Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT109
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan
YANG BERHORMAT AWANG HAJI DAUD BIN JIHAN meminta MENTERI KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN menyatakan dasar Kementerian untuk memastikan penerima bantuan kebajikan dari golongan able-bodied dan able-to-work, tidak mewujudkan kebergantungan jangka panjang? Adakah Kementerian akan mewajibkan literasi kewangan, latihan pekerjaan dan melaksanakan exit policy dengan KPI serta tempoh maksimum penerimaan bantuan bagi menggalakkan penerima mencapai sara diri?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
Pada asasnya, dasar Kementerian ini adalah untuk memastikan bantuan kebajikan bukan sekadar memenuhi keperluan asas penerima, malah menjadi pemangkin ke arah pemerkasaan dan kemandirian mereka. Sehubungan itu, bagi penerima bantuan yang berkeupayaan untuk bekerja (able-bodied dan able-to-work), Kementerian melaksanakan pendekatan berasaskan transition pathways melalui pelbagai intervensi seperti latihan kemahiran, penempatan pekerjaan, keusahawanan dan pembangunan kapasiti, selaras dengan keupayaan, minat dan keadaan sosioekonomi setiap penerima.
Kementerian ini turut memperkukuh usaha pembangunan keupayaan penerima bantuan melalui pelbagai inisiatif dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan strategik. Antaranya termasuk program latihan kemahiran, padanan pekerjaan dan pembangunan keusahawanan. Di samping itu, Kementerian kini sedang mengadakan perundingan bersama Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) bagi melaksanakan program bimbingan literasi dan pengurusan kewangan khusus untuk penerima bantuan, sebagai usaha meningkatkan keupayaan mereka mengurus kewangan secara berhemat, menjana pendapatan dan seterusnya mencapai kehidupan yang lebih berdikari.
Bagi memastikan bantuan terus disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, setiap penerima bantuan adalah tertakluk kepada penilaian dan semakan secara berkala. Melalui proses ini, Kementerian akan menilai perubahan dalam keadaan sosioekonomi penerima, termasuk status pekerjaan, pendapatan dan tahap keupayaan untuk berdikari. Sekiranya penerima didapati tidak lagi memenuhi syarat kelayakan, bantuan akan disemak atau ditamatkan mengikut peraturan yang berkuatkuasa.
Berhubung cadangan untuk mewajibkan literasi kewangan, latihan pekerjaan serta pelaksanaan exit policy dengan penetapan KPI dan tempoh maksimum penerimaan bantuan, Kementerian sentiasa meneliti cadangan-cadangan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem perlindungan sosial negara. Malah, pelbagai intervensi telah dan sedang dilaksanakan bagi memperkasa penerima bantuan agar mampu mencapai sara diri, termasuk melalui program literasi kewangan, latihan kemahiran, penempatan pekerjaan dan keusahawanan seperti Program BIBD SEED dan Program Berniaga Dari Rumah.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan exit policy perlu dilaksanakan secara berhemah dan mengambil kira prinsip bahawa bantuan kebajikan adalah berasaskan keperluan (needs-based), bukannya tempoh masa penerimaan bantuan semata-mata. Justeru, setiap penerima bantuan dinilai dan disemak secara berkala berdasarkan perubahan dalam keadaan sosio ekonomi mereka, termasuk tahap pendapatan, status pekerjaan, bilangan tanggungan dan keperluan semasa.
Sebagai contoh, terdapat penerima yang telah memperoleh pekerjaan atau menjalankan perniagaan, namun pendapatan isi rumah mereka masih belum mencapai Kos Minima Keperluan Asas (KMKA). Dalam keadaan sedemikian, bantuan kebajikan masih boleh dipertimbangkan berdasarkan penilaian kes demi kes sehingga kedudukan kewangan mereka benar-benar stabil. Pendekatan ini memastikan usaha ke arah exit daripada bantuan kebajikan dilaksanakan secara berperingkat, tanpa menjejaskan kesejahteraan penerima yang masih memerlukan sokongan.
Kementerian ini percaya bahawa matlamat utama perlindungan sosial bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, tetapi memperkasa penerima bantuan agar berupaya berdikari, meningkatkan kesejahteraan keluarga dan akhirnya keluar daripada kitaran kemiskinan secara mampan. Selaras dengan itu, antara teras utama pembaharuan sistem perlindungan sosial negara adalah peralihan daripada pemberian bantuan kewangan secara langsung kepada pendekatan pemerkasaan yang lebih bersasar dan transformatif (targeted and transformative empowerment). Melalui pendekatan ini, Kementerian berhasrat untuk membina keupayaan penerima bantuan agar mampu mencapai sara diri secara berperingkat dan mampan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kebajikan dalam jangka panjang.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.