Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT114
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman
YANG BERHORMAT AWANG HAJI MOHD. SALLEH BIN HAJI OTHMAN meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan kajian atau penilaian berkala yang dilaksanakan bagi mengukur tahap kepuasan kerja, kesejahteraan dan keseimbangan kehidupan-pekerjaan dalam kalangan penjawat awam, serta apakah langkah intervensi dirancang bagi menangani isu yang dikenal pasti?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Pihak Jabatan Perdana Menteri mengambil baik cadangan mengenai pelaksanaan kajian atau penilaian yang menyeluruh dan berkala. Pendekatan sedemikian sememangnya dapat menyokong usaha memperoleh gambaran yang lebih lengkap mengenai pengalaman warga Perkhidmatan Awam di tempat kerja, di samping membantu mengenal pasti isu dan keperluan serta bentuk intervensi yang bersesuaian.
Setakat ini, belum terdapat satu kajian berkala yang dilaksanakan secara menyeluruh di Perkhidmatan Awam yang secara khusus mengukur ketiga-tiga aspek berkenaan, iaitu kepuasan kerja, kesejahteraan dan keseimbangan kehidupan-pekerjaan. Walau bagaimanapun, maklumat dan petunjuk berkaitan keadaan penjawat awam diperoleh melalui beberapa mekanisme sedia ada, termasuk sistem pengurusan prestasi, penilaian organisasi, perkhidmatan kaunseling, program sokongan rakan sekerja dan mekanisme aduan dalaman.
Antaranya ialah Sistem Pengurusan Prestasi Perkhidmatan Awam yang membolehkan prestasi pegawai dinilai secara lebih sistematik dan objektif berdasarkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama atau KPI kompetensi yang diperlukan dalam melaksanakan peranan masing-masing, dan disokong oleh pemantauan pencapaian hasil yang dilaksanakan mengikut kitaran sistem penilaian prestasi. Walaupun penilaian prestasi tersebut bukanlah ukuran langsung terhadap tahap kepuasan kerja atau kesejahteraan pegawai, hasilnya dapat membantu mengenal pasti tahap pencapaian dan kompetensi, cabaran dalam pelaksanaan tugas serta keperluan sokongan, latihan dan pembangunan pegawai, dan juga boleh menjadi salah satu indikator untuk mengenal pasti isu-isu yang berpotensi menjejaskan prestasi, kesejahteraan dan produktiviti pegawai, sekali gus membantu mengenal pasti intervensi dan sokongan yang diperlukan.
Dalam masa yang sama, dapatan berkenaan juga menjadi antara asas bagi pengurusan bakat dan kemajuan kerjaya, termasuk pertimbangan kenaikan pangkat, peluang memangku jawatan, penempatan dan penyertaan dalam program pembangunan kepimpinan seperti Civil Service Leadership Pipeline.
Penilaian berkala juga dilaksanakan terhadap agensi di bawah program 3PSA melalui skop sumber tenaga manusia yang menitikberatkan keperluan organisasi untuk mewujudkan amalan budaya berpasukan dan persekitaran kerja yang harmoni, antaranya adalah mustahak bagi agensi kerajaan untuk melaksanakan kajian tahap kepuasan warga kerja masing-masing, menubuhkan Jawatankuasa dalaman dan melaksanakan program yang berunsurkan keugamaan, kemasyarakatan, dan kesukanan seperti contoh program Workplace and Health (WAH), iaitu inisiatif Kementerian Kesihatan juga menjadi salah satu kriteria penilaian di bawah skop 3PSA.
Dari aspek kesejahteraan dan sokongan psikososial, Jabatan Perkhidmatan Awam juga menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuklah perkhidmatan kaunseling melalui Bahagian Perkhidmatan Kaunseling. Gambaran umum mengenai isu yang dikendalikan melalui perkhidmatan tersebut boleh memberikan petunjuk mengenai perkara-perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut di peringkat Kementerian dan Jabatan.
Selain itu, sokongan awal di tempat kerja turut diperkukuh melalui Program Rakan Musaaid Perkhidmatan Awam yang mana melatih pegawai-pegawai terpilih daripada kementerian dan jabatan dengan kemahiran asas kaunseling bagi membolehkan mereka mendekati serta memberikan sokongan awal kepada rakan sekerja yang memerlukan.
Dalam masa yang sama, mekanisme pengendalian aduan dalaman juga penting untuk mencegah dan menangani unsur-unsur negatif yang boleh menjejaskan kesejahteraan warga kerja. Usaha ini didukung melalui penyediaan garis panduan yang berkaitan, termasuk Garis Panduan Menangani Gangguan di Tempat Kerja yang alhamdulillah telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam pada tahun 2025.
Dalam pada itu, Negara Brunei Darussalam terus memperkukuh dasar dan amalan terbaik berkaitan kesihatan mental dan kesejahteraan penjawat awam melalui kerjasama serantau, termasuklah penganjuran bengkel bertajuk Strengthening Government Strategies on Mental Health and Well-Being towards Work-Life Balance in the Public Sector pada tahun 2024. Usaha tersebut seterusnya menyumbang kepada penghasilan 'ASEAN Statement on Strengthening Government Strategies on Mental Health and Well-Being Towards Achieving Work-Life Balance in Public Sector'.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.