Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL79
📖 Masa membaca: 5 minit
📊 Bilangan kata: 1,249 kata
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA HAJI AWANG SUYOI BIN HAJI OSMAN​
SOALAN:
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA HAJI AWANG SUYOI BIN HAJI OSMAN minta MENTERI PENDIDIKAN merujuk berkenaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) peratus graduan yang mendapat pekerjaan dalam masa 6 bulan setelah tamat, iaitu 76% dari mulai 2023/2024 hingga 2027/2028 terutamanya UNISSA dengan hanya 60%, dan menyatakan (a) adakah Kementerian berpuas hati dengan peratus ini memandangkan lebih kurang 25% graduan yang tidak mendapat pekerjaan setiap tahun; dan (b) apakah perancangan bagi meningkatkan peratus ini dan memastikan mereka dapat diserap oleh pasaran pekerjaan.
YANG BERHORMAT MENTERI PENDIDIKAN​
JAWAPAN:
Terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman atas keperihatinan terhadap status pekerjaan graduan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kita.
(a) Yang Berhormat Pehin, Penunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pendidikan mensasarkan 76% graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian mulai 2023/2024. Sasaran ini terhasil melalui unjuran trend linear (linear trend projection) berdasarkan data sebenar kadar kebolehkerjaan graduan dari tahun 2019 hingga 2022. Unjuran linear ini mengasumsi bahawa aktiviti ekonomi adalah konsisten, dan sebarang peningkatan dalam KPI ini memerlukan penambahan yang ketara dan signifikan dalam aktiviti perekonomian. Bagi menjawab pertanyaan tersebut, sukacita disampaikan dua perspektif seperti berikut:
Pertama, Kementerian Pendidikan merasakan sasaran ini adalah realistik memandangkan ianya adalah berdasarkan dan selaras dengan data dan pertumbuhan ekonomi pada masa ini. Selain itu, petunjuk prestasi ini adalah bagi tempoh 6 bulan selepas tamat
pengajian, dan ia tidak bermakna 25% graduan yang selebihnya tidak akan mendapat pekerjaan atau berhenti mencari pekerjaan selepas 6 bulan tamat pengajian.
Kedua, dalam situasi yang ideal, setentunya pihak Kementerian Pendidikan mengharapkan semua graduannya mendapat pekerjaan dalam bidang masing-masing setelah menamatkan pengajian kerana impaknya adalah berhubungkait dalam mencapai ketiga-tiga matlamat Wawasan Brunei 2035.
(b) Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian Pendidikan melalui institusi-institusi pendidikan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan peratus kebolehkerjaan dan memastikan para graduan dapat diserap oleh pasaran pekerjaan dengan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti seperti berikut:
Dengan memastikan program pengajian yang ditawarkan dan fakulti atau sekolah mendapat pengiktirafan daripada industri serta akreditasi daripada badan profesional, sebagai contoh:
UBD-School of Business and Economics telah mendapat akreditasi dari Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB);
Program Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Mekanikal, di Fakulti Kejuruteraan, UTB telah mendapat akreditasi dari Institution of Mechanical Engineers (IMechE) UK; dan
Sekolah ICT, IBTE telah mendapat akreditasi dari Computing Technology Industry Association (COMTia).
Melalui program-program internship atau work attachment samada di dalam atau luar negeri yang memberikan pelajar pendedahan kepada dunia pekerjaan, peluang mempraktikkan dan meningkatkan kemahiran, serta melatih etika kerja.
IPT juga menyediakan platform keusahawanan bagi menggalakkan graduan untuk bekerja sendiri (self-employed) dan perniagaan permulaan (start-up) seperti:
Klinik Keusahawanan UBD bagi graduan yang berminat untuk memulakan perniagaan, di mana pelajar boleh menghadiri bagi memahami dan mempelajari cara untuk memulakan perniagaan; dan
Incuvation Centre Laksamana College of Business yang memberi bimbingan kepada graduan untuk memulakan perniagaan dan menghubungkan mereka dengan syarikat dan rakan kongsi korporat yang berkenaan.
Sementara itu, UNISSA melaksanakan pelbagai inisiatif akademik yang diharap akan menghasilkan graduan yang lebih marketable dan dapat diserap oleh pasaran pekerjaan, seperti:
Menawarkan program Ijazah Sarjana Muda dengan tempoh pengajian tiga (3) tahun yang memenuhi keperluan industri dan selaras dengan tren global. Program yang mula ditawarkan pada sesi pengajian 2024/2025 termasuk dalam bidang Pengurusan Pembangunan Islam, Media dan Teknologi Komunikasi Islam, Pertanian dan Sains Halal;
Menawarkan program dalam dua (2) Bahasa pengantar (medium of instruction) iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris seperti Program Sarjana Muda Sejarah dan Tamadun Islam, yang mana sebelum ini hanya ditawarkan dalam Bahasa Arab;
Menawarkan program Ijazah Dual (Dual Award) melalui kerjasama dengan universiti-universiti serantau bermula sesi pengajian 2025/2026, iaitu Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam bersama Universiti Malaysia Sabah, dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan/Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia;
Menstruktur semula tempoh Latihan Industri daripada 10 minggu kepada 20 minggu bagi memberikan pendedahan menyeluruh kepada dunia pekerjaan, menyediakan peluang untuk mempraktikkan serta meningkatkan kemahiran, dan melatih etika kerja yang profesional; dan
Memperkasa penguasaan dan meningkatkan kemahiran bahasa Arab dengan penghantaran pelajar ke Oman selama lapan (8) minggu.
Selain itu, UNISSA terus membangun kapasiti pelajar dan alumninya, seperti:
Melalui program-program pembangunan kerjaya termasuk taklimat kerjaya, bengkel dalam penyediaan CV, tatacara temuduga dan teknik pengucapan awam, ceramah motivasi dalam mendepani persaingan mendapatkan pekerjaan serta eksplorasi kerjaya ke organisasi berkepentingan;
Menawarkan peluang kepada para lulusannya untuk mengikuti kursus atau program upskilling atau reskilling yang ditawarkan oleh Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat UNISSA yang ditanggung bayaran sepenuh atau separuhnya oleh Tabung Persatuan Alumni;
Memperkasa kemahiran keusahawanan melalui Pusat E-Hub, sejak September 2024, yang menyediakan program berterusan termasuk program Entrepreneurship Mentoring and Training, yang memberikan peluang kepada pelajar dan alumni untuk berinteraksi secara langsung dan mendapat bimbingan dari pengusaha berpengalaman atau alumni yang berjaya, dari dalam dan luar negara; dan
Melalui UNISSA Cafe yang dikendalikan oleh pelajar sebagai latihan authentic dalam bidang yang mereka pelajari, di mana akan memberi impak positif jangka panjang dalam menyediakan kompetensi bersesuaian bagi menempuh alam pekerjaan.
Sekian dan terima kasih Yang Berhormat Yang Di-Pertua.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.