Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT072
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin
Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin meminta Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyatakan tindakan susulan titah KDYMM semasa Special BIMP-EAGA Summit dan pengumuman kajian Trans-Borneo Railway oleh negara jiran dan jika terdapat langkah konkrit Kementerian memastikan Brunei tidak ketinggalan dalam projek ini serta memanfaatkan Muara Port sebagai transshipment hub dan pemangkin integrasi ekonomi BIMP-EAGA?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Berhubung dengan tindakan susulan terhadap titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan semasa Special BIMP-EAGA Summit yang dimaksudkan serta perkembangan Trans-Borneo Railway, Kementerian melihat perkara ini dalam konteks yang lebih luas, iaitu bagaimana Negara Brunei Darussalam dapat bersedia dan mengambil kedudukan yang strategik dalam peningkatan kesalinghubungan Borneo dan integrasi ekonomi BIMP-EAGA. Dalam hubungan ini, tindakan Kementerian adalah berasaskan empat langkah utama.
Pertama dengan menilai perkembangan Trans-Borneo Railway dan menentukan bentuk penglibatan Brunei yang bersesuaian.
Negara Brunei Darussalam telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak Malaysia. Pada November 2024, telah diadakan perbincangan dua hala di Kuala Lumpur. Seterusnya, pada 8 Oktober 2025, 1st Brunei Darussalam-Malaysia Joint Committee for Cooperation in the Field of Transport telah membincangkan, antara lain, cadangan penglibatan Brunei dalam Fasa Kedua, iaitu kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) bagi meneroka kesalinghubungan kereta api antara Brunei, Sabah dan Sarawak. Pada masa ini, pihak Malaysia telah diminta untuk membentangkan hasil kajian Fasa Pertama serta skop kajian Fasa Kedua kepada kementerian dan agensi berkepentingan di Negara Brunei Darussalam. Hasil kajian tersebut akan dinilai dari segi kesesuaian laluan, keperluan tanah dan infrastruktur, hubungan sempadan, kos dan manfaat serta potensi kesan kepada perdagangan, industri dan pembangunan ekonomi negara. Ini akan menjadi asas kepada Kerajaan dalam menentukan bentuk penglibatan yang paling bersesuaian dengan kepentingan Negara Brunei Darussalam.
Kedua dengan penyediaan keupayaan negara supaya tidak ketinggalan apabila kesalinghubungan Borneo dipertingkatkan.
Kementerian berpandangan bahawa persediaan tidak boleh tertumpu kepada persoalan sama ada Brunei menyertai projek kereta api tersebut atau sebaliknya. Yang lebih penting ialah memastikan rangkaian pengangkutan dan logistik negara mempunyai kapasiti untuk dihubungkan dengan rangkaian serantau yang sedang berkembang.
Dalam hubungan ini, Kementerian sedang menyediakan National Multimodal Logistics Master Plan melalui Brunei Darussalam Logistics and Transshipment Task Force (BLTTF), yang melibatkan MTIC, Kementerian Perdagangan dan Industri serta Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam dan dijangka siap pada hujung tahun 2026. Pelan ini akan menyediakan satu kerangka strategik bagi menghubungkan jalan raya, potensi rangkaian kereta api, Pelabuhan Muara, pengangkutan udara, kawasan industri, pusat logistik dan pintu-pintu sempadan sebagai satu ekosistem pengangkutan dan logistik yang lebih bersepadu.
Ketiga memperkukuhkan Pelabuhan Muara sebagai transshipment hub dan pintu masuk kepada rangkaian ekonomi serantau. Dalam konteks perkembangan Trans-Borneo Railway, Pelabuhan Muara perlu dilihat bukan hanya untuk memenuhi keperluan domestik, tetapi sebagai salah satu aset strategik negara yang berpotensi menghubungkan Brunei dengan aliran perdagangan dan kargo serantau. Sehubungan itu, perancangan akan memberi perhatian kepada:
- potensi cargo catchment dari dalam negara dan rantau BIMP-EAGA;
- hubungan first-mile dan last-mile antara Pelabuhan Muara, kawasan industri, pusat logistik dan pintu sempadan;
- keupayaan multimodal yang menghubungkan pengangkutan darat, laut dan udara;
- peningkatan aktiviti transshipment dan penarikan kargo transit; dan
- pengukuhan Pelabuhan Muara sebagai regional maritime and logistics gateway yang dapat menyokong perdagangan dan integrasi ekonomi BIMP-EAGA.
Dengan adanya hubungan darat yang lebih baik di Borneo, Brunei perlu memastikan Pelabuhan Muara mempunyai kapasiti, hubungan dan perkhidmatan yang bersesuaian untuk menerima, mengendalikan dan menyalurkan peningkatan aliran kargo tersebut.
Keempat menyelaraskan tindakan Kerajaan bagi memastikan perkembangan ini memberi manfaat kepada negara. Kementerian akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam bidang pengangkutan, perdagangan, pembangunan, kewangan, sempadan, pelabuhan dan hubungan serantau.
Penyelarasan ini penting supaya Trans-Borneo Railway, Pelabuhan Muara, kawasan industri, rangkaian jalan raya dan sistem logistik negara dapat dirancang sebagai satu agenda kesalinghubungan yang saling berkait, dan seterusnya menyokong kedudukan Brunei dalam rangkaian ekonomi BIMP-EAGA.
Dengan pendekatan ini, tindakan susulan Kementerian adalah jelas: kita menilai perkembangan projek, menyediakan keupayaan negara, memperkukuhkan Pelabuhan Muara dan menyelaraskan tindakan Kerajaan. Hala tuju kementerian bukan semata-mata untuk memastikan Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan dalam Trans-Borneo Railway, tetapi untuk memastikan apabila kesalinghubungan Borneo berkembang, Brunei berada pada kedudukan yang bersedia untuk menerima manfaatnya khususnya melalui Pelabuhan Muara sebagai transshipment hub, penghubung logistik dan salah satu pemangkin kepada integrasi ekonomi BIMP-EAGA.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.