Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT074
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin
YANG BERHORMAT AWANG HAJI SALLEH BOSTAMAN BIN HAJI ZAINAL ABIDIN meminta MENTERI HAL EHWAL LUAR NEGERI II menyatakan persetujuan Brunei-Malaysia menyelesaikan isu sempadan secara berperingkat semasa 26th Annual Leaders' Consultation dan penjelasan Kementerian berkenaan kawasan yang telah dimuktamadkan, serta perancangan cross-border joint economic development zone beserta garis masa pelaksanaannya?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II
Semasa Perundingan Tahunan Ketua-Ketua Kerajaan di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia kali ke-26 pada Ogos tahun lepas, para pemimpin telah, antara lain, bersetuju bagi kedua-dua negara terus mengekalkan momentum dalam mencapai kemajuan kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan darat antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia. Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan untuk mempercepatkan dan menyelesaikan kerja-kerja tersebut secepat mungkin.
Dalam hubungan ini, para pemimpin telah menegaskan semula komitmen terhadap Exchange of Letters (EOL) yang ditandatangani pada tahun 2009; Memorandum of Understanding on the Process for the Joint Demarcation and Survey of the Land Boundary (MOU) yang ditandatangani pada Mac 2012; dan Terms of Reference yang dilampirkan bersama MOU berkenaan.
Berdasarkan instrumen-instrumen tersebut, kawasan sempadan yang mempunyai perjanjian akan diselesaikan berdasarkan lima Perjanjian Sempadan Darat yang sedia ada. Manakala, bagi kawasan yang belum mempunyai perjanjian, penentuan sempadan akan dirundingkan berdasarkan prinsip legeh atau watershed principle. Ini termasuk bagi Sektor F-G yang disasarkan untuk diselesaikan selewat-lewatnya pada 31 Mei 2027, selaras dengan Exchange of Notes (EON) yang ditandatangani pada tahun 2024 di antara Menteri-Menteri Hal Ehwal Luar Negeri kedua buah negara.
Pada Ogos 2025, sebanyak 41% atau 214.638 km daripada keseluruhan sempadan darat antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia telah siap diukur dan ditanda sejak kerja-kerja penandaan dan pengukuran dimulakan pada 2012. Setakat Disember 2025, jumlah tersebut telah meningkat kepada 49.2%.
Untuk makluman, kawasan-kawasan yang telah siap kerja-kerja penandaan dan pengukuran adalah seperti berikut:
- Sektor D – E (Mulu - Ulu Tutong);
- Seksyen-seksyen tertentu di Sektor C – D (Teraja - Mulu);
- Seksyen-seksyen tertentu di Sektor E – F (Ulu Tutong - Bebuloh);
- Sektor K – L (Ulu Sungai Pandaruan - Bukit Sagan); dan
- Sebahagian kawasan sekitar Jambatan Persahabatan dan Blok B di Teluk Brunei di Sektor J – K.
Kawasan-kawasan ini telah termasuk di dalam Memorandum Persefahaman (MOU) Fasa Pertama bagi Penandaan dan Pengukuran Bersama Sempadan Darat yang telah selesai dibuat dan telah ditandatangani pada 26 Ogos 2024.
Untuk makluman, MOU ini adalah terikat ("binding") dari segi undang-undang. Walau bagaimanapun, hanya Perjanjian Terakhir ("Final Agreement") yang akan menentukan keseluruhan sempadan Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, serta menggantikan ("supersede") MOU ini dan MOU-MOU berkaitan fasa penandaan dan pengukuran yang telah dipersetujui sebelumnya.
Bagi mengekalkan momentum, kedua-dua pihak telah bersetuju pada dasarnya supaya pertimbangan diberikan untuk mengadakan satu Memorandum Persefahaman Fasa Kedua bagi Kerja-Kerja Penandaan dan Pengukuran Sempadan Darat setelah sasaran mencecah 66% dari keseluruhan sempadan darat yang dijangka akan dicapai pada tahun 2028.
Untuk makluman, kedua-dua negara berhasrat untuk menyelesaikan dan memuktamadkan keseluruhan proses pengukuran dan penandaan sempadan selewat-lewatnya pada tahun 2034. Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan serta agensi-agensi berkenaan ke arah ini.
Kementerian ini juga akan terus memastikan bahawa semua rundingan dan kerja pengukuran serta penandaan sempadan dilaksanakan secara berhati-hati, berlandaskan instrumen yang dipersetujui, dan sentiasa mengambil kira kepentingan, keselamatan serta kedaulatan Negara Brunei Darussalam.
Cross-Border Joint Economic Development Zone
Kementerian ini mengambil maklum artikel BorneoPostOnline bahawa cadangan ini dikemukakan oleh seorang ahli Parlimen Malaysia (MP Miri) kepada rombongan ahli Parlimen Negara Brunei Darussalam semasa perjumpaan yang diadakan pada Januari 2025, di Brunei Darussalam.
Pada masa ini, pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri masih belum menerima cadangan bagi pembentukan Cross-Border Joint Economic Development Zone secara rasmi dari pihak Sarawak. Pembentukannya memerlukan pertimbangan serta penelitian lanjut yang menyeluruh serta penglibatan agensi-agensi berkenaan di Negara Brunei Darussalam.
Walau bagaimanapun, Negara Brunei Darussalam dan Sarawak sudah pun mempunyai kerjasama ekonomi strategik yang aktif, terutamanya dalam sektor Tenaga. Salah satunya adalah Power Interconnection Project, iaitu kerjasama penjualan dan pembekalan tenaga elektrik rentas sempadan yang menghubungkan rangkaian grid Negara Brunei Darussalam dan Sarawak. Projek ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan tenaga (energy security) kedua-dua belah pihak, malah menjadi pemangkin kepada integrasi grid tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid).
Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri terus komited untuk memperkukuhkan hubungan strategik dua hala dengan Sarawak. Kedua-dua belah pihak akan sentiasa meneroka peluang kerjasama baharu yang berteraskan prinsip saling melengkapi (complementary) dan bukannya persaingan (competition) dengan memanfaatkan kelebihan masing-masing bagi menghasilkan manfaat yang mampan dan berterusan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.