Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT079
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOF meminta MENTERI HAL EHWAL UGAMA menyatakan bagi merealisasikan aspirasi Negara Zikir dan Melayu Islam Beraja (MIB) serta memperkukuh penghayatan Maqasid Syariah, apakah inisiatif dan strategi memperkasakan program Tadabbur Al-Quran dari aspek kefahaman, penerapan dan penghayatan isi kandungan tersirat dalam Al-Quran yang mencakupi peringkat pendidikan bermula dari pendidikan rendah sehinggalah melangkaui seluruh lapisan masyarakat?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
Kementerian Hal Ehwal Ugama secara berterusan melaksanakan pelbagai inisiatif dan program untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam di negara ini. Pelaksanaan program dan inisiatif tersebut turut disesuaikan dengan pendekatan baharu yang meliputi penggunaan platform digital dan media massa yang menyasarkan kepada setiap peringkat masyarakat. Bagi peringkat kanak-kanak dan remaja pelaksanaan pembelajaran ugama secara formal di sekolah-sekolah ugama dan Arab termasuk sekolah-sekolah umum melalui mata pelajaran Pendidikan Islam atau Pengetahuan Ugama Islam. Manakala bagi peringkat dewasa pula, pelaksanaan pembelajaran ugama dilaksanakan melalui Institusi Masjid-Masjid dan Surau-Surau termasuk pengajian kelas-kelas dewasa di setiap daerah.
Salah satu program atau inisiatif bagi mengukuhkan kefahaman kandungan Al-Quran ialah Program Tadabbur Al-Quran. Program ini dilaksanakan secara menyeluruh bermula peringkat kanak-kanak hingga peringkat dewasa. Ia dihasratkan sebagai inisiatif berkesinambungan dengan kemahiran membaca Al-Quran. Melalui program ini, kefahaman dan penghayatan berkaitan kandungan Al-Quran secara mendalam dan dihasratkan untuk dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.
Sehubungan dengan itu, bagi memastikan pelaksanaan program dan inisiatif tadabbur Al-Quran mencapai matlamat yang ditetapkan, pelbagai strategi dan pendekatan telah dilaksanakan melalui jabatan dan institusi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama yang turut disesuaikan dengan peranan utama institusi dan jabatan berkenaan.
Melalui Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), antara strategi yang dilaksanakan bagi memperkasa Program Tadabbur Al-Qur’an adalah seperti berikut:
- Penawaran kursus Al-Qur’an Al-Karim sebagai kursus wajib universiti dan kursus-kursus bidang tafsir serta Ulum Al-Qur’an.
Sebagai sebuah institusi perguruan ugama yang bermatlamat dalam melahirkan modal insan holistik yang memenuhi keperluan negara, pemerkasaan program Tadabbur al-Quran dari aspek kefahaman, penerapan dan penghayatan isi kandungan al-Qur’an dalam kalangan pelajar KUPU SB adalah sangat signifikan.
Dalam konteks ini, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengambil pendekatan yang komprehensif melalui kurikulum program pengajian yang ditawarkan di KUPU SB, dengan mengintegrasikan elemen tadabbur al-Quran secara berperingkat, berterusan dan bersepadu bermula dari peringkat Diploma Tertinggi Perguruan Ugama hingga Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama.
Keseluruhan program tersebut menawarkan kursus Al-Quran al-Karim yang berlangsung sepanjang tahun pengajian dengan pendekatan holistik yang menggabungkan bacaan al-Quran secara murattal dan bertajwid, hafazan ayat-ayat terpilih, tarannum dan tadabbur ayat-ayat al-Quran sebagai hasil pembelajaran utama.
Matlamat setiap kursus secara jelas menetapkan bahawa pelajar bukan sahaja menguasai bacaan dan hafazan, malah mampu menghayati dan mentadabbur ayat-ayat al-Quran sebagai asas pembentukan sahsiah pendidik Islam.
Kefahaman terhadap makna tersurat dan tersirat al-Quran diperkukuhkan melalui kursus-kursus bidang Tafsir dan Ulum al-Quran, yang melengkapkan pelajar dengan metodologi pentafsiran, ilmu Ulum al-Quran, prinsip memahami konteks penurunan ayat dan kaedah mengeluarkan pengajaran dan hikmah daripada al-Quran.
Gabungan kursus Al-Quran Al-Karim dan kursus-kursus tersebut menjadikan proses tadabbur lebih sahih, ilmiah dan berpandukan disiplin tafsir muktabar.
