Skip to main content
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/Jawapan-Bagi-Pertanyaan-Jawab-Tulis-MMN22_2.pdf

Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT053

SOALAN

Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin

YANG BERHORMAT DR. AWANG HAJI MAHALI BIN HAJI MOMIN meminta MENTERI KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN menyatakan dengan populasi warga emas yang semakin meningkat, bagaimanakah Kementerian dan agensi lain bekerjasama untuk menjadikan penuaan (ageing) sebagai peluang dengan penuaan sihat (healthy ageing), penjagaan pencegahan dan pembangunan ekonomi warga emas yang mampan?

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan

Isu penuaan populasi merupakan satu petunjuk kejayaan negara dari segi peningkatan jangka hayat dan keberkesanan sistem kesihatan. Namun demikian, fenomena ini juga memerlukan pendekatan yang holistik dan merentas sektor bagi memastikan warga emas terus kekal sihat, aktif dan produktif. Berdasarkan perangkaan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), pada tahun 2025 terdapat seramai 53,100 orang warga emas, iaitu 11.6% daripada jumlah penduduk. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNESCAP pula menjangkakan Brunei Darussalam akan menjadi sebuah aged country menjelang tahun 2035 apabila peratusan warga emas melebihi 14% daripada jumlah penduduk.

Mengenai kerjasama Kementerian dan agensi-agensi lain, Kerajaan telah mewujudkan struktur tadbir urus yang jelas melalui Jawatankuasa Khas Orang Kelainan Upaya dan Warga Emas di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Menteri Kesihatan.

Keahlian jawatankuasa ini merangkumi Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, wakil daripada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Di peringkat pelaksanaan pula, sebuah Jawatankuasa Kerja yang dianggotai oleh pegawai-pegawai teknikal telah ditubuhkan bagi menyelaras pelaksanaan dasar, program dan aktiviti merentas kementerian. Pendekatan ini mengamalkan konsep whole-of-government dan whole-of-nation, dengan penglibatan aktif komuniti, sukarelawan, institusi kekeluargaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dalam menyokong kesejahteraan warga emas.

Pelan Tindakan Warga Emas 2025-2030: Ke Arah Penuaan Berjaya memberi penekanan khusus pada panduan strategik dalam memperkukuh kesejahteraan dan kualiti hidup warga emas secara menyeluruh dan inklusif selaras dengan Social Blueprint Negara Brunei Darussalam dan Wawasan Brunei 2035. Pelan Tindakan ini turut diselaraskan dengan Pelan Tindakan Kebangsaan lain termasuk Pelan Tindakan Institusi Keluarga 2025-2029. Pendekatan yang diambil adalah bersepadu, merangkumi aspek sosial, ekonomi dan kesihatan, selaras dengan keperluan penuaan aktif dan bermaruah.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Pelan Tindakan ini menggariskan Tujuh (7) bidang tumpuan utama iaitu rekreasi, perumahan, kesihatan, jaringan keselamatan sosial, penyertaan sosial, pendidikan dan pengangkutan yang dirangka secara bersepadu bagi meningkatkan kesejahteraan, mobiliti dan kualiti hidup warga emas melalui akses kepada kemudahan, perkhidmatan dan peluang yang inklusif serta mesra warga emas. Secara keseluruhannya, pelan ini disokong oleh 6 Objektif Utama dan 22 Skop Pelaksanaan yang memberi penekanan kepada pendekatan holistik, mampan. Pelan Tindakan ini akan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.

Dalam menjadikan penuaan sebagai peluang melalui penuaan sihat (healthy ageing) dan penjagaan pencegahan (preventive care), pelaksanaan Pelan Tindakan Warga Emas memberi penekanan khusus di dalam Fokus Strategik 4 iaitu Memperkukuh perkhidmatan menyeluruh melalui pendekatan bersepadu dan Fokus Strategik 6 iaitu Memperkukuh sistem penyelidikan, pemantauan dan pengawasan.

Melalui kerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan, termasuk program saringan kesihatan berkala, promosi gaya hidup sihat, intervensi awal penyakit tidak berjangkit seperti Obesiti, Dementia and Frailty di kalangan warga emas, sokongan kesihatan mental serta aktiviti riadah dan pemakanan sihat di Pusat Kegiatan Warga Emas. Di samping itu, aplikasi BruHealth terus dimanfaatkan bagi memudahkan warga emas mendapatkan akses kepada maklumat kesihatan, perkhidmatan kesihatan dan konsultasi.

