Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL125
📖 Masa membaca: 6 minit
📊 Bilangan kata: 1,233 kata
YANG BERHORMAT PENGIRAN HAJI ISA BIN PENGIRAN HAJI ALIUDDIN​
SOALAN:
YANG BERHORMAT PENGIRAN HAJI ISA BIN PENGIRAN HAJI ALIUDDIN meminta MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN menyatakan jika Kementerian mempunyai perancangan untuk mengadakan perbezaan syarat yang bersesuaian dalam mematuhi piawaian kepatuhan bagi pengusaha kecil dan sederhana dalam bidang pertanian dan penternakan dari segi keselamatan, kesihatan dan alam sekitar berbanding dengan peraturan dan keperluan kepatuhan yang ada pada masa ini.
YANG BERHORMAT MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN​
JAWAPAN:
Pihak Kementerian menyedari bahawa terdapat beberapa keperluan dalam memenuhi piawaian HSE yang memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi. Hal ini boleh menimbulkan beban yang berat bagi pihak MSME yang beroperasi dalam sektor pertanian, perikanan, perhutanan dan juga pelancongan.
Pihak kementerian ini telah melaksanakan beberapa sesi perundingan dengan agensi-agensi yang berperanan dalam mengawal selia piawaian kemajuan pertanian, termasuk Jabatan Perancang Bandar dan Desa (TCP), Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Perkhidmatan Bomba & Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (DES), Jabatan Perkhidmatan Air (DWS), dan Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA). Tujuan perundingan ini adalah untuk melaksanakan inisiatif bagi memudahkan dan memberikan sokongan kepada para pengusaha MSME dalam usaha mengurangkan kos permulaan operasi ladang, selaras dengan pematuhan kepada piawaian yang ditetapkan oleh agensi-agensi tersebut.
Setakat ini, beberapa provision khas untuk MSME telah di perolehi hasil daripada perundingan seperti:
pengecualian Kebenaran Perancangan daripada TCP untuk memulakan pembinaan rumah semaian, greenhouse dan pre-approved standard design bagi rumah pekerja, rumah pam, ofis ladang dan stor;
pengecualian daripada ABCi berkenaan Kebenaran Kemajuan (Building Approval); Yuran Kemajuan bagi pelan bangunan (standard design); Borang C – Permit Kebenaran Memulakan Kemajuan (Form C – Permit to Carry Out Building Works); dan permohonan Sijil Kesiapan Kemajuan (Occupation Permit, OP) khusus bagi pembinaan rumah semaian, greenhouse, dan pre-approved standard design bagi rumah pekerja, rumah pam, ofis ladang dan stor;
pengecualian dari pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik (DES) dan Jabatan Perkhidmatan Air (DWS) bagi keperluan Sijil Kesiapan Kemajuan (OP) bagi pemasangan utiliti;
pengecualian dari pihak SHENA bagi syarikat MSME (kurang 100 orang pekerja) dalam melantik Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja bagi pematuhan peraturan dan peruntukan di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja 2014.
Selain itu, bagi industri perikanan, Kementerian juga telah mengadakan perundingan dengan pihak Jabatan Alam Sekitar dan Taman Rekreasi (JASTRe) mengenai perkara berikut:
Cadangan standard skop kerja Environmental Impact Assessment (EIA) bagi aktiviti akuakultur dengan menetapkan garis ukur (thresholds) berdasarkan kepada keluasan tapak yang akan ditawarkan dan tertakluk kepada jenis kawasan bagi menjalankan aktiviti akuakultur berkenaan; dan
Pengecualian bagi tapak baharu di kawasan persisiran dan luar pantai daripada melaksanakan Environmental Baseline Study (EBS) dan EIA. Ini mengambilkira Jabatan Perikanan juga melaksanakan kerja-kerja EBS dan EIA melalui projek feasibility study bagi membuka tapak-tapak baharu untuk dioperasikan bagi ternakan ikan nanti. Walau bagaimanapun, pengusaha yang ditawarkan tapak berkenaan masih perlu menghadapkan Written Notification berserta laporan Environmental Management and Monitoring Plan (EMMP) kepada JASTRe bagi pemantauan lanjut.
