Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT102
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI SUYOI BIN HAJI OSMAN meminta MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI menyatakan langkah yang diambil bagi mengimbangi keperluan mengambil pekerja asing ke Negara ini bagi projek-projek pembangunan, dengan kawalan yang dikenakan agar kedatangan pekerja asing tidak akan menepikan peluang-peluang pekerjaan dan ekonomi penduduk tempatan di Negara ini. Dikhuatiri kedatangan banyak pekerja asing jika tidak dikawal akan menyebabkan kebergantungan yang berterusan.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
Sepertimana jua yang telah dikongsikan secara terperinci semasa Sesi Pertanyaan Jawab Lisan pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kedua Puluh Dua Majlis Mesyuarat Negara pada 9 Ogos 2026 yang lalu, berdasarkan Banci Majikan dan Pekerja 2025, seramai 148,129 orang bekerja dalam sektor swasta, terdiri daripada 66,116 pekerja tempatan atau 45 peratus dan 82,013 orang pekerja asing atau 55 peratus. Lima (5) sektor yang mencatatkan kebergantungan tertinggi kepada pekerja asing ialah:
- Sektor Pembinaan sebanyak 82 peratus (21,611 orang) pekerja asing berbanding 18 peratus (4,714 orang) pekerja tempatan.
- Ini diikuti dengan Sektor Pertanian, Perhutanan dan Perikanan sebanyak 75 peratus iaitu (3,888 orang) pekerja asing berbanding dengan 25 peratus (1,263 orang) pekerja tempatan.
- Sektor Lain-Lain Aktiviti Perkhidmatan sebanyak 69 peratus (2,877 orang) pekerja asing berbanding dengan 31 peratus (1,291 orang) pekerja tempatan.
- Sektor Aktiviti Penginapan dan Perkhidmatan Makanan sebanyak 67 peratus (13,938 orang) pekerja asing berbanding dengan 33 peratus (6,953 orang) pekerja tempatan.
- Sektor Pembuatan sebanyak 63 peratus (8,272 orang) pekerja asing berbanding dengan 37 peratus (4,962 orang) pekerja tempatan.
Analisis menunjukkan bahawa 22 peratus (4,224 orang) daripada jumlah 19,183 pekerja tempatan memegang jawatan di peringkat pengurusan, sebagai pengarah syarikat, managing director dan general manager, manakala 38 peratus (19,051 orang) daripada 50,586 pekerja asing tertumpu kepada pekerjaan di peringkat perburuhan. Oleh itu, walaupun masih terdapat ruang untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan, pendekatan yang diambil tidak boleh berasaskan penggantian pekerja asing secara langsung semata-mata. Sebaliknya, ia perlu mengambil kira kesediaan tenaga kerja tempatan, kesesuaian kemahiran serta usaha meningkatkan kualiti pekerjaan yang ditawarkan.
Ke arah itu, Kerajaan memberikan tumpuan kepada tiga strategi utama:
Pertama, strategi mengutamakan pengambilan anak tempatan melalui penelitian permohonan Clearance Letter dan perkhidmatan pemadanan pekerjaan oleh Pusat Pekerjaan Brunei.
Kedua, strategi membangunkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri. Sejak pelaksanaannya pada tahun 2017 hingga 30 Jun 2026, Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan telah memperkenalkan 17 program pembangunan tenaga manusia dalam bidang seperti HSE, perakaunan, sumber manusia dan allied health. Program-program ini telah disertai oleh seramai 16,158 orang anak tempatan yang terdiri daripada 15,230 orang pencari kerja dan 928 adalah mereka yang sudah bekerja.
Alhamdulillah, dari jumlah 15,230 orang pencari kerja tempatan tersebut, seramai 13,839 orang telah menamatkan program-program berkenaan, manakala 1,391 orang selebihnya masih aktif menjalani program-program yang dijalankan.
Dari jumlah 13,839 orang yang telah tamat program-program berkenaan:
- Seramai 8,290 orang (atau 60 peratus) telah memperoleh pekerjaan;
- 317 orang lagi (atau 2 peratus) sedang melanjutkan pengajian tinggi;
- 2,884 orang (atau 21 peratus) masih aktif mencari pekerjaan melalui portal Pusat Pekerjaan Brunei; dan
- Manakala, 2,348 orang (atau 17 peratus) tidak mempunyai rekod pekerjaan terkini di Tabung Amanah Pekerja; rekod pencarian pekerjaan terkini di Pusat Pekerjaan Brunei; mahu pun kemasukan (enrollment) terkini di dalam institusi pengajian tinggi tempatan, pembiayaan biasiswa keluar negeri, atau Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan.
Ketiga, strategi menyediakan dasar gaji minimum di sektor swasta. Pihak Kerajaan telah melaksanakan Perintah Pekerjaan (iaitu Upah Minimum) secara berperingkat sebagai langkah untuk mengelakkan para pekerja dalam sektor-sektor tertentu dibayar gaji yang terlalu rendah. Pelaksanaan dasar ini akan diteliti dari masa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan fasa seterusnya mengambil kira pengajaran dan iktibar daripada Fasa 1 dan Fasa 2, serta diperkukuhkan agar pelaksanaannya lebih berkesan dan selaras dengan impak yang dihasratkan.
Secara keseluruhannya, strategi Kerajaan adalah untuk memberikan keutamaan yang lebih strategik kepada tenaga kerja tempatan, sambil memastikan keperluan tenaga kerja industri terus dipenuhi dan produktiviti negara tidak terjejas. Kejayaan tidak hanya akan diukur berdasarkan peratus pekerja tempatan, tetapi juga melalui peningkatan kadar penempatan dan pengekalan pekerjaan, tahap kemahiran, produktiviti, pendapatan serta bilangan anak tempatan yang berjaya membina kerjaya mampan dalam sektor-sektor utama negara. Insha Allah, strategi-strategi berkenaan akan diteliti keberkesanannya dari masa ke semasa.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.