rakan-rakan seperjuangan pengusaha yang lain di bidang yang sama dan bidang-bidang yang lain memang merasa adanya jurang memudahcara di antara syarikat GLC atau syarikat di bawah Darussalam Assets, DA dan syarikat swasta. Bagi syarikat swasta yang ingin usahasama dengan rakan luar negara mengalami adanya kesukaran dalam meyakinkan mereka oleh kerana jurang memudahcara ini.
Antara jurang-jurangnya ialah jangka masa proses mendapat tapak dan urusan-urusan lain untuk memulakan operasi bisnes adalah cepat dan meyakinkan rakan luar negara atau FDI. Jika usahasama dari GLC atau syarikat-syarikat di bawah DA. Jurang ini menyukarkan untuk syarikat swasta yang lain untuk berkayuh sama-sama dengan GLC dalam membantu pembangunan ekonomi negara. Syarikat swasta ini hanyalah mampu untuk berdiri sendiri dengan apa yang ada dan sumbangan terhadap pembangunan ekonomi adalah terhad. Kaola memohon bagi pihak syarikat-syarikat swasta di negara ini agar sistem dan tatacara memudahcara syarikat swasta diperbaiki dan disamakan dengan memudahcara syarikat GLC supaya kitani sama-sama berkayuh, berkarih, berjarih dan belurih.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana.
Kelambatan dalam proses kebenaran untuk memulakan projek hasil cadangan dan pelabur asing juga masih dialami. Pelabur asing malah ada yang tidak jadi melabur di mana salah satu dari sebabnya jua ialah kebenaran mendapat tapak kerajaan untuk projek berkenaan. Usulan kaola dalam perkara ini ialah kaedah dan dasar untuk memudahkan pelabur tempatan dan asing untuk memajak tanah kerajaan perlulah dikemaskini. Kaedah dan dasar yang sedia ada iaitu ditawarkan melalui RAP atau tender yang memakan masa yang panjang perlu untuk mengambil kira kaedah dan dasar yang digunapakai oleh The Brunei Economic Development Board, BEDB dan Darussalam Enterprise, DARe yang mempunyai proses yang cepat dan teratur.
Dengan kaedah dan cara ini akan mempercepatkan proses pihak swasta dan pelabur asing memajak tanah kerajaan, memajukan tanah-tanah itu dengan pembangunan yang menyumbang kepada aktiviti pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk anak tempatan.
Izinkan juga kaola menyentuh mengenai dengan aspek sosial rakyat dalam Social Blueprint iaitu fokus strategik hasrat memenuhi keperluan asas rakyat dan penduduk dipenuhi. Ia adalah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosial dan demografi. Mempunyai akses dan jaminan yang sama dan saksama kepada keperluan asas ke arah mencapai kualiti hidup yang tinggi dan mampan.
Dalam hal ke arah warga sihat, usulan kaola ialah untuk kadar caj baru bagi masyarakat yang memegang kad ungu yang sudah memegang kad ini selama 10 tahun atau lebih akan dapat dipertimbangkan mendapat keistimewaan perubatan percuma sama seperti warga negara atau dikemaskini kepada memberi keistimewaan khusus bagi kelompok warga kad ungu ini, khusus yang tidak manipulasi sistem perubatan percuma negara dan yang sudah menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Bagi rumah kediaman tempat tinggal, kalau kaola dapat cadangkan agar kaedah PPP dalam pembangunan rumah di RPN akan dapat diperkasakan dan disegerakan dengan peruntukan RKN12 yang terhad, penglibatan sektor swasta dalam pembangunan rumah RPN adalah penting.
Modal yang ingin kaola cadangkan ialah pihak kerajaan untuk memperuntukkan tapak-tapak tanah RPN yang masih hijau, green sites untuk pembangunan rumah-rumah berkenaan dan perbelanjaan untuk infrastruktur asas sahaja. Manakala pembinaan rumah akan dapat dibuat oleh sektor swasta yang terpilih dan competent dengan perbelanjaan syarikat swasta berkenaan dengan kadar harga rumah mampu milik sekitar $60,000 hingga $70,000 bagi satu unit.
Mengenai pembayaran balik pula kaola cadangkan pihak bank di negara ini untuk ikut serta dengan menyediakan kadar pinjaman yang kurang dari harga pasaran yang mana pemilik rumah akan dapat membayar balik melalui bank dengan bayaran bulanan yang mampu. Bagi pendidikan yang holistik dan pelajar dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sentiasa relevan, kaola ingin cadangkan untuk pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan untuk menyediakan peruntukan tahunan bagi mendapatkan khidmat mereka yang berpengalaman di industri untuk menjadi tenaga pengajar dan juga peralatan mengajar ilmu kemahiran hands-on practical di setiap bengkel-bengkel di peringkat IBTE dan Politeknik.
Kaola percaya dengan cara ini ianya dapat mengeluarkan graduan teknikal dan vokasional yang industry-ready yang boleh diterima terus oleh pihak industri tanpa melalui latihan tambahan dan syarikat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, izinkan kaola untuk menghabiskan dalam dua muka surat.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
(Yang Berhormat Yang Di-Pertua memberi isyarat menganggukkan kepala tanda bersetuju).
Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Bagi aspek jaminan kesejahteraan dan keselamatan iaitu khusus mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat. Ini berkait rapat dengan aktiviti dan pembangunan ekonomi negara. Jika ekonomi negara perlahan maka peluang pekerjaan pun akan lambat ditambah, lagi dengan jumlah graduan atau lepasan sekolah yang bertambah setiap tahun. Cadangan kaola agar sukatan pencapaian negara setakat ini dalam sektor-sektor aktiviti memperbagaikan ekonomi negara perlu diteliti dengan serta merta dan merumuskan hala tuju seterusnya.
Menyentuh mengenai Economic Blueprint ke arah ekonomi yang dinamik dan mampan. Aktiviti memperbagaikan ekonomi adalah satu perkara yang kitani ketahui adalah sangat penting demi mencapai kemampuan ekonomi negara.
Kaola menyokong penuh perancangan kerajaan melalui pihak BEDB untuk mendokong pengusaha MSME yang terpilih dengan memberi bantuan sebahagian untuk menyertai Ekspo B2B Antarabangsa. Bantuan ini perlu ada kesinambungannya untuk beberapa tahun mendatang dan jangan ia berhenti setelah satu tahun atau beberapa tahun sahaja. Sukat-sukat hasil dari bantuan itu kepada prestasi ekonomi negara perlu dikaji dan nilai dari masa ke semasa untuk mendokong kesinambungan bantuan berkenaan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua yang bijaksana dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Akhir kalam usul bahas ini, peramba / kaola ingin memohon sejuta kemaafan jika sekiranya ada sorok langkah dan kata-kata yang kurang disenangi. Hasrat kaola adalah sama dengan rakan-rakan Yang Berhormat yang lain iaitu demi kepentingan negara mencapai Wawasan Brunei 2035.
Sekian dan semoga kitani semua dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan rezeki, kesihatan yang berpanjangan dan rezeki kepada negara kitani yang kita sama-sama cintai. Amin Amin Ya Rabbal Alamin. Wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua Dewan. Terlebih dahulu kaola menjunjung penuh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenaan dengan perlaksanaan Wawasan Brunei 2035 yang memerlukan kerjasama, inovasi dan semangat juang yang tinggi dari semua pihak dengan mengambil kira cabaran-cabaran global di masa hadapan.
