Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT058
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD SALAM meminta MENTERI KESIHATAN menyatakan merujuk kebimbangan Menteri Kesihatan terhadap peningkatan vape mengandungi bahan terlarang, apakah gambaran terkini kes, rampasan dan implikasi kesihatan, dan sejauh manakah dapatan ini diguna pakai memperkukuh langkah pencegahan melalui pendekatan whole-of-nation melibatkan ibu bapa, sekolah dan komuniti?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Kementerian Kesihatan memandang serius peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja dan belia, khususnya dalam kalangan murid dan penuntut sekolah. Trend ini semakin membimbangkan berikutan kemudahan mendapatkan produk vape melalui platform media sosial seperti WhatsApp, TikTok, Instagram dan Facebook, yang sering menyasarkan golongan muda melalui pelbagai pilihan perisa, reka bentuk yang menarik serta harga yang mampu dimiliki. Lebih membimbangkan lagi, terdapat beberapa kes melibatkan vape yang didapati mengandungi bahan-bahan terlarang, termasuk dadah sintetik. Kes-kes sedemikian telah diserahkan kepada Biro Kawalan Narkotik bagi tindakan lanjut mengikut bidang kuasa agensi berkenaan.
Bagi menangani isu ini, Kementerian Kesihatan melalui Unit Penguatkuasaan Kesihatan terus memperkukuh usaha pencegahan dan penguatkuasaan, khususnya di institusi pendidikan. Sehingga bulan Julai tahun ini, sebanyak 18 sesi taklimat dan ceramah kesedaran telah dilaksanakan, melibatkan 4 buah sekolah rendah, 13 buah sekolah menengah dan sebuah institusi pendidikan teknikal. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 57 rampasan rokok dan vape turut direkodkan di sekolah-sekolah, terdiri daripada 3 rampasan di sekolah rendah dan 54 rampasan di sekolah menengah. Dapatan ini menunjukkan bahawa pendekatan pendidikan perlu dilaksanakan seiring dengan penguatkuasaan bagi membendung penggunaan vape dalam kalangan pelajar sejak peringkat awal.
Di samping meningkatkan kesedaran, Kementerian turut menegaskan bahawa perbuatan merokok, menggunakan, memiliki, mengedar atau menjual produk tembakau dan vape yang melanggar peruntukan Perintah Tembakau merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan bukan sekadar isu disiplin di sekolah.
Apabila aduan diterima daripada pihak sekolah, Unit Penguatkuasaan Kesihatan akan mengadakan sesi pertemuan bersama pelajar yang terlibat untuk memberikan nasihat, menjalankan rampasan barang tegahan dan mengambil tindakan yang bersesuaian mengikut peruntukan undang-undang.
Bagi pelajar yang melakukan kesalahan berulang, ibu bapa atau penjaga akan dipanggil bersama bagi membincangkan kes tersebut dan memastikan sokongan yang berterusan dapat diberikan di peringkat keluarga. Pelajar berkenaan juga akan dicadangkan untuk mengikuti Klinik Berhenti Merokok sebagai satu bentuk intervensi awal bagi membantu mereka menghentikan penggunaan produk nikotin. Pendekatan ini mencerminkan usaha whole-of-nation, di mana kerajaan, ibu bapa, sekolah dan komuniti memainkan peranan bersama dalam melindungi golongan remaja daripada pengaruh rokok, vape dan bahan-bahan terlarang.
Kementerian Kesihatan percaya bahawa usaha membendung penggunaan vape dalam kalangan remaja tidak dapat dicapai melalui penguatkuasaan semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama berterusan daripada semua pihak melalui pendekatan yang menyeluruh, merangkumi pendidikan, intervensi awal, sokongan keluarga, penglibatan institusi pendidikan serta kerjasama antara agensi penguatkuasaan. Dengan pendekatan ini, Kementerian berharap dapat memperkukuh pencegahan, mengurangkan akses kepada produk-produk berbahaya serta melahirkan generasi yang lebih sihat dan bebas daripada ketagihan nikotin serta penyalahgunaan bahan terlarang.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.