Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT41
📖 Masa membaca: 4 minit
📊 Bilangan kata: 710 kata
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOF​
SOALAN:
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOF meminta MENTERI HAL EHWAL UGAMA menyatakan langkah-langkah strategik dalam menangani cabaran dalam era digital dan platform sosial media yang semakin berkembang maju dan canggih tanpa sempadan. Cara ini adalah yang lebih berkesan dalam bersama-sama menghindarkan terpengaruh atau merosakkan malahan juga dihasratkan memantapkan lagi pegangan aqidah Ahli-Sunnah Wal-Jamaah mengikut Mazhab Syafie' yang diamalkan di Negara ini.
YANG BERHORMAT MENTERI HAL EHWAL UGAMA​
JAWAPAN:
Dalam menghadapi cabaran era digital yang semakin berkembang pesat, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Pusat Da’wah Islamiah telah mengambil pelbagai langkah strategik untuk memantapkan pegangan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut Mazhab Syafi‘e di Negara Brunei Darussalam. Peningkatan penggunaan media sosial dan platform digital yang semakin canggih telah memberi kesan besar terhadap penyebaran maklumat agama, baik yang sahih mahupun yang tidak tepat. Oleh itu, usaha memantau kandungan dakwah, meningkatkan kesedaran masyarakat melalui media sosial, serta penguatkuasaan undang-undang yang berkuatkuasa, adalah langkah penting untuk memastikan pengamalan agama yang betul.
Berkaitan perkara itu, antara langkah-langkah strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam menangani cabaran era digital dalam memantapkan pegangan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Brunei Darussalam adalah seperti berikut:
Pemantauan dan Penguatkuasaan:
a. Memantau kandungan dakwah di media sosial untuk memastikan keselarasan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
b. Menguatkuasakan undang-undang seperti Akta Kanun Hukuman Jenayah Syariah, Penggal 275 terhadap penyebaran ajaran yang tidak sahih.
Pendidikan dan Kesedaran melalui Media Sosial:
a. Menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok untuk menyebarkan ilmu ugama yang sahih dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengamalan agama yang betul.
b. KUPU SB juga aktif mengadakan siaran langsung di Instagram dan Facebook untuk perkongsian ilmu kepada masyarakat.
Peningkatan Kualiti dan Penyebaran Maklumat Agama:
a. Penerbitan e-poster dan infografik mengenai perkhidmatan ugama dan khutbah untuk memudahkan pemahaman isu keugamaan.
b. Pemantauan berkala media sosial untuk mengenal pasti dan menangani ajaran atau maklumat yang tidak selari dengan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Kerjasama dengan Radio dan Televisyen:
a. KHEU memperkenalkan segmen "Perkhidmatan Ugama" di Radio Televisyen Brunei untuk mendidik masyarakat tentang pengamalan ugama yang betul.
b. Menyediakan segmen khusus yang memberi penerangan tentang perkhidmatan ugama dan menangani penyebaran maklumat salah.
Penggunaan Aplikasi dan Platform Digital:
a. Penggunaan aplikasi seperti Mushaf Brunei dan platform media sosial lain untuk menyebarkan maklumat ugama yang tepat dan diiktiraf.
Sebagai kesimpulan, langkah-langkah strategik yang diambil oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam menghadapi cabaran era digital dan platform sosial yang berkembang pesat, adalah amat penting dalam memastikan masyarakat di Negara Brunei Darussalam terus kukuh pegangan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut Mazhab Syafi’e. Dengan memanfaatkan media sosial dan platform digital secara bijak, serta melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan, ia diharapkan dapat mencegah penyebaran maklumat yang merosakkan dan memastikan masyarakat sentiasa terpelihara dari pengaruh yang menyimpang. Pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat dalam pendidikan dan kesedaran beragama, tetapi juga memperkukuhkan kefahaman agama yang sahih dalam kalangan umat Islam di negara ini, seterusnya membina masyarakat yang berpengetahuan, berilmu, dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip ajaran Islam yang sebenar.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.