Selain daripada itu, kaola merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada pihak yang terlibat atas penerbitan buku Social Blueprint Negara Brunei Darussalam yang bertemakan ke arah “Kualiti Kehidupan Rakyat Yang Tinggi”. Penerbitan ini merupakan satu langkah yang sangat bertepatan dan strategik dalam menyokong matlamat Wawasan Brunei 2035 khususnya dalam usaha memperkasa kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dari aspek sosial, ekonomi, pendidikan, kesihatan hingga penglibatan masyarakat dan juga belia.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, bercakap berkenaan dengan perlaksanaan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 terdapat beberapa cabaran penting yang perlu kita beri perhatian secara serius. Antara yang paling utama ialah, kemunculan pelbagai emerging issues global yang berpotensi memberi kesan langsung mahupun tidak langsung kepada keberkesanan perlaksanaan dasar dan strategi negara.
Isu-isu seperti perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi global, kemajuan teknologi yang pesat, pengaruh media sosial serta kesihatan mental dan sosial dalam kalangan rakyat bukan sahaja mengubah landskap dunia malah secara tidak langsung turut mempengaruhi sektor sosial, nilai masyarakat dan daya tahan ekonomi negara kecil seperti negara kita, Negara Brunei Darussalam.
Dari aspek kepimpinan belia dan isu sosial dalam kalangan generasi muda kini menjadi antara tumpuan utama dalam memastikan kita tidak hanya melahirkan generasi yang celik akademik semata-mata tetapi juga generasi yang berdaya saing, berdaya tahan dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Oleh itu, dalam menghadapi cabaran ini, adalah menjadi keutamaan bagi kita semua pembuat dasar, institusi pendidikan, masyarakat awam dan terutamanya golongan belia untuk besama-sama memainkan peranan secara aktif.
Wawasan Brunei 2035 tidak akan dapat dicapai hanya melalui dasar yang baik di atas kertas tetapi menuntut perlaksanaan yang inklusif, responsif dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan global yang pantas. Kita perlu memastikan bahawa pembangunan kepimpinan belia, pemerkasaan masyarakat, kesedaran sosial serta pengukuhan jati diri kebangsaan terus menjadi keutamaan dalam masa yang sama.
Dasar-dasar negara haruslah sentiasa disemak dan ditambah baik agar kekal relevan dengan perkembangan semasa serta berpaksikan nilai kebruneian yang kita junjung. Menyedari bahawa golongan belia merupakan tulang belakang kepada kemajuan negara, maka sudah tentu usaha membimbing dan memperkasa mereka harus menjadi keutamaan.
Dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar daripada pengaruh media sosial, perubahan iklim, ekonomi digital hinggalah kepada kesejahteraan mental, pendekatan kita tidak boleh lagi bersifat reaktif sebaliknya kita perlu lebih proaktif, menyeluruh dan strategik. Antara cadangan langkah yang boleh diambil termasuklah:
Yang pertama, memperkukuhkan pendidikan jati diri dan nilai kenegaraan dalam sistem pendidikan supaya belia bukan sahaja celik ilmu, tetapi juga berakhlak, berjiwa besar dan berdaya tahan dalam menghadapi tekanan global. Kedua, menubuhkan Pusat Pembangunan Belia secara holistik di setiap daerah. Sebagai ruang sokongan bukan sahaja untuk latihan kemahiran dan keusahawanan tetapi juga tempat kaunseling, kesihatan mental dan pembangunan social. Ketiga, menginstitusikan penglibatan belia dalam proses pembuatan dasar seperti melalui organisasi akar umbi Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Majlis Belia atau wakil tetap belia dalam jawatankuasa-jawatankuasa strategik kerajaan agar suara mereka bukan sekadar didengari tetapi diambil kira dalam hal-hal yang menyentuh masa depan mereka. Keempat, memperluaskan program pertukaran belia dan keterlibatan antarabangsa agar belia Brunei berani bersaing, mampu berfikir secara global, tetapi tetap teguh dengan jati diri dan nilai kebruniean; dan Yang kelima, membangunkan dasar kesihatan mental belia secara national sebagai usaha merespon cabaran tekanan emosi, krisis identiti dan kecelaruan sosial yang semakin ketara khususnya dalam era pasca pandemik dan era digital ini.
Dengan melaksanakan langkah-langkah ini secara bersepadu dan konsisten, kita bukan sahaja dapat mengurangkan kesan negatif emerging isu global terhadap generasi muda malah menjadikan mereka sebagai agen perubahan yang mampu memimpin negara ini ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Merujuk kepada analisis situasi semasa pekerjaan di dalam Social Blueprint Negara Brunei Darussalam, pencapaian kadar pengangguran menurun dari 7.3 peratus pada tahun 2020 kepada 5.1 peratus pada tahun 2023. Tiga bidang pekerjaan yang mencatatkan rekod tertinggi ialah bidang perkhidmatan dan jualan. Pekerjaan asas dan profesional. Manakala tiga aktiviti perekonomian tertinggi ialah pentadbiran awam, perdagangan borong dan runcit dan juga pembinaan. Data ini menunjukkan peningkatan peluang pekerjaan dalam sektor bukan minyak dan gas selaras dengan usaha defensi ekonomi negara, penurunan kadar pengangguran memberikan harapan namun keseimbangan antara pekerjaan asas dan profesional perlu diberi perhatian agar generasi muda tidak hanya tertumpu pada pekerjaan sementara atau kemahiran rendah.
Pelaburan dalam latihan dan pendidikan teknikal serta digital perlu diteruskan bagi memastikan tenaga kerja tempatan sentiasa seiring dengan perubahan pasar global. Kita berada dalam era yang menyaksikan perubahan teknologi yang sangat pantas terutamanya dengan kemunculannya kecerdasan kekuatan, AI, autosisme dan juga ekonomi digital. Perubahan ini banyak membawa manfaat tetapi dalam masa yang sama, ia turut membawa cabaran besar kepada peluang pekerjaan khususnya dalam kalangan belia. Bidang-bidang pekerjaan tradisional semakin terancam, manakala pekerjaan baharu memerlukan kemahiran yang sangat berbeza seperti pengaturcaraan, analisa data, dan kecekapan digital yang tinggi lebih membimbangkan ramai belia masih belum bersedia dari segi kemahiran teknikal, sikap inovatif dan kemampuan menyesuaikan diri dengan keperluan baharu prasarana kerja.
Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan segera dan strategik, kita bimbang akan wujud satu jurang yang besar tenaga kerja belia yang tersedia dengan permintaan sebenar industri masa depan sekaligus boleh menjejaskan sasaran kita untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 khususnya dari segi membina ekonomi yang dinamik dan berdaya saing. Oleh itu, bagi mengatasi cabaran ini, beberapa langkah penting harus diberi perhatian:
Yang pertama, pengukuhan pendidikan teknikal dan digital skill, latihan kemahiran teknikal sains data, kecerdasan watan dan keselamatan siber perlu diperluas secara sistematik di institusi pendidikan dan pusat latihan supaya belia tidak hanya menjadi pengguna teknologi tetapi pencipta dan peneraju inovasi. Kedua, pembangunan kokurikulum masa depan di sekolah. Sistem pendidikan kita perlu menekankan kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritikal, penyelesaian masalah dan pembelajaran berasaskan projek sejak di bangku sekolah menengah lagi. Tiga, kerjasama awam swasta dalam latihan industri sektor swasta dan kerajaan perlu bekerjasama menyediakan program latihan industri, internship dan juga upskilling bagi menjamin kesesuaian kemahiran belia dengan keperluan sebenar majikan;
Empat, sokongan kepada keusahawanan digital belia, platform seperti i-Usahawan, Startup Brunei dan DARe perlu diperkasa untuk melahirkan belia yang bukan sahaja mencari kerja tetapi juga mencipta kerja; dan Yang kelima, peningkatan kesedaran dan pendedahan awal. Belia perlu didedahkan lebih awal tentang tren kerjaya masa depan termasuk perubahan teknologi dan AI melalui bengkel, ceramah dan mentor profesional.
