Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT090 & PT093
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub
YANG BERHORMAT AWANG HAJI MOHAMAD DANIAL @ TEKPIN BIN YA'AKUB meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan apakah keutamaan strategik kerajaan yang akan diberi tumpuan dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan sasaran wawasan tersebut dapat dicapai sepenuhnya? Adakah Kerajaan bercadang melaksanakan semakan pertengahan (mid-term review) Wawasan Brunei 2035 dengan indikator yang lebih terukur?
YANG BERHORMAT AWANG HAJI MOHAMAD DANIAL @ TEKPIN BIN YA'AKUB meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan bagaimanakah kementerian-kementerian menyelaras pelaksanaan KPI bagi mengelakkan pertindihan program dan pembaziran sumber? Apakah mekanisme pemantauan yang digunakan untuk memastikan setiap pelan tindakan kementerian mencapai hasil yang ditetapkan?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Untuk makluman, tumpuan kerajaan dalam tempoh menuju tahun 2035 adalah untuk memastikan pelaksanaan keutamaan-keutamaan negara terus diperkukuh dan disejajarkan kepada tiga Matlamat Wawasan Brunei 2035. Keutamaan-keutamaan ini menjadi rujukan bersama dalam memandu dasar, strategi dan pelaksanaan kementerian dan agensi supaya usaha pembangunan negara lebih berfokus kepada Hasil-Hasil Pencapaian Kebangsaan yang dihasratkan.
Dalam hal ini, Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 menjadi rujukan strategik bersama bagi memperkukuh pensejajaran antara matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035, Keutamaan-Keutamaan Negara, Hasil-Hasil Pencapaian Kebangsaan dan Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan (KPI Kebangsaan). Kerangka ini turut menjadi asas kepada penyelarasan whole of government supaya perancangan dan pelaksanaan di semua kementerian dan agensi saling melengkapi ke arah hasil yang sama.
Di peringkat kementerian dan agensi, pelan strategik, program, projek dan KPI masing-masing perlu disejajarkan kepada Hasil-Hasil Pencapaian Kebangsaan yang berkaitan. Pensejajaran ini penting bagi:
- Memperkukuh penyelarasan merentas kementerian;
- Mengenal pasti bidang yang memerlukan kerjasama bersama;
- Mengurangkan pertindihan usaha; dan
- Memastikan sumber kerajaan di tumpukan kepada hasil yang telah ditetapkan.
Berhubung cadangan semakan pertengahan (Mid-Term Review, MTR), Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 sememangnya diteliti dari semasa ke semasa bagi mengambil kira perubahan keutamaan negara serta perkembangan global, termasuk perkembangan teknologi, perubahan iklim, sosial dan demografi, ekonomi serta geopolitik. Penelitian ini turut memberi ruang untuk menilai semula keutamaan dan KPI yang berkaitan supaya kemajuan menuju Wawasan Brunei 2035 dapat dinilai secara lebih jelas dan berasaskan hasil.
Keutamaan-keutamaan negara telah dikenal pasti merangkumi bidang-bidang utama di bawah ketiga-tiga Matlamat Wawasan Brunei 2035. Perincian keutamaan mengenai keutamaan-keutamaan tersebut adalah sebagaimana yang telah dihuraikan dalam Kenyataan Menteri mengenai Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 pada hari keempat persidangan Mesyuarat Kedua Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara. Keutamaan-keutamaan ini seterusnya memandu pensejajaran usaha serta penetapan hasil yang hendak dicapai di peringkat negara.
Pada masa ini, pencapaian Wawasan Brunei 2035 dinilai melalui KPI Kebangsaan yang memberikan gambaran mengenai kemajuan Hasil-Hasil Pencapaian Kebangsaan. Maklumat kemajuan ini seterusnya menjadi asas bagi pertimbangan strategik di peringkat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035, manakala pemantauan pelaksanaan program, pelan tindakan dan KPI di peringkat kementerian dan agensi melalui mekanisme masing-masing.
Melalui pensejajaran ini, pelaksanaan dan pencapaian di peringkat kementerian dan agensi dapat dikaitkan dengan keutamaan serta Hasil Pencapaian Kebangsaan. Pensejajaran ini memperkukuh penilaian kemajuan Wawasan Brunei 2035 secara menyeluruh, khususnya dalam mengenal pasti jurang pelaksanaan, bidang yang memerlukan penyelarasan lanjut serta tindakan penambahbaikan yang bersesuaian.
Dengan pendekatan ini, tumpuan bukan sahaja diberikan kepada penetapan keutamaan dan sasaran, tetapi juga kepada penyelarasan pelaksanaan dan pencapaian hasil supaya usaha serta sumber kerajaan dapat memberikan impak yang nyata kepada rakyat dan penduduk serta pembangunan negara.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.