Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT24

Rumusan Bacaan

📖 Masa membaca: 9 minit
📊 Bilangan kata: 1,918 kata

YANG BERHORMAT DR. AWANG HAJI MAHALI BIN HAJI MOMIN​

SOALAN:

YANG BERHORMAT DR. AWANG HAJI MAHALI BIN HAJI MOMIN meminta MENTERI KESIHATAN menyatakan keberkesanan rancangan Kementerian untuk penambahbaikan program kesejahteraan mental yang bertujuan untuk mengurangkan bilangan orang yang menghadapi isu ini. Terdapat beberapa program yang telah dilaksanakan oleh Kementerian dalam menangani isu kesihatan mental dan program ini merupakan aspek penting dalam kualiti hidup masyarakat.

YANG BERHORMAT MENTERI KESIHATAN​

JAWAPAN:

Secara kesimpulannya, melihat bilangan orang yang mempunyai isu kesihatan mental mungkin bukan parameter yang terbaik untuk mengukur kemajuan atau keberkesanan program kesihatan mental. Angka-angka ini berkemungkinan akan terus meningkat dalam jangka masa pendek hingga sederhana, disebabkan oleh beberapa faktor sosial termasuk tekanan ekonomi global, kos sara hidup yang meningkat, tahap pengangguran, penyalahgunaan dadah serta sifat media sosial yang berleluasa dan ketagihan. Peningkatan dalam bilangan orang yang mempunyai isu kesihatan mental juga disebabkan meningkatnya kesedaran dan kurangnya stigma mengenai dengan isu mental tersebut dan ini telah mendorong dan menggalakkan lebih ramai mendapatkan bantuan.

Yang lebih penting untuk dipantau adalah peningkatan tahap literasi kesihatan mental dan pengurangan stigma dan diskriminasi. Walaupun ini akan meningkatkan sikap mencari bantuan (help seeking behaviour), dan dengan itu bilangan orang yang akan mengakses perkhidmatan kesihatan mental juga akan meningkat, tetapi dalam jangka masa panjang dengan sokongan dan rawatan bersepadu secara biologikal, psikologikal, sosial dan kerohanian pihak Kementerian berharap ianya akan membuatkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang lebih berdaya tahan dengan kesihatan mental secara keseluruhan yang lebih baik tanpa mengira bilangan individu yang didiagnosis dengan keadaan kesihatan mental.

Sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Kesihatan untuk menyebarluaskan kesedaran tentang kesihatan mental dan isu-isu berkaitan dengannya, Jabatan Perkhidmatan Psikiatri, Jabatan Perkhidmatan Psikologi Klinikal dan Masyarakat serta Unit Strategi Kesihatan Mental di Pusat Promosi Kesihatan sentiasa giat menjalankan beberapa program-program kesihatan mental. Sasaran program ini terdiri dari pelbagai kumpulan masyarakat, terutamanya penuntut dan tenaga kerja sekolah serta institusi pengajian tinggi, tempat-tempat kerja dan masyarakat umum. Program-program ini dijalankan disepanjang tahun setiap tahun bagi meningkatkan lagi tahap literasi dan kesedaran kesihatan mental di kalangan orang ramai, agar mereka lebih peka terhadap masalah kesihatan mental dan kesejahteraan diri, lebih yakin dalam mengenalpasti tanda-tanda awal masalah kesihatan mental pada diri mereka, mengambil tahu akan perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan mental yang tersedia ada di Negara Brunei Darussalam dan dan seterusnya diharapkan akan sedikit sebanyak dapat menghapuskan stigma mengenai kesihatan mental dan kecelaruan mental di kalangan masyarakat.

Setakat ini, di bawah Unit Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan terdapat 3 program utama yang dipertanggungjawabkan untuk mempromosikan kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan di kalangan masyarakat. Program – program ini adalah:

  1. Program Brunei Bebas Buli yang disasarkan untuk semua pelajar-pelajar, dan warga sekolah-sekolah rendah dan menengah, serta institusi-institusi pengajian tinggi termasuklah guru-guru, pekerja-pekerja am dan para ibu bapa. (Pada saat ini, program yang sebelumnya dijalankan bersama pihak Kementerian Pendidikan ini sedang disemak dan diolah untuk penambahbaikan).