Perubahan teknologi tidak dapat dielakkan, namun yang penting ialah bagaimana kita menyediakan belia kita dengan ilmu, kemahiran dan keyakinan diri untuk menyesuaikan diri dan merebut peluang dalam dunia baharu ini. Sekiranya kita berjaya membentuk generasi belia yang berdaya saing, berdaya cipta dan berdaya tindakan dalam dunia digital, maka insya Allah kita dapat memastikan Brunei Darussalam kekal relevan, makmur dan berdaya tahan dalam era ekonomi masa depan selaras dengan inspirasi bangsa kita dalam Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, akhirnya dalam usaha mencapai kemajuan dan pembangunan masyarakat yang berdaya tahan seperti yang digariskan dalam Social Blueprint Negara Brunei Darussalam adalah jelas bahawa golongan belia merupakan komponen utama dalam merealisasikan matlamat ini. Belia bukan sekadar aset masa depan, malah mereka adalah agen perubahan masa kini yang mencerminkan kekuatan sosial sesebuah negara. Sebuah masyarakat yang benar-benar berdaya tahan ialah masyarakat yang bukan sahaja bersedia menghadapi cabaran tetapi juga bijak dalam merebut peluang yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan dan perubahan positif negara.
Ketahanan ini insya Allah akan terus diperkukuhkan melalui penghayatan nilai-nilai Islam sebagai panduan dalam kehidupan masyarakat. Nilai seperti amanah, hormat-menghormati, keadilan dan kesederhanaan perlu disematkan dalam jiwa belia agar mereka bukan sahaja cemerlang secara zahir tetapi juga kukuh secara rohani dan juga sahsiah. Pendekatan yang berteraskan agama, moral dan ilmu ini akan dapat menjamin kesejahteraan dan kemakmuran generasi sekarang dan akan datang. Ia juga akan menjadi benteng kepada pengaruh negatif global serta keruntuhan nilai sosial dan semakin mencabar pada zaman ini.
Natijahnya, masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni yang berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Islam dan sentiasa bergerak ke arah kemajuan yang berterusan adalah tunjang kepada pencapaian sebuah negara yang dicita-citakan iaitu Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur. Sebuah negara yang baik, aman dan makmur yang sentiasa mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala Yang Maha Pengampun. Dengan ini kaola memohon untuk menyokong.
Sekian Wabillahit taufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin.
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin
Bismillahir Rahmanir Rahim, (doa dibaca).
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana memberi peluang untuk kaola menyertai perbahasan mengenai wawasan pada hari ini. Sebelum meneruskan perbahasan ini, pertamanya kaola menyokong sepenuhnya Usul yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, mengenai Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Aspirasi utama Wawasan Brunei 2035 menuntut pembangunan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, pencapaian kualiti hidup yang tinggi serta pembentukan ekonomi yang dinamik dan mampan. Namun untuk mencapai matlamat ini, ia menuntut satu strategi modal insan yang menyeluruh, seimbang dan berasaskan data sebenar. Dasar Belia Negara dan Strategi 2020 - 2035 dengan jelas menekankan bahawa setiap belia harus mempunyai akses kepada pendidikan, latihan dan pekerjaan yang bermakna. Ia menuntut pemerkasaan bukan saja dalam sektor teknikal tapi juga dalam bidang-bidang yang memerlukan nilai kreativiti, keupayaan komunikasi dan manusiawi. Namun begitu, dapatan daripada Labour Force Survey tahun 2023 dan 2024 menunjukkan bahawa kadar pengangguran belia meningkat daripada 16.8 peratus kepada 18.3 peratus. Peningkatan ini menunjukkan bahawa bidang pekerjaan strategik masih belum dibuka secara inklusif dan dasarnya ini masih belum dilaksanakan secara menyeluruh.
Graduan bukan teknikal seperti dalam pengajian islam, pengurusan, bahasa, sejarah, sastera, dan sains sosial sering dianggap sebagai kelompok kedua selepas graduan teknikal. Hakikat ini merupakan satu kekhilafan strategik dan dalam konteks pemikiran global yang semakin complex, keupayaan dalam komunikasi, kefahaman budaya, kepimpinan nilai dan kemahiran adaptive adalah elemen penting untuk sektor-sektor utama negara seperti ekonomi halal, kewangan islam, pelancongan budaya, pendidikan dan ekonomi digital beretika. Justeru, sudah tiba masanya graduan bukan teknikal diiktiraf sebagai salah satu komponen utama dalam agenda pembangunan negara, bukan sebagai pelengkap semata-mata.
Kajian EduStats 2022 memperkukuhkan dapatan ini secara empirikal. Statistik menunjukkan bahawa bidang kemanusiaan dan sosial kekal mempunyai kadar enrolment yang tinggi dengan jumlah keseluruhan mencecah 8,021 orang pelajar bagi tahun 2022. Sebagai perbandingan, TVET pula mencatatkan enrolment seramai 4,660 orang pelajar dalam pelbagai program seperti NTec, HNTec dan Diploma Tahap 3 hingga 5. Dari segi pengeluaran graduan pula, bidang bukan teknikal menghasilkan seramai 1,742 graduan pada tahun tersebut, mengatasi jumlah graduan dalam bidang teknikal yang berjumlah 1,279 orang.
Sokongan terhadap TVET mestilah diteruskan dan diperkukuhkan kerana ia memainkan peranan penting dalam pengisian keperluan sektor teknikal dan vokasional negara, namun dalam masa yang sama, keperluan graduan bukan teknikal juga wajar diberi tempat setara dalam ekosistem pembangunan negara.
Perbezaannya, TVET menerima sokongan sistematik dalam bentuk pelbagai institusi khusus, infrastruktur latihan dan laluan kerja yang jelas serta perpandukan piawaian industri. Sebaliknya, graduan bukan teknikal tidak menerima pendekatan sokongan seumpama itu baik dari segi latihan praktikal, integrasi ke dalam ekosistem pekerjaan strategik mahupun pemetaan kerjaya yang berasaskan data.
Diorang ini menandakan keperluan mendesak untuk dasar yang lebih inklusif dan berimbang antara aliran teknikal dan bukan teknikal. Laporan Kajian Pasaran Buruh 2021 menunjukkan bahawa 68.9 peratus daripada graduan adalah dalam bidang bukan teknikal tapi hanya 39.9 peratus daripada mereka mendapat pekerjaan yang sejajar dengan kelulusan mereka. Ini menandakan kadar underemployment yang tinggi dan ketiadaan strategi penempatan berstruktur.
Penurunan kadar penyertaan tenaga buruh daripada 67.1 peratus pada tahun 2021 kepada 64 peratus pada tahun 2024 memberi isyarat bahawa graduan yang telah lama menganggur mungkin tidak lagi didaftarkan dalam sistem rasmi menyebabkan berlakunya kesilapan tafsiran dalam kadar pengangguran sebenar. Tambahan pula EduStats 2022 tidak menyediakan sebarang data menjejak kebolehpasaran graduan, peratusan penempatan pekerjaan atau kesesuaian bidang pengajian dengan pekerjaan yang diceburi. Ketiadaan sistem penilaian pasca graduasi menjadikan perancangan dasar tenaga kerja sukar dilakukan secara menyeluruh.
Dalam Manpower Blueprint memberikan penekanan besar kepada TVET dan pemetaan kebolehpasaran, ia masih tidak memberi sokongan seimbang kepada graduan bukan teknikal. Dalam masa yang sama Economic Blueprint mengiktiraf sektor seperti halal, pelancongan, kewangan Islam dan ekonomi digital sebagai tumpuan utama tapi tidak menyusun laluan jelas bagi penyertaan graduan bukan teknikal yang sebenarnya lebih sesuai untuk memperkembangkan sektor-sektor ini. Ini mencerminkan ketidakselarasan antara aspirasi ekonomi dan perancangan tenaga kerja yang disepadukan.
