Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT075
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin
YANG BERHORMAT AWANG HAJI SALLEH BOSTAMAN BIN HAJI ZAINAL ABIDIN meminta MENTERI PEMBANGUNAN menyatakan memandangkan tapak pelupusan Sungai Paku dijangka mencapai kapasiti maksimum sebelum kemudahan Waste-to-Energy beroperasi pada 2029, sejauh manakah Kementerian merangka dasar pengurusan sisa menyeluruh, termasuk insentif kitar semula dan menggalakkan amalan pengasingan sisa secara meluas sementara menunggu?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pembangunan
Soalan ini telah dijawab semasa Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2025 yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md Yusof.
Walau bagaimanapun, bagi menambah penjelasan mengenai perkara ini, sukacita ingin saya mengongsikan bahawa Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah pun menyusun program-program dan projek-projek pengurusan sisa yang strategik dan menyeluruh bagi tempoh lima (5) tahun sebagai persediaan sebelum mewujudkan loji Waste to Energy yang dijangka beroperasi pada 2029, antaranya ialah;
-
Mengukuhkan dasar pengurusan sisa buangan melalui pematuhan rangka kerja pengurusan sisa buangan untuk memastikan aliran sisa atau waste stream, bermula daripada penjanaan sehingga ke proses pelupusan ditangani secara sistematik, telus dan berkesan. Ke arah ini, satu peraturan baharu akan diperkenalkan dalam masa terdekat yang antaranya menggariskan keperluan pelesenan wajib selama tiga (3) tahun bagi semua syarikat pengutip sisa dan syarikat pengendali kemudahan pelupusan sisa.
-
Menyediakan Sistem Yuran Pelupusan (Tipping Fee) secara berfasa, di mana setiap penghantaran sampah ke Tapak Pelupusan Sungai Paku oleh syarikat pengutip sampah akan dikenakan bayaran yuran pelupusan. Pelaksanaan Sistem Yuran Pelupusan (Tipping Fee) ini merupakan antara amalan yang telah diguna pakai di kebanyakan negara ASEAN, termasuk Singapura.
Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan perkongsian tanggungjawab bersama dalam pengurusan sisa di samping menambah pendapatan Kerajaan. Inisiatif ini juga dihasratkan dapat menyumbang kepada sistem pengurusan dan pelupusan sisa yang lebih teratur, berkesan dan bersepadu.
Melaksanakan program-program strategik yang mendukung konsep circular economy melalui usaha memperkukuhkan penglibatan setiap individu, masyarakat dan pelbagai pihak berkepentingan dalam membudayakan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle). Antaranya ialah Program kesedaran alam sekitar secara berterusan bagi meningkatkan kefahaman dan penyertaan orang ramai dalam pengurusan sisa yang mampan; Eco Food Waste Initiative (EFWI) yang telah dilancarkan pada 27 Februari 2025 bagi memperkasa penglibatan masyarakat dalam mengurangkan pembaziran makanan, menggalakkan pengasingan sisa makanan dari sumber (at source) serta mengamalkan pengkomposan (composting) sebagai kaedah pengurusan sisa makanan yang mampan; dan Hari Kitar Semula (Recycling Day) yang mula dilaksanakan sebanyak dua (2) kali setahun bermula pada tahun 2025 bagi menggalakkan amalan kitar semula dan meningkatkan kadar pengasingan sisa dalam kalangan masyarakat.
Melaksanakan Projek Konsesi Kutipan Sampah Rumah ke Rumah bagi kawasan Kampung RPN Rimba yang telah bermula pada 1 Jun 2026, bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, coverage dan kualiti perkhidmatan kutipan sampah rumah ke rumah melalui pendekatan berasaskan konsesi.
Projek ini memperkenalkan kaedah baharu melalui pakej langganan yang merangkumi beberapa perkhidmatan utama, iaitu kutipan sampah sebanyak tiga (3) kali seminggu, kutipan bahan kitar semula sebanyak satu (1) kali sebulan, serta kutipan sisa elektronik (e-waste) dan sisa pukal sebanyak dua (2) kali setahun.
Pelaksanaan perkhidmatan ini dikendalikan oleh enam (6) buah syarikat yang telah dilantik bagi menguruskan enam (6) kawasan tadahan di RPN Rimba. Projek ini seterusnya dirancang untuk diperluaskan ke kawasan-kawasan lain secara berperingkat, tertakluk kepada keberkesanan pelaksanaan dan kesediaan infrastruktur yang sedia ada.
Penerapan budaya amalan 3R bagi mendukung konsep circular economy membolehkan sumber daripada sisa dimanfaatkan semula untuk tujuan pembangunan mampan (sustainable development), di samping mengurangkan kebergantungan kepada sumber import, mewujudkan peluang penjanaan ekonomi serta menyokong kelestarian alam sekitar.
Selain itu, usaha-usaha ke arah meningkatkan kesedaran, perubahan tingkah laku (behavioural change) dan penyertaan aktif orang ramai juga secara berterusan dilaksanakan, termasuk melalui kerjasama dengan institusi-institusi pendidikan, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan.
Antaranya ialah usahasama pihak Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dengan pihak Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP), Kementerian Pendidikan iaitu melalui Program STEAM Outreach bertujuan untuk menerapkan dan menggalakkan amalan konsep 3R dan pengasingan sisa dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Selain daripada itu, Program Belia BRUNAS yang dilancarkan pada bulan Jun 2025 bertujuan untuk memperkasa belia-belia di negara ini untuk meneraju inisiatif-inisiatif dan projek-projek alam sekitar yang memberi impak yang lebih bermakna (impactful) dan berpanjangan, dan seterusnya menghasilkan belia-belia yang akan menjadi pembimbing kepada masyarakat mengenai kelestarian alam sekitar, termasuk amalan-amalan terbaik pengurusan sisa.
Merancang penyediaan infrastruktur dan fasiliti pusat kitar semula (Recycling Centre) yang setanding dengan kemudahan di negara-negara lain. Recycling Centre ini akan berfungsi sebagai "One Stop Centre" bagi menyediakan kemudahan kepada orang ramai untuk menghantar dan melupuskan sisa buangan yang boleh dikitar semula di tempat yang khas, strategik dan selamat.
Kemudahan ini akan direka bentuk dengan keluasan yang bersesuaian bagi menampung pelbagai jenis sisa yang boleh dikitar semula antaranya - plastik, kadbod, e-waste, serta sisa hijau (bekas tebangan pokok).
Garis panduan Pengurusan Sisa bagi Industri Pembinaan di Negara Brunei Darussalam (Waste Management Guideline For Construction Industry In Brunei Darussalam) yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan sistem pengurusan sisa pembinaan yang lebih teratur, sistematik dan berkesan, bermula dari peringkat perancangan, pelaksanaan sehinggalah kepada penyiapan projek.
Garis panduan ini bertujuan untuk menggalakkan pengurangan sisa dari asal, meningkatkan amalan guna semula dan kitar semula bahan binaan yang berpotensi, serta memastikan sisa pembinaan diurus dan dilupuskan mengikut amalan terbaik dan keperluan yang ditetapkan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.