  2. Program i-Mind pula yang bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman orang ramai khususnya pekerja-pekerja di tempat kerja, sama ada di kalangan tempat-tempat kerja kerajaan mahupun swasta, akan kepentingan kesihatan serta kesejahteraan mental, dan jua platform perkongsian cara-cara mengamalkan penjagaan kesihatan mental dan menanai persekitaran tempat kerja yang beraura ceria, positif dan berdaya tahan. Beberapa tempat kerja kerajaan dan swasta telahpun bekerjasama dengan pihak Unit Strategi Kesihatan Mental di bawah Program i-Mind dan berjaya melaksanakan inisiatif memfokuskan penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan secara berterusan di tempat kerja masing-masing, seperti Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Baiduri Bank Sdn Bhd., Brunei Gas Carriers dan AITI. Antara pencapaian yang positif dan amat membanggakan bagi tempat-tempat kerja ini ialah adanya inisiatif-inisiatif penggalakkan dan sokongan kewangan untuk mendapatkan bantuan kesihatan mental (di klinik-klinik swasta) yang diberikan untuk semua tenaga kerja (bila-bila diperlukan) di bawah organisasi-organisasi tersebut.

  3. Program Mind Your Mind, yang juga bermatlamat sama seperti program-program yang lain untuk meningkatkan literasi kesihatan mental di kalangan masyarakat dan penduduk negara ini. Program yang mana dimulakan sebagai satu kempen kesedaran kesihatan mental pada tahun 2014 ini, sekarang telah menjalani beberapa transformasi, termasuklah dalam megem­bang­luaskan “community engagement” melalui platform media-sosial, khususnya capaian Instagram “@mindyourmind_brunei”.

Selain daripada program-program yang ditawarkan di atas, Jabatan Perkhidmatan Psikiatri, Jabatan Perkhidmatan Psikologi Klinikal dan Masyarakat serta Unit Strategi Kesihatan Mental di Pusat Promosi Kesihatan juga sering kali dijemput dan dipelawa untuk bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan bagi menganjurkan sesi taklimat, forum dan jerayawara yang bertemakan penjagaan kesihatan mental. Bilangan jemputan dari pihak-pihak berkepentingan lain ini telahpun meningkat secara berterusan, iaitu sebanyak 182% dalam tempoh 4 tahun kebelakangan ini – sejajar dengan peningkatan perhatian dan minat orang ramai terhadap topik kesihatan mental. Pada tahun 2023, sejumlah 152 aktiviti kesihatan mental telah diungkayahkan oleh ketiga-tiga jabatan dan unit ini. Pada tahun 2024 pula, jumlah aktiviti yang sama meningkat kepada 203.

Antara aktiviti-aktiviti khusus yang telah dijalankan pada tahun 2023 dan 2024 adalah termasuk:

  1. Kerjasama Kementerian Kesihatan dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) dalam menjalankan sesi taklimat, forum, pameran dan jerayawara kesihatan mental ke Pusat-Pusat Tingkatan Enam dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi di ke-empat daerah.

  2. Mengadakan Jerayawara Kesihatan Mental di tempat kerja “Kesihatan Mental Satu Hak Asasi” secara bergilir-gilir di setiap kementerian di Negara Brunei Darussalam, di mana setiap kementerian telah berpeluang menjadi ‘tuan rumah’ untuk program tersebut pada setiap bulan, merentas tempoh satu tahun bermula Oktober 2023 sehingga Oktober 2024.

  3. Penglibatan Kementerian Kesihatan sebagai penganjur bersama Majlis Ilmu 2024 yang membawa tema “Menangani Gejala Mental”. Kementerian Kesihatan juga diberikan kepercayaan dan dipertanggungjawabkan sebagai kurator utama pameran dan mengelolakan acara Forum Majlis Ilmu 2024.

  4. Kerjasama Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam menjalankan “Kursus Latihan Asas Kesihatan Mental bagi Pemimpin Masyarakat” selama 12 minggu untuk 20 orang Imam, Ustaz dan Daie yang terpilih.

Maklum balas yang telah diterima dari peserta-peserta program dan para hadirin acara-acara kesihatan mental yang diungkayahkan, telahpun menunjukkan trend yang memuaskan, dimana lebih dari 80% para hadirin dan peserta program merasakan objektif-objektif program tersebut telah tercapai. Maklum balas yang diterima dari pameran kesihatan mental yang dianjurkan pada acara Majlis Ilmu bulan September 2024 yang lalu juga menunjukkan bahawa lebih dari 86% para hadirin memperolehi pemahaman yang lebih baik, pandangan baharu dan pengetahuan lanjut tentang kesihatan mental selepas menghadiri pameran tersebut.

Tambahan pula, maklum balas yang diterima daripada pemimpin masyarakat yang telah ikut serta dalam Kursus Latihan Asas Kesihatan Mental yang dijalankan dari bulan Julai sehingga Oktober 2024, telah menunjukkan 70-80% dari mereka merasa yakin dan mampu untuk mengenalpasti akan kecelaruan dan masalah kesihatan mental, faham mengenai dengan faktor-faktor yang menyumbang kepada kesihatan mental, boleh menggunakan strategi penjagaan diri dalam menguruskan cabaran kesihatan mental dan tahu tentang akses kepada perkhidmatan-perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan mental yang tersedia ada di Negara Brunei Darussalam.

