Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT057
SOALAN
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin
YANG BERHORMAT DR. AWANG HAJI MAHALI BIN HAJI MOMIN meminta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan bagaimanakah Kerajaan memanfaatkan pendidikan sebagai invisible export untuk meletakkan Brunei sebagai hab pendidikan serantau, menarik pelajar antarabangsa, menjana nilai ekonomi serta melengkapkan pelajar Brunei dengan pendedahan global dan kompetensi rentas budaya?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Kerajaan memanfaatkan pendidikan sebagai invisible export dengan memberi tumpuan kepada empat pendekatan utama:
Pertama, memperkukuh daya tarikan dan keunikan pendidikan Negara Brunei Darussalam. Kita mempunyai kelebihan daripada segi persekitaran yang aman dan stabil, penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai program, penghayatan nilai Melayu Islam Beraja, pengajian Islam dan bahasa Arab, teknologi dan kejuruteraan, TVET berorientasikan industri, industri halal serta biodiversiti tropika. Kualiti dan pengiktirafan program juga terus diberi perhatian bagi meningkatkan keyakinan pelajar antarabangsa.
Institusi pengajian tinggi mempunyai kekuatan masing-masing. UBD antaranya memanfaatkan kekuatan penyelidikan biodiversiti dan jaringan antarabangsa; UNISSA menawarkan bidang khusus seperti Usuluddin, Syariah, Bahasa Arab, Tahfiz dan Qira'at, Sains Halal serta Pertanian; UTB dalam bidang teknologi dan kejuruteraan; manakala Politeknik Brunei dan IBTE mempunyai kekuatan dalam pendidikan dan latihan teknikal serta program berorientasikan industri.
Kedua, memperluaskan program mobiliti dan pelancongan pendidikan atau education tourism. Ini termasuk program pertukaran, kursus jangka pendek, latihan industri, penyelidikan, khidmat masyarakat dan lawatan akademik. Sebagai contoh, UBD mempunyai Global Discovery Programme, UTB melaksanakan AIMS dan Brunei Odyssey, UNISSA melaksanakan pertukaran pelajar dan program dual degree, manakala PB dan IBTE turut melaksanakan kerjasama serta program mobiliti bersama institusi luar negara. Di Peringkat Pendidikan Teras, Kementerian Pendidikan giat melaksanakan pertukaran pelajar antarabangsa melalui program pertukaran pelajar, immersion program dan schools twinning program bersama sekolah-sekolah serantau.
Sepanjang tahun 2025, Kementerian Pendidikan menerima lawatan daripada 693 pelajar antarabangsa melalui program jangka pendek dan setakat hari ini seramai 700 pelajar antarabangsa telah menyertai program-program tersebut.
Penyertaan antarabangsa di peringkat pengajian tinggi juga menunjukkan perkembangan yang positif. Sebagai contoh, UNISSA menerima 409 peserta antarabangsa melalui program mobiliti bagi tahun 2023 hingga 2025, dan 166 peserta lagi bagi Januari hingga Julai 2026. UTB pula melaporkan penerimaan 19 peserta antarabangsa sehingga Julai 2026.
Ketiga, melengkapkan pelajar Brunei dengan kompetensi global. Pelajar diberikan peluang berinteraksi dengan pelajar antarabangsa di dalam negara serta mengikuti program pertukaran, latihan industri dan mobiliti di luar negara. Antaranya melalui program pertukaran pelajar, immersion program dan schools twinning program bagi Pelajar-pelajar Sekolah Rendah dan Menengah, Discovery Year UBD, ExperiencePLUS UTB, program pertukaran dan dual degree UNISSA, PB INTERN.X serta program pertukaran dan latihan IBTE. Pendekatan ini membantu meningkatkan keupayaan berkomunikasi dan bekerjasama merentas budaya, membina jaringan antarabangsa serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Keempat, meningkatkan sumbangan pendidikan kepada ekonomi negara. Kehadiran pelajar dan peserta antarabangsa mewujudkan aktiviti ekonomi melalui yuran pengajian dan perbelanjaan bagi penginapan, makanan, pengangkutan, kesihatan serta aktiviti pelancongan dan kebudayaan. Program jangka pendek yang menggabungkan pembelajaran dengan pengalaman di Negara Brunei Darussalam juga berpotensi memberikan manfaat kepada perusahaan tempatan dan sektor perkhidmatan.
Pengalaman pelajar antarabangsa juga akan terus dipertingkatkan melalui proses kemasukan yang cekap, kemudahan penginapan dan pengangkutan, keselamatan, kesihatan serta infrastruktur digital yang berkualiti. Kerajaan juga terus menyediakan Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada pelajar antarabangsa yang berkelayakan.
Kesimpulannya, Kementerian Pendidikan akan terus memperkukuh penyelarasan inisiatif ini melalui agenda Pelancongan Pendidikan Negara (Education Tourism) dengan mengetengahkan kekuatan institusi, memperluaskan pasaran antarabangsa dan memperkemas pengukuran impak ekonomi serta pendidikan. Melalui pendekatan ini, pendidikan berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan perkhidmatan, di samping dapat memperkukuh kedudukan Negara Brunei Darussalam sebagai hab pendidikan serantau.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.