2. Penganjuran program dan aktiviti berkaitan Tadabbur Al-Qur'an
Sebagai salah satu strategi memperkasakan Program Tadabbur Al-Qur'an melangkaui seluruh lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam, KUPU SB juga berinisiatif mengambil langkah proaktif menganjurkan beberapa siri program dan Tadabbur al-Qur'an kepada seluruh tenaga kerja KUPU SB dan masyarakat awam.
Khusus bagi seluruh tenaga kerja KUPU SB, Program Pembudayaan Memahami Al-Qur'an bagi Staf – sebelumnya dikenali dengan Program Pembudayaan Membaca Al-Qur'an bagi Staf (PMQS) kendalian Unit Pengurusan Strategik dan Jaminan Kualiti, KUPU SB, dilaksanakan pada setiap pagi Sabtu sepanjang minggu perkuliahan bertujuan memberikan kefahaman dan meningkatkan penghayatan terhadap makna dan intisari ayat-ayat al-Qur'an yang dibaca. Sehingga awal Mei 2026, program ini telah memasuki siri yang ke-307.
Sementara program dan aktiviti Tadabbur Al-Qur'an di luar kampus KUPU SB bagi pelbagai lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam dilaksanakan melalui kendalian fakulti dan pusat kecemerlangan akademik KUPU SB iaitu Fakulti Usuluddin, Pusat Bahasa dan Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath KUPU SB.
Antara program yang dilaksanakan ialah Program Dakwah Melalui Tadabbur Al-Qur'an dan Al-Hadith, dengan kekerapan sekali pada setiap semester pengajian dengan tujuan untuk meningkatkan kefahaman keugamaan dalam kalangan masyarakat awam di Negara Brunei Darussalam. Program ini juga berperanan dalam memperluaskan sasaran dakwah ke seluruh daerah melalui pengimarahan masjid-masjid dan penyebarluasan Tadabbur Al-Qur'an dan Al-Hadith. Alhamdulillah, program ini telah berjaya diperluaskan pelaksanaannya ke jabatan-jabatan kerajaan di Negara Brunei Darussalam. Di samping itu, program ini turut mendedahkan masyarakat kepada kepentingan Tadabbur Al-Qur'an dan Al-Hadith sebagai panduan utama dalam kehidupan seharian.
Pihak KUPU SB juga turut bekerjasama dengan organisasi dan institusi lain seperti Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) dan pihak Jawatankuasa Takmir Masjid serta Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) untuk menganjurkan program dan aktiviti tadabbur.
3. Penubuhan Jawatankuasa Tadabbur Al-Quran KUPU SB
Penubuhan Jawatankuasa Tadabbur Al-Quran KUPU SB merupakan satu inisiatif strategik yang selaras dengan aspirasi Negara Zikir, falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dan penghayatan Maqasid Syariah. Penubuhan jawatankuasa ini bukan sekadar bertujuan menyelaras aktiviti tadabbur di KUPU SB, bahkan berfungsi sebagai platform pembangunan ekosistem tadabbur al-Quran yang menyeluruh, sistematik dan lestari, meliputi pendidikan formal dan penglibatan masyarakat. Penubuhannya juga berasaskan tuntutan al-Quran agar umat Islam mentadabbur ayat-ayat Allah dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan yang menekankan kepentingan mahasiswa dalam bidang Ugama dan guru ugama memahami al-Quran.
Pendekatan yang sama juga dilaksanakan oleh Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) melalui penyediaan kurikulum mata pelajaran tadabbur bagi penuntut di peringkat pengajian diploma dan menengah. Kurikulum tersebut antara lain melingkungi beberapa aspek iaitu Kenegaraan, Aqidah, Ibadah, Kemasyarakatan dan Kebudayaan Brunei.
Di samping itu, usaha-usaha berkaitan tadabbur Al-Quran turut dilaksanakan melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS (PPPQM) melalui penyediaan pelbagai program dan kursus bagi sektor awam, pasukan-pasukan beruniform, sektor swasta, NGOs, belia-belia dan masyarakat. Di antara program-program yang dijalankan di antaranya sebagaimana berikut:
- Kursus Skim Kefahaman Al-Quran.
- Kursus Tadabbur Al-Quran.
