Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT104
SOALAN
Yang Berhormat Awang Lau How Teck
YANG BERHORMAT AWANG LAU HOW TECK meminta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan sejauh manakah institusi pengajian tinggi telah menginstitusikan mekanisme bagi mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan melalui kerjasama strategik dengan industri, supaya penyelidikan yang dibiayai mampu diterjemahkan kepada inovasi, perusahaan dan pertumbuhan ekonomi negara?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Institusi pengajian tinggi awam telah mewujudkan dan sedang memperkukuh mekanisme untuk membawa hasil penyelidikan ke arah pengkomersialan. Walaupun tahap kematangannya berbeza antara institusi, usaha ini dilaksanakan melalui pengukuhan tadbir urus dan harta intelek, pembangunan teknologi, kerjasama dengan industri serta sokongan pembiayaan dan keusahawanan.
Pertama, dari aspek tadbir urus dan laluan pengkomersialan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) sedang memperkukuh UBD Commercialisation Pathway dan Innovation Hub bagi menyelaras perlindungan harta intelek, pembangunan dan pemindahan teknologi serta penubuhan syarikat terbitan (spin-off). Universiti Teknologi Brunei (UTB) pula mempunyai mekanisme daripada pembangunan bukti konsep dan prototaip kepada validasi bersama industri, demonstrasi teknologi dan seterusnya pelesenan atau pembangunan perusahaan. Di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), asas pengkomersialan sedang diperkukuh melalui Dasar Harta Intelek Universiti, Jawatankuasa Harta Intelek dan pengurusan aset intelek.
Kedua, dari aspek pembangunan teknologi dan harta intelek, UBD telah memfailkan lebih daripada 70 paten, dengan sebahagian teknologi mencapai Technology Readiness Level (TRL) 4. Setakat ini, satu teknologi telah berjaya dilesenkan kepada industri, manakala beberapa teknologi lain sedang dinilai untuk pembangunan lanjut. UTB mempunyai sembilan harta intelek berdaftar, meliputi paten, reka bentuk perindustrian, rahsia perdagangan dan hak cipta, manakala UNISSA telah mengenal pasti beberapa hasil penyelidikan untuk perlindungan harta intelek sebagai persediaan ke arah pengkomersialan.
Ketiga, kerjasama strategik dengan industri terus diperluaskan bagi memastikan penyelidikan mempunyai kegunaan dan potensi pasaran. Antara contoh di UBD ialah pembangunan teknologi Smart Coating, Brunei Aquaculture Innovation Centre serta kerjasama dengan Brunei Shell Petroleum dan Shell LiveWIRE Brunei.
UTB turut melaksanakan penyelidikan bersama industri dan agensi Kerajaan bagi menguji dan mengesahkan teknologi dalam persekitaran sebenar, manakala UNISSA memperluaskan kerjasama penyelidikan bagi menghasilkan penyelesaian yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi.
Keempat, sokongan pembiayaan dan pembangunan perusahaan disediakan melalui geran penyelidikan dalaman dan strategik serta sumber pembiayaan seperti CREATES, ASEAN-IVO dan matching grants. Sokongan turut merangkumi bimbingan keusahawanan, penilaian pasaran, pelesenan dan pembangunan syarikat terbitan atau syarikat pemula niaga mengikut kesesuaian teknologi.
Secara keseluruhannya, mekanisme pengkomersialan di institusi pengajian tinggi awam telah dibangunkan pada pelbagai peringkat, daripada perlindungan harta intelek dan pembangunan teknologi sehingga kepada kerjasama industri, pelesenan dan pembangunan perusahaan. Namun, sebahagian inisiatif masih dalam peringkat pembangunan dan keberkesanan mekanisme tersebut akan terus dinilai berdasarkan hasil pengkomersialan yang dicapai.
Kementerian Pendidikan akan terus bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk memperkukuh ekosistem ini supaya pelaburan dalam penyelidikan dapat diterjemahkan kepada teknologi dan inovasi yang boleh dimanfaatkan, peluang perusahaan dan pekerjaan berkemahiran tinggi serta sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara, selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.