Untuk menangani isu ini secara structure, kaola mencadangkan agar diwujudkan satu usaha dan tindakan integrasi yang tahap nasional yang menyatukan pelbagai elemen pembangunan tenaga kerja, merangkumi pelaburan, latihan kemahiran, penyerapan pekerjaan dan penggalakkan keusahawanan di bawah satu rangka tindakan bersepadu. Pendekatan ini bukan saja mengelakkan pertindihan dasar tetapi turut memberi garis hala tuju yang jelas bagi penyertaan graduan bukan teknikal dalam pelbagai sektor ekonomi.
Kaola turut mencadangkan pembangunan dashboard penempatan tahunan yang bersifat telus dan bersandar kepada angka sebenar. Dashboard ini harus berupaya menjejaki secara berterusan jumlah pekerjaan yang diwujudkan, jumlah yang diisi oleh tenaga kerja tempatan dan penyataan kemajuan mengikut sektor ekonomi. Pendekatan ini bukan sahaja dapat membantu dalam penilaian impact policy malah membentuk budaya penyampaian dasar yang lebih bertanggungjawab dan berasaskan prestasi.
Cadangan ketiga adalah peralihan ke arah sistem data terbuka yang membolehkan semua pihak, rakyat, ahli akademik, penggubal dasar dan pelabur turut serta dalam proses pengawasan dan penilaian keberkesanan dasar. Ketelusan data menjadi asas kepada tindakan pembetulan, pengubahbaikan berasaskan realiti bukan andaian.
Akhir sekali, kita perlu menilai semula keperluan asas dalam kerangka ekonomi kita. Graduan bukan teknikal yang berdepan pengangguran atau pekerjaan yang tidak setaraf merupakan gambaran kepada kegagalan sistem. Menyampaikan jaminan pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan mereka.
Oleh itu, strategi pembangunan negara tidak boleh berteraskan pertumbuhan angka semata-mata tapi mesti berakar kepada kesejahteraan, keadilan, kesaksamaan dan mendatangkan manfaat kepada semua modal insan yang pelbagai.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Sebagai penutup, izinkan kaola merumuskan bahawa kejayaan Wawasan Brunei 2035 tidak boleh diukur semata-mata melalui peningkatan pelaburan atau bilangan industri baru. Ia harus berdasarkan sejauh mana strategi negara berjaya mengintegrasikan sepenuhnya semua segmen modal insan termasuk graduan bukan teknikal ke dalam arus pembangunan negara.
Tanpa haluan penempatan nasional yang telus, tanpa membuka sektor strategik pada tenaga kerja jurusan humanities dan tanpa dashboard pemantauan yang menyeluruh, kita berisiko mengecilkan potensi-potensi sebenar negara. Graduan bukan teknikal bukan sekadar statistik dalam laporan EduStats. Mereka adalah agen perubahan penyampai nilai jambatan antara dasar dan masyarakat. Jika kita benar-benar serius untuk melihat Wawasan Brunei 2035 menjadi kenyataan, maka kita harus mengangkat mereka ke tengah pentas pembangunan negara bukan sebagai pelengkap tetapi sebagai teras yang tidak boleh diabaikan.
Sekian, Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Wabillahit taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub.
Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Terima kasih di atas ruang dan peluang bagi membahaskan Usul Wawasan Brunei 2035, kaola menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 secara bersepadu dengan mengambil kira cabaran-cabaran yang akan dihadapi.
Kaola melihat bahawa cabaran dalam menghadapi emerging isu global dalam pelaksanaan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 adalah sesuatu yang kompleks, mendalam dan saling berkait. Ia bukan sahaja menyentuh isu domestik negara, malah turut dipengaruhi oleh arus global yang pantas berubah baik dari segi teknologi, ekonomi mahupun alam sekitar.
Antara yang paling ketara ialah perubahan iklim dan bencana alam yang mana kini semakin memberikan kesan langsung kepada kehidupan rakyat dan kelestarian sumber negara. Kesan seperti cuaca ekstrem, banjir luar jangka dan ancaman kepada keselamatan makanan dan sumber air bukan lagi hal yang boleh diketepikan.
Dengan hanya berbaki sepuluh tahun sebelum tahun 2035, perancangan yang lebih strategik, teratur dan bersepadu perlu segera diwujudkan. Ini bukan tugas satu pihak sahaja, sebaiknya memerlukan komitmen kolektif semua sektor kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan NGO, institusi pendidikan dan paling penting penyertaan aktif masyarakat termasuk generasi muda. Dalam hal ini kita perlu, Pertama, memperkemaskan dasar berkaitan alam sekitar dan pembangunan mampan. Kedua, memperkenalkan pendidikan iklim dan kesedaran bencana dalam kalangan generasi muda. Ketiga, menggalakkan penyelidikan dan inovasi hijau serta teknologi lestari; dan Keempat, mengintegrasikan nilai-nilai kebruneian dan Islam dalam setiap tindakan bagi memastikan pembangunan kita tidak mengorbankan kesejahteraan jangka panjang.
Alhamdulillah, kita bersyukur kerana Negara Brunei Darussalam terus kekal sebagai sebuah negara hijau yang kaya dengan khazanah alam semula jadi. Kini sebanyak 72 peratus daripada keseluruhan kawasan tanah negara masih diliputi hutan. 41 peratus daripadanya telah diwartakan sebagai hutan simpanan. Ini adalah bukti komitmen negara yang kukuh terhadap pemeliharaan alam sekitar serta pengurusan mampan sumber asli.
Pencapaian ini bukan datang secara kebetulan tetapi adalah hasil daripada pelbagai inisiatif, bersepadu yang dilaksanakan oleh kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan NGO yang sentiasa berganding bahu dalam memastikan warisan alam kita dipelihara untuk generasi akan datang. Selain daripada itu, perlindungan hutan, kualiti udara di negara ini juga berada pada tahap yang sangat baik. Berdasarkan pemantauan berterusan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, JASTRe di bawah Kementerian Pembangunan, mengikut laporan setakat bulan November 2022, kualiti udara di keempat-empat daerah kekal selamat dan mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia, WHO.
Lebih pada itu, pelbagai program kesedaran awam terus dilibatkan antaranya. Pertama, kempen setiap hari tanpa beg plastik yang mendidik masyarakat mengurangkan kebergantungan terhadap plastik sekali guna. Kedua, program penanaman pokok yang menyumbangkan kepada penyerapan karbon dan pemulihan ekosistem. Ketiga kempen Reuse, Reduce dan Recycle, 3R yang memperkukuhkan budaya kelestarian dan kehidupan harian; dan Keempat, aktiviti pembersihan pantai yang melibatkan penyertaan masyarakat secara langsung dalam menjaga kebersihan alam sekitar. Semua inisiatif ini adalah bukti bahawa Brunei Darussalam bukan sahaja mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi juga menjadikan pemeliharaan alam sekitar sebagai teras penting pembangunan mampan selaras dengan inspirasi kita menuju Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Selain daripada itu, kaola juga berharap agar inisiatif mesra alam sekitar ini tidak hanya terhad kepada program masyarakat dan kesedaran orang awam semata-mata, tetapi terus diperkukuhkan dalam sektor-sektor utama pembangunan terutamanya dalam industri pembinaan dan infrastruktur awam. Industri ini memainkan peranan besar dalam landskap pembangunan negara. Justeru itu, adalah amat wajar sekiranya setiap projek pembinaan mengambil kira amalan lestari dan mesra alam seperti Pertama, penggunaan bahan binaan mampan. Kedua, pengurangan pembaziran sumber; dan Ketiga, reka bentuk yang efisien dari segi tenaga dan air.