Walau bagaimanapun, dari segi piawaian dan keperluan biosekuriti ladang pertanian dan perikanan, piawaian-piawaian tersebut bertujuan untuk memastikan bahawa aktiviti-aktiviti pertanian dan perikanan menghasilkan keluaran yang berkualiti dan selamat. Ketidakpatuhan terhadap keperluan-keperluan biosekuriti ini boleh menjejaskan produktiviti ladang, menyebabkan penyebaran penyakit, serta menjejaskan keselamatan makanan. Oleh itu, piawaian dan keperluan biosekuriti ladang ini mesti dipatuhi secara ketat oleh semua syarikat, termasuklah MSME.
Bagi industri perhutanan pula, Jabatan Perhutanan pada masa ini sedang merangka deraf garis panduan HSE bagi memudahkan pematuhan oleh syarikat industri perkayuan tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kelestarian alam sekitar. Pihak Jabatan Perhutanan juga turut melibatkan para syarikat dalam penyediaan garis panduan berkenaan untuk memastikan ianya dapat diterima dan dipraktikkan dengan baik oleh semua pihak yang berkepentingan. Deraf tersebut akan dikemukakan kepada pihak SHENA untuk pertimbangan selanjutnya agar dapat diselaraskan dengan keperluan pematuhan persyaratan yang sedia ada.
Dalam industri pelancongan pula, ke arah inisiatif memperkenalkan dan mendaftarkan Rumah Inap Desa, yang lazimnya dioperasikan oleh pengusaha MSME, dalam masa terdekat sebagai langkah untuk mengembangkan pilihan penginapan yang lebih autentik dan menarik bagi pelancongan, pihak Kementerian ini sentiasa mengadakan perbincangan bersama pihak Kementerian Pembangunan (MOD), Jabatan Perancang Bandar dan Desa (TCP) dan ABCi. Perbincangan ini bertujuan untuk memastikan Rumah Inap Desa di Negara ini memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh agensi-agensi berkenaan dan juga bagi menyelaraskan keperluan piawaian agar lebih fleksibel dan sesuai dengan perkembangan industri pelancongan. Antara isu-isu utama yang telah dibincangkan adalah seperti berikut:
pematuhan dari segi struktur bangunan yang telah dibina dan beroperasi bertahun-tahun sebelum standard semasa diperkenalkan;
keperluan pematuhan syarat-syarat HSE oleh ABCi;
keperluan bagi melantik Qualified Person (QP) oleh ABCi;
persyaratan TCP bagi penggunaan tanah bagi perniagaan atau perumahan; dan
menyelaras dengan pihak MOD bagi mendapatkan kebenaran untuk tapak-tapak yang sedang menjalankan perkhidmatan pelancongan, sebagai contoh kebenaran telah diberikan kepada EcoPonies, Alai Gayoh (HAGAP) dan Taman Tanjong Bukit Mambangan yang diwartakan di bawah Jabatan Daerah Tutong.
Dengan mematuhi keperluan keselamatan yang telah dijelaskan di atas, ianya akan dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan akan dapat meningkatkan keyakinan pelancong serta menarik lebih banyak pelancong ke Negara ini. Sebagai langkah ke hadapan, pihak Kementerian akan mengadakan perundingan lanjut dengan agensi-agensi berikut bagi sama-sama merangka strategi untuk mengurangkan beban kos yang dihadapi oleh pihak MSME dalam sektor pertanian, perikanan, perhutanan dan pelancongan, sambil memastikan bahawa keperluan HSE yang dipersyaratkan dapat dipenuhi:
Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi);
Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA);
Jabatan Alam Sekitar dan Taman Rekreasi (JASTRe);
Jabatan Buruh;
Jabatan Perkhidmatan Elektrik;
Jabatan Perkhidmatan Air; dan
Jabatan Bomba dan Penyelamat.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.