Skip to main content
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/Jawapan-Bagi-Pertanyaan-Jawab-Tulis-MMN22_2.pdf

Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT094 & PT115

SOALAN

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA LAILA SETIA DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI IBRAHIM meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan selain mengadakan program PKBN, latihan-latihan kepimpinan / jati diri, serta peningkatan kemahiran, apakah terdapat perancangan JPM untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif baru bagi menangani dan memperbaiki isu mindset dalam Perkhidmatan Awam, kerana isu ini sering dikaitkan dengan soal produktiviti, efficiency, kecekapan bertindak, disiplin kerja, dan delivery system dalam pemberian perkhidmatan kepada orang ramai.

Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman

YANG BERHORMAT AWANG HAJI MOHD. SALLEH BIN HAJI OTHMAN meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan tekanan kerja dan isu kesihatan mental yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan produktiviti penjawat awam serta apakah strategi proaktif Kementerian menanganinya, termasuk program sokongan, intervensi awal dan mekanisme pemantauan bagi memastikan kesejahteraan mental penjawat awam terpelihara?

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Pihak Jabatan Perdana Menteri menitikberatkan kedua-dua perkara tersebut kerana produktiviti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan bukan sahaja dipengaruhi oleh sikap dan keupayaan seorang penjawat awam, tetapi juga oleh kepimpinan, proses kerja, persekitaran organisasi, kejelasan akauntabiliti serta tahap kesejahteraan warga Perkhidmatan Awam. Selain program pembangunan kepimpinan, jati diri dan peningkatan kemahiran, usaha menangani isu mindset turut dilaksanakan melalui inisiatif-inisiatif berikut:

Pertama, melalui penambahbaikan sistem dan proses kerja, pengukuhan pengurusan prestasi serta peningkatan akauntabiliti organisasi, seperti:

(a) Transformasi Sistem Kerja (TSK), pendekatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD), ialah bertujuan menambah baik sistem kerja agar penyampaian perkhidmatan menjadi lebih mudah, berkesan dan mesra pelanggan.

Pelaksanaan TSK melibatkan penelitian dan penganalisisan terhadap proses, prosedur kerja serta penggunaan teknologi, termasuk usaha memperkemas aliran kerja, mengurangkan proses dan prosedur yang tidak diperlukan, mengelakkan pengisian maklumat atau penyediaan dokumen secara berulang serta memendekkan tempoh penyampaian perkhidmatan. Pendekatan ini membantu menterjemahkan perubahan mindset kepada amalan kerja yang lebih cekap, tangkas dan berorientasikan keperluan orang ramai.

(b) Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) digunakan untuk mengukur tahap prestasi agensi kerajaan serta mengenal pasti kekuatan dan ruang yang memerlukan penambahbaikan. Pelaksanaannya disokong melalui Penilaian Sendiri di peringkat agensi, penilaian formal dan pemeriksaan susulan bagi memastikan cadangan penambahbaikan yang telah dipersetujui diambil tindakan.

(c) Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) dan Manual Prosedur Kerja membantu memperjelas standard perkhidmatan, proses kerja, pembahagian tanggungjawab dan tempoh pelaksanaan sesuatu urusan. Pencapaian TPOR bagi agensi-agensi yang banyak berurusan dengan orang ramai turut dipantau melalui laporan yang dihadapkan kepada MSD setiap enam (6) bulan. Mekanisme ini membantu membudayakan pemantauan, penilaian dan penambahbaikan secara berterusan serta meningkatkan komitmen dan akauntabiliti agensi terhadap mutu penyampaian perkhidmatan.

Kedua, melalui pembentukan kepimpinan dan budaya kerja berprestasi tinggi.

(a) Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) bukan sahaja menyediakan program pembangunan kepimpinan, tetapi turut merangkumi pengenalpastian pegawai berpotensi, pembangunan secara berstruktur, penilaian berterusan dan perancangan penggantian. Usaha ini bertujuan menyediakan pemimpin yang mampu memberikan hala tuju yang jelas, membimbing pegawai di bawah seliaan masing-masing serta membentuk persekitaran kerja yang mendukung prestasi, disiplin dan akauntabiliti.