Untuk merealisasikan hasrat ini, kaola menyarankan agar pihak berkuasa yang berkaitan dengan menyediakan satu garis panduan yang komprehensif dan selaras dengan prinsip kelestarian alam sekitar termasuk penilaian impak alam sekitar, EIA yang lebih ketat dan pematuhan kepada piawaian hijau antarabangsa. Dengan adanya pendekatan ini, penggunaan fizikal negara tidak akan mengorbankan alam sekitar, malah menyumbang ke arah pembentukan bandar dan masyarakat yang lebih hijau, sihat dan berdaya huni.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Isu banjir merupakan salah satu cabaran utama yang kerap diperkatakan oleh masyarakat, malah sering disuarakan di dalam Dewan yang mulia khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar dan rendah yang sering terdedah kepada kenaikan paras air sungai.
Kesan daripada kejadian ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan harian rakyat, malah turut mengakibatkan kerosakan harta benda, kehidupan sumber pendapatan dan dalam kes tertentu menjejaskan keselamatan. Sebagai negara yang beriltizam dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam, usaha menangani isu banjir perlu diambil secara menyeluruh dan bersepadu. Beberapa cadangan yang boleh diberikan perhatian termasuklah Pertama, meningkatkan infrastruktur saliran dan tebatan banjir. Kerja-kerja mendalamkan dan melebarkan sungai serta menaiktarafkan sistem perparitan di kawasan berisiko tinggi perlu dipercepatkan, pembinaan kolam tadahan, retention ponds di kawasan strategik boleh membantu menampung lebihan air hujan sebelum dialirkan semula secara terkawal.
Kedua, perancangan guna tanah yang lebih strategik. Pembangunan kawasan baharu perlu melalui penilaian impak alam sekitar, EIA yang ketat terutama yang berhampiran sungai dan kawasan tanah rendah. Zon larangan binaan di kawasan banjir perlu dipatuhi dan dikuatkuasakan; dan Ketiga, pendidikan masyarakat dan kesedaran awam. Masyarakat perlu diberikan pendidikan mengenai dengan kesediaan menghadapi bencana termasuk pelan pemindahan, perlindungan dokumen penting, penjagaan keselamatan keluarga, program kemasyarakatan seperti gotong-royong, pembersihan sungai, ceramah banjir, simulasi kecemasan boleh dilaksanakan di peringkat kampung dan mukim.
Penglibatan belia dan masyarakat golongan belia perlulah digalakkan untuk menyertai inisiatif kemanusiaan dan kesiapsiagaan bencana, sama ada melalui NGO tempatan, pasukan sukarelawan bencana atau program CSR, inovasi belia dalam teknologi ramalan cuaca, aplikasi maklumat banjir atau sistem komunikasi kecemasan juga boleh dimanfaatkan.
Usaha menangani banjir bukanlah kerja satu agensi atau satu pihak sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab kolektif kita semua. Dengan perancangan jangka panjang, pelaksanaan sistem serta penglibatan aktif rakyat, Insya Allah kita mampu mengurangkan impak banjir dan melindungi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara dalam jangka masa panjang.
Mengenai dengan isu alam sekitar dan perubahan iklim adalah selaras dengan aspirasi matlamat strategik serta haluan dasar sosial blueprint Negara Brunei Darussalam, khususnya dalam memperkasakan pembangunan sosial melalui pendekatan senegara. Pendekatan senegara bukan sekadar slogan tetapi satu iltizam bersama yang menggabungkan peranan kerajaan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan NGO, komuniti tempatan dan individu agar semua pihak bergerak seiring dalam memastikan tadbir urus yang berkesan dan menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.
Aspirasi ini menekankan pentingnya penglibatan semua pihak yang berkepentingan dalam suasana yang saling menyokong dan bersepakat demi membina sebuah masyarakat yang inklusif, sejahtera dan berdaya tahan. Kita percaya bahawa melalui kolaborasi pendekatan whole of nation, segala cabaran sosial dapat diatasi dengan lebih berkesan sama ada dalam isu pendidikan, kesejahteraan keluarga, pekerjaan atau keseimbangan alam sekitar.
Di samping itu, sosial blueprint ini juga memberikan penekanan kepada penyediaan infrastruktur dan teknologi yang berkualiti tinggi dan mudah diakses oleh setiap lapisan masyarakat, ini termasuklah kemudahan awam, sistem digital, perumahan serta sokongan kepada masyarakat rentan seperti warga emas, orang kelainan upaya dan belia di kawasan pedalaman.
Pemeliharaan alam sekitar pula terus diberikan keutamaan agar kemajuan fizikal dan sosial negara tidak menjejaskan warisan semula jadi kita yang sangat bernilai. Semua usaha ini pada akhirnya bermatlamat untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh sejajar dengan visi besar negara kita iaitu Wawasan Brunei 2035 yang menetapkan hasrat untuk menjadikan rakyat negara ini berpendidikan, berkemahiran tinggi dan menikmati taraf hidup yang berkualiti tinggi.
Untuk mencapai matlamat ini, kita tidak boleh bergerak secara bersendirian. Kejayaan hanya akan dapat dicapai melalui sinergi, pemahaman bersama tanggungjawab kolektif, maka marilah kita terus menyokong dan memperkukuhkan pelaksanaan Social Blueprint ini dengan komitmen yang teguh agar generasi hari ini dan akan menikmati hasil dengan penuh kesyukuran.
Sekian. Wabillahit taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Awang Lau How Teck.
Yang Berhormat Awang Lau How Teck
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Wawasan Brunei 2035 telah memberi visi yang jelas dan menyeluruh kepada negara kita iaitu untuk menjadikan rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya untuk memastikan kualiti hidup yang tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan untuk mencapai ekonomi yang dinamik dan mampan.
Ketiga-tiga matlamat ini saling berkait rapat dan tidak dapat dipisahkan. Ekonomi yang dinamik memerlukan tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan dan kualiti hidup rakyat tidak akan bertahan lama jika keselamatan makanan yang merupakan keperluan asas setiap rakyat berada dalam keadaan mudah tergugat.
Kerajaan telah menggubal pelbagai dokumen dasar untuk membawa kita ke arah matlamat yang termasuk Economic Blueprint, Manpower Blueprint dan Social Blueprint. Dokumen-dokumen ini menetapkan hala tuju negara yang amat jelas dalam pembangunan sektor bukan minyak dan gas yang berdaya saing melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dan adaptable dan memastikan kesejahteraan sosial serta akses saksama kepada keperluan asas rakyat.
Namun, cabaran sebenar yang perlu kita kupas adalah bagaimana visi ini diterjemahkan ke peringkat akar umbi secara lebih tersusun, pantas dan berkesan khususnya dalam sektor pertanian dan perniagaan makanan yang menjadi benteng keselamatan negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini mengajar kita satu perkara yang amat penting iaitu bergantung tinggi kepada import makanan meletakkan negara pada kedudukan yang amat terdedah.
Apabila krisis global berlaku, apabila rantaian bekalan terputus atau harga antarabangsa melonjak, kesannya dirasai secara langsung oleh rakyat dan ekonomi kita. Hal ini bukan sekadar persoalan perdagangan tetapi persoalan keselamatan negara. Sebuah negara yang ingin berdaya tahan memerlukan asas pengeluaran makanan yang kukuh dan mampan agar rakyat tidak terdedah kepada ketidakpastian pasaran luar.