Alhamdulillah, susulan daripada kursus latihan ini, ada dikalangan para pemimpin masyarakat tersebut telah mengadakan inisiatif sendiri dan menjalankan “kursus asas bimbingan dan kaunseling bagi guru-guru bimbingan dan kaunseling di sekolah Arab dan sekolah Ugama di Jabatan Pengajian Islam”. Selain daripada mengajar mengenai dengan isu-isu kesihatan mental di kalangan guru-guru, warga sekolah dan murid-murid, ia juga adalah satu peluang untuk seterusnya menyebarkan lagi kesedaran mengenai dengan kesihatan mental.

Selain daripada program kesihatan mental yang telah disebutkan tadi, pihak Kementerian Kesihatan bersama dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) telah menerbitkan sebuah buku bertajuk “Amalan Penjagaan Kesejahteraan Minda dan Emosi, Buku Panduan Doa dan Zikir”. Inisiatif ini telah dibuat sebagai kesinambungan usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai dengan kepentingan salah satu rawatan kesihatan mental hendaklah berpandukan dengan Al Quran. Buku ini telah dilancarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa acara Majlis Ilmu 2024. Penerbitan buku ini telah disambut baik oleh orang ramai dan ianya telah mula diedarkan kepada para hadirin yang menyaksikan pameran Majlis Ilmu 2024. Insya Allah, buku ini akan diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris untuk kegunaan orang ramai yang lebih luas.

Pada tahun 2025 ini, Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Psikiatri, Jabatan Perkhidmatan Psikologi Klinikal dan Masyarakat serta Unit Strategi Kesihatan Mental di Pusat Promosi Kesihatan seperti biasa, akan terus berusaha untuk menjalankan program kesihatan mental. Di antara program yang telah dijalankan adalah kursus refresher untuk kakitangan yang bertugas di dalam bidang Kesihatan Mental yang telah dijalankan selama 5 minggu dari bulan Januari 2025. Ini menunjukkan keprihatinan Kementerian Kesihatan kepada warga tenaga kerja kementerian sendiri mengenai dengan kepentingan penjagaan kesihatan mental dari segi emosi dan kerohanian diri sendiri. Langkah ini diharap boleh mengurangkan risiko stres dan burnout di kalangan kakitangan di tempat kerja.

Turut dijalankan sekarang adalah “Kursus Latihan Asas Kesihatan Mental untuk Perawat Islam (Perantis SkiPPA)” yang ditempatkan di hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan. Kursus ini adalah merupakan kesinambungan kursus latihan yang dilaksanakan sebelum ini dan diadakan sebagai platform untuk menyebarluaskan kepentingan menangani isu-isu kesihatan mental dengan menggunakan cara rawatan bersepadu, iaitu menggunakan terapi perubatan dan terapi keagamaan (termasuk terapi Zikir, Al-Qur’an dan Sembahyang).

Pada tahun ini juga, insya Allah satu program kesihatan mental “S.T.A.R REACH” yang khususnya disasarkan untuk para anak – anak dan orang muda yang sedang atau/dan akan mengalami peralihan kehidupan (life transition stage), sebagai contoh untuk pelajar sekolah menengah yang akan ke memasuki Universiti, atau alam pekerjaan, dan seterusnya. Program ini diharapkan akan dapat membantu anak-anak muda menyiapkan diri mereka untuk menempuh apa pun cabaran kehidupan, menyesuaikan diri dan ekspektasi mereka, serta membina kepercayaan diri dan kedayatahanan diri.

Pihak Kementerian Kesihatan akan sentiasa memantau maklum balas dari apa-apa program dan inisiatif yang dijalankan. Dengan ini, diharap ianya akan memberi pandangan dari segi tahap literasi kesihatan mental orang ramai, penilaian keberkesanan program-program dan inisiatif-inisiatif yang dijalankan in, serta tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan cadangan-cadangan penambahbaikan dari orang ramai. Sepertimana yang ditegaskan sebelum ini, Mental Health is Everyone’s Business, justeru itu pendekatan “Whole-of-Nation” dalam memastikan keberkesanan apa jua usaha dan inisiatif Kementerian Kesihatan untuk menjadikan masyarakat dan penduduk Negara Brunei Darussalam mempunyai kesihatan mental yang optima dan berdaya tahan adalah sangat penting dan diambil berat.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.