Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/Jawapan-Bagi-Pertanyaan-Jawab-Tulis-MMN22_2.pdf

Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT101

SOALAN

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI SUYOI BIN HAJI OSMAN meminta MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI menyatakan jika ada dapatan tentang sejauh mana penggunaan IT di kalangan penjawat awam sudah menjadi budaya kerja dan bagaimana pihak Kementerian Pendidikan menyokong sama budaya kerja digital ini?

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

Pada sudut pandang Kementerian ini, sejauh mana penggunaan IT telah menjadi budaya kerja dalam Perkhidmatan Awam perlu dilihat bukan semata-mata dari segi pemilikan peralatan atau penggunaan sistem digital, tetapi melalui sejauh mana teknologi telah diintegrasikan ke dalam cara kita bekerja, berkomunikasi, membuat keputusan dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Dalam hubungan ini, Kementerian melihat pembentukan budaya kerja digital dalam Perkhidmatan Awam melalui lima komponen utama, iaitu:

Pertama, Akses dan Infrastruktur Digital. Asas kepada budaya kerja digital ialah memastikan penjawat awam mempunyai akses kepada peralatan dan infrastruktur yang bersesuaian dengan keperluan tugas. Pada masa ini, 66 peratus pegawai dan kakitangan Kerajaan telah dibekalkan dengan peranti komputer secara 1-to-1, manakala baki 34 peratus diberikan akses kepada komputer secara perkongsian atau shared desktop, mengikut keperluan dan sifat tugas masing-masing.

Kedua, Pengintegrasian Teknologi dalam Proses Kerja. Budaya digital dapat dilihat apabila teknologi bukan lagi digunakan sebagai kemudahan tambahan, tetapi telah menjadi sebahagian daripada proses kerja harian. Pada masa ini, pelbagai platform digital Kerajaan telah menyokong perkara ini, antaranya e-mel Kerajaan sebagai medium komunikasi rasmi, Portal Intranet Kerajaan bagi penyampaian maklumat dan dasar, FormBN bagi pendigitalan borang dan proses permohonan, serta Digital Attendance bagi pengurusan kehadiran secara digital. Platform seperti go.gov.bn pula memudahkan perkongsian pautan dan dokumen secara lebih teratur dan selamat.

Di peringkat operasi, sistem seperti SSM menyokong pengurusan sumber manusia, manakala TAFIS menyokong pengurusan kewangan Kerajaan secara bersepadu, termasuk urusan bajet, perakaunan, pembayaran dan pelaporan. Ini menunjukkan bahawa penggunaan teknologi digital dalam Perkhidmatan Awam sudah bergerak daripada penggunaan aplikasi secara berasingan kepada pengintegrasian teknologi dalam pelbagai fungsi dan proses kerja Kerajaan.

Ketiga, Kompetensi dan Keupayaan Penjawat Awam. Akses kepada teknologi sahaja belum memadai untuk membentuk budaya kerja digital. Penjawat awam juga perlu mempunyai kemahiran, keyakinan dan keupayaan untuk menggunakan teknologi secara produktif, selamat dan bertanggungjawab.

Dalam hal ini, Institut Perkhidmatan Awam (IPA) terus memainkan peranan dalam memperkukuhkan kompetensi digital penjawat awam melalui latihan dalam bidang seperti produktiviti digital, keselamatan siber, analitik data, kecerdasan buatan atau AI, pembangunan aplikasi, pengurusan projek, serta pengurusan perubahan dan transformasi digital.

Pendekatan ini penting kerana transformasi digital pada hakikatnya bukan sekadar transformasi teknologi, tetapi transformasi cara kerja. Oleh itu, ukuran kejayaan bukan hanya berapa banyak sistem yang diperkenalkan, tetapi sejauh mana penjawat awam mampu memanfaatkan teknologi tersebut untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Keempat, Kesinambungan Kompetensi daripada Pendidikan kepada Alam Pekerjaan. Budaya kerja digital tidak seharusnya hanya dibentuk apabila seseorang memasuki alam pekerjaan. Ia perlu dibina lebih awal melalui sistem pendidikan dan pembangunan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan masa hadapan.

Sehubungan itu, selaras dengan Digital Brunei 2030, Kerajaan melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan terus memperkukuhkan kompetensi digital di semua peringkat pendidikan, termasuk pengintegrasian kemahiran asas digital di peringkat rendah dan menengah, pemerkasaan kemahiran digital lanjutan di peringkat pendidikan tinggi, serta penambahbaikan berterusan terhadap Brunei Darussalam Digital Literacy Standard dan kurikulum ICT.

Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan sendiri telah mengambil langkah melalui Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan 2023–2027, yang menggariskan hala tuju transformasi digital bagi Kluster Pendidikan melalui tiga bidang tumpuan utama, iaitu Teknologi Pendidikan (Educational Technology), Teknologi Pengurusan (Management Technology), serta Dasar dan Infrastruktur Pemungkin (Enabling Policies and Infrastructure). Ini memperlihatkan bahawa pembangunan budaya digital dilaksanakan secara menyeluruh, bukan sahaja dengan menyediakan kemahiran digital kepada generasi akan datang, tetapi juga melalui pendigitalan cara sistem pendidikan diurus dan disampaikan.

Kelima, Kesepadanan Kemahiran dengan Keperluan Pekerjaan dan Ekonomi Digital. Di peringkat tenaga kerja, Brunei ICT Competency Framework (BIICF) menyediakan satu rangka kerja bagi menyelaras peranan pekerjaan ICT dengan kompetensi yang diperlukan. Ini dapat menyokong usaha job-matching, pembangunan latihan serta peningkatan kemahiran yang lebih selaras dengan keperluan industri dan pasaran pekerjaan.

Pendekatan ini penting kerana matlamat kita bukan sekadar untuk meningkatkan bilangan pengguna teknologi, tetapi untuk membangunkan tenaga kerja yang mampu menggunakan teknologi untuk menghasilkan produktiviti, inovasi dan nilai ekonomi.

Secara keseluruhannya, kelima-lima komponen ini menunjukkan bahawa budaya kerja digital dalam Perkhidmatan Awam sedang dibangunkan sebagai satu ekosistem yang merangkumi akses kepada teknologi, pengintegrasian dalam proses kerja, pembangunan kompetensi, pendidikan dan pembangunan tenaga kerja.

Berdasarkan perkembangan semasa, Kementerian berpandangan bahawa asas kepada budaya kerja digital dalam Perkhidmatan Awam sudah terbentuk dan semakin kukuh. Fokus seterusnya adalah untuk bergerak daripada pendigitalan proses kepada transformasi cara kerja, supaya teknologi bukan sahaja digunakan, tetapi benar-benar dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti, mempercepatkan penyampaian perkhidmatan dan memberikan manfaat yang lebih nyata kepada rakyat.

Dalam konteks ini, peranan Kementerian Pendidikan adalah penting bagi memastikan generasi yang memasuki alam pekerjaan pada masa hadapan telah mempunyai asas literasi, kemahiran dan keupayaan digital yang diperlukan. Inilah pendekatan yang akan terus diperkukuhkan bagi memastikan transformasi digital Negara bukan sahaja technology-led, tetapi people-centred, skills-driven dan berorientasikan hasil, selaras dengan aspirasi Digital Brunei 2030 dan Wawasan Brunei 2035.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.