Wawasan Brunei 2035 dan Economic Blueprint telah menekankan keperluan mempelbagaikan ekonomi dengan sektor pertanian dan makanan terkenal sebagai salah satu pemacu utama. Namun pada realitinya, lalu untuk menceburi sektor ini masih berliku. Banyak pengusaha terutama belia dan usahawan baharu berdepan kekeliruan dan proses yang rumit termasuk maklumat yang kurang bertumpu, prosedur yang kurang jelas dan sokongan yang tidak mudah dicapai. Potensi besar rakyat untuk menyumbang kepada keselamatan makanan dan ekonomi negara akhirnya tidak memanfaatkan sepenuhnya.
Sehubungan itu kaola mencadangkan mungkin perlu diwujudkan pusat sehenti dan aplikasi digital agro business yang benar-benar berfungsi sebagai pintu masuk rasmi kepada sektor ini. Semua maklumat penting dari proses pendaftaran, pemeliharaan tapak-tapak, senarai bantuan dan geran kerajaan sehingga akses latihan yang mentor berpengalaman perlu disatukan di bawah satu saluran yang jelas dan mudah dicapai. Dengan langkah ini, kita dapat meningkatkan birokrasi memberi keyakinan kepada pengusaha baharu dan memastikan setiap rakyat yang berhasrat untuk menyumbang kepada sektor ini mempunyai laluan yang teratur dan mesra pengguna. Pendekatan ini sejalan dengan aspirasi Economic Blueprint untuk membangunkan perniagaan yang produktif, berdaya saing dan berorientasikan pasaran.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Selain mempermudahkan kemasukan ke sektor ini, kita juga perlu memberi perhatian kepada ekosistem yang menyokong pengeluaran dan pemasaran hasil petani. Bagi pengusaha kecil, kadangkalanva hasil mereka tidak dapat dipasarkan dengan baik. Ada yang terpaksa menjual harga yang rendah atau membuang hasil kerana tiada pembeli segera, tiada tempat menyimpan yang sesuai dan tiada saluran pengedaran yang terancang.
Perkara ini bukan sahaja melemahkan semangat pengusaha, malah menjejaskan kestabilan harga dan bekalan makanan di pasaran tempatan. Economic Blueprint telah menekankan kepentingan infrastruktur ekonomi berkualiti tinggi untuk menyokong pertumbuhan perniagaan.
Dalam konteks pertanian, terdapat keutamaan membangunkan pusat mengumpulkan hasil petani di setiap daerah dilengkapi dengan kemudahan penyimpanan sejuk, pembungkusan berstandard dan sistem pengedaran moden yang mampu membawa hasil tani dengan cepat ke pasar raya dan pemborong. Dengan adanya jaminan pasaran yang lebih tersusun, pengusaha akan lebih berani meningkatkan kepastian pengeluaran sekaligus menambah kestabilan bekalan makanan dengan segera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua,
Kita juga perlu meneliti aspek tenaga kerja. Masa depan sektor ini bergantung kepada sejauh mana kita dapat menarik minat dan melahirkan generasi baharu yang sedia menyumbang. Namun pada realitinya, ramai anak muda masih menganggap pertanian sebagai pekerjaan yang kurang menarik dan tidak menjanjikan pulangan yang baik.
Manpower Blueprint telah menggariskan keperluan yang membentuk tenaga kerja yang berkemahiran dan adaptable. Oleh itu, kaola mencadangkan supaya diwujudkan skim usahawan muda agro yang menawarkan dana permulaan yang mudah diakses, latihan praktikal secara berstruktur bersama mentor berpengalaman dan jaminan saluran pasaran yang lebih jelas.
Dengan sokongan ini, sektor pertanian dapat dilihat sebagai bidang kerjaya yang berdaya maju, inovatif dan berimpak tinggi kepada pembangunan negara. Selain itu, untuk membantu lagi sektor pertanian moden, produktif dan mampan, kita perlu menggalakkan penggunaan teknologi secara meluas.
Ramai pengusaha kecil masih tidak mampu menanggung kos awal untuk sistem pengairan pintar, rumah hijau moden, aplikasi pemantauan tanaman. Kaola mencadangkan untuk diwujudkan skim pembiayaan teknologi pertanian yang fleksibel dan mesra pengguna bagi membantu mereka beralih kepada keadaan moden. Pendekatan ini meningkatkan hasil pengeluaran, mengurangkan kos jangka panjang dan memberikan rakyat bekalan makanan yang lebih konsisten dan berkualiti selaras dengan Social Blueprint yang menekankan bahawa kesejahteraan rakyat bergantung kepada akses makanan berkhasiat, mampu milik dan berterusan.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Cadangan-cadangan ini bukanlah perkara baharu yang terkeluar daripada hala tuju negara. Rangka kerja dan aspirasi telahpun berubah melalui blueprint kita. Apa yang masih diperlukan ialah perlaksanaan yang lebih pantas, lebih jelas dan lebih teratur.
Jika kita benar-benar mahu mencapai ekonomi dinamik dan mampan menjelang tahun 2035, sektor pertanian dan makanan mesti diberi keutamaan untuk langkah-langkah yang berani, menyusul semula laluan kemasukan pengusaha, membina infrastruktur sokongan yang lengkap, menarik minat tenaga muda dan mempercepatkan penggunaan teknologi moden.
Kaola yakin dengan tindakan yang terancang dan berpaksikan hala tuju blueprint negara, sektor ini mampu berkembang menjadi pemacu utama negara ekonomi bukan minyak dan gas, sekaligus menjadi benteng keselamatan negara dan asas kesejahteraan rakyat. Inilah masa untuk mengubah potensi menjadi realiti dan memastikan menjelang 2035 sektor pertanian Brunei berdiri sebagai tunjang utama pembangunan ekonomi yang berdaya tahan dan berkualiti tinggi untuk rakyat.
Sekian. Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Awang Haji Mohammad Salleh.
Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman
Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kaola menjunjung penuh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenaan dengan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035.
Ini mencerminkan keprihatinan baginda tentang hala tuju, kemajuan dan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan jayanya. Cabaran melaksanakan Wawasan Brunei 2035 ini hanya berbaki 10 tahun adalah amat mencabar. Lebih-lebih lagi dengan wujudnya pelbagai emerging issues global yang memberi kesan secara langsung mahupun tidak langsung di dalam pelaksanaan secara menyeluruh. Antara cabaran yang semakin ketara ialah keselamatan siber dan ancaman digital yang bukan saja menganggu kelancaran sistem pentadbiran serta komunikasi bahkan berpotensi untuk menjejaskan ekonomi negara dan mengancam keselamatan rakyat.
Ancaman seperti penipuan atas talian, kebocoran data, serangan ransomware dan penyebaran maklumat palsu memberi impak besar kepada keyakinan masyarakat dan pelaburan terhadap kestabilan digital negara. Untuk menangani cabaran keselamatan siber dan ancaman digital yang semakin kompleks ini, beberapa langkah strategik perlu diberikan perhatian luas.
Antaranya pertama, memperkukuhkan infrastruktur dan policy Keselamatan Siber Kebangsaan, menyemak dan mengemasikini Dasar Siber Kebangsaan secara berkala agar sejalan dengan perkembangan teknologi semasa. Melaksanakan piawaian keselamatan minimum bagi semua sistem ICT sektor kerajaan dan swasta. Menyediakan Pusat Respons Insiden Siber, CRT yang cekap dan sentiasa bersedia menangani sebarang ancaman atau serangan.
