Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL248 DAN PL286
đź“– Masa membaca: 3 minit
📊 Bilangan kata: 433 kata
YANG BERHORMAT PENGIRAN HAJI ISA BIN PENGIRAN HAJI ALIUDDIN DAN YANG BERHORMAT AWANG HAJI MD. SALLEH BIN HAJI OTHMAN​
SOALAN:
YANG BERHORMAT PENGIRAN HAJI ISA BIN PENGIRAN HAJI ALIUDDIN meminta MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN menyatakan selain dari penyediaan tapak, memudahcara dalam penyambungan elektrik dan air ke tapak berkenaan dan projek perintis yang dibuat sebelum ini, apakah langkah-langkah lain yang ada dalam perancangan kementerian bagi melahirkan belia dalam industri pertanian dan agri-makanan yang mampan?
YANG BERHORMAT AWANG HAJI MD. SALLEH BIN HAJI OTHMAN meminta MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN menyatakan apakah perancangan Kementerian berkenaan program peladang muda yang diperkenalkan suatu ketika dahulu? Adakah ada pengajian semula untuk memberikan nafas baharu dengan pendekatan moden seperti agro-teknologi dan keusahawanan tani digital untuk menarik minat belia, mengurangkan pengangguran dan menjana ekonomi luar bandar secara mampan?
YANG BERHORMAT MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN​
JAWAPAN:
Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua, izinkan kaola menjawab soalan dari Yang Berhormat Pengiran Haji Isa Bin Pengiran Haji Aliuddin (PL248) bersama dengan soalan dari Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh Bin Haji Othman (PL286) mengenai dengan usaha untuk menggalakkan golongan muda/belia berkecimpung dalam pertanian.
Pada masa ini, Kementerian belum ada perancangan bagi memperkenalkan lagi program peladang muda seperti yang sebelum ini. Bagi menarik minat para belia di dalam perusahaan pertanian, pihak Kementerian mengungkayahkan beberapa program yang memfokuskan kepada penglibatan belia dalam pertanian dan penternakan. Di antara program-program yang dilaksanakan adalah:
Pelaksanaan Program Pendedahan Belia Berpotensi untuk menceburi pertanian berteknologi, juga adalah salah satu usaha Kementerian yang bertujuan memperkenalkan pertanian sebagai perniagaan menguntungkan.
Projek Rintis iaitu projek dalam bentuk percubaan dan berskala kecil. Tujuan projek ini diperkenalkan adalah untuk memberikan peluang kepada para peladang dan belia yang berminat untuk menerokai potensi dalam bidang pertanian. Projek ini memberikan penekanan kepada penggunaan sistem perladangan moden; penggunaan varieti atau baka yang berhasil tinggi; hasil yang bernilai tinggi; dan disasarkan bagi pasaran eksport.
Seperti yang kaola telah nyatakan sebelum ini, Kementerian juga dalam proses perbincangan dengan institusi-institusi kewangan untuk mengadakan “start-up capital” sebagai pinjaman bagi penyediaan tapak-tapak tanaman seperti pembersihan dan pembukaan kawasan dan pembangunan rumah hijau bersistem teknologi tinggi, dengan para belia terus memulakan operasi untuk menjana pendapatan.
Satu cadangan baru, iaitu Program ADAPT, yang bakal diungkaikan oleh Persatuan Peladang Pertanian Brunei dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sedang dirangka bagi meningkatkan lagi minat dan penglibatan belia dalam industri pertanian dan perikanan. Disamping itu, ahli-ahli persatuan peladang dan jua para peladang yang berjaya pada masa kini juga akan diharapkan menjadi mentor kepada para-para belia dalam memulakan perusahaan ladang mereka. Adalah diharapkan penglibatan para peladang yang sedia ada dan berjaya sebagai mentor dalam program ini, akan dapat menyuntik semangat dan minat belia-belia kitani untuk berkecimpung dalam industri pertanian dan perikanan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.