Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT100
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman meminta Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri menyatakan usaha yang diambil untuk menarik lebih banyak pelaburan luar asing ke Negara ini? Pada masa tidak banyak yang kita dengar mengenai kemasukan pelaburan baru ke Negara ini sedangkan kita banyak potensi dan pulangannya kepada Negara adalah jelas.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri
Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) akan terus melaksanakan peranan sebagai pusat rujukan, dan dalam menyelaras serta memudahcara kemajuan projek-projek FDI, dari fasa penerokaan komersial dan perancangan, hingga ke fasa pembinaan, pengoperasian dan perkembangan perniagaan (business expansion).
Di samping itu, BEDB terus mempromosikan NBD sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing, serta mengenal pasti dan memudah cara kemasukan projek pelaburan langsung asing (FDI) yang disasarkan dan berkualiti.
Usaha berkenaan memberi tumpuan kepada lima sektor utama yang dikenal pasti dan berpotensi termasuk:
- Industri Hiliran Minyak dan Gas;
- Sektor Pemakanan, termasuk pemprosesan makanan, akuakultur dan ternakan;
- Sektor Perkhidmatan;
- Sektor Info-Komunikasi dan Teknologi; dan
- Sektor Pelancongan.
BEDB juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan dalam membangun dan menjayakan projek-projek FDI di negara ini melalui:
-
Mengumpul dan menyediakan maklumat kritikal berkaitan dengan keperluan projek seperti tarif utiliti, tapak dan tenaga kerja untuk dikongsikan dengan syarikat pelabur asing;
-
Memantau dan memberikan sokongan dalam pelaksanaan projek FDI termasuk yang melibatkan kerja-kerja pembinaan, permohonan mendapatkan permit-permit yang berkaitan, mengenal pasti peluang-peluang perkembangan perniagaan secara komersial dan peluang-peluang kolaborasi dengan syarikat-syarikat swasta tempatan menerusi FDI-SME Linkage; dan
-
Memudahcara aktiviti dan operasi syarikat FDI termasuk membantu pelaksanaan eksport produk-produk syarikat FDI ke pasaran luar yang disasarkan dan dikenalpasti.
Keutamaan dan penumpuan akan dijurus kepada projek-projek pelaburan yang mempunyai nilai ekonomi yang berkualiti. Projek-projek FDI dinilai dari segi sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peluang pekerjaan untuk anak tempatan, eksport, pemindahan teknologi dan pengetahuan, perkembangan perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS), imbangan perdagangan serta kesesuaiannya dengan Brunei Economic Blueprint dan hala tuju pembangunan industri negara.
Setakat 30 Jun 2026, sebanyak 26 syarikat FDI telah mula beroperasi dengan nilai pelaburan keseluruhan kira-kira USD5.9 bilion. Projek-projek tersebut telah mewujudkan sebanyak 4,166 pekerjaan, di mana 2,090 atau sekitar 50 peratus telah diisi oleh anak-anak tempatan.
Pada masa yang sama, BEDB sedang memudahcara 23 projek FDI dalam fasa pelaksanaan dengan anggaran pelaburan sebanyak USD5.62 bilion. Projek-projek tersebut dijangka akan mula beroperasi secara berperingkat sehingga tahun 2030 dan diunjurkan akan mewujudkan kira-kira 3,300 peluang pekerjaan.
Maklumat pelaburan dan projek FDI yang telah beroperasi dan akan dilaksanakan telah diberitakan dengan kerjasama pihak Radio Televisyen Brunei (RTB), media tempatan dan melalui media sosial seperti BizBrunei yang merupakan platform media utama yang dikendalikan oleh pihak BEDB dengan jumlah followers yang tinggi. Di samping itu, maklumat berkenaan FDI ini juga disalurkan melalui penyertaan dalam ekspo di dalam dan di luar negara, bagi meningkatkan kefahaman dan keyakinan orang ramai serta komuniti pelabur terhadap kemajuan usaha kepelbagaian ekonomi negara.
Sebagai tambahan lagi, salah satu usaha yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri bagi memperkukuhkan daya tarikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelaburan ialah melalui pemuktamadan pindaan kepada Investment Incentives Order, 2001 (IIO 2001) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pihak Kementerian untuk memastikan rangka kerja insentif pelaburan negara kekal relevan, responsif dan berdaya saing selaras dengan perkembangan ekonomi dan landskap pelaburan global.
Pindaan ini bertujuan memastikan mekanisme insentif negara terus menyokong pembangunan sektor-sektor strategik dan industri berpotensi tinggi, di samping memperkukuhkan tadbir urus melalui penambahbaikan proses penilaian, pemantauan pelaksanaan projek serta pematuhan terhadap syarat-syarat kelulusan.
Pendekatan ini membolehkan Kerajaan menilai impak pelaburan secara lebih menyeluruh, termasuk dari aspek pembangunan industri, pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan modal insan, pemindahan teknologi dan sumbangannya kepada ekonomi domestik.
Di samping itu, Kementerian turut mengambil kira amalan terbaik antarabangsa, penanda aras serantau serta maklum balas daripada pihak berkepentingan bagi memastikan dasar insentif negara terus menyokong pelaburan berkualiti, memperkukuhkan daya saing negara serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.