Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT054
SOALAN
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin
YANG BERHORMAT DR. AWANG HAJI MAHALI BIN HAJI MOMIN meminta MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI menyatakan memandangkan penggunaan AI semakin meluas dalam penghasilan iklan dan kandungan media sosial perniagaan, bagaimanakah Kerajaan memastikan tahap profesional pemasaran dan industri dalam kreatif kekal berdaya saing serta menggalakkan penggunaan AI secara bertanggungjawab yang mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, bukan menggantikan bakat mahir?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Kementerian melihat perkembangan Kecerdasan Buatan atau AI, khususnya dalam penghasilan iklan dan kandungan media sosial, sebagai satu perubahan dalam cara industri kreatif beroperasi. Perubahan ini sememangnya membawa cabaran, tetapi pada masa yang sama membuka ruang baharu untuk meningkatkan produktiviti, kreativiti dan daya saing industri tempatan.
Namun demikian, bukanlah satu bentuk persoalan untuk ditimbulkan sama ada kita menerima atau menolak AI, kerana perkembangan teknologi ini akan terus berlaku. Persoalannya ialah bagaimana kita memastikan rakyat dan industri tempatan mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri, memanfaatkan teknologi ini secara bertanggungjawab dan mencipta nilai daripadanya.
Pendirian Kementerian adalah jelas, selaras dengan pandangan yang turut dikongsikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sebelum ini, bahawa AI hendaklah dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkasa bakat dan keupayaan manusia, dengan mengambil kira peranan serta nilai tambah yang terus diberikan oleh manusia.
Sehubungan itu, pendekatan Kerajaan bukan sekadar menggalakkan penggunaan AI, tetapi memastikan penggunaannya dapat meningkatkan tahap profesionalisme dan daya saing industri, memperkukuh kemahiran tenaga kerja serta mewujudkan ruang kepada pekerjaan yang lebih berkemahiran dan bernilai tinggi. Dalam perkara ini, Kementerian memberi tumpuan kepada empat keutamaan utama.
Pertama, memastikan penggunaan AI secara bertanggungjawab dan mengekalkan tahap profesionalisme industri.
Menerusi Guide on AI Governance and Ethics for Brunei Darussalam, Kementerian melalui Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) telah menyediakan panduan kepada organisasi yang membangunkan, menggunakan dan memanfaatkan teknologi AI.
Panduan ini menggariskan prinsip seperti ketelusan dan keboleh jelaskan, tadbir urus data, keselamatan dan kebolehpercayaan, keadilan dan kesaksamaan, pendekatan berteraskan manusia, serta akauntabiliti dan integriti.
Dalam konteks pengiklanan dan kandungan media sosial, perkara ini amat penting bagi memastikan penggunaan AI mengambil kira ketulenan kandungan, hak harta intelek, perlindungan data, ketelusan serta tanggungjawab profesional. Kandungan yang dijana atau dibantu oleh AI juga perlu digunakan dengan sewajarnya dan masih tertakluk kepada pertimbangan serta pengawasan manusia.
Dengan demikian, penggunaan AI bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tetapi turut membantu mengekalkan kepercayaan dan standard profesional industri.
Kedua, memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang relevan dengan perubahan teknologi.
Kementerian tidak melihat kejayaan AI semata-mata daripada berapa banyak tugas manusia yang dapat di automasi. Sebaliknya, kita perlu memastikan AI membantu tenaga kerja meningkatkan keupayaan dan beralih kepada tugas serta peranan yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi.
Bagi industri pemasaran dan kreatif, ini termasuk kemahiran dalam literasi AI, penghasilan dan pengurusan kandungan digital, reka bentuk kreatif, analisis data, strategi pemasaran, pengurusan jenama serta aspek etika dan tadbir urus AI. Melalui peningkatan kemahiran dan pembelajaran semula atau upskilling dan reskilling, tenaga kerja kita bukan sekadar menjadi pengguna AI, tetapi mampu mengarah, menilai dan menggunakan AI sebagai alat untuk menghasilkan kerja yang lebih kreatif, berkualiti dan bernilai tinggi.
Ketiga, memastikan perusahaan tempatan turut mendapat manfaat dan kekal berdaya saing.
Pembangunan bakat sahaja tidak mencukupi. Perusahaan tempatan juga perlu mempunyai keupayaan untuk mengadaptasi teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka.
Dalam perkara ini, AITI telah melaksanakan inisiatif pembangunan industri seperti Pitch and Produce, yang menyokong pembangunan syarikat pengeluaran tempatan dan penghasilan kandungan media yang berkualiti, serta Brunei Content Festival, yang menyediakan platform untuk mengiktiraf dan mengetengahkan karya serta bakat tempatan.
Inisiatif seperti ini boleh terus diperkasakan dengan mengambil kira perkembangan AI, supaya syarikat tempatan bukan sahaja dapat menghasilkan kandungan dengan lebih cekap, tetapi juga meningkatkan kualiti, kreativiti dan potensi kandungan tempatan untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.
Keempat, memperkukuh kerjasama merentasi Kerajaan, industri dan institusi pendidikan.
Perubahan yang dibawa oleh AI bukan hanya berkaitan dengan teknologi. Ia turut menyentuh pembangunan bakat, pendidikan, industri kreatif, pekerjaan, hak harta intelek dan pembangunan ekonomi.
Oleh itu, pendekatan ini perlu dilaksanakan secara bersepadu. Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui AITI akan terus memainkan peranan dalam aspek dasar digital, tadbir urus AI, pembangunan ekosistem dan kemahiran digital, dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan.
Pada masa yang sama, kerjasama dengan pihak industri adalah penting untuk memastikan latihan dan pembangunan kemahiran benar-benar selaras dengan keperluan pasaran, manakala institusi pendidikan perlu terus menyediakan asas kemahiran yang membolehkan tenaga kerja kita menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
Apa yang penting untuk dititikberatkan ialah Kementerian mahu memastikan transformasi AI membawa kepada peningkatan nilai, dan dalam konteks industri kreatif, kita mahu AI membantu seorang pencipta kandungan menghasilkan kandungan yang lebih baik, membantu sebuah syarikat tempatan meningkatkan produktiviti, dan membantu tenaga kerja kita bergerak kepada tugas yang memerlukan lebih banyak kreativiti, pertimbangan dan kemahiran. Dengan pendekatan ini, kita bukan cuba menghalang perubahan yang dibawa oleh AI. Tetapi, kita mahu memastikan rakyat dan industri tempatan bersedia untuk memimpin perubahan tersebut.
Akhirnya, kita bukan sekadar untuk menjadi pengguna AI, tetapi memastikan rakyat dan industri tempatan mempunyai keupayaan untuk mencipta nilai melalui AI dengan teknologi memperkasa bakat manusia, meningkatkan daya saing industri dan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih berkemahiran dan bernilai tinggi.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.