Kerajaan juga menyokong usaha Kementerian Kesihatan bersama Centre for Strategic and Policy Studies (CSPS) dalam menjalankan kajian mengenai successful ageing iaitu National Successful Ageing study yang akan menjadi asas kepada pembangunan dasar dan strategi berasaskan bukti bagi menggalakkan penuaan berjaya di negara ini.

Dalam aspek penjagaan pencegahan, Kementerian Kesihatan turut memperkukuh program saringan kesihatan komuniti, kempen kesedaran awam serta pembangunan perkhidmatan step-down care bagi membantu pemulihan pesakit selepas keluar dari hospital, sekali gus mengurangkan risiko kemasukan semula ke hospital dan meningkatkan kualiti hidup warga emas.

Hasil kerjasama pelbagai pihak ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Pusat Kegiatan Warga Emas Tutong diiktiraf oleh WHO sebagai sebuah komuniti mesra warga emas (Age-Friendly Community).

Dalam membangunkan ekonomi warga emas yang mampan, Kerajaan sedang melaksanakan pendekatan secara berfasa daripada memperkukuh Care Economy ke arah pembangunan Silver Economy, selaras dengan perubahan demografi negara.

Pada masa ini, Kerajaan terus memperkukuh ekonomi penjagaan melalui penyediaan perlindungan sosial dan sokongan kepada warga emas serta penjaga mereka. Sehingga Jun 2026, seramai 47,033 orang warga emas menerima Pencen Umur Tua, manakala 1,307 orang turut menerima Elaun Kurang Upaya di samping Pencen Umur Tua. Selain itu, seramai 709 orang warga emas telah dikenalpasti sebagai penjaga kepada penerima Elaun Kurang Upaya dan menerima Elaun Penyedia Penjagaan (EPP), seramai 89 orang warga emas merupakan penerima bantuan lampin dan susu, 176 orang warga emas menerima Bantuan Kebajikan Bulanan bagi mereka yang berpenghidupan susah. Pemberian-pemberian ini telah banyak dibantu oleh Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua Kampung yang memainkan peranan penting dalam mengagihkan pembayaran Pencen Umur Tua, Elaun-elaun dan Bantuan Kebajikan Bulanan dan sekaligus memantau kebajikan dan kesejahteraan golongan warga emas di negara ini.

Pada masa yang sama, Pelan Tindakan Warga Emas turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti warga emas melalui pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning), seperti yang digariskan dalam Fokus 3 pelan tindakan. Ini termasuk program literasi digital, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian dengan kerjasama agensi seperti AITI, Kementerian Kewangan serta institusi pengajian tinggi. Di samping itu, Kerajaan juga komited meneroka potensi Silver Economy melalui kerjasama ASEAN dengan memperkasa warga emas yang masih berupaya untuk terus menyumbang kepada ekonomi menerusi latihan kemahiran, keusahawanan, perusahaan mikro, penghasilan kraftangan dan warisan, serta penggunaan platform digital bagi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Di bawah Fokus 4, iaitu menyediakan peluang komuniti bagi penyertaan sosial secara berterusan bagi warga emas, strategi ini telah diimplementasi melalui platform Hari Antarabangsa Warga Emas tahun 2024 dan 2025 yang memfokuskan kepada sinergi inter-generasi yang melibatkan warga emas dan belia melalui institusi kekeluargaan. Di antara program yang telah dilaksanakan ialah Golden Milestone Virtual Walkathons yang dianjurkan oleh persatuan pelajar Medical Students Association pada tahun 2024 dan aktiviti Golden Amazing Race anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat pada tahun 2025.

Seiring dengan perubahan demografi negara yang menyaksikan peningkatan bilangan warga emas dari tahun ke tahun, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan keperluan, kebajikan dan kesejahteraan mereka terus diberi perhatian yang sewajarnya. Kita semua mempunyai peranan dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang bukan sahaja menghormati warga emas, malah menghargai sumbangan mereka serta menyediakan peluang untuk mereka terus menyumbang dan mengambil bahagian secara aktif dalam kehidupan bermasyarakat.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.