Skip to main content
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/Jawapan-Bagi-Pertanyaan-Jawab-Tulis-MMN22_2.pdf

Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT098

SOALAN

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA LAILA SETIA DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI IBRAHIM meminta MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI menyatakan jumlah yang telah mengikuti program upskilling seperti AI-Ready ASEAN Programme 2025, adakah sasaran melatih kemahiran asas AI, literasi digital dan kesedaran etika tercapai, khususnya bagi pekerja-pekerja yang terjejas oleh penggunaan AI? Adakah sudah dikenal pasti pekerja yang terkesan dan pihak manakah dipertanggungjawabkan menilai keberkesanan program ini?

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

Dari sudut pandangan kementerian ini, soalan ini menyentuh bukan sahaja mengenai pencapaian program latihan AI yang telah dilaksanakan, tetapi juga bagaimana Kerajaan memastikan tenaga kerja tempatan bersedia menghadapi perubahan dalam dunia pekerjaan yang dibawa oleh perkembangan AI. Dalam hubungan ini, terdapat empat perkara yang ingin dikongsikan.

Pertama, dari segi pencapaian program pembangunan kemahiran AI, antara usaha yang telah dilaksanakan ialah AI-Ready ASEAN Programme 2025 yang dilaksanakan oleh ASEAN Foundation dengan sokongan Google.org, dengan kerjasama Universiti Teknologi Brunei dan Projek Big BWN. Program ini memberi tumpuan kepada kemahiran asas AI, literasi digital dan penggunaan AI secara bertanggungjawab.

Bagi Negara Brunei Darussalam, program ini menyasarkan 20,000 orang, dan berdasarkan laporan pencapaian yang diterima, seramai 8,436 orang telah menyertainya setakat ini, iaitu kira-kira 42 peratus daripada sasaran. Ini menunjukkan penyertaan yang menggalakkan, namun sasaran keseluruhan masih belum tercapai. Oleh itu, usaha untuk memperluaskan penyertaan dan memastikan lebih ramai rakyat mempunyai asas pengetahuan dan kemahiran AI perlu diteruskan.

Kedua, berhubung dengan pekerja yang terkesan oleh penggunaan AI, setakat ini belum ada kajian rasmi dijalankan di Negara Brunei Darussalam untuk mengenal pasti secara khusus kumpulan pekerja yang mengalami kehilangan pekerjaan secara langsung dan ketara akibat penggunaan AI.

Walau bagaimanapun, dapatan dan laporan antarabangsa memberikan gambaran bahawa kesan AI terhadap pasaran pekerjaan lebih banyak berlaku melalui perubahan sifat pekerjaan dan peningkatan keupayaan pekerja (augmentation), berbanding penggantian pekerjaan secara menyeluruh. Sebagai contoh, dapatan ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) serta kajian kerjasama Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), “Labour Market Exposure to AI: From GenAI to Future AGI” yang diterbitkan pada November 2025, menunjukkan bahawa tahap pendedahan kepada AI adalah berbeza mengikut sektor dan jenis pekerjaan. Dalam konteks ini, sektor seperti pentadbiran, pekerjaan perkeranian, kewangan dan perkhidmatan antara yang mempunyai pendedahan lebih tinggi kepada risiko automasi.

Pada masa yang sama, laporan Bank Dunia mengenai rantau Asia Timur dan Pasifik menunjukkan bahawa AI berpotensi meningkatkan produktiviti serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu, di samping mengubah keperluan kemahiran dalam pekerjaan sedia ada. Justeru, cabaran utama bukan semata-mata mengenai penggantian pekerjaan, tetapi memastikan tenaga kerja mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

Atas dasar itu, pendekatan Kerajaan adalah untuk tidak menunggu sehingga berlaku kehilangan pekerjaan secara ketara sebelum bertindak. Sebaliknya, kita perlu mengenal pasti lebih awal sektor dan jenis pekerjaan yang mempunyai tahap pendedahan lebih tinggi kepada AI, memahami jurang kemahiran yang mungkin timbul, dan menyediakan peluang upskilling dan reskilling yang bersesuaian.

Ketiga, dari segi respons dan hala tuju dasar Kerajaan, kita sedang bergerak daripada pendekatan literasi AI secara umum kepada pembangunan keupayaan tenaga kerja yang lebih tersasar. Melalui Strategi Data dan Kecerdasan Buatan (Data and Artificial Intelligence Strategy) di bawah Digital Brunei 2030, pembangunan bakat dan keupayaan AI akan terus diperkukuhkan, termasuk melalui program seperti Bru.N.A.I serta usaha upskilling dan reskilling dalam penggunaan data dan teknologi AI.

Tumpuan bukan sahaja kepada pengetahuan asas AI, tetapi kepada kemahiran yang mempunyai nilai sebenar kepada pekerjaan, termasuk penyediaan latihan dan pensijilan yang dapat meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta membantu pencari pekerjaan dan pekerja menyesuaikan diri dengan keperluan industri yang berubah.

Dalam masa yang sama, pembangunan kemahiran AI perlu berjalan seiring dengan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab. Sehubungan itu, usaha pembangunan keupayaan ini turut disokong melalui Guide on AI Governance and Ethics for Brunei Darussalam, GenAI School Handbook yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan, serta pelaksanaan Personal Data Protection Order (PDPO) bagi memperkukuh aspek etika, ketelusan, akauntabiliti dan perlindungan data.

Keempat, dari segi pemantauan dan penilaian keberkesanan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui AITI akan memainkan peranan sebagai peneraju dasar dan penyelaras dalam agenda pembangunan keupayaan AI, dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan, pihak industri dan institusi akademik.

Penilaian keberkesanan juga tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah peserta yang mengikuti latihan. Sebaliknya, kita perlu melihat sejauh mana kemahiran yang diperoleh benar-benar digunakan dalam pekerjaan, peningkatan kebolehpasaran pekerja, keberkesanan program upskilling dan reskilling, serta kesesuaian latihan dengan keperluan sebenar industri.

Sehubungan itu, Kementerian akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk memperkukuh pemahaman berasaskan data mengenai sektor dan jenis pekerjaan yang terdedah kepada perubahan akibat AI, jurang kemahiran yang perlu ditangani serta keperluan tenaga kerja pada masa hadapan. Ini akan membantu memastikan pendekatan pembangunan kemahiran negara dapat disesuaikan dengan perubahan sebenar dalam pasaran pekerjaan.

Dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja mengukur berapa ramai yang telah dilatih, tetapi yang lebih penting, sejauh mana latihan tersebut benar-benar meningkatkan keupayaan, kebolehpasaran dan daya tahan tenaga kerja tempatan.

Oleh itu, AI bukan sekadar agenda teknologi, tetapi juga merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan tenaga kerja dan ekonomi negara. Matlamat kita adalah untuk memastikan tenaga kerja tempatan bukan sahaja bersedia menghadapi perubahan yang dibawa oleh AI, tetapi mempunyai kemahiran untuk bekerja bersama teknologi, menyesuaikan diri dengan perubahan dan merebut peluang baharu yang diwujudkan oleh ekonomi digital.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.