Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/Jawapan-Bagi-Pertanyaan-Jawab-Tulis-MMN22_2.pdf

Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT071

SOALAN

Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin

YANG BERHORMAT AWANG HAJI SALLEH BOSTAMAN BIN HAJI ZAINAL ABIDIN meminta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan pelancaran Brunei's First Seed Payload ke International Space Station (ISS) oleh UBD dan penjelasan Kementerian berkenaan jumlah pelaburan diperuntukkan serta bagaimana ia memperkukuh keselamatan makanan, kemampanan pertanian dan keupayaan penyelidikan berimpak tinggi selaras kepelbagaian ekonomi bagi Wawasan Brunei 2035?

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri Pendidikan

Brunei's First Seed Payload ke Stesen Angkasa Antarabangsa (International Space Station – ISS) merupakan satu inisiatif penyelidikan yang diterajui oleh Universiti Brunei Darussalam (UBD) bagi meneroka potensi aplikasi sains angkasa dalam penyelidikan pertanian di Negara Brunei Darussalam.

Projek ini dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan penghantaran benih ke ISS bagi tujuan pendedahan kepada persekitaran angkasa sebelum melalui analisis dan penilaian saintifik setelah benih dikembalikan ke Bumi. Pelaksanaan bagi fasa pertama projek ini dibiayai melalui Geran Penyelidikan UBD (rujukan: UBD/RSCH/1.13/FICBF/2025/006) dengan peruntukan berjumlah BND160,000.00. Manakala peruntukan bagi fasa kedua masih belum ditetapkan dan akan dipertimbangkan berdasarkan skop analisis serta saringan yang diperlukan selepas benih tersebut kembali ke Bumi.

Fasa pertama tersebut meliputi penghantaran benih ke ISS, tempoh pendedahan di orbit serta pengendalian sehingga benih dikembalikan ke Bumi. Pelaksanaannya diterangkan seperti berikut:

  • Muatan benih pertama dari Brunei Darussalam telah dilancarkan pada 16 Mei 2026 menggunakan kapal angkasa kargo Cargo Dragon 2, menerusi misi NASA SpaceX CRS-34 yang dilancarkan menggunakan roket Falcon 9 dari Cape Canaveral Space Force Station, Florida, Amerika Syarikat.

  • Muatan tersebut berjaya bercantum dengan ISS pada 17 Mei 2026. Projek ini diterajui oleh Institut Kepelbagaian Biologi dan Penyelidikan Alam Sekitar, UBD, dengan kerjasama Space Faculty yang berpangkalan di Singapura.

  • UBD merancang tempoh pendedahan benih di orbit selama kira-kira enam bulan. Setelah benih dikembalikan ke Bumi, fasa kedua akan melibatkan analisis genetik, pemerhatian fenotip dan saringan agronomi bagi mengenal pasti perubahan yang berpotensi untuk penyelidikan pembiakbakaan tanaman seterusnya.

Pada masa ini, nilai strategik projek ini terletak pada pembangunan kapasiti penyelidikan, pengukuhan modal insan serta jalinan kerjasama saintifik antarabangsa. Potensi sumbangannya kepada keterjaminan makanan dan kemampanan pertanian, keupayaan penyelidikan serta pembangunan modal insan dan kepelbagaian ekonomi akan terus dinilai berdasarkan hasil analisis dan penyelidikan yang dilaksanakan dalam fasa-fasa seterusnya, seperti yang dihuraikan di bawah:

  • Keterjaminan makanan dan kemampanan pertanian

    Projek ini lebih bersifat kepada jangka sederhana dan panjang kerana hanya dapat dinilai selepas benih dikembalikan ke Bumi, analisis dan saringan saintifik diselesaikan, serta sebarang dapatan yang berpotensi disahkan melalui ujian dan penilaian selanjutnya.

    Projek ini menggunakan pendekatan mutagenesis angkasa, iaitu satu kaedah penyelidikan yang mengkaji sama ada pendedahan benih kepada radiasi kosmik dan persekitaran mikrograviti dapat menghasilkan variasi genetik baharu. Variasi genetik yang terhasil tidak semestinya menghasilkan ciri-ciri yang dikehendaki dan masih perlu melalui analisis serta saringan saintifik. Hanya ciri yang stabil dan berpotensi memberi manfaat, seperti peningkatan hasil atau ketahanan terhadap haba, kemarau dan keadaan tanah yang kurang subur, akan dipertimbangkan untuk kajian pembiakbakaan serta penilaian lapangan selanjutnya.

  • Sekiranya saringan saintifik berjaya mengenal pasti ciri-ciri yang dikehendaki dan dapatan tersebut dapat disahkan melalui ujian berulang, projek ini berpotensi menyokong pembangunan varieti padi yang lebih berdaya tahan serta membantu usaha meningkatkan produktiviti pertanian tempatan.

  • Keupayaan penyelidikan

    Dalam jangka pendek, pelancaran serta kejayaan pencantuman muatan dengan ISS membuktikan keupayaan UBD mengurus dan melaksanakan projek penyelidikan saintifik yang kompleks melalui kerjasama antarabangsa. Projek ini turut menyediakan peluang kepada pelajar dan penyelidik untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang sains tumbuhan, biodiversiti, analisis mutasi, genetik, saringan agronomi dan pengurusan penyelidikan rentas disiplin.

    Dalam jangka sederhana, analisis dan saringan yang akan dilaksanakan selepas benih dikembalikan ke Bumi dijangka dapat memperkukuh kapasiti makmal serta meningkatkan pengalaman tempatan dalam penyelidikan biosains angkasa.

    Dalam jangka panjang, sekiranya hasil penyelidikan ini dapat diterjemahkan kepada pembangunan varieti tanaman atau kaedah penyelidikan yang boleh diguna pakai, keupayaan tersebut berpotensi menyokong inovasi dalam sektor agromakanan serta memperkukuh penyelidikan bernilai tinggi.

  • Pembangunan modal insan dan kepelbagaian ekonomi

    Projek ini menyumbang kepada peringkat awal kepada aspirasi Wawasan Brunei 2035 melalui pembangunan modal insan yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, di samping menyokong kepelbagaian ekonomi menerusi pengukuhan kapasiti penyelidikan serta penerokaan aplikasi sains dan teknologi dalam sektor agromakanan.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.