Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT103
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman meminta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyatakan pandangan berkenaan keadaan masa ini di mana belia berhadapan dengan berbagai cabaran seperti pekerjaan, keperluan harian, persaingan, dan bermacam lagi dan bagaimana Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menangani belia agar mempunyai jati diri yang tinggi, berpendidikan, berupaya menyumbang kepada negara, resourceful dan productive?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
Dalam melahirkan generasi belia yang mempunyai jati diri yang tinggi, berpendidikan dan berkemahiran serta berupaya menyumbang kepada negara serta resourceful dan productive, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) berpandangan bahawa pembangunan belia perlu dilaksanakan secara holistik dan berterusan. Dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa termasuk pekerjaan, peningkatan keperluan kehidupan dan persaingan yang semakin mencabar, belia bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga perlu dilengkapi dengan nilai, disiplin, daya tahan, kebolehsuaian, keyakinan diri dan keupayaan untuk mencipta serta memanfaatkan peluang.
Sehubungan itu, pendekatan KKBS dalam pembangunan belia tidak hanya tertumpu kepada satu aspek atau satu program tertentu, tetapi merangkumi pembangunan jati diri dan sahsiah, kepimpinan, kemahiran dan kebolehpasaran, daya tahan serta keupayaan berdikari. Pendekatan ini dilaksanakan melalui beberapa platform antaranya Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Pusat Pembangunan Belia (PPB), Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), serta program-program pembangunan jati diri melalui Jabatan Belia dan Sukan.
Pertama, melalui Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), para peserta diberikan pendedahan yang menekankan pembentukan disiplin, jati diri, semangat patriotisme, kepimpinan, kerja berpasukan dan daya tahan. Aspek-aspek ini penting dalam membentuk belia yang lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan dan alam pekerjaan, termasuk dari segi disiplin, komunikasi, tanggungjawab serta keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berbeza. Pelaburan Kerajaan dalam program ini merupakan sebahagian daripada usaha pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi belia yang berdaya tahan, bertanggungjawab dan berdaya saing.
Kedua, melalui Pusat Pembangunan Belia (PPB), tumpuan diberikan kepada pembangunan kemahiran teknikal, vokasional dan keusahawanan bagi meningkatkan keupayaan belia untuk memasuki alam pekerjaan ataupun meneroka peluang untuk berdikari. Bagi tempoh 2022 hingga 2024, kadar kebolehpasaran lepasan PPB adalah sebanyak 84.5 peratus, iaitu 222 daripada 263 orang, yang menunjukkan hasil positif daripada pendekatan latihan berasaskan kemahiran dan keperluan pekerjaan.
Ketiga, melalui Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), pembangunan belia diberikan penekanan melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan cabaran, atau outdoor experiential learning. Pendekatan ini membantu memperkukuh aspek kepimpinan, daya tahan mental dan fizikal, keyakinan diri, penyelesaian masalah serta semangat kerja berpasukan. Kemahiran-kemahiran ini semakin penting dalam membentuk belia yang mampu menyesuaikan diri, membuat keputusan dan menghadapi cabaran dengan lebih yakin.
Keempat, melalui program-program pembangunan jati diri yang dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan, penekanan diberikan kepada pengukuhan nilai integriti, disiplin, patriotisme, tanggungjawab serta kesedaran sosial dalam kalangan belia. Sepanjang tahun 2026, sebanyak 20 program telah dilaksanakan dengan penglibatan seramai 1,178 orang belia, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membentuk belia yang berprinsip, bertanggungjawab dan bersedia memainkan peranan positif dalam masyarakat.
Dengan pendekatan ini, pembangunan belia tidak hanya dilihat dari sudut mendapatkan pekerjaan, tetapi juga bagaimana mereka dapat menjadi individu yang berdikari, berdaya usaha, mampu menyelesaikan masalah, mencipta peluang dan memberikan nilai tambah kepada masyarakat serta negara.
Dalam masa yang sama, pembangunan belia merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan kementerian dan agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta, keluarga, masyarakat serta belia itu sendiri. Setiap pihak mempunyai peranan dalam menyediakan pendidikan, latihan, peluang, bimbingan dan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan potensi belia berkembang secara optimum.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.