Kedua, pendidikan dan kesedaran siber di peringkat nasional memperluas kempen kesedaran keselamatan digital kepada masyarakat umum. Pelajar, pejawat awam dan usahawan, menintergrasikan modal keselamatan dan etika digital dalam sistem pendidikan sejak peringkat awal. Menyediakan bengkel dan latihan khusus kepada individu dan organisasi tentang bagaimana mengenalpasti, mencegah dan merapuhkan ancaman siber;
Ketiga, pembangunan sumber manusia dan kepakaran tempatan. Melatih dan menghasilkan lebih ramai pakar keselamatan siber tempatan termasuk dalam bidang forensik digital, pengurusan risiko dan kecerdasan ancaman yakni, threat intelligence. Menyediakan biasiswa, pensijilan profesional dan kerjasama dengan institusi luar dan untuk membina kapasiti tenaga mahir dalam bidang ini.
Keempat, kerjasama strategik serantau dan global mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara ASEAN dan agensi antarabangsa dalam menangani generasi baru merentas sempadan. Menyertai platform global untuk perkongsian maklumat ancaman siber dan amalan terbaik.
Kelima, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan berkaitan siber. Memantapkan pelaksanaan dan pemantauan terhadap undang-undang sedia yang ada seperti Akta Jenayah, Siber dan Akta Telekomunikasi. Menyediakan saluran laporan yang mesra pengguna untuk membolehkan orang awam melaporkan jenayah siber dengan mudah, dan.
Keenam, menggalakkan budaya bertanggungjawab digital. Menggalakkan etika dan integriti dalam pengguna siber dan teknologi termasuk di kalangan belia dan pengguna aktif digital. Mengawal penyebaran maklumat palsu melalui pendekatan pendidikan dan juga tindakan tegas ke atas penyalahgunaan platform.
Dengan adanya langkah-langkah ini, keselamatan digital negara dapat diperkukuhkan dan keyakinan masyarakat serta pelabur terhadap keupayaan Brunei sebagai negara digital yang selamat dan berdaya saing dapat terus dipelihara. Inilah antara prasyarat penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Selain daripada itu, kita juga berdepan dengan cabaran besar dalam bentuk gangguan ekonomi global dan krisis rantaian bekalan, ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada konflik geopolitik, kesan jangka panjang pandemik serta ketidakseimbangan perdagangan antarabangsa telah memberi kesan secara langsung aktiviti eksport dan import negara.
Ini sekaligus menggandakan tahap kebergantungan Brunei terhadap sumber luar terutama dalam sektor makanan, barangan pengguna serta import perindustrian. Cabaran ini bukan saja menjejaskan kestabilan ekonomi malah menuntut langkah-langkah strategik dan berani dalam memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara. Justeru, strategik kepelbagaian ekonomi perlu digalakkan dengan lebih menyeluruh dan agresif. Bukan sekadar harapan tapi diterjemahkan melalui tindakan yang terancang, berimpak tinggi dan inklusif.
Antara langkah yang pernah diambil termasuklah Pertama, memperkukuh dan percepatkan pelaburan dalam Sektor Minyak dan Gas seperti Pelancongan yang Berdaya Tahan, Industri Halal, Teknologi Maklumat, Ekonomi Digital dan Pertanian Moden dan Agro-Makanan. Kedua, mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif khususnya bagi belia dan usahawan mikro, kecil dan sederhana, PMKS. Melalui akses pembiayaan yang mudah, latihan kemahiran tinggi, peluang pasaran domestik dan antarabangsa.
Ketiga, meningkatkan daya sara diri negara dalam bidang strategik seperti makanan, tenaga boleh diperbaharui dan bahan mentah bagi mengurangkan kebergantungan luar. Keempat, membangunkan modal insan tempatan agar memiliki kemahiran yang sejalan dengan keperluan ekonomi masa depan termasuk dalam bidang STEM, Digital Automasi dan Kepimpinan Global; dan Kelima, menarik pelaburan langsung asing, FDI, melalui penyediaan persekitaran perniagaan yang luas, cekap dan mesra pelabur serta insentif yang kompetitif di rantau ini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Langkah-langkah ini amat penting bagi memastikan Brunei tidak hanya bergantung kepada satu sektor ekonomi tetapi mampu berdiri kukuh sebagai sebuah ekonomi yang berdaya saing, berdaya tahan dan mampan sesuai dengan matlamat utama Wawasan Brunei 2035, iaitu menjadikan negara kita antara sepuluh negara teratas dalam ekonomi, pendidikan, kualiti hidup rakyat.
Sekali cabaran yang telah disuarakan termasuk gangguan ekonomi global, krisis rantaian bekalan, keselamatan siber serta ancaman digital menutup tindak balas yang bukan saja pantas tetapi juga strategik dan menyeluruh. Usaha-usaha ini sememangnya menepati aspirasi matlamat strategik dan haluan dasar Social Blueprint Negara Brunei Darussalam khususnya dalam menjayakan matlamat rakyat yang mandiri, berdaya tahan dan siap siaga masa depan.
Aspirasi ini menekankan kepentingan membentuk rakyat yang: Pertama, berilmu dan berkebolehan tinggi. Kedua, mampu berdikari serta menyesuaikan diri dalam perubahan; dan Ketiga, siap siaga menghadapi sebarang ketidakpastian masa depan.
Sehubungan dengan itu, segala dasar dan program yang dilaksanakan haruslah menjurus kepada Pertama, pengukuhan jaringan keselamatan social. Kedua, pemupukan semangat keusahawanan dan kepimpinan belia. Ketiga, pembangunan kemahiran baharu yang berasaskan perlu keperluan ekonomi global; dan Keempat, serta penggunaan teknologi bijak dan bertanggungjawab. Segala pendekatan senegara perlu diperkasakan, merangkumi kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak swasta, bagi memastikan rakyat kita benar-benar bersedia mendepani sebarang cabaran dan ketidaktentuan global.
Dengan ini, kita bukan sahaja mengukuhkan ketahanan sosial, bahkan menyumbang secara langsung kepada pencapaian matlamat utama Wawasan Brunei 2035, iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran, serta menikmati taraf hidup yang berkualiti dan sejahtera.
Sekian, wabillahit taufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann.
Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann
Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
Pertama-tama kaola menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 secara holistik dan bersepadu dengan mengambil kira cabaran-cabaran yang bakal dilalui bagi mencapai sebuah negara maju tahun 2035. Seterusnya, kaola juga mengucapkan tahniah di atas penerbitan buku Social Blueprint Negara Brunei Darussalam sebagai panduan tentang pencapaian dan matlamat serta pelaksanaan Wawasan Brunei 2035.
Di dalam memperkatakan berkenaan dengan isu cabaran global yang mahu tidak mahu perlu dihadapi oleh negara dalam usaha merealisasikan Wawasan Brunei 2035, satu perkara yang sangat mustahak ialah kesiapsiagaan negara terhadap krisis kesihatan global. Kita telah menyaksikan sendiri bagaimana pandemik COVID-19 memberi impak besar terhadap semua sektor daripada kesihatan awam, pendidikan, ekonomi hingga kesejahteraan mental rakyat. Maka kesiapsiagaan dan ketahanan sistem kesihatan negara perlu diberi perhatian utama.
