Skip to main content
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/Jawapan-Bagi-Pertanyaan-Jawab-Tulis-MMN22_2.pdf

Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT070

SOALAN

Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed

YANG BERHORMAT AWANG ZAINOL BIN HAJI MOHAMED meminta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan apakah dapatan utama penilaian keberkesanan pelaburan Kerajaan dalam kemudahan pembelajaran khusus di sekolah kerajaan sepanjang dua RKN lalu, termasuk hubung kait penggunaannya dengan pencapaian akademik dan prestasi sekolah, serta bidang yang masih memerlukan penambahbaikan?

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri Pendidikan

Sepanjang Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-10 dan RKN Ke-11, Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah melaksanakan pelaburan secara berterusan dalam pembangunan dan penaiktarafan kemudahan pembelajaran di sekolah-sekolah kerajaan selaras dengan SPN21 dan Wawasan Brunei 2035.

Secara keseluruhannya, dalam penilaian Kementerian pelaburan tersebut telah memberi impak positif dalam tiga aspek utama, iaitu memperluaskan akses kepada pendidikan, memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran serta menyokong peningkatan pencapaian akademik dan prestasi sekolah.

Pertama, dari aspek akses dan persekitaran pembelajaran, beberapa sekolah baharu telah dibina dan bangunan sekolah ditambah atau dinaik taraf bagi meningkatkan jumlah kemasukan dan pendaftaran serta menyediakan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif. Antaranya ialah Sekolah Rendah Mulaut, penambahan blok di Sekolah Rendah Pintu Malim dan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan serta pembinaan Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar. Pelaburan ini telah membantu memperluaskan akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Kedua, dari aspek kemudahan pembelajaran khusus, Kementerian menyediakan dan menaik taraf makmal sains, makmal komputer, pusat sumber, bengkel TVET, kemudahan Pendidikan Khas, peralatan ICT dan rangkaian internet sekolah. Kemudahan ini menyokong pengajaran dan pembelajaran yang lebih interaktif dan berpusatkan murid, termasuk pembelajaran berasaskan teknologi, inkuiri dan projek.

Kemudahan tersebut turut digunakan bagi aktiviti STEAM, Program Sahsiah Pelajar, pertandingan inovasi dan aktiviti kokurikulum yang membantu membangunkan kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, kreativiti, komunikasi dan kolaborasi.

Ketiga, dari aspek pencapaian akademik, terdapat tren peningkatan dalam beberapa pencapaian utama sepanjang tempoh berkenaan. Bagi sekolah kerajaan:

  • pencapaian PSR Gred A hingga C meningkat daripada 33.82% pada tahun 2012 kepada 61.25% pada tahun 2023;

  • calon memperoleh sekurang-kurangnya lima GCE 'O' Level/IGCSE meningkat daripada 34.19% pada tahun 2015 kepada 40.27% pada tahun 2023; dan

  • calon memperoleh sekurang-kurangnya dua Gred A dalam GCE A Level meningkat daripada 82.15% pada tahun 2014 kepada 84.71% pada tahun 2023.

Di peringkat antarabangsa, PISA 2022 turut menunjukkan peningkatan prestasi Negara Brunei Darussalam dalam Sains, Matematik dan Literasi Membaca, termasuk peningkatan skor Literasi Membaca antara tahun 2018 hingga 2022.

Walau bagaimanapun, perlu difahami pencapaian akademik dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Oleh itu, kemudahan pembelajaran tidak dilihat sebagai faktor tunggal, tetapi sebagai pemudah cara penting yang membolehkan guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.

Keempat, keberkesanan kemudahan turut bergantung kepada kompetensi guru dan kepimpinan sekolah. Penilaian Kementerian menunjukkan bahawa penyediaan infrastruktur dan peralatan semata-mata belum mencukupi. Penggunaannya perlu disokong dengan latihan pedagogi, bimbingan, sokongan teknikal, pemantauan dan penilaian impak.

Sehubungan itu, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA) terus melaksanakan pembangunan profesional secara khusus dan berstruktur bagi meningkatkan keupayaan guru memanfaatkan kemudahan yang disediakan. Pembangunan kapasiti pemimpin sekolah juga diberikan perhatian supaya pelaburan dalam infrastruktur dapat diterjemahkan kepada peningkatan kualiti pengajaran, pembelajaran dan prestasi sekolah.

Kelima, dari aspek prestasi sekolah, dapatan Brunei Teacher Standards – Teacher Performance Appraisal (BTS-TPA) menunjukkan peningkatan kompetensi guru daripada 81.3% pada tahun 2018 kepada 99.0% pada tahun 2025. Dalam masa yang sama, dapatan Whole School Evaluation (WSE) menunjukkan bahawa daripada 39 buah sekolah yang dinilai semula antara tahun 2021 hingga 2025, sebanyak 35 buah sekolah atau 89.7% menunjukkan peningkatan prestasi.

Dapatan ini menunjukkan bahawa kemudahan pembelajaran yang dimanfaatkan dengan baik, apabila disertai pengajaran berkualiti dan kepimpinan sekolah yang berkesan, dapat menyokong peningkatan prestasi sekolah secara keseluruhan.

Bidang tumpuan penambahbaikan berterusan

Bagi memastikan pelaburan Kerajaan terus memberikan impak yang optimum dan mampan, Kementerian mengenal pasti empat bidang yang akan terus diberikan perhatian:

  1. Pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan sekolah termasuk penyelenggaraan dan penaiktarafan secara berfasa bagi memastikan kemudahan sentiasa dalam keadaan baik dan dapat digunakan secara berterusan;

  2. Pembangunan profesional dan kompetensi guru bagi memastikan kemudahan pembelajaran dapat dimanfaatkan secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran;

  3. Pemantauan dan penilaian keberkesanan kemudahan bagi menilai tahap penggunaan, keberkesanan dan impak pelaburan secara lebih sistematik; dan

  4. Perancangan kemudahan pendidikan masa hadapan bagi memastikan penyediaan kemudahan sentiasa selaras dengan perkembangan dan keperluan pendidikan, termasuk STEM, robotik, kecerdasan buatan (AI) dan TVET.

Kesimpulannya, penilaian Kementerian menunjukkan bahawa pelaburan Kerajaan dalam kemudahan pembelajaran sepanjang RKN Ke-10 dan RKN Ke-11 telah membantu memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, memperkukuh pengajaran dan pembelajaran serta menyokong peningkatan pencapaian akademik dan prestasi sekolah.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.