Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT37
📖 Masa membaca: 3 minit
📊 Bilangan kata: 569 kata
YANG BERHORMAT PENGIRAN HAJI ISA BIN PENGIRAN HAJI ALIUDDIN​
SOALAN:
YANG BERHORMAT PENGIRAN HAJI ISA BIN PENGIRAN HAJI ALIUDDIN meminta MENTERI KESIHATAN menyatakan perkembangan dan tindakan pada masa ini yang diambil oleh pihak Kementerian dalam menangani isu orang awam yang merokok atau menghisap rokok elektronik(vape) di tempat awam terutama di restoran, café dan gerai terbuka, walaupun papan tanda larangan jelas terpampang.
YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN​
JAWAPAN:
Kementerian Kesihatan memandang dengan penuh keseriusan isu orang awam yang merokok atau menghisap vape di tempat awam walaupun papan tanda larangan jelas terpampang. Dalam menangani isu ini, Kementerian menggunakan pendekatan secara holistik dan sepadu selaras dengan peruntukan perundangan di bawah Perintah Tembakau 2005.
Perlu diketahui bahawa Bab 16 (1) Perintah Tembakau 2005 dengan jelas memperuntukkan tanggungjawab dan kuasa kepada pengurus mana-mana tempat, terutamanya pengurus restoran, untuk:
Mengarahkan sesiapa yang didapati merokok untuk berhenti dengan serta-merta;Memberitahu pesalah mengenai hukuman-hukuman yang diperuntukkan di bawah Bab 14 Perintah Tembakau;Jika pesalah enggan mematuhi arahan untuk berhenti merokok, mengarahkan orang tersebut untuk meninggalkan premis dengan serta-merta; danJika pesalah masih ingkar dalam mematuhi arahan yang diberikan, pengurus premis hendaklah menghubungi pihak yang berkuasa iaitu Pegawai Polis atau Pegawai Unit Penguatkuasaan Kesihatan (UPK) melalui talian hotline UPK 7192005 untuk bantuan segera.
Penting untuk ditekankan bahawa undang-undang turut melindungi pengurus premis daripada sebarang ancaman atau gangguan. Di bawah Bab 16(6) Perintah Tembakau 2005, sesiapa yang menghalang pengurus daripada menjalankan tanggungjawabnya seperti yang dinyatakan di atas boleh dikenakan denda yang berat tidak melebihi B$1,000, atau hukuman penjara bagi tempoh tidak melebihi 6 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Dari aspek perundangan, Perintah Tembakau 2005 telah mengalami beberapa pindaan yang diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Salah satu pindaan utama ialah Pemberitahuan Tembakau (Larangan di Tempat-Tempat Tertentu) (Pindaan) 2012, yang mula berkuatkuasa pada 1 Mac 2012. Pindaan ini bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan bagi mengurangkan faktor risiko yang boleh memudaratkan kesihatan awam serta alam sekitar.
Sebagai langkah tambahan dalam mengawal tabiat merokok di tempat awam, pindaan ini telah memperluaskan kawasan larangan merokok dengan memasukkan kawasan kaki lima serta lingkungan 6 meter dari mana-mana bangunan ke dalam senarai tempat yang dilarang.
Di samping itu, Unit Penguatkuasaan Kesihatan (HEU) telah mengemaskini tatacara prosedur kerja, di mana orang ramai boleh menghantar gambar mereka yang membuat kesalahan rokok atau vape kepada Unit Penguatkuasaan Kesihatan (UPK) melalui talian hotline 7192005 sebagai bukti untuk tujuan pendakwaan, sepertimana yang telah dilaksanakan bagi kesalahan membuang sampah secara haram.
Sejak pindaan ini dikuatkuasakan, Kementerian Kesihatan melalui Unit Penguatkuasaan Kesihatan telah mengeluarkan sebanyak $965,250.00 denda kompaun terhadap individu yang didapati merokok di kawasan larangan, dengan jumlah 3,490 kes direkodkan.
Sebagai sebahagian daripada strategi penguatkuasaan yang lebih komprehensif, Kementerian Kesihatan telah dan akan terus menjalankan beberapa siri operasi sepadu bersama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Jabatan Bandaran.
Kementerian Kesihatan akan terus memantau dan memperkukuhkan usaha-usaha penguatkuasaan ini demi memastikan persekitaran yang bebas daripada asap rokok untuk kesejahteraan semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.