Pusat pengajian ini juga mengambil inisiatif dan strategik memperkasa program Tadabbur Al-Quran dari aspek kefahaman, penerapan dan penghayatan isi kandungan Al-Quran melalui penerbitan Program Televisyen baharu yang akan dilaksanakan pada tahun 2027. Ia merupakan terbitan tahunan dengan kerjasama Pusat Da'wah Islamiah dan Radio Televisyen Brunei sebanyak 15 episod setiap tahun.
Manakala melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, pelbagai aktiviti dan program sedang dan akan dilaksanakan, antaranya:
-
Program Tadabbur Al-Quran Bersepadu yang disusun mengikut kelompok umur bermula daripada kanak-kanak, belia, dewasa sehingga warga emas.
-
Pelaksanaan kelas dan halaqah tadabbur di masjid-masjid secara mingguan.
-
Memperkasakan kompetensi pegawai masjid melalui latihan bersesuaian berkaitan metodologi tadabbur bagi penyampaian yang lebih berkesan serta berpandukan disiplin tafsir yang muktabar.
Selain itu, pihak JHEM juga mulai tahun 2026 ini telah memperkenalkan Program Tadabbur Surah Al-Fatihah bagi pelajar-pelajar Kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid, Surau dan Balai Ibadat. Program ini khusus direka bentuk bagi peringkat umur rendah dengan objektif mengaplikasikan kefahaman isi surah dalam kehidupan mereka secara sepenuhnya dan anjuran agar kanak-kanak membiasakan diri mengamalkan Surah Al-Fatihah setiap kali hendak memulakan sesuatu majlis. Setakat ini, Program ini telah dilaksanakan di tujuh (7) buah masjid terpilih dan akan seterusnya diperluaskan ke masjid-masjid terpilih lain di seluruh negara.
Program Tadabbur Al-Quran juga telah dijadikan sebagai salah satu pembelajaran dalam Kelas Bimbingan Muslimah di 37 masjid-masjid seluruh negara.
JHEM melalui Bahagian Bimbingan dan Latihan juga telah menganjurkan Program Tadabbur Al-Quran (Surah Al-Fatihah dan Surah As-Sajadah) kepada Pegawai-Pegawai Masjid terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Masjid, Imam dan Bilal sejak tiga tahun kebelakangan secara bersiri dan berkelompok. Demikian itu juga, JHEM melalui Bahagian Hal Ehwal Belia akan mengadakan Bengkel kefahaman dan penghayatan Surah Al-Fatihah dengan betul mengikut kaedah tajwid serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingannya sebagai rukun dalam solat.
Kesemua pendekatan ini dilaksanakan adalah bagi membantu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja celik Al-Quran, bahkan benar-benar menjadikan Al-Quran sebagai panduan selaras dengan hasrat Negara Zikir dan Maqasid Syariah.
Seterusnya Jabatan Pengajian Islam pula telah dan sedang melaksanakan beberapa strategi utama seperti berikut:
-
Membina kurikulum yang sesuai dan selaras dengan peringkat umur, tahap kognitif serta memenuhi keperluan pelajar agar menjadi individu yang berilmu, beriman, beramal dan berakhlak mulia.
-
Memperkasakan Program Tadabbur Al-Quran melalui pengintegrasian elemen kefahaman, penghayatan dan pengamalan nilai-nilai Al-Quran dalam kurikulum pendidikan Islam dari peringkat rendah hingga menengah.
-
Menyediakan modul, bahan pengajaran dan latihan guru berasaskan pendekatan tadabbur yang sistematik, interaktif dan relevan dengan cabaran semasa.
-
Menggalakkan pengamalan nilai-nilai Al-Quran dalam kehidupan seharian bagi memperkukuh jati diri, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ummah selaras dengan aspirasi Negara Zikir dan MIB.
Kesimpulannya, Kementerian Hal Ehwal Ugama akan terus memperkukuhkan pelaksanaan Program Tadabbur Al-Quran melalui pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu, merangkumi aspek kurikulum, pedagogi, pembangunan guru serta penghayatan dalam kehidupan. Matlamat akhirnya ialah melahirkan generasi yang bukan sahaja mampu membaca Al-Quran dengan baik, tetapi juga memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya sebagai panduan hidup, sekali gus menyokong usaha merealisasikan aspirasi Negara Zikir, memperkukuhkan falsafah Melayu Islam Beraja serta menghayati Maqasid Syariah dalam membina masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia, bersatu padu dan sejahtera.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.