Langkah-langkah strategik menghadapi krisis kesihatan global:
Pertama, mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam. Memastikan hospital, pusat kesihatan dan kemudahan rawatan sentiasa berada di dalam keadaan bersedia dengan peralatan perubatan-perubatan dan tenaga kerja mencukupi. Menambah kapasiti dan fleksibiliti sistem kesihatan untuk menangani lonjakan kes secara tiba-tiba, pelaburan dalam sains dan perubatan dan bioteknologi menyokong pendidikan dan pembangunan iaitu R&D dalam bidang penyakit berjangkit, vaksin dan teknologi kesihatan, menggalakkan kerjasama sektor kerajaan, akademik dan swasta dalam inovasi perubatan;
Kedua, pembangunan modal insan dalam bidang kesihatan. Menyediakan peluang latihan dan pembangunan profesional yang berterusan bagi pegawai perubatan dan penjawat dan jururawat, memberi tumpuan kepada pembangunan kepakaran tempatan dalam epidemiology dan kesihatan awam dan respons bencana;
Ketiga, pengukuhan rangkaian pengawasan dan tindak balas awal. Menubuhkan sistem pengesanan awal dan tindak balas pantas terhadap wabak terutama kerjasama dengan rangkaian antarabangsa seperti WHO dan ASEAN.
Memperkukuhkan penggunaan teknologi dalam mengumpulkan data dan ramalan kesihatan awam; dan
Keempat, kesedaran dalam pendidikan kesihatan masyarakat meningkatkan kefahaman rakyat tentang langkah-langkah pencegahan dan kesihatan kendiri. Mempromosikan gaya hidup sihat sebagai benteng pertahanan awal terhadap penyakit, pendekatan senegara, whole of nation approach, menyatukan peranan semua sektor kerajaan, swasta, masyarakat sivil dan komuniti dalam merancang dan melaksanakan respons krisis kesihatan, menyediakan plan kontingensi dan latihan simulasi secara berkala untuk memastikan kesiapsiagaan menyeluruh. Kita tidak mampu menjangka bila dan bagaimana krisis kesihatan global akan datang namun kesiapsiagaan dan kerjasama semua pihak secara strategik akan memastikan negara kita mampu bertindak dengan cepat, tangkas dan berkesan demi melindungi rakyat dan memastikan kesinambungan pembangunan negara.
Langkah-langkah ini bukan sahaja penting bagi ketahanan kesihatan awam tetapi juga merupakan komponen utama dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035. Khususnya dari sudut kualiti hidup rakyat dan keberdayasaingan negara di peringkat global.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam kita membincangkan hala tuju negara ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035, sektor kesihatan tetap menjadi satu daripada tunggak utama yang tidak boleh diketepikan.
Justeru itu, saya amat berbesar hati untuk mengongsikan bahawa berdasarkan analisis situasi semasa yang terkandung di dalam Social Blueprint Negara Brunei Darussalam, negara kita telah mencatat pencapaian yang membanggakan dalam sektor kesihatan awam.
Antara pencapaian ketara ialah liputan kesihatan sejagat yang berada di tahap yang tinggi khususnya dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan seperti liputan imunisasi dan perkhidmatan kesihatan ibu dan anak. Kadar imunisasi nasional telah menunjukkan peningkatan signifikan bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan golongan ibu mengandung dan menyusukan anak. Ini mencerminkan komitmen berterusan pihak Kementerian Kesihatan dalam memastikan setiap lapisan masyarakat dapat akses kepada perlindungan yang sewajarnya melalui program vaksinasi.
Selain daripada aspek tradisional penjagaan kesihatan, negara kita juga telah mula mengadaptasikan inovasi dan teknologi kesihatan secara meluas. Penggunaan aplikasi kesihatan, sistem pendaftaran dalam talian, teleperubatan serta sistem pemantauan kesihatan digital telah berjaya meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh.
Lebih penting lagi akses kepada maklumat kesihatan ini telah lebih mudah dan cepat sekaligus menggalakkan perubahan positif dalam tingkah laku kesihatan masyarakat termasuk dari segi pencegahan penyakit, kesedaran gaya hidup sihat dan penjagaan kesihatan mental.
Inovasi ini secara tidak langsung menyokong aspirasi rakyat yang sihat dan sejahtera serta membina asas kepada komuniti yang lebih bersedia dalam menghadapi sebarang bentuk krisis kesihatan masa hadapan termasuklah bersifat global.
Selain daripada usaha meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat, satu lagi aspek penting dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035 ialah langkah-langkah strategik ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat dan membasmi kemiskinan. Matlamat untuk memastikan taraf hidup rakyat yang tinggi tidak akan dapat dicapai sekiranya masih wujud jurang ketidaksamarataan dalam pendapat peluang pekerjaan dan akses kepada kemudahan asas. Ini termasuklah:
Pertama, penyaluran bantuan sosial yang bersasar, peningkatan keberkesanan sistem bantuan kebajikan agar sampai kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan. Penggunaan data dan teknologi untuk mengenal pasti golongan rentan dan menyalurkan sokongan secara lebih adil dan telus;
Kedua, memperkasakan ekonomi rakyat dan keusahawanan. Mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan melalui program keusahawanan mikro, koperasi dan ekonomi gig, menyediakan latihan kemahiran semula reskilling dan peningkatan kemahiran upskilling untuk rakyat berpendapatan rendah agar mereka mampu bersaing dalam pasaran kerja moden;
Ketiga, penyediaan rumah dan infrastruktur asas. Memastikan rakyat mempunyai tempat tinggal yang selamat dan selesa melalui projek perumahan kos rendah dan subsidi perumahan. Menambah baik akses kepada air bersih, elektrik, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar dan pendalaman;
Keempat, ruang pendidikan dan mobiliti sosial. Memastikan semua rakyat tanpa mengira latar belakang, mendapat akses pendidikan yang berkualiti dari peringkat asas hingga ke pengajian tinggi. Pendidikan adalah pemangkin kepada mobiliti sosial, justeru ia mesti dijadikan alat utama, membebaskan rakyat dari belenggu kemiskinan antara generasi.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua. Dalam usaha membasmi kemiskinan dan menjamin taraf hidup yang lebih baik, penetapan gaji minimum adalah salah satu langkah penting yang perlu diberi perhatian serius.
Ini bukan saja sebagai mekanisme perlindungan kepada pekerja berpendapatan rendah malah sebagai usaha menyeluruh negara dalam memastikan keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Penetapan gaji minimum nasional jika dilaksanakan dengan sewajarnya dan berdasarkan data sosial ekonomi yang kukuh dapat melindungi pekerja daripada eksploitasi terutamanya golongan belia dan pekerja sektor informal. Menjamin pendapatan asas yang mencukupi untuk memenuhi keperluan asas hidup seperti makanan, perumahan dan kesihatan dan dalam jangka panjang membantu mengurangkan ketidaksamarataan pendapatan dan meningkatkan produktiviti tenaga kerja. Langkah-langkah ini juga perlu digandingkan dengan peningkatan penguatkuasaan undang-undang buruh, menyelaras semua struktur upah mengikut sektor dan dialog sosial berterusan antara kerajaan, majikan dan wakil pekerja agar pelaksanaan gaji minimum ini bersifat adil dan mampan.
Kita harus melihat isu gaji minima ini bukan semata-mata dari sudut ekonomi tetapi juga sebagai satu komitmen moral dan bertanggungjawab sosial ke arah membentuk masyarakat yang seimbang, adil dan berkualiti. Dengan pelaksanaan dasar-dasar seperti ini secara inklusif dan bersasar, insya Allah, kita akan dapat membina satu asas yang kukuh bagi mencapai matlamat besar negara iaitu menjadikan Brunei sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan menikmati taraf hidup yang tinggi menjelang tahun 2035.
Sekian, Wabillahit taufik walhidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua
Alhamdulillah, saya kira cukuplah dulu kita bersidang pada hari ini. Saya cadangkan supaya mesyuarat kita ini ditangguhkan.
Insya Allah, kita akan bersidang semula pada esok hari iaitu hari Rabu, 6 Ogos 2025 sebagaimana lazim mulai daripada jam 9.30 pagi.
Sekian, Wabillahit taufik walhidayah wasalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabaraktuh.
(Majlis Mesyuarat ditangguhkan)
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.