Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT38
đź“– Masa membaca: 5 minit
📊 Bilangan kata: 967 kata
YANG BERHORMAT PENGIRAN HAJI ISA BIN PENGIRAN HAJI ALIUDDIN​
SOALAN:
YANG BERHORMAT PENGIRAN HAJI ISA BIN PENGIRAN HAJI ALIUDDIN meminta MENTERI KESIHATAN menyatakan langkah atau tindakan yang telah dijalankan atau pemantauan yang dibuat dalam menangani isu tempat letak kereta bagi berkeperluan khas (kerusi roda), ini kerana didapati ada sesetengah individu tidak cakna dalam perkara ini dan meletakkan kereta ditempat khas tersebut.
YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN​
JAWAPAN:
[Soalan telah dijawab oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan]
Terima kasih kepada Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin atas pertanyaan mengenai dengan langkah atau tindakan yang telah dijalankan atau pemantauan yang dibuat dalam menangani isu tempat letak kereta bagi berkeperluan khas (kerusi roda).
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) amat prihatin terhadap hak dan kepentingan orang kelainan upaya (OKU) di negara ini. Melalui Jawatankuasa Khas Isu Orang Kelainan Upaya di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial, KKBS bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan dari kalangan persatuan-persatuan orang kelainan upaya untuk memastikan bahawa golongan OKU diberikan peluang yang sama dalam pelbagai aspek kehidupan disamping menyokong dan memperkasa golongan ini untuk mencapai potensi yang maksimum bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif dan progresif.
Salah satu inisiatif yang diusahakan ialah mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan mesra OKU dengan memperbaiki dan memperluaskan aksesibiliti golongan OKU bagi memudahkan pergerakan dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Antara usaha di bawah inisiatif ini ialah memastikan tempat-tempat letak kereta khas bagi golongan OKU disediakan di bangunan-bangunan kerajaan dan komersial. Tempat letak kereta yang boleh diakses ini memastikan individu yang mempunyai cabaran mobiliti seperti OKU berkerusi roda, mempunyai akses yang lebih mudah dan dekat dengan pintu masuk bangunan dan lif serta ruang letak kereta yang lebih besar untuk menampung alat mobiliti, sejajar dengan Konvensyen hak-hak Orang Kurang Upaya (Convention on the Rights of Persons with Disability (Article 9)), iaitu Aksesibiliti Ke arah Komuniti (Accessibility Towards an Accessible Community) yang boleh diakses.
Untuk makluman Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, ruangan letak kereta OKU khusus direka bentuk bagi kemudahan OKU dengan ciri-ciri tertentu mengikut Different Abilities Design Guidelines (DADG) yang dikeluarkan oleh Authority for Building Control and Construction Industry (ABCI), Kementerian Pembangunan pada tahun 2018.
KKBS mengambil maklum bahawa ada kalanya tempat-tempat letak kereta khas OKU ini telah disalahgunakan oleh orang awam iaitu orang yang bukan berkerusi roda. Dalam erti kata lain, walaupun tempat letak kereta tersebut jelas mempunyai lambang OKU, namun ada yang bukan dari golongan memerlukan telah mengambil kesempatan atau kesenangan meletakkan kereta disana disebabkan ianya kosong atau hampir dengan pintu masuk. Perkara ini mencerminkan kurangnya kesedaran dan keprihatinan segelintir masyarakat kita terhadap kesejahteraan OKU.
Ke arah ini, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) sentiasa giat berkolaborasi bersama rakan-rakan strategik dalam meningkatkan advokasi hak tempat letak kereta OKU bagi golongan OKU yang memerlukan. Pada tahun 2024, Kumpulan We.Kare, yang terdiri daripada enam orang pegawai Executive Development Programme for Middle Management Officers (EDPMMO) telah melaksanakan satu projek kesedaran tersebut, yang merangkumi pemberigaan hak-hak tempat letak kereta bagi golongan OKU melalui video ringkas, radio, 50 keping poster yang dipaparkan di beberapa tempat awam seperti bangunan-bangunan Kerajaan serta tempat membeli-belah, Program Rampai Pagi, dan menyediakan dua tempat letak kereta OKU baharu di Masjid Suri Seri Begawan, Kampong Manggis Madang pada 18 Julai 2024. Majlis penyediaan tempat letak kereta OKU berkenaan juga merangkumi taklimat mengenai kepentingan adanya tempat letak kereta OKU yang telah disampaikan oleh JAPEM melalui Bahagian Orang Kelainan Upaya dan Kementerian Pembangunan melalui ABCi.
Ke arah mempertingkatkan lagi kawalan penggunaan letak kereta OKU di negara ini, dimaklumkan bahawa Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi sedang merangka Pelekat Kenderaan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dihasratkan sebagai pengenalan rasmi bagi kenderaan yang dipandu atau dinaiki oleh OKU, selaras dengan Objektif 2 dibawah bidang Fokus 3 Pelan Tindakan Orang Kelainan Upaya iaitu “Memastikan sistem sokongan dan prasarana dukungan yang mesra OKU”. Selain untuk memudahkan urusan harian mereka untuk meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan khusus untuk OKU, pelekat rasmi ini juga akan memastikan hak aksesibiliti OKU dihormati serta mengelakkan penyalahgunaan tempat letak kereta OKU oleh orang ramai.
Alhamdulillah sukacita juga dikongsikan bahawa sebuah Taskforce Pelekat Kenderaan Orang Kelainan Upaya (OKU) telah ditubuhkan pada Oktober 2024 yang mana antara bidang tugas Taskforce ini ialah untuk mencadangkan langkah untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang program pelekat kenderaan kepada semua pengguna jalan raya dan lapisan masyarakat di negara ini termasuk dalam kalangan OKU.
Adalah diharap, penyediaan Pelekat Kenderaan OKU ini bukan sahaja akan meningkatkan aksesibiliti untuk kemudahan OKU meletakkan kereta dengan selesa dan selamat tanpa sebarang halangan atau kekeliruan, malah ianya juga boleh membantu mengurangkan penyalahgunaan tempat letak kereta khas oleh individu yang tidak layak serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keperluan khas golongan OKU dan pentingnya menyediakan ruang yang lebih mesra dan mudah diakses untuk mereka.
Sekian sahaja yang dapat diulas. Terima kasih.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.