Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT8
📖 Masa membaca: 4 minit
📊 Bilangan kata: 658 kata
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD SALAM​
SOALAN:
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD SALAM meminta MENTERI HAL EHWAL UGAMA menyatakan strategi pengawalan dan pemantauan anasir-anasir serta kegiatan-kegiatan negatif yang menyasarkan generasi muda dan masyarakat pedalaman serta langkah memastikan strategi tersebut disebarluaskan untuk pengetahuan awam bagi menanganinya. Ini mengambil kira kebimbangan mengenai isu sosial dan kegiatan berugama yang bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah memberikan kesan negatif kepada umat Islam di Negara ini termasuk kegiatan berugama yang dijalankan secara tertutup.
YANG BERHORMAT MENTERI HAL EHWAL UGAMA​
JAWAPAN:
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) memainkan peranan penting dalam mengawal dan memantau penyebaran anasir-anasir negatif dan kegiatan berugama yang bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ) yang menyasarkan ke dalam kalangan generasi muda dan masyarakat pedalaman. Amnya, Negara Brunei Darussalam telah meletakkan sistem pendidikan ugama yang kukuh. Pendidikan ugama yang formal diwajibkan kepada semua kanak-kanak Islam dan menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memelihara akidah ASWJ serta membentuk generasi berilmu, berakhlak mulia dan membudayakan amalan dan ajaran Islam dalam kehidupan.
Dalam memastikan ia tetap teguh, strategi-strategi yang dilaksanakan oleh KHEU adalah antaranya; melalui Pusat Da’wah Islamiah (PDI). PDI sebagai sebuah institusi yang berperanan dalam penyebaran, pengembangan dan pemantapan ajaran Islam adalah sentiasa mempelbagai dan memperkemaskan pelaksanaan rancangan-rancangan bagi memperkasa dan mempergiatkan penglibatan belia dalam pengendalian program-program dan latihan-latihan bercorak keugamaan. Sehingga kini terdapat 62 buah kumpulan yang berdaftar di bawah Program Keugamaan Belia, KHEU. Dalam menangani isu sosial, PDI juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan di kalangan penuntut-penuntut sekolah dan kanak-kanak di Kompleks Rumah Kebajikan serta Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi mereka yang berada di pusat-pusat tahanan. Manakala bagi masyarakat pedalaman yang terdiri daripada kalangan muallaf, orang-orang tua, orang kurang upaya dan tidak berkemampuan untuk menghadirkan diri ke Pusat Da’wah Islamiah daerah-daerah terdapat skim khas untuk sesi pembelajaran. Ini juga termasuk membuat lawatan, bimbingan dan sebagainya.
Selain itu, KUPU SB sebagai institusi pendidikan yang berfokus kepada pengajian Islam dan pendidikan perguruan ugama, juga turut memainkan peranan mereka. Antaranya penganjuran program-program perkuliahan seperti tadabbur al-Quran, pengajian kitab di masjid-masjid dengan sasaran kepada penduduk kampong, beliawanis, muallaf dan Jemaah masjid. Begitu juga penganjuran Program dakwah ke pendalaman dengan menjelajah keempat-empat daerah untuk mendekati dan membimbing penduduk kampong, golongan muallaf dan murid-murid sekolah rendah.
Bagi memastikan anasir-anasir serta kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan aqidah dan sosial terus dapat ditangani dengan berkesan, Bahagian Penguatkuasa Ugama serta Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama, Jabatan Hal Ehwal Syariah dengan kerjasama padu dari pihak-pihak berkepentingan di Negara Brunei Darussalam telah melaksanakan pengawalan dan pemantauan yang berstrategi dan berkesan. Antaranya melalui penguatkuasaan undang-undang khususnya kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kanun Hukuman Jenayah Syariah, Penggal 275. Bahagian ini juga menganjurkan program-program kesedaran seperti program-program Makarimal Akhlak, Tanbih wa Tahsin, Al-Wa’yu termasuk kesedaran tentang penyebaran maklumat melalui media sosial. Program-program rehabilitasi dan sesi pemulihan akidah bagi individu-individu yang terlibat dalam kegiatan yang bertentangan dengan hukum Syara’ juga adalah dititikberatkan bagi menghindari ancaman yang lebih besar yang melibatkan keselamatan dan kesucian agama rasmi negara dari sebarang unsur fahaman ekstrem, radikal dan pemikiran liberal.
Secara keseluruhannya, pendekatan yang bersepadu dan melibatkan semua pihak dalam pengawalan dan pemantauan anasir-anasir serta kegiatan negatif ini amat penting dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat Brunei Darussalam terjamin. Selain itu, program-program kesedaran masyarakat memelihara akidah ASWJ dan menjauhi ajaran sesat serta penyebarannya terus dikembangkan melalui ceramah, forum, dialog dan pameran, penerbitan buku-buku dan termasuk melalui platform media sosial dan laman web rasmi dan sebagainya. Melalui strategi-strategi ini, adalah memastikan masyarakat umum termasuk generasi muda dan masyarakat pendalaman keseluruhannya akan mendapat maklumat yang tepat untuk menangani isu-isu tersebut.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.