(b) Pelaksanaan aktiviti jangkauan masyarakat (community outreach) yang ditawarkan melalui program-program di bawah CSLP, termasuk Young Executive Programme, Executive Development Programme for Middle Management Officers dan Executive Development Programme for Senior Government Officers yang mana melalui penglibatan secara langsung dengan masyarakat, peserta berpeluang memahami keperluan, pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh orang ramai. Pendekatan ini membantu menerapkan prinsip berorientasikan rakyat dalam kalangan bakal pemimpin Perkhidmatan Awam supaya dasar, keputusan dan penyampaian perkhidmatan sentiasa mengambil kira kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

(c) Dari aspek keupayaan melaksana dan kerja berpasukan pula, modul Capacity Review Project (CRP) diperkenalkan bagi membantu agensi penerima meningkatkan keupayaan dan melaksanakan penambahbaikan untuk pertumbuhan serta kejayaan yang mampan dalam mencapai visi dan misi kementerian atau jabatan. Melalui pelaksanaan projek secara berkumpulan, peserta berpeluang memperkukuh kemahiran menganalisis isu organisasi, bekerjasama merentas fungsi dan menterjemahkan cadangan kepada tindakan. Modul ini turut memuatkan lawatan pembelajaran ke negara jiran seperti Singapura bagi memberikan pendedahan kepada pendekatan dan amalan yang relevan.

(d) Sebagai usaha pelengkap dalam pembentukan nilai dan sikap kerja, modul Rukun Akhlak dan Etika Kerja yang ditawarkan oleh Institut Perkhidmatan Awam adalah antara salah satu usaha untuk memperkukuh penghayatan nilai, akhlak dan etika dalam pelaksanaan tugas. Modul tersebut turut mendukung pembentukan sikap kerja yang amanah, berdisiplin, bertanggungjawab dan berintegriti dalam kalangan warga Perkhidmatan Awam.

Ketiga, melalui pengukuhan prestasi, inovasi dan kecemerlangan secara berterusan.

(a) Dalam aspek pengurusan prestasi individu, Sistem Pengurusan Prestasi sedia ada menyediakan mekanisme bagi menetapkan jangkaan dan sasaran kerja, memantau pencapaian serta mengenal pasti tindakan yang diperlukan untuk meningkatkan prestasi pegawai. Di samping itu, penelitian turut diberikan kepada usaha mewujudkan suatu pendekatan dasar bagi menangani prestasi rendah secara lebih berstruktur, adil dan berkesan, dengan mengambil kira amalan-amalan baik sektor swasta yang bersesuaian dengan konteks, peraturan dan nilai Perkhidmatan Awam. Pendekatan ini akan memberikan perhatian kepada kejelasan jangkaan prestasi, bimbingan dan sokongan kepada pegawai, pemantauan kemajuan serta tindakan susulan yang konsisten.

(b) Budaya inovasi pula diterapkan melalui Anugerah Inovasi Perdana (AIP), yang menggalakkan warga Perkhidmatan Awam menghasilkan dan melaksanakan idea baharu bagi meningkatkan prestasi dan mutu perkhidmatan. Antara impak projek-projek AIP ialah memudahkan pengurusan kerja, meningkatkan kecekapan dan produktiviti jabatan serta memudahcara dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan. Bermula pada tahun 2025, penyertaan AIP turut merangkumi projek usaha sama strategik antara pihak kerajaan dengan sektor swasta yang memberikan impak kepada kualiti perkhidmatan awam serta manfaat kepada rakyat.

(c) Dalam masa yang sama, prestasi dan sikap kerja yang boleh dijadikan teladan diberikan pengiktirafan melalui Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam semasa Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam. Penilaiannya merangkumi prestasi, disiplin, akauntabiliti, integriti, semangat berpasukan, layanan kepada pelanggan dan kreativiti. Pengiktirafan ini membantu menggalakkan budaya kecemerlangan, memberikan contoh positif kepada warga Perkhidmatan Awam dan memupuk persaingan yang sihat dalam meningkatkan mutu perkhidmatan.

Keempat, melalui inisiatif dalam memelihara kesejahteraan mental serta persekitaran kerja yang selamat, harmoni dan kondusif.

(a) Dalam mendukung usaha tersebut, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam turut menyediakan Garis Panduan Menangani Gangguan di Tempat Kerja dalam Perkhidmatan Awam yang telah dilancarkan pada bulan November 2025. Garis panduan ini memberikan kefahaman mengenai bentuk-bentuk gangguan di tempat kerja, termasuk penyalahgunaan kuasa, tindas atau buli, gangguan seksual dan gangguan psikologi yang boleh menjejaskan kesejahteraan serta kesihatan mental pegawai dan kakitangan. Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan saluran untuk menangani aduan, tetapi juga mendukung usaha pencegahan serta memastikan isu yang boleh menjejaskan kesejahteraan pegawai diberikan perhatian dan tindakan yang bersesuaian.

(b) Antara inisiatif sokongan dan intervensi awal yang turut dilaksanakan ialah Program Rakan Musaaid Perkhidmatan Awam yang telah bermula pada April 2025. Program ini bertujuan untuk memantapkan lagi pengurusan perkhidmatan kaunseling dalam Perkhidmatan Awam agar ia lebih efisien dan telus kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam. Program ini melatih peserta dalam pengetahuan dan kemahiran asas kaunseling agar dapat berperanan sebagai responden pertama (first responder) di Kementerian dan Jabatan masing-masing yang seterusnya akan menjadi sumber rujukan khidmat kaunseling. Program ini juga sekali gus akan dapat membantu memupuk sifat help-seeking behaviour di kalangan warga Perkhidmatan Awam dalam mendapatkan bantuan profesional khususnya bagi isu yang berkaitan dengan kesihatan mental. Antara tugasan pegawai-pegawai yang dilantik sebagai Rakan Musaaid adalah:

  • Mengenal pasti warga Perkhidmatan Awam yang memerlukan bantuan atau menghadapi isu di tempat kerja dan berfungsi sebagai rakan bantu (support), dan,
  • Merujuk warga Perkhidmatan Awam yang dikenal pasti yang memerlukan perkhidmatan kaunseling.

(c) Selain itu, Bahagian Perkhidmatan Kaunseling turut menyediakan perkhidmatan kaunseling individu sebagai satu mekanisme intervensi awal bagi membantu warga Perkhidmatan Awam dalam menangani cabaran yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan prestasi kerja mereka. Melalui sesi kaunseling yang dihadiri, klien akan menjalani proses penerokaan bagi mengenal pasti cabaran yang dihadapi, termasuk perkara-perkara yang boleh mengakibatkan penurunan dalam produktiviti dan disiplin kerja. Dengan menjalani sesi kaunseling, klien akan dapat mula memahami punca masalah yang dihadapi dan membina kaedah daya tindak yang lebih baik serta merancang tindakan yang bersesuaian ke arah perubahan yang positif. Intervensi awal ini dapat membantu mengelakkan sesuatu isu daripada menjadi lebih serius, di samping membantu pegawai mengembalikan tahap kesejahteraan dan keupayaan mereka untuk menjalankan tugas dengan berkesan.

(d) Usaha pencegahan dan peningkatan kesedaran turut dilaksanakan melalui penyebaran maklumat secara berterusan, termasuk penyediaan infografik Mind eFact. Setakat ini, sebanyak 36 keluaran telah disediakan, iaitu 18 versi bahasa Melayu dan 18 versi bahasa Inggeris, serta 8 artikel melalui Pelita Brunei dan Borneo Bulletin sebagai bahan bacaan dan rujukan bagi warga Perkhidmatan Awam, orang ramai, para pelajar dan pihak swasta. Inisiatif ini merangkumi topik-topik berkaitan isu semasa, bidang psikologi dan motivasi, penjagaan kesihatan mental, pengurusan tekanan, kesejahteraan dan hubungan di tempat kerja, serta persekitaran kerja yang toksik. Bahan-bahan tersebut boleh didapati melalui pelbagai platform seperti laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam, media sosial rasmi Bahagian Perkhidmatan Kaunseling, iaitu Instagram dan Facebook, serta media massa.

Secara keseluruhannya, usaha menangani isu mindset dan memelihara kesejahteraan mental dilaksanakan melalui pendekatan yang saling melengkapi, meliputi pembangunan kepimpinan dan individu, penerapan nilai dan etika kerja, pengukuhan keupayaan melaksana dan kerja berpasukan, pengurusan prestasi, pembudayaan inovasi, pengiktirafan kecemerlangan, penambahbaikan proses kerja, pengukuhan akauntabiliti serta penyediaan sokongan dan intervensi awal. Kesemua usaha ini menjurus kepada peningkatan produktiviti dan disiplin kerja serta penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai yang lebih cekap, responsif